Gerakan Memperkuatkan Diri (GMD), 1861-1894

 

Pengenalan

Pada penghujung abad ke-19, terdapat kelemahan dalam pentadbiran Kerajaan Manchu. Buktinya, China begitu mudah dikalahkan oleh British dalam Perang Candu 1839-1842. Kerajaan Manchu juga tidak dapat memadamkan Pemberontakan Taiping kecuali selepas mendapat bantuan Barat. Kelemahan ini menyedarkan pemimpin-pemimpin China untuk melaksanakan satu rancangan bagi memoden dan menguatkan China. Akibatnya terlaksana rancangan pembaharuan yang dikenali sebagai Gerakan Memperkuatkan Diri (GMD) atau Restorasi Tong Chih. Sejak tahun 1861, pengasas GMD ialah Feng Kuei Fen, seorang sarjana dari Soo Chow. Beliau menegaskan kelemahan China berpunca daripada kejahilan terhadap dunia luar dan teknologi Barat. Beliau mencadangkan China memperolehi dan menggunakan ilmu-ilmu Barat bagi memodenkan dan menguatkan China. Pemimpin GMD terdiri daripada Feng Kuei Fen, Tseng Kao Fan, Tseng Kao Chuan, Li Hung Chang, Cheng Chih Tong, Putera Kung dan sebagainya.

 

Rancangan pembaharuan

Rancangan pembaharuan GMD merangkumi politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan.

1.         Politik

Sejak tahun 1861, China menamatkan dasar isolasi dan mengamalkan dasar buka pintu. Seterusnya China mengadakan hubungan dengan kuasa-kuasa Barat. Dalam usaha untuk menguruskan hubungan dengan kuasa-kuasa Barat, sebuah institusi yang dikenali sebagai Tsungli Yamen telah ditubuhkan pada 11 Mac 1861. Tsungli Yamen dikatakan diletakkan di bawah Grand Council/Majlis Tertinggi yang diketuai oleh Putera Kung dan bertindak sebagai pejabat hal-ehwal luar. Sejak tahun 1861, duta-duta asing mula ditempatkan di Peking. Antara mereka ialah Anson Burlingame (Amerika), Frederick Bruce (British), M. Buthemy (Perancis) dan De Balluseck (Rusia). Pada tahun 1866 dengan bantuan Robert Hart, satu perwakilan China yang diketuai oleh Pin Chun telah dihantar ke Eropah. Pada tahun 1868, dengan bantuan Anson Bulingame, satu perwakilan China yang diketuai oleh Chih Kong dan Sun Ku telah dihantar ke Amerika. Perwakilan ini kemudiannya melawat negara-negara Eropah seperti England, Perancis, Jerman, Holand, Sweden, Denmark, Rusia dan Sepanyol. Sejak tahun 1877, duta China mula ditempatkan di negara-negara asing. Menjelang tahun 1879, sudah terdapat duta China di England (1877), Jerman (1877), Perancis (1878), Amerika (1878), Rusia (1879) dan Sepanyol (1879). Bagi menjayakan GMD, China telah menggunakan khidmat pegawai Barat. Antara mereka ialah Robert Hart, W.A.P. Martin dan Horatio N. Lay. Kerajaan Manchu juga mula memberi peluang kepada orang-orang Cina untuk memegang jawatan-jawatan penting yang selama ini dikuasai oleh orang Manchu. Buktinya antara tahun 1861-1894, 34 orang Cina dilantik sebagai Gabenor Jeneral dan 104 orang sebagai Gabenor. Wanita juga diberi peluang menduduki peperiksaan dan dilantik sebagai pegawai sekiranya berkebolehan. Dalam menjayakan GMD, Kerajaan Manchu menggunakan khidmat golongan intelek Cina sedangkan sebelum ini golongan ini sentiasa dicurigai oleh Manchu.

