Kesan-kesan Pendudukan Jepun

 

Pengenalan

Jepun mula menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 dan dalam tempoh kira-kira 70 hari ia berjaya menguasai seluruh Tanah Melayu apabila Ketua Turus Tentera Berikat iaitu Leftenan Jeneral Percival menyerah kalah kepada Panglima Tentera Jepun iaitu Leftenan Jeneral Yamashita Tomoyuki di Singapura pada 15 Februari 1942. Sejak itu, Tanah Melayu ditadbir oleh pihak tentera Jepun sehingga 15 Ogos 1945. Walaupun pendudukan Jepun hanya selama 3 tahun 6 bulan tetapi ia telah meninggalkan beberapa kesan sama ada politik, ekonomi mahupun sosial.

 

Kesan-kesan

1.         Politik

Selepas menguasai Tanah Melayu, Jepun menyusun semula pentadbiran dengan meletakkan Tanah Melayu di bawah pentadbiran tentera yang dikenali sebagai Malaya Military Administration (MMA) sesuai dengan keadaan peperangan ketika itu. Matlamat utama MMA ialah untuk memulihkan ketertiban awam, mengeksploitasikan sumber-sumber penting untuk menampung ekonomi perang dan menjamin bekalan yang cukup bagi keperluan tenteranya di Tanah Melayu. Dalam menjalankan pentadbiran, MMA dibantu oleh Polis Rahsia Jepun dan Badan Perisikan Jepun yang dikenali sebagai Kempeitai Tekkikan dan Toko. Negeri-negeri Selat (NNS) ditadbir secara langsung oleh Jepun manakala sistem kerajaan di negeri-negeri lain diteruskan dan diletakkan di bawah kawalan langsung seorang Gabenor Jepun. Majlis Mesyuarat Negeri ditukarkan menjadi Majlis Penasihat. Majoriti ahlinya adalah orang Jepun dan orang Melayu. Walau bagaimanapun, kuasa sebenar berada di tangan Jepun. Untuk mendapat sokongan orang Melayu, Jepun mengekalkan institusi Sultan sebagai pentadbir bersama-sama dengan pihak Jepun.

Pada peringkat awal pendudukan Jepun, Sumatera digabungkan dengan Tanah Melayu di bawah satu pentadbiran yang berpusat di Singapura yang dikenali sebagai Shonan. Walau bagaimanapun, penyatuan ini gagal dan Sumatera dipisahkan dari NNM daripada segi pentadbiran pada tahun 1944.

Pendudukan Jepun telah mengakibatkan kesedaran politik yang mendalam di kalangan penduduk Tanah Melayu terutamanya orang Melayu. Hal ini dijelaskan oleh Yoji Akashi dalam bukunya “The Japanese Military Administration in Malaya”. Anthony Hill dalam bukunya “Division in Malaya” menegaskan “The Japanese regime and its aftermath awakened for the first time the political consciousness among the Malay People. They certainly developed it, leading its solidarity and direction”. Manakala John Fustons dalam bukunya “Malay Politic in Malaysia” menegaskan yang pendudukan Jepun telah “politicize the Malay Peasantry to the extent that they were available for mass mobilization immediately after the war”. Penderitaan yang dialami dan propaganda Jepun “Asia untuk Asia” telah membangkitkan kesedaran penduduk tempatan untuk berjuang menuntut kebebasan politik dan kemerdekaan.

Dalam menjalankan pentadbiran Jepun lebih mengutamakan orang Melayu kerana ia menganggap Tanah Melayu sebagai hak orang Melayu. Dalam buku yang sama Yoji Akashi menjelaskan “In the early stage of accupation, the MMA was obliged to regard the Malays as the rightful owner of Malaya while the Chinese and Indian as subordinate races”. Orang Melayu diberi peluang memegang jawatan-jawatan pentadbiran seperti Pegawai Daerah dan sebagainya. Dalam Majlis Penasihat bilangan ahli Melayu melebihi bilangan bangsa-bangsa lain. Sebagai contoh, di Perak 14/20, di Negeri Sembilan 7/12 dan di Pahang 5/9. Pengalaman dalam pentadbiran yang diterima oleh orang Melayu telah memberi keyakinan diri dan menyedarkan mereka bahawa orang Melayu mampu mentadbir negeri mereka sendiri.

