Islah 1898

 

Pengenalan

Kekalahan China ternyata pada abad ke-19 sama ada dalam bidang politik, ekonomi, sosial atau ketenteraan. Dalam pentadbiran pegawai-pegawai masih mengamalkan rasuah dan penyelewengan sehingga menyebabkan wujudnya ketidakcekapan dalam pentadbiran. Kelemahan dalam ketenteraan terbukti bila China dikalahkan oleh British dalam Perang Candu 1839-1842 serta Perang Arrow 1856-1860. Kemudiannya dikalahkan oleh Jepun dalam Perang China-Jepun 1894-1895. Kelemahan ini menyedarkan pemimpin-pemimpin China untuk melaksanakan satu rancangan pembaharuan yang dapat memulihkan negeri China. Akibatnya terlaksanalah Islah 1898. Islah yang dimulakan sejak 11 Jun 1898 dipimpin oleh Kang Yu Wei dan dibantu oleh reformis lain seperti Liang Chih Chao, Weng Tung Ho, Kang Kuan Jen, Wong Kang Nien, Tau Ssu Tung, Huang Tsun Hsien, Kuo Sung Tao, Yau Shen Shin dan lain-lain lagi.

 

Sebab-sebab

1.         Kelemahan China

Pada abad ke-19, China melalui zaman kelemahan sama ada dalam politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan. Walaupun rancangan pembaharuan Gerakan Memperkuatkan Diri dilaksanakan sejak 1861, tetapi Kerajaan Manchu gagal mewujudkan pentadbiran yang berkesan. Keadaan ini berlaku kerana gerakan ini tidak mendapat sokongan yang menyeluruh. Majoriti orang Cina bersikap anti asing dan mereka menentang rancangan pembaharuan yang berdasarkan idea Barat. Mereka menganggap idea Barat terlalu asing kepada mereka. Mereka masih mengagungkan peradaban China dan menganggap tindakan meniru Barat sebagai satu penghinaan yang boleh menjatuhkan maruah serta menghancurkan Tamadun China. Dalam bidang pentadbiran, pegawai-pegawai Manchu masih lagi mengamalakn rasuah serta penyelewengan sehingga menyebabkan wujudnya ketidakcekapan dalam pentadbiran. Dalam ketenteraan kelemahan China ternyata apabila mereka dikalahkan dalam Perang Candu 1839-1842 dan Perang Arrow 1856-1860. China juga tidak dapat memadamkan Pemberontakan Taiping kecuali selepas mendapat sokongan dan bantuan Barat. Kekalahan China dalam Perang China-Jepun 1894-1895 membuktikan lagi kelemahan China. Keadaan ini menyedarkan pemimpin China untuk melaksanakan satu rancangan pembaharuan bagi memulihkan China dari segi politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan.

2.         Imperialisme Barat

Kelemahan China telah memperhebatkan imperialisme Barat di China. Kuasa-kuasa Barat telah menekan China untuk menuntut pelbagai keistimewaan sehingga ahli-ahli sejarah menganggap China sebagai tembikai masak yang dipotong dan dibahagikan secara sesama kuasa Barat dan Jepun. Sebagai contoh, Rusia menduduki Semenanjung Liaotung 1896, Jerman menduduki Teluk Kiaochow 1897, British menduduki Wei Hai Wei 1898 dan Perancis menduduki Teluk Kwangchou 1898. Kuasa-kuasa Barat juga telah menuntut keistimewaan lain selain dari wilayah. Sebagai contoh, mereka telah mendesak China membenarkan mereka membina jalan keretapi di China. British menuntut kebenaran membina jalan keretapi sejauh 2800 batu dan Perancis 420 batu, Rusia 1530 batu serta Belgium 650 batu. Keadaan ini menyedarkan pemimpin China untuk melaksanakan pembaharuan bagi memulihkan China supaya China mampu menghadapi imperialisme Barat dan Jepun.

3.         Kemunculan golongan reformis

Pada akhir abad ke-19, muncul golongan reformis yang menyedari betapa perlunya pembaharuan dilaksanakan di China. Kegagalan Gerakan Memperkuatkan Diri mendorong mereka untuk merangka satu lagi rancangan pembaharuan yang lebih berkesan dalam usaha untuk memulihkan China. Mereka menegaskan Islah 1898 bertujuan untuk menyusun semula institusi politik dan sosial China berdasarkan model Barat bagi memulihkan negeri China. Kang Yu Wei menegaskan perubahan yang radikal perlu dijalankan bagi menguat dan memodenkan negeri China. Golongan reformis telah mengadakan ceramah di merata tempat dengan tujuan untuk menyedarkan orang ramai betapa perlunya pembaharuan berdasarkan idea Barat dilaksanakan di negeri China. Mereka telah menubuhkan persatuan dalam usaha untuk menjayakan rancangan mereka. Sebagai contoh, “Society For The Study of The Self Strengthening”. Pelbagai kegiatan telah diadakan seperti ceramah, menterjemah buku-buku Jepun dan Barat, mendirikan perpustakaan dan sebagainya. Islah 1898 dipimpin oleh Kang Yu Wei dan dibantu oleh reformis lain seperti Liang Chih Chao, Weng Tung Ho, Kang Kuan Jen, Wong Kang Nien, Tau Ssu Tung, Huang Tsun Hsien, Kuo Sung Tao, Yau Shen Shin dan lain-lain. Cadangan-cadangan pembaharuan juga telah dimuatkan ke dalam akhbar terutamanya akhbar “Wang Kuo Kung Pao” yang dimiliki oleh Liang Chih Chao.

4.         Pengaruh Barat

Sejak tahun 1840-an, beberapa buah pelabuhan China telah dibuka kepada perdagangan asing. Mengikut Perjanjian Nanking 29 Ogos 1842, 5 buah pelabuhan telah dibuka kepada perdagangan asing iaitu Canton, Amoy, Foochow, Ningpo dan Shanghai. Mengikut Perjanjian Tientsin 28 Jun 1858, 11 pelabuhan telah dibuka kepada perdagangan asing iaitu Newchwang, Tungchow, Cheefoo, Chinkiang, Nanking, Hankow, Kiukiang, Tanshui, Swatow, Kiungchow dan Tainan. Mengikut Perjanjian Peking 24 Oktober 1860, Tientsin dibuka kepada perdagangan asing dan mengikut Perjanjian Shimonoseki 17 April 1875, 4 buah pelabuhan iaitu Shansi, Chungking, Soochow dan Hangchow dibuka kepada pedagang asing. Pembukaan pelabuhan China telah membawa kepada kemasukan pengaruh Barat terutamanya di pelabuhan perjanjian. Terdapat sebahagian daripada orang Cina yang telah terpengaruh dengan idea Barat dan mahukan ianya dilaksanakan di negeri China. Sebelum itu, orang-orang China terdedah kepada idea-idea Barat semasa perlaksanaan Gerakan Memperkuatkan Diri sejak tahun 1861.

5.         Sokongan Maharaja

Sokongan Maharaja juga penting membawa kepada perlaksanaan Islah 1898. Maharaja Kuang Hsu terpengaruh dengan rancangan pembaharuan Kang Yu Wei dan mahukan ianya dilaksanakan di negeri China. Untuk menjamin perlaksanaannya, cadangan-cadangan pembaharuan telah dikeluarkan sebagai perintah diraja atau dikri.

6.         Kejayaan pembaharuan di Jepun dan Rusia

Kejayaan rancangan pembaharuan di Jepun dan Pembaharuan Peter The Great Rusia juga mempengaruhi perlaksanaan Islah 1898. Golongan reformnis menegaskan kejayaan pembaharuan di Jepun dan Rusia kerana rancangan pembaharuan tersebut berdasarkan idea Barat. Mereka mendesak Maharaja Kuang Hsu melaksanakan rancangan pembaharuan di China seperti pembaharuan yang dilaksanakan di Jepun dan Rusia. Untuk menyakinkan Maharaja, Kang Yu Wei telah mengemukakan kajiannya bertajuk “A Study of Meiji Reformis” dan “A Study of Peter Rusia”.

 

Rancangan pembaharuan

1.         Politik

a.         Sistem pentadbiran China akan disusun semula berdasarkan sistem pentadbiran Barat.

b.         Jawatan-jawatan dan jabatan-jabatan yang tidak penting dihapuskan.

c.         Pegawai yang mengamalkan rasuah dan penyelewengan dipecat.

d.         Hanya pegawai progresif yang menyokong rancangan pembaharuan dilantik dalam perkhidmatan awam.

e.         Mewujudkan kecekapan dalam pentadbiran dengan menghapuskan kelambatan melalui satu aturcara yang mudah.

f.           Kenaikan pangkat pegawai berdasarkan kejayaan mereka dalam melaksanakan rancangan pembaharuan.

g.         Pendapat rakyat akan diterima dan dikaji. Jika didapati sesuai akan dilaksanakan.

h.         Pegawai-pegawai akan dihantar ke seberang laut untuk mempelajari sistem pentdabiran Barat.

i.           Belanjawan China akan dibuat tiap-tiap tahun.

j.           Memudah dan memodenkan undang-undang.

2.         Ekonomi

a.         Teknik Barat akan digunakan bagi memajukan ekonomi sama ada dalam pertanian, perdagangan, perusahaan dan sebagainya.

b.         Sistem perhubungan dan alat pengangkutan akan dimajukan. Untuk tujuan tersebut sebuah “Biro Pengangkutan” akan ditubuhkan di Peking.

c.         China menggalakkan rekaan.

d.         Orang Manchu digalakkan supaya melibatkan diri dalam perdagangan.

e.         China akan memajukan perdagangan luar.

3.         Sosial

a.         Pelajaran

·          Sistem pelajaran China akan disusun semula berdasarkan sistem pelajaran Barat.

·          Sistem peperiksaan berdasarkan karangan “Bersudut Lapan” digantikan dengan karangan mengenai hal semasa.

·          Universiti kebangsaan akan didirikan di Peking.

·          Lebih banyak sekolah dan maktab yang mengutamakan pelajaran Barat dan pelajaran China akan didirikan di wilayah dan daerah.

·          Sebuah maktab khas akan didirikan untuk mengkaji sistem pelajaran Barat.

·          Biro Terjemahan akan diwujudkan di Shanghai.

·          Pelajar-pelajar China akan dihantar melanjutkan pelajaran di seberang laut.

·          Kuil-kuil akan dijadikan sekolah-sekolah.

b.         Kesihatan

Kemudahan kesihatan akan diadakan dengan mendirikan lebih banyak klinik dan hospital di seluruh China.

c.         Mubaligh akan diberi perlindungan oleh Kerajaan China.

d.         Usaha-usaha akan dijalankan bagi mencantikkan bandar-bandar.

e.         China akan mempunyai akhbar harian rasmi.

4.         Polis/Tentera

Perkhidmatan polis dan tenetra China akan disusun semula berdasarkan sistem ketenteraan dan polis Barat. Pegawai-pegawai polis dan tentera dari Barat ditugaskan untuk melatih polis dan tentera China. Selain itu, pegawai polis dan tentera China dihantar menjalani latihand di seberang laut.

 

Sebab kegagalan

1.         Tentangan/Tiada sokongan

a.         Masyarakat umum

Ahli-ahli sejarah Komunis China menegaskan Islah 1898 kerana gagal ialah tidak mendapat sokongan orang ramai. Paul H. Clyde dan Burton F. Beers dalam buku mereka “The Far East” menegaskan orang Cina tidak mempunyai fahaman yang jelas serta keinginan untuk melaksanakan rancangan pembaharuan. Mereka menentang Islah 1898 kerana dipengaruhi oleh sentimen anti asing. Islah 1898 berdasarkan idea Barat sedangkan majoriti rakyat China bersikap anti Barat. Mereka menganggap idea Barat terlalu asing bagi mereka. Mereka mendakwa tindakan meniru idea Barat sebagai satu langkah penghinaan yang boleh menjatuhkan maruah China serta menghancurkan Tamadun China. Majoriti orang China masih mengagungkan peradaban China.

b.         Orang Manchu

Orang Manchu di bawah Maharani Dowager Tsu Hsi menentang Islah kerana menganggap ianya hanya menguntungkan orang Cina dan bukannya orang Manchu. Malah terdapat di kalangan orang Manchu yang menganggap Islah 1898 sebagai suatu percubaan untuk menggulingkan Dinasti Manchu. Mereka merasa curiga kerana majoriti golongan reformis kecuali Maharaja Kuang Hsu terdiri daripada orang Cina yang memang diketahui bersikap anti Manchu. Mereka tidak bersetuju dengan tindakan melantik golongan reformis ke dalam perkhidmatan kerajaan. Sebagai contoh, Liang Chih Chao dilantik sebagai Setiausaha Biro Penterjemahan manakala Yang Jui, Kuang Ti, Lin Hsun dan Tao Ssu Tung dilantik sebagai Setiausaha di Grand Council. Orang Manchu juga menentang kerana bimbang kepentingan mereka akan terjejas lebih-lebih lagi mereka tidak memahami rancangan pembaharuan serta perlaksanaannya. Selain itu, rancangan pembaharuan bertentangan dengan amalan mereka terutamanya yang berkaitan dengan rasuah dan penyelewengan.

c.         Pegawai sarjana

Islah 1898 juga mendapat tentangan pegawai sarjana. Mereka yang dipengaruhi oleh fahaman Confucius menentang kerana sebab-sebab ideologi. Mereka menganggap rancangan pembaharuan seperti kerajaan berperlembagaan terlalu asing di kaca mata prinsip politik dan kesusilan China. Mereka juga menentang kerana bimbang kepentingan mereka akan terjejas lebih-lebih lagi kerana mereka tidak memahami rancangan pembaharuan serta perlaksanaannya. Penghapusan jawatan di jabatan yang tidak penting membimbangkan pegawai terhadap kedudukan mereka. Selain itu, cadangan-cadangan pembaharuan seperti penyusunan semula pentadbiran, anti korupsi dan sebagainya dianggap boleh menjejaskan kepentingan pegawai-pegawai.

d.         Pelajar

Pelajar-pelajar China juga menentang Islah 1898. Mereka menganggap sistem pelajaran Barat terlalu asing bagi mereka yang sudah biasa dengan sistem pelajaran China. Penghapusan sistem peperiksaan karangan bersudut lapan akan mensia-siakan usaha mereka selama ini.

e.         Golongan agama

Islah 1898 juga mendapat tentangan golongan agama. Mereka menganggap Kang Yu Wei terlalu radikal kerana beliau mendakwa Confucius sebagai reformis. Golongan agama juga tidak setuju dengan tindakan menjadikan kuil-kuil sebagai sekolah.

f.           Golongan reformis

Islah 1898 tidak mendapat sokongan yang menyeluruh dari golongan reformis. Walaupun mereka mempelopori Islah 1898, terdapat juga beberapa cadangan pembaharuan ditentang oleh reformis-reformis tertentu kerana menganggap ianya menjejaskan kepentingan mereka. Sebagai contoh, beberapa cadangan di dalam Islah 1898 ditentang oleh Weng Tung Ho dan Chan Po Chen.

2.         Terlalu was

Rancangan pembaharuan terlalu was merangkumi politik, ekonomi, sosial dan keteneraan. Dalam tempoh 11 Jun 1898 sehingga 21 September 1898, kira-kira 40-50 cadangan pembaharuan telah dikeluarkan. Cadangan pembaharuan dikeluarkan secara tergesa-gesa tanpa perancangan yang teliti. Selain itu, tidak ada koordinasi di antara cadangan dan perlaksanaannya.

3.         Kelemahan pemimpin

Wolfgang Franke dalam bukunya “A Century of Chinese Revolution 1851-1949” menegaskan kelemahan pemimpin merupakan faktor yang penting membawa kepada kegagalan Islah 1898. Reformis-reformis dikatakan tidak mempunyai ketajaman fikiran politik. Tindakan Kang Yu Wei menghasut Maharaja Kuang Hsu untuk menentang Maharani Dowager Tsu Hsi dianggap sebagai satu kesilapan. Beliau sepatutnya berusaha mencari jalan untuk mendapatkan sokongan Maharani bagi menjayakan Islah 1898 kerana dewasa itu Maharani amat berpengaruh dan mempunyai kekuatan tentera. Kang Yu Wei bukanlah seorang pemimpin yang praktikal. Beliau tidak mengkaji terlebih dahulu sama ada cadangan pembaharuan dapat dilaksanakan atau tidak. Beliau tidak menyedari perubahan yang radikal tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Maharaja Kuang Hsu pula merupakan seorang pemerintah yang lemah. Walaupun beliau menjadi Maharaja tetapi Maharani Dowager Tsu Hsi lebih berpengaruh. Maharaja Kuang Hsu tidak memahami masalah praktikal dalam perlaksanaan rancangan pembaharuan. Keneth Scott Latourette dalam bukunya “A History of Modern China” menegaskan Maharaja Kuang Hsu bukan sahaja tidak cekap tetapi juga tidak berpengalaman dan tidak mempunyai kekuatan peribadi bagi melaksanakan rancangan pembaharuan.

China tidak mempunyai ramai pemimpin yang berkebolehan dalam menjayakan Islah 1898. Majoriti pemimpin China yang brkebolehan dalam pembaharuan serta perlaksanaannya. Mereka menganggap idea Barat terlalu asing bagi mereka. Terdapat juga pemimpin China yang memahami tetapi tidak yakin ianya dapat dilaksanakan di negeri China. Golongan reformis dianggap tidak berpengalaman. Kang Yu Wei yang berumur 40 tahun dan Liang Chih Chao yang berumur 25 tahun dianggap terlalu mentah dalam pentadbiran. Mereka juga tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerana tidak pernah menjadi pegawai sebelumnya. Pngetahuan mereka mengenai idea Barat juga tidak kukuh kerana mereka tidak pernah mendapat pendidikan Barat secara formal atau melawat negeri Barat. Pengetahuan mereka mengenai Barat hanya diperolehi melalui buku dan pergaulan mereka dengan orang Barat di negeri China dari lawatan mereka ke negeri Jepun.

4.         Kelemahan ekonomi

Pada akhir abad ke-19, China mengalami kemelesetan ekonomi akibat peperangan dengan negeri Jepun, bayaran ganti rugi, bencana alam, kemasukan barang Barat dan sebagainya. Islah 1898 memerlukan perbelanjaan yang besar. Peruntukan yang terhad sudah tentu menjejaskan perlaksanaan rancangan pembaharuan tersebut.

5.         Kekuatan tentera

Dewasa itu, kekuatan tentera amat penting bagi menjayakan sesuatu rancangan. Golongan reformis tidak mempunyai kekuatan tentera. Tentera China di bawah Jung Lo dan Yuan Shih Kai memihak kepada Maharani Dowager Tsu Hsi untuk menentang rancanga pembaharuan.

6.         Penyelewengan

Walaupun pada mulanya Yuan Shih Kai, seorang panglima tentera memihak kepada Maharaja Kuang Hsu tetapi akibat hasutan, beliau telah berpaling tadah dan menyebelahi Maharani Dowager Tsu Hsi untuk menentang rancangan pembaharuan. Yuan Shih Kai yang diarahkan oleh Maharaja Kuang Hsu untuk membunuh pembantu kanan Maharani iaitu Jung Lo dan menangkap Maharani sebaliknya berpaling tadah untuk menyebelahi Maharani dan seterusnya menangkap Maharaja Kuang Hsu.

7.         Tidak mendapat sokongan Maharani

Golongan reformis gagal mendapat sokongan Maharani dalam melaksanakan rancangan pembaharuan. Sokongan Maharani penting bagi menjayakan Islah 1898 kerana beliau amat berpengaruh dan mempunyai kekuatan tentera. Maharani bukan sahaja tidak menyokong Islah tetapi sebaliknya mengambil langkah untuk menggagalkannya.

8.         Tidak mendapat sokongan Barat

Walaupun Islah 1898 berdasarkan idea Barat tetapi reformis tidak mendapat sokongan dan bantuan Barat dalam menjayakan rancangan pembaharuan. Perlaksanaan Islah 1898 bergantung sepenuhnya di atas budi bicara reformis-reformis.

9.         Tidak menyeluruh

Islah 1898 hanya dilaksanakan di wilayah-wilayah tertentu dan bukannya di seluruh China. Kebanyakan pemimpin wilayah hanya menerima cadangan-cadangan pembaharuan tetapi tidak melaksanakannya kecuali gabenor wilayah Hunan iaitu Chan Po Chen.

10.     Penangkapan Maharaja Kuang Hsu

Penangkpan Maharaja Kuang Hsu pada 21 September 1898 oleh Yuan Shih Kai atas arahan Maharani menjadi faktor menggagalkan Islah 1898. Maharaja Kuang Hsu telah dipaksa menyerahkan kuasa kepada Maharani. Maharaja Kuang Hsu juga dipaksa untuk mengisytiharkan penarikan balik sokongan baginda kepada reformis.

11.     Kehilangan reformis

Selepas 21 September 1898, Islah 1898 telah kehilangan ramai reformis kerana dipecat dari jawatan masing-masing, dibunuh atau melarikan diri. Chan Po Chen dan Weng Tung Ho telah dipecat dari jawatan mereka. Enam orang reformis telah dibunuh oleh Manchu iaitu Kang Kuan Jen, Tao Ssu Tung, Yau Shen Shin, Lin Shun, Yang Jui dan Kuang Ti. Maharaja Kuang Hsu dipenjara dan Kang Yu Wei dan Liang Chih Chao melarikan diri ke Jepun.

12.     Imperialisme Barat

Pada akhir abad ke-19, khususnya selepas kekalahan China di tangan Jepun dalam Perang China-Jepun 1894-1895, kuasa-kuasa Barat telah menekan China untuk mendapatkan keistimewaan. Mereka telah berlumba-lumba untuk mendapatkan konsesi di China sehingga ahli-ahli sejarah menganggap China sebagai tembikai masak yang dipotong dan dibahagikan sesama kuasa Barat dan Jepun. Sebagai contoh, Rusia menduduki Semenanjung Liaotung 1896, Jerman di Teluk Kiaochow 1897, British di Wei Hai Wei 1898, dan Perancis di Teluk Kwangchow 1898. Kuasa-kuasa Barat juga telah menuntut keistimewaan lain selain dari wilayah. Sebagai contoh, mereka telah mendesak China membenarkan mereka membina jalan keretapi di mana British meminta kebenaran membina jalan keretapi sejauh 2800 batu, Perancis 420 batu, Rusia 1530 batu dan Belgium 650 batu.

 

Kesimpulan

Kegagalan Islah 1898 menyebabkan kekuatan China tidak dapat dipulihkan dan China terus berada dalam kelemahan. Walaupun Maharani menentang Islah 1898 tetapi beberapa cadangan dalam pembaharuan tersebut telah dilaksanakan oleh Maharani. Sebagai contoh, penubuhan Universiti Imperial di Peking dan penubuhan sekolah dan maktab yang mengutamakan pelajaran Barat dan China. Islah 1898 telah melahirkan 2 golongan dalam masyarakat China iaitu golongan pro Manchu dan golongan anti Manchu. Golongan pro Manchu memperjuangkan slogan “Lindungi Manchu dan Usir Barat”. Kegiatan mereka telah membawa kepada berlakunya Pemberontakan Boxer 1898-1900. Manakala golongan anti Manchu membawa kepada kelahiran gerakan revolusioner di bawah Sun Yat Sen yang berjaya menggulingkan Dinasti Manchu dalam Revolusi Oktober 1911.

 

oleh SP Star

14/04/2002 15:49:46

Hosted by www.Geocities.ws

1