2.         Ekonomi

Li Hung Chang menegaskan kelemahan China disebabkan oleh ekonomi. Begitu juga kekuatan Barat bukan kerana kekuatan tentera tetapi ialah ekonomi. Bagi memulihkan kekuatan China, kekuatan ekonomi perlu dipulihkan. Berdasarkan ini, beberapa program ekonomi telah dilaksanakan di bawah formula “Penyeliaan Kerajaan dan Pengelolaan Saudagar”. Di bawah formula ini, kegiatan ekonomi dijalankan oleh saudagar-saudagar dan diawasi oleh kerajaan.

a.         Pertanian

Program ekonomi GMD menitikberatkan sektor pertanian yang merupakan tulang belakang ekonomi tradisional China. Beberapa langkah untuk memajukan pertanian telah dijalankan. Kerajaan China melaksanakan pembahagian tanah kepada petani-petani miskin yang tidak mempunyai tanah. Orang-orang Cina digalakkan mengusahakan tanah terbiar akibat Pemberontakan Taiping. Cukai pertanian dikurangkan dan bantuan seperti benih dan baja diberikan. Lebih banyak tali air dibina untuk kepentingan pertanian. Rakyat Cina juga digalakkan membuka tanah baru untuk pertanian. Langkah-langkah yang dijalankan telah menambahkan kawasan tanaman dan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian.

b.         Perlombongan

Pada tahun 1876, Li Hung Chang telah membuka lombong arang batu di Kaiping dan Syarikat Perlombongan Kaiping telah ditubuhkan pada tahun 1883. Pada tahun 1890, Chang Chih Tung telah membuka lombong arang batu dan besi “Tayeh” di Han He Ping dalam wilayah Hupei.

c.         Perkilangan

Di bawah program ekonomi GMD, beberapa kilang telah didirikan. Pada tahun 1878, Tso Tsung Tang telah mendirikan kilang kain bulu di Luchow. Pada tahun 1878 juga, Li Hung Chang telah mendirikan kilang kain di Canton dan Shanghai. Chang Chih Tung telah mendirikan kilang kain di Wucang pada tahun 1891 dan sebuah lagi pada tahun 1894. Pada tahun 1891, Li Hung Chang mendirikan kilang kapas dan kertas di Shanghai dan kilang simen di Kaiping. Pada tahun 1890-an, kilang duit telah didirikan di Canton, Shanghai, Nanking dan Tientsin.

d.         Sistem perhubungan

Untuk kepentingan ekonomi, sistem perhubungan dan pengangkutan dimajukan. Pada tahun 1871, Imperial Telegraph Administration telah ditubuhkan untuk membina kabel telegraf menghubungkan bandar-bandar penting di China. Kabel telegraf yang pertama dibina pada 1881 untuk menghubungkan Shanghai dengan Tientsin. Dalam tempoh 2 dekad syarikat ini berjaya membina 22400 km kebel telegraf menghubungkan bandar-bandar penting China. Pada tahun 1872, Syarikat Perkapalan China yang pertama ditubuhkan dikenali sebagai China Merchants Steam Navigation Company. Tujuannya ialah untuk melibatkan diri dalam bidang pengangkuta dan memecahkan monopoli British dalam pengangkutan di China. Menjelang tahun 1877, syarikat ini berjaya membeli beberapa buah kapal daripada syarikat perkapalan Eropah yang terkenal iaitu Russels & Company. Pada tahun 1876, jalan keretapi yang pertama dibina untuk menghubungkan Shanghai dengan Wusung. Pada tahun 1888, dibina jalan keretapi yang menghubungkan Tientsin dengan Kaiping seterusnya jalan keretapi ini disambungkan ke Shanhaikuan dan ke pinggir Peking pada tahun 1896. Fairbank dalam bukunya “East Asia: Modern Transformation” menegaskan Kerajaan Manchu tidak menitikberatkan pembinaan jalan keretapi.

e.         Cukai

Dalam usaha untuk mengatasi masalah ekonomi, beberapa cukai diperkenalkan. Salah satu cukai yang penting ialah Cukai Larkin iaitu cukai yang dikenakan ke atas keluarga dan ke atas barang-barang yang belum dipasarkan. Cukai yang tinggi juga dikenakan ke atas perdagangan.

f.           Jabatan Kastam Laut

Disebabkan China mempunyai kawasan persisiran pantai yang luas dan pelabuhan yang banyak, maka Jabatan Kastam Laut telah ditubuhkan pada tahun 1862 bagi menguruskan kutipan cukai eksport dan import. Bagi menjayakan jabatan ini, China telah menggunakan khidmat pegawai Barat seperti Robert Hart dan Horatio N. Lay.

3.         Sosial

Dari segi sosial, China mula bertolak ansur mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan adat. Orang asing tidak dipaksa mematuhi adat Kowtou. Mereka diberi kebebasan untuk menghormati raja mengikut cara mereka sendiri. Langkah ini diambil kerana Maharaja Tung Chih menyedari masalah Kowtou yang menimbulkan keruncingan antara hubungan China dengan British.