Dasar Jepun terhadap orang India agak memuaskan kerana ia mengharapkan sokongan mereka dalam usaha untuk menjayakan rancangan Jepun untuk menguasai India. Orang India digalakkan bekerjasama dengan Jepun bagi membebaskan India daripada British. Mereka diminta menganggotai Tentera Kebangsaan India (MIA) yang ditubuhkan oleh Jepun di Tanah Melayu. Dengan tujuan mendapatkan sokongan orang India juga, Jepun menubuhkan Kerajaan India Buangan yang dikenali sebagai Azad Hind di Singapura di bawah pimpinan Subhas Chandra Bose. Dasar Jepun terhadap orang India telah menimbulkan masalah dalam usaha untuk mewujudkan semangat kenegaraan di kalangan orang India di Tanah Melayu.

Dasar orang Jepun terhadap orang Cina amat berbeza daripada dasar mereka terhadap orang Melayu dan India. Selepas menguasai Tanah Melayu mereka melakukan pembunuhan beramai-ramai dan lain-lain kezaliman ke atas orang Cina. Keadaan ini berlaku kerana permusuhan di antara Negeri Jepun dan Negeri China. Selain itu, Jepun marah kepada orang Cina di Tanah Melayu yang telah membantu Negeri China semasa Jepun menyerang China 1937. Akibat daripada tindakan Jepun, ramai orang Cina melarikan diri ke dalam hutan bagi mengelakkan penindasan Jepun dan seterusnya menganggotai Parti Komunis Malaya (PKM). Dasar Jepun terhadap orang Cina dan India telah menebalkan lagi semangat kecinaan dan keindiaan di kalangan orang Cina dan India di Tanah Melayu.

Kekalahan British dengan begitu mudah telah menjatuhkan maruah British dan telah melenyapkan “mitos superioriti” yang menganggap kuasa Barat tidak boleh dikalahkan oleh kuasa Timur. Cara mereka diusir oleh Jepun serta cara tawanan dilayan telah menjatuhkan lagi maruah British. Kekalahan British menyedarkan penduduk tempatan bahawa mereka tidak boleh bergantung kepada British untuk mempertahankan Tanah Melayu. Keadaan ini menyedarkan penduduk tempatan supaya berusaha sendiri bagi mempertahankan hak-hak dan kepentingan serta tanah air mereka.

Tindakan Jepun menyerahkan Negeri-negeri Melayu Utara kepada Siam pada Ogos 1943 menyedarkan penduduk tempatan bahawa Jepun tidak berminat untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Jepun yang dianggap sebagai pembebas yang akan membebaskan Tanah Melayu juga merupakan kuasa penjajah. Apa yang berlaku sebenarnya ialah penjajahan British digantikan dengan penjajahan Jepun malah penjajahan Jepun lebih kejam daripada penjajahan British.

Permusuhan yang timbul dengan orang Cina akibat pendudukan Jepun telah menyedarkan orang Melayu untuk bangun memperjuangkan hak-hak kepentingan mereka sebagai bumiputera Tanah Melayu. Jepun dengan nasionalis-nasionalis Melayu telah menimbulkan lagi semangat nasionalisme. Jepun memberi sokongan kepada Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Yaacob. Ia juga telah menubuhkan Pasukan Tentera Sukarela (PETA) atau Pembela Tanah Air yang lebih dikenali sebagai Giyu Gun di bawah pimpinan Ibrahim Yaacob. Selepas menduduki Tanah Melayu, Jepun membebaskan nasionalis-nasionalis yang dipenjarakan oleh British seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam. Pembebasan telah membolehkan perjuangan nasionalisme diteruskan.

Pendudukan Jepun telah memberi peluang kepada PKM untuk berkembang. Ia mula mendapat sokongan ramai terutamanya daripada orang Cina dan dianggap sebagai pelindung mereka daripada penindasan Jepun. Apabila Tanah Melayu dikuasai Jepun, anggota-anggota PKM lari ke dalam hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka telah menyertai Malayan Anti-Japanese Union (MAJU) yang ditubuhkan oleh British. PKM seterusnya menubuhkan Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya atau Malayan People anti-Japanese Army (MPAJA). MPAJA mendapat bantuan seperti senjata, makanan, ubat-ubatan dan latihan daripada pihak Berikat terutamanya Pasukan 136. Pengalaman dalam peperangan di hutan dan senjata yang diperolehi semasa pendudukan Jepun amat menguntungkan PKM terutamanya dalam usaha untuk menjayakan matlamat mereka. Semasa pendudukan Jepun, mereka menyerang hendap tentera Jepun dan menjalankan pengintipan bagi pihak British. Selepas pendudukan Jepun, PKM muncul sebagai parti yang kuat dan teratur. Mengenangkan jasa PKM membantu British menentang Jepun, ia diterima sebagai parti yang sah sejak tahun 1945. Kegagalan untuk mencapai matlamat melalui perlembagaan telah mendorong PKM melakukan pemberontakan bersenjata sejak 16 Jun 1948 bagi menjayakan matlamat mereka menguasai Tanah Melayu dan seterusnya menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Pendudukan Jepun telah mengakibatkan munculnya kesedaran politik secara berparti dan berpersatuan di kalangan penduduk Tanah Melayu selepas pendudukan Jepun. Di antara parti-parti yang wujud ialah UMNO, MCA, MIC, API, AWAS, PKMM, Hizbul Muslimin dan sebagainya.

Idea kemerdekaan juga didapati akibat daripada pendudukan Jepun. Ia telah berjanji untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu di bawah lingkungan “Indonesia Raya”. Untuk tujuan tersebut, Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) telah ditubuhkan pada Julai 1945. Rundingan telah diadakan di antara pemimpin Tanah Melayu iaitu Ibrahim Yaacob dan Dr. Burhanuddin dengan pemimpin Indonesia iaitu Sukarno dan Hatta untuk menjayakan matlamat kemerdekaan bersama. Rundingan diadakan di Singapura pada 8 Ogos 1945 dan Taiping pada 12 Ogos 1945. Walau bagaimanapun, KRIS gagal memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu akibat daripada kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945.

2.         Ekonomi

Ekonomi dan taraf hidup rakyat Tanah Melayu mengalami kemerosotan semasa pendudukan Jepun. Ekonomi Tanah Melayu yang bergantung kepada eksport bijih timah dan getah mengalami kemerosotan kerana pengeluaran berkurangan akibat peperangan dan juga kerana dasar “Bumi Hangus” yang diamalkan oleh British dimana mereka telah merosakkan pokok-pokok getah, kilang-kilang, lombong-lombong dan jentera perlombongan sebelum beundur dari Tanah Melayu bagi mengekalkannya daripada jatuh ke tangan Jepun. Tanah Melayu juga telah putus daripada pasaran antarabangsa bijih timah dan getah kerana Jepun mengharamkan eksport keduanya kecuali Jepun.

Selain itu, Jepun juga mengeksploitasikan sumber-sumber yang diperlukan di negeri Jepun terutamanya besi dan bauksit. Semasa pendudukan Jepun, Tanah Melayu mengalami kekurangan barang pengguna khususnya tekstil dan makanan. Pada tahun 1943, Tanah Melayu hanya menghasilkan 37.5% daripada beras penduduknya. Walaupun Burma yang banyak menghasilkan beras juga dikuasai oleh Jepun tetapi import beras dari Burma tergendala kerana masalah peperangan. Beberapa langkah telah dijalankan atas arahan Jepun bagi menambahkan pengeluaran beras Tanah Melayu. Di antara langkah-langkah tersebut ialah menggalakkan penanaman padi 2 kali setahun, memperkenalkan benih padi daripada Taiwan, membuka tanah pertanian baru dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pengeluaran beras Tanah Melayu tetap tidak mencukupi untuk keperluan penduduknya. Akibatnya penduduk Tanah Melayu terpaksa bergantung kepada tanaman lain seperti jagung, pisang, ubi kayu dan sebagainya. Semasa Jepun, Tanah Melayu mengalami inflasi kerana pengedaran wang kertas yang tidak terkawal dan kekurangan barang pengguna terutamanya makanan. Pada tahun 1945, pengedaran wang kertas di Tanah Melayu berjumlah $4000 juta sedangkan sebelum pendudukan Jepun pengedaran wang kertas hanya $200 juta. Kemusnahan sistem perhubungan dan lain-lain infrastruktur yang tidak dibaiki oleh Jepun telah mengakibatkan kemerosotan ekonomi Tanah Melayu. Walapun Jepun melaksanakan beberapa industri seperti kilang kasut, tayar dan sebagainya, tetapi ia tidak mencapai kejayaan.

3.         Sosial

Pendudukan Jepun telah menimbulkan pelbagai penderitaan pada rakyat Tanah Melayu. Kekejaman polis rahsia Jepun khususnya Kempeitai telah menambahkan lagi penderitaan rakyat Tanah Melayu terutamanya mereka yang anti-Jepun seperti orang Cina. Ramai orang Cina telah dibunuh dan dizalimi oleh Jepun menyebabkan mereka lari ke dalam hutan. Mereka tinggal di dalam hutan dan menanam tanaman makanan untuk keperluan sendiri. Tidakan orang Cina telah membawa kepada permulaan wujudnya masalah setinggan selepas Perang Dunia Kedua. Semasa Jepun, terutamanya orang India telah dijadikan buruh paksa dan dihantar ke sempadan Thai-Burma untuk membina jalan keretapi. Kekurangan makanan dan penyakit menyebabkan ramai meninggal dunia sehingga jalan keretapi itu dikenali sebagai “Jalan Keretapi Maut”. Kekurangan makanan terutamanya beras telah menimbulkan pelbagai penyakit. Di antara penyakit yang banyak membawa maut ialah malaria dan beri-beri. Masalah penyakit semakin serius kerana kekurangan ubat lebih-lebih lagi bila ubat-ubat telah dirampas oleh tentera Jepun bagi keperluan mereka di Tanah Melayu.

Pendudukan Jepun telah mengakibatkan wujudnya permusuhan kaum di antara orang Melayu dengan orang Cina akibat daripada dasar Jepun yang berbeza kepada kaum-kaum tersebut. Layanan baik Jepun kepada orang Melayu telah menimbulkan kemarahan orang Cina. Malah Jepun telah mengambil orang Melayu untuk dijadikan polis dan tentera dimana mereka digunakan oleh Jepun untuk menentang MPAJA yang terdiri daripada orang Cina. Tindakan orang Melayu menjadi pengintip Jepun telah menambah lagi kemarahan orang Cina. Akibatnya selepas pendudukan Jepun, berlaku pergaduhan kaum di antara orang Melayu dengan orang Cina terutamanya di Perak dan Johor. Pendudukan Jepun telah menimbulkan semangat rajin dan berdikari di kalangan orang Melayu seperti menghasilkan barang daripada daun nanas dan gula dari nira kelapa. Pendudukan Jepun turut menimbulkan kesedaran orang Melayu terhadap pentingnya pengajaran, dimana selepas perang sekolah-sekolah Melayu tumbuh dengan pesatnya di seluruh negara.

 

oleh SP Star

02/10/2001 13:36:16

Hosted by www.Geocities.ws

1