Kesan Pendudukan Jepun Terhadap Nasionalisme Indonesia

 

Pengenalan

Jepun mula menyerang Indonesia pada 14 Februari 1942 dan berjaya menguasainya pada 9 Mac 1942 apabila ketua turus tentera Berikat Leftenan Jeneral Ter Poorten menyerah kalah kepada panglima tentera Jepun, Immamura Hitoshi. Selepas menguasai Indonesia, Jepun membahagikan pentadbiran kepada 3 unit iaitu Sumatera, Jawa dan Madura, Kalimantan dan Indonesia Timur. Jepun mengekalkan pentadbiran asas Belanda dan memerintah melalui elit-elit yang berpengaruh seperti golongan priyayi di Jawa. Dalam menjalankan pentadbiran, Jepun mempunyai matlamatnya iaitu menghapuskan pengaruh Barat di kalangan rakyat Indonesia dan mengeksploitasikan penduduk dan sumber Indonesia untuk kepentingan negeri Jepun. Jepun memerintah Indonesia sehingga 15 Ogos 1945. Walaupun pendudukan Jepun berlangsung hanya 3 ˝ tahun, tetapi ianya telah meninggalkan pelbagai kesan terutamanya terhadap perkembangan nasionalisme Indonesia. J.M. Kahin dalam bukunya “Nationalism dan Revolution In Indonesia” mendakwa pendudukan Jepun telah mengukuhkan semangat nasionalisme dan mempercepatkan proses pencapaian kemerdekaan.

 

Kesan-kesan

1.         Kekalahan Belanda

Kekalahan Beland begitu mudah telah menjatuhkan maruah Belanda, lebih-lebih lagi Belanda tidak memperlihatkan semangat untuk menentang Jepun. Cara mereka diusir oleh Jepun dan cara orang tawanan dilayan oleh Jepun telah menjatuhkan lagi maruah Belanda. Dalam tempoh 6 bulan selepas menduduki Indonesia, semua orang Belanda yang masih berada di Indonesia telah dipenjarakan. Kekalahan ini telah melenyapkan “mitos superioriti” yang dianggap kuasa Barat sukar dikalahkan. Kekalahan Belanda juga menghilangkan keyakinan rakyat tempatan terhadap kebolehan Belanda kerana Belanda gagal melindungi Indonesia. Perkembangan ini menyedarkan rakyat Indonesia bahawa mereka juga mampu mengalahkan Belanda. Akibatnya, perasaan anti penjajah khususnya anti-Belanda bertambah di kalangan rakyat Indonesia.

2.         Pembebasan nasionalis

Selepas menguasai Indonesia, Jepun telah membebaskan nasionalis-nasionalis yang telah dipenjarakan oleh Belanda. Antara mereka ialah Sukarno, Hatta, Shahrir, Amir Syarifuddin, Sartono dan lain-lain lagi. Pembebasan nasionalis membolehkan perjuangan ke arah kemerdekaan diteruskan sama ada melalui kerjasama dengan Jepun seperti Sukarno atau Hatta atau melalui gerakan bawah tanah seperti Shahrir dan Amir Syarifuddin. Walaupun tindakan Jepun membebaskan nasionalis bertujuan mendapat sokongan nasionalis dalam usaha untuk mengekal dan mengukuhkan kedudukan Jepun tetapi langkah tersebut telah menguntungkan perjuangan nasionalisme Indonesia.

3.         Kerjasama Jepun dengan nasionalis

Dalam menjalankan pentadbiran, Jepun bekerjasama dengan nasionalis dengan tujuan untuk mendapat sokongan nasionalis dalam usaha untuk mengeksploitasikan penduduk serta sumber Indonesia bagi kepentingan negeri Jepun. Nasionalis seperti Sukarno dan Hatta telah diberi kebebasan bergerak dan berpidato ke seluruh Indonesia. Kesempatan ini digunakan oleh nasionalis untuk menanamkan semangat kebangsaan di kalangan rakyat Indonesia, khususnya perasaan anti penjajah iaitu anti-Jepun dan anti-Belanda.

4.         Peluang pentadbiran

Kekalahan Belanda telah meninggalkan kekosngan jawatan dalam pentadbiran. Oleh sebab Jepun kekurangan pegawai pentadbir, maka rakyat Indonesia yang  terpelajar telah dilantik memegang jawatan-jawatan dalam pentadbiran. Pengalaman dalam pentadbiran telah memberi keyakinan diri serta kesedaran terhadap kemampuan mereka untuk mentadbir negeri sendiri. Selain itu, terdapat pegawai-pegawai Indonesia yang berselindung di sebalik jawatan mereka dalam memperjuangkan nasionalisme Indonesia.

5.         Bahasa, bendera dan lagu

Dalam usaha untuk menghapuskan pengaruh Barat, Jepun telah mengharamkan penggunaan bahasa Barat khususnya Bahasa Inggeris dan Bahasa Belanda. Penggunaan Bahasa Jepun digalakkan. Oleh sebab Bahasa Jepun tidak difahami oleh kebanyakan rakyat Indonesia, maka penggunaan Bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan dipertingkatkan. Langkah tersebut telah mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat seluruh Indonesia. Tindakan Jepun membenarkan kibaran bendera merah-putih sebagai bendera kebangsaan dan nyanyian lagu “Indonesia Raya” sebagai lagu kebangsaan telah mengukuhkan lagu semangat nasionalisme rakyat Indoensia.

6.         Penderitaan

Pendudukan Jepun telah menimbulkan pelbagai penderitaan kepada rakyat Indonesia terutamanya golongan petani. Semasa pendudukan Jepun, rakyat Indonesia menghadapi kebuluran barangan pengguna, penyakit, inflasi, kezaliman Jepun dan sebagainya. Petani Indonesia telah dipaksa menjual padi mereka kepada pihak Jepun dengan harga yang terlalu rendah dari harga pasaran. Semasa pendudukan Jepun, ramai rakyat Indonesia dijadikan buruh paksa. Sekurang-kurangnya 200 ribu orang buruh paksa dihantar ke sempadan Siam-Myanmar dan New Guinea. Kekurangan makanan dan penyakit telah menyebabkan ramai buruh paksa meninggal dunia. Ekonomi Indonesia mengalami kemelesetan. Peredaran wang kertas yang tidak terkawal dan kekurangan barangan pengguna telah mengakibatkan berlakunya inflasi. Pada tahun 1945, nilai mata wang Jepun hanya 2.5% nilai mukanya. Eksport Indonesia mengalami kemerosotan kerana terputus dengan pasaran antarabangsa. Jepun mengharamkan eksport kecuali ke negeri Jepun. Pengeluaran hasil juga semakin merosot semasa pendudukan Jepun. Sebagai contoh, pengeluaran getah tahun 1943 hanya 1/3 pengeluaran tahun 1941. Pengeluaran teh pada tahun 1943 hanya 1/3 pengeluaran tahun 1941. Pada mulanya kedatangan Jepun dianggap sebagai kedatangan pembebas yang akan membebaskan Indonesia daripada penjajahan Belanda. Apa yang berlaku sebenarnya ialah penjajahan Belanda di gantikan dengan penjajahan Jepun. Malah penjajahan Jepun lebih kejam daripada penjajahan Belanda terutamanya kezaliman polis rahsia Jepun Kempetai, Tekkikan dan Toko. Perkembangan ini menjejaskan rakyat Indonesia untuk bangun menghapuskan semula bentuk penjajahan mereka sama ada penjajahan Barat ataupu Timur. Kezaliman Jepun dan kemerosotan taraf hidup telah menguatkan keazaman rakyat Indonesia untuk bangun memperjuangkan kemerdekaan.

7.         Anti-Belanda

Pendudukan Jepun telah mengakibatkan bertambahnya perasaan anti-Belanda di kalangan rakyat Indonesia. Buktinya rakyat Indonesia telah menentang pemerintahan semula Belanda selepas kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945. Selama 5 tahun berlaku revolusi iaitu kebangkitan Indonesia menentang Belanda.

8.         Janji Jepun

Pada 7 September 1944, Perdana Menteri Jepun Koiso telah berjanji akan memberi kemerdekaan kepada Indonesia pada tempoh yang singkat. Janji Jepun telah menambahkan lagi semangat nasionalisme kerana sebelumnya Belanda tidak pernah berjanji akan memberi kemerdekaan kepada rakyat Indonesia. Pada 1 Mac 1945, Badan Penyelidikan Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI) ditubuhkan untuk merancang kemerdekaan Indonesia. Pada 1 Jun 1945, Sukarno telah menyampaikan pidatonya kepada badan-badan ini dan pidato tersebut mengandungi 5 pancasila iaitu nasionalisme, internasionalisme, demokrasi, keadilan sosial dan ketuhanan. Pada 7 Ogos 1945, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan Indonesia ditubuhkan bagi menggantikan BPUPKI. Pada 8 Ogos 1945, Sukarno dan Hatta telah berangkat ke Saigon untuk merundingkan kemerdekaan Indonesia dengan panglima tentera Jepun bagi Asia Tenggara – Marshall Terauchi. Pada 11 Ogos 1945, Jepun bersetuju memberi kemerdekaan kepada Indonesia pada 24 Ogos 1945. Perkembangan ini sudah tenti memberi sumbangan terhadap perkembangan nasionalisme Indonesia.

9.         Pertubuhan

Pertubuhan-pertubuhan yang wujud semasa pendudukan Jepun telah beri sumbangan terhadap perkembangan nasionalisme Indonesia.

a.         Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA)

PUTERA ditubuhkan pada 9 Mac 1943. PUTERA dipimpin oleh Sukarno sebagai Presiden dan Hatta sebagai Timbalan Presiden. PUTERA merupakan gabungan nasionalis Indonesia. Jepun menubuhkan PUTERA dengan tujuan untuk mengawal nasionalis supaya tidak menjalankan kegiatan anti-Jepun. Walau bagaiamanapun, penubuhannya telah mewujudkan perpaduan di kalangan nasionalis dalam memperjuangkan kemerdekaan Indonesia. G.M. Kakin dalam bukunya “Nationalism and Revolution In Indonesia” mendakwa penubuhan PUTERA telah menambahkan kesedaran politik dan mengukuhkan keazaman rakyat Indonesia untuk capai kemerdekaan.

b.         PETA

Tentera Sukarela Pembela Tanahair (PETA) ditubuhkan pada September 1943. PETA dipimpin oleh pegawai-pegawai Indonesia tetapi menerima latihan tentera daripada pihak Jepun. Jepun menubuhkan PETA dengan tujuan menggunakan anggota PETA bagi menentang kemaraan tentera Berikat kerana Jepun menyedari kekuatan tenteranya tidak mencukupi untuk mempertahankan Indonesua. Menjelang Jun 1945, terdapat 120 ribu anggota PETA. Mereka telah menjadi tulang belakang Tentera Revolusi Indonesia yang menentang pemerintahan semula selepas kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945. Anggota-anggota PETA telah ditanam semangat anti penjajahan khususnya anti-Belanda dan Jepun akibat propaganda nasionalis-nasionalis.

c.         Pertubuhan Belia dan Pelajar

Dalam usaha untuk mengawal belia-belia serta pelajar-pelajar daripada menjalankan kegiatan anti-Jepun, beberapa pertubuhan belia dan pelajar telah ditubuhkan oleh pihak Jepun. Antaranya ialah Seinendan, Gakutotai, Barisan Pelopor dan Angkatan Muda. Belia-belia dan pelajar-pelajar dalam pertubuhan-pertubuhan telah diberi Indoktrinasi politik dan latihan tentera. Pada September 1944, Jepun menubuhkan Asrama Indonesia mereka di Jakarta dan Surabayau. Nasionalis-nasionalis seperti Sukarno dan Hatta telah dijemput untuk memberi ceramah kepada pelajar-pelajar Asrama Indonesia merdeka serta ahli-ahli Pertubuhan Belia dan Pelajar. Kesempatan ini digunakan oleh nasionalis-nasionalis untuk menanamkan semangat nasionalisme di kalangan belia dan pelajar.

d.         Masjumi

Majlis Seluruh Muslimin Indonesia (Masjumi) telah ditubuhkan pada Oktober 1943. Masjumi merupakan gabungan badan-badan Islam seperti Muhammadiah, Nahdatul Ulama dan Parti Sarekat Islam. Jepun menubuhkan Masjumi dengan tujuan untuk dapat sokongan orang-orang Islam serta menyebarkan semangat anti-Belanda di kalangan rakyat Indonesia melalui agama. Di bawah Masjumi, Jepun berjanji akan bantu orang-orang Islam menunaikan fardu Haji, mencetak al-Quran, mendirikan universiti Islam dan sebagainya. Penubuhan Masjumi mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Indonesia lebih-lebih lagi majoriti rakyat Indonesia terdiri daripada orang Islam.

 

Kesimpulan

Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 berikutan dengan peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Nasionalis-nasionalis muda seperti Adam Malik, Pandu Wiguine dan Chairil Salleh bimbang Belanda yang akan kembali memerintah Indonesia tidak akan mengiktiraf kemerdekaan yang telah dipersetujui oleh Jepun. Akibatnya, mereka telah “menculik” Sukarno dan mendakwa beliau mengisytiharkan kemerdekaan di Rengas Dengkelok pada 17 Ogos 1945. Belanda yang kembali memerintah Indonesia tidak mengiktiraf kemerdekaan tersebut. Akibatnya berlaku zaman revolusi iaitu kebangkitan rakyat Indonesia menentang Belanda hampir 5 tahun. Campur tangan PBB telah memaksa Belanda mengiktiraf kemerdekaan Indonesia pada 27 Disember 1949.

oleh SP Star

10/03/2002 13:07:18

Hosted by www.Geocities.ws

1