Sistem pelajaran China disusun semula dengan kemasukan mata pelajaran Barat seperti sains, matematik, geografi dan sebagainya. Buku-buku dan guru-guru dibawa dari Barat. Sejak tahun 1872, pelajar China mula dihantar melanjutkan pelajaran ke seberang laut. Antara tahun 1872-1881, 30 orang dihantar ke seberang laut tiap-tiap tahun. Dalam tempoh tersebut, 120 orang dihantar ke Amerika dan pada tahun 1876, 30 orang dihantar ke British dan Perancis.

Kerajaan China juga mnenggunakan rakyatnya mempelajari bahasa asing untuk mengetahui hal ehwal luar. Untuk mencapai matlamat ini, beberapa maktab bahasa didirikan. Antaranya ialah Maktab Bahasa di Peking yang dikenali sebagai “Tung Wen Kuan” (1862), Shanghai (1863), Canton (1864) dan Foochow (1866). Sejak tahun 1866, kurikulum Maktab Bahasa telah disusun semula dengan memasukkan mata pelajaran lain selain dari bahasa. Sejak tahun 1866 juga, ditubuhkan maktab yang kemudiannya menjadi universiti seperti Universiti Che Foo dan Universiti Wu Chang.

Perkhidmatan pos dimulai pada tahun 1881 di bandar-bandar besar seperti Canton, Shanghai, Nanking dan Tientsin.

4.         Ketenteraan

Li Hung Chang menegaskan kelemahan tentera China berpunca daripada kekurangan latihan dan senjata moden. Bagi memulihkan kekuatan tentera China, beberapa program telah dilaksanakan. Pakar-pakar dan jurulatih-jurulatih tentera dari Barat telah diambil untuk melatih tentera China dan menyusun semula sistem ketenteraan China berdasarkan sistem ketenteraan Barat. Senjata-senjata juga diimport dari Barat. Sejak tahun 1872, pegawai-pegawai tentera telah dihantar menjalani latihan di Barat. Sebagai contoh, pada tahun 1876, pelatih-pelatih limbungan kapal Foochow telah dihantar menjalani latihan di Britain dan Perancis. Oleh sebab China mempunyai kawasan persisiran pantai yang luas, maka pertahanan laut amat penting bagi China. Pada tahun 1866, angkatan laut China yang pertama ditubuhkan dikenali sebagai Armada Foochow. Menjelang tahun 1883, terdapat 3 lagi angkatan laut iaitu Armada Nanyang 17 kapal, Armada Peiyang 15 kapal, dan Armada Hokkien 11 kapal. Untuk membina dan membaiki kapal angkatan laut, limbungan kapal telah didirikan di Foochow pada tahun 1866. Antara tahun 1867-1874, limbungan kapal ini berjaya menghasilkan 15 buah kapal angkatan laut China. Bagi melengkapkan tentera China dengan senjata-senjata moden, kilang senjata mula didirikan sejak tahun 1861. Antaranya ialah kilang senjata di Anking (1861), Shanghai (1862), Canton (1864), kiangnan (1865), Foo Chow (1866), Nanking (1867) dan Tientsin (1867). Kilang senjata terbesar dibina oleh Tseng Kao Fan dan Li Hung Chang pada tahun 1865. Kilang senjata tersebut mempunyai 32 bangunan dan mampu menghasilkan 454 kg serbuk letup sehari. Kilang senjata tersebut juga menghasilkan 8 buah kapal perang. Kilang senjata kedua terbesar dibina oleh Tso Tsung Tang di Foochow pada tahun 1866. Kubu China berdasarkan teknik Barat telah dibina di Taku dekat Tientsin pada tahun 1867. Bagi melatih tentera China, Maktab Tentera telah didirikan di Tientsin (1880), Whampao (1880) dan Nanking (1890).

 

Batasan-batasan

1.         Kekurangan tenaga mahir

Oleh sebab China kekurangan tenaga mahir mereka terpaksa bergantung kepada orang Barat bagi menjayakan GMD, lebih-lebih lagi rancangan pembaharuan tersebut berdasarkan idea Barat. Sekiranya hubungan antara China dengan kuasa-kuasa Barat berada dalam keadaan yang baik, China tidak menghadapi masalah untuk dapat bantuan Barat. Sebaliknya, jika perhubungan antara mereka runcing, sudah tentu menjejaskan perlaksanaan GMD. Sebagai contoh, pada tahun 1883, hubungan antara China dengan Perancis Runcing kerana masalah Annam. Akibatnya dalam pertempuran antara China dengan Perancis pada tahun 1883-1884, Armada Hokkien yang dilatih oleh Perancis telah dihancurkan oleh Perancis, kerana kekurangan tenaga mahir juga hasil-hasil keluaran China bermutu rendah. Contohnya kapal-kapal yang dihasilkan oleh limbungan kapal Foochow tidak setanding dengan kapal-kapal Barat atau Jepun.

2.         Pemimpin wilayah

Perlaksanaan rancangan pembaharuan GMD dianggap sebagai tanggungjawab pemimpin wilayah. Kerajaan pusat tidak mengambil inisiatif untuk merancang dan menyelaraskan perlaksanaan rancangan tersebut. Perlaksanaannya diserahkan kepada kebijaksanaan serta budi bicara pemimpin wilayah. Akibatnya, pemimpin wilayah melaksanakan rancangan itu tanpa arahan dan pimpinan kerajaan pusat. Selain itu, rancangan itu hanya dijalankan di wilayah-wilayah tertentu dan bukannya di seluruh China.

3.         Tiada kerjasama

Perlaksanaan rancangan pembaharuan juga dianggap sebagai tanggungjawab wilayah berkenaan dan tidak ada kena-mengena dengan wilayah-wilayah lain. Akibatnya tidak wujud kerjasama antara wilayah dalam perlaksanaan GMD. Malah setiap masalah yang timbul dianggap sebagai masalah wilayah berkenaan dan tidak akan dapat bantuan wilayah-wilayah lain. Sebagai contoh, pertempuran antara Armada Hokkien dengan Perancis pada tahun 1883-1884 dianggap sebagai masalah Armada Hokkien. Akibatnya, Armada Hokkien tidak dapat bantuan armada lain. Begitu juga dengan semasa pertempuran antara Armada Peiyang dengan Jepun pada tahun 1894-1895. Armada Peiyang tidak dapat bantuan armada lain.

4.         Tiada mendapat sokongan Kerajaan Manchu

Rancangan pembaharuan GMD tidak dapat sokongan yang menyeluruh daripada pegawai Manchu. Majoriti pegawai tidak memahami rancangan pembaharuan yang berdasarkan idea Barat yang hendak dilaksanakan di China. Terdapat juga pegawai yang memahami tetapi tidak yakin ianya dapat dilaksanakan di negeri China. Pegawai-pegawai Manchu masih lagi dikongkong oleh adat resam tradisional dan ajaran Confucius. Mereka bukan sahaja tidak memahami rancangan pembaharuan, tetapi juga tidak menghargainya, mereka bukan sahaja tidak cekap tetapi juga korup. Usaha-usaha untuk melaksanakan rancangan itu tidak dititikberatkan kerana mereka masih mengutamakan kepentingan peribadi.

5.         Tentangan golongan konservatif

Rancangan pembaharuan telah dapat tentangan golongan konservatif daripada orang-orang Manchu terutama selepas hilangnya pengaruh Putera Kung sejak tahun 1875. Golongan Konservatif di bawah Maharani Dowager Tzu Hsi amat berpengaruh sejak tahun 1875. Mereka menentang GMD kerana menganggap rancangan itu hanya menguntungkan orang Cina dan bukannya orang Manchu. Kebimbangan mereka bertambah kerana majoriti golongan reformis terdiri daripada orang Cina kecuali Putera Kung. Mereka juga mendakwa rancangan pembaharuan bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Manchu. Selain itu, mereka menganggap tindakan meniru idea Barat boleh menjatuhkan maruah serta menhancurkan Tamadun China. Mereka telah mempengaruhi orang ramai supaya menentang rancangan itu contohnya mereka telah mempengaruhi ibu bapa supaya tidak menghantar anak ke seberang laut kerana bimbangkan pengaruh Barat terutamanya agama Kristian. Akibatnya usaha menghantar pelajar China ke seberang laut terjejas selepas tahun 1881.

6.         Kelemahan Kerajaan Manchu

Kelemahan Kerajaan Manchu juga mengakibatkan kegagalan GMