EMPAYAR HAN

 

Latar Belakang

Empayar Han diasaskan pada tahun 206 SM oleh Liu Pang. Empayar Han ini berlangsung sehingga 220 SM. Empayar Han ini boleh dibahagikan kepada 2 tahap iaitu Empayar Han Barat yang beribu kota di chang An (206 SM - 25 M) dan Empayar Han Timur yang beribu kota di Loyang (25-220). Empayar Han telah mencapai zaman kegemilangan semasa pemerintahan Maharaja Wu Ti. Pada zaman ini, Empayar Han meliputi Kansu, Asia Tengah, Manchuria, Korea Utara, Nan Yueh dan Pulau Hainan.

 

Ciri-ciri

Melaksanakan Dasar Perluasan Kuasa Wilayah

Pada zaman akhir Dinasti Chin, rakyat jelata tidak sanggup hidup di bawah pemerintahan Maharaja Chin yang zalim. Pada tahun 206 SM, mereka memberontak tetapi gagal. Usaha ini tidak bermakna sudah tamat tetapi diteruskan oleh Liu Pang. Dengan bekerjasama dengan kuasa pemberontak yang satu lagi, Dinasti Chin digulingkan pada tahun yang sama. Walau bagaimanapun, Liu Pang berasa tidak senang hati dengan kuasa tersebut kemudian melancarkan peperangan terhadapnya tetapi pada permulaannya gagal. Pada tahun 202 SM, baginda berjaya menewaskan kuasa tersebut dan memerintah seluruh negeri China. Maharaja Wu Ti menaiki takhta pada tahun 140 SM, baginda menerukan usaha perluasan kuasa. Dengan mengadakan hubungan diplomatik dengan negara di Asia Barat, pada tahun 121 SM, Han berjaya menewaskan orang nomad dan menawan kawasan Kansu. Seterusnya, negara-negara di Asia Tengah terus tunduk terhadap kekuasaan dan keagungan Empayar Han. Selain itu, baginda juga menawan Manchuria, Korea Utara, Annam, Nan Yueh dan Pulau Hainan sehinggalah mencapai kegemilangan.

 

Pemerintah yang Cekap

Maharaja Wu Ti merupakan antara pemerintah Empayar Han yang cekap. Baginda merupakan Maharaja ke-5. Baginda memerintah Empayar Han antara tahun 140 SM sehingga 87 SM. Semasa pemerintah baginda, Empayar Han telah mencapai kegemilangan dalam pelbagai aspek termasuk ketenteraan, ekonomi, kesusasteraan dan sebagainya. Dalam bidang ketenteraan, Empayar Han membentuk angkatan tentera yang kuat dan berjaya meluaskan wilayahnya sehingga ke Asia Tengah di sebelah Barat, Annam di sebelah Selatan, Korea Utara di selelah Timur dan Monggol di sebelah Utara. Dalam ekonomi, Empayar Han telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan dunia luar melalui jalan laut dan jalan darat sehingga mewujudkan "Jalan Sutera". Dalam bidang kesusasteraan, Sejarah China telah dihasilkan oleh Ssu-Machien dan Kamus Cina yang pertama telah dihasilkan pada tahun 100 M. Sistem perkamusan yang digunakan masih kekal sehingga hari ini.

 

Ekonomi yang Kukuh

Seperti empayar yang lain, Empayar Han mempunyai ekonomi yang kukuh. Empayar Han telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan Rom, India dan Parsi melalui jalan darat dan jalan laut. Jalan perdagangan darat ini merentasi Asia Tengah antara India dengan China dan ia lebih dikenali sebagai "Jalan Sutera". Seterusnya, jalan ini bukanlah sengaja diwujudkan tetapi adalah secara tidak langsung. Maharaja Wu Ti yang ingin menyerang orang nomad di Utara China berasa dia haruslah mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Asia Barat. Untuk berbuat demikian, dia harua mencari satu jalan untuk ke Asia Barat. Baginda mengarahkan Chang Qian untuk mencari jalan tersebut. Hasilnya, beliau berjaya mengadakan jalan tersebut dan orang nomad juga dapat ditewaskan walaupun negara Asia Barat ini tidak bersetuju untuk membantu Empayar Han kerana mereka sudah bosan dengan peperangan. Namun begitu, hubungan diplomatik telah dijalin. Penemuan jalan ini seterusnya digunakan oleh pedagang untuk berdagang dengan pedagang yang tinggal di sebelah Barat terutamanya Eropah. China telah mengeksport kain sutera, kain bulu, rhubarb dan kayu manis ke negara tersebut dan mengmport gelas, batu permata, mutiara, kain linen dan permaidani dari dunia luar. Hubungan perdagangan ini juga mewujudkan pertukaran kebudayaan yang kesannya dapat dilihat pada masa sekarang. Penemuan artifak yang berasal dari Yunani, Rom, Babylon dan Assyria telah membuktikan wujudnya hubungan perdagangan dengan dunia luar.

 

Angkatan Tentera yang Kuat

Empayar Han mempunyai angkatan tentera yang kuat. Hal ini dapat dibuktikan apabila Liu Pang yang hanya mempunyai 100 ribu orang tentera telah berjaya menewaskan kuasa pemberontak yang mempunyai 400 ribu orang tentera yang pernah bersama baginda menggulingkan Dinasti Chin. Selain itu, baginda juga telah berjaya mematahkan pemberontakan yang berlaku dalam negara yang melibatkan 6 orang bangsawan yang pernah berjasa terhadap negara. Empayar Han mempunyai angkatan tentera yang kuat juga dapat dibuktikan apabila ia berjaya mematahkan pencerobohan orang nomad di Utara China di mana orang nomad ini memang terkenal sebagai orang yang handal berperang. Dengan memiliki angkatan tentera yang kuat juga, Empayar Han dapat meluaskan wilayahnya sehingga banyak kerajaan kecil di Asia Tengah tunduk terhadap kehebatan dan keagungan Empayar Han.

 

Undang-undang yang Teratur

Pada mulanya, Liu Pang amat tidak mempersetujui ajaran Confucius yang mencadangkan pemerintahan secara teladan. Baginda telah bersetuju dengan fahaman legalisme yang menekankan pemerintahan secara undang-undang. Dengan itu, baginda mengarahkan Xiao He (Perdana Menteri masa itu) untuk menyusun semula undang-undang Dinasti Chin. Hasilnya, Xiao He telah menghasilkan undang-undang Han (Han Lui) yang mengadungi 9 bab. Undang-undang ini telah membantu kepada perkembangan ekonomi Empayar Han. Selain itu, terdapat juga undang-undang tentera yang membolehkan Maharaja menganugerahkan tanah dan bangunan kepada tentera yang memberikan sumbangan terhadap negara. Undang-undang juga menetapkan golongan hamba yang menjualkan diri disebabkan kelaparan dipulih menjadi petani. Terhadap saudagar pula, undang-undang melarang mereka berpakaian sutera, menaiki kereta atau kuda, membawa senjata dan menjadi menteri, malah mereka akan dikenakan cukai kepala yang berlipat ganda. Mereka juga dipaksa melepaskan hamba yang dibeli tanpa diberi ganjaran. Kewujudan undang-undang seperti ini telah memberi hentaman yang kuat terhadap orang yang mengagung-agungkan sistem perhambaan.

 

Pentadbiran yang Kemas/Sistematik

Seperti Empayar Chin, Empayar Han mengamalkan sistem pemusatan kuasa. Empayarnya dibahagikan kepada beberapa wilayah dan setiap wilayah mengandungi daerah. Semua pegawai yang mentadbir kawasan ini dilantik atau dilucutkan secara langsung oleh kerajaan pusat. Wilayah ini diketuai oleh Ketua Wilayah (Jiunn Shou) dan daerah diketuai oleh pegawai daerah (Xian Ling). Di kerajaan pusat, Maharaja dianggap sebagai ketua dan mempunyai kuasa mutlak. Di bawah baginda, terdapat 3 orang pegawai tertinggi iaitu Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal pentadbiran, Jeneral yang menguruskan hal ehwal ketenteraan dan Setiausaha Diraja yang bertanggungjawab mengawal perjalanan persidangan yang diadakan antara pegawai kerajaan dengan maharaja dalam istana. Selepas 3 orang pegawai tertinggi ini  terdapat 9 orang pegawai utama yang masing-masing mempunyai tanggungjawabnya. Sebagai contoh, menteri kewangan yang bertanggungjawab mengutip cukai, mengadakan akaun negara dan mengendalikan segala hal ehwal yang melibatkan wang; menteri perundangan bertanggungjawab mengawal keadilan dalam negara; menteri hal ehwal luar negeri dan kaum minoriti yang bertanggungjawab melaksanakan dasar hubungan luar kerajaan pusat dan menjaga kepentingan kaum minoriti. Di luar jentera pentadbiran kerajaan, terdapat golongan bangsawan yang dianugerahkan kawasan tadbiran oleh Maharaja Han. Mereka memerintah kawasan tersebut dengan melaksanakan arahan yang diberi oleh kerajaan pusat. Kuasa mereka adalah terhad. Penasihat dan Perdana Menteri beliau dilantik oleh kerajaan pusat. Selain itu, mereka tidak berkuasa mengarahkan angkatan tentera untuk membuat sesuatu tanpa kebenaran kerajaan pusat. Liu Pang juga memindahkan golongan bangsawan lama ke sekitar ibu kota Chang An bagi memudahkan kerja pengawalan terhadap mereka. Adalah perlu ditekankan bahawa pegawai kerajaan adalah dilantik melalui peperiksaan awam. Di sini mereka tidak dibenarkan meniru dan mereka akan membuat peperiksaannya dan seseorang yang mencapai kecemerlangan akan dilantik menjadi pegawai kerajaan.

 

Penduduk Pelbagai Ras

Oleh sebab Empayar Han ini meliputi kawasan yang luas, maka penduduknya terdiri daripada pelbagai ras. Yang utama ialah kaum Han (Cina) yang tinggal di bahagian Timur China; orang Monggol yang tinggal di Utara China; orang Manchu yag tinggal berdekatan dengan Korea. Selain itu, terdapat kaum-kaum minoriti yang lain yang tinggal di kawasan Selatan China. Keadaan Empayar Han yang terdiri daripada pelbagai ras juga dapat dilihat apabila Maharaja Han yang telah mewujudkan satu jawatan kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal yang meluaskan kepentingan kaum minoriti.

 

Wujudnya Hubungan antara Jajahan Taklukan

Selepas Dinasti Chin, Han meneruskan pemerintahan di negeri China. Jalan raya yang dibina semasa pemerintahan Shih Huang Ti dikekalkan dan masih digunakan. Kewujudan jalan raya telah memudahkan pemerintahan kerajaan pusat terhadap jajahan taklukan. Hubungan antara jajahan taklukan juga diwujudkan akibat pembinaan jalan raya ini dan telah meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan dan kebudayaan. Kewujudan hubungan ini adalah penting bagi mewujudkan satu keadaan yang aman dan stabil dalam empayar yang seterusnya akan membantu Empayar Han mencapai kegemilangannya.

Hosted by www.Geocities.ws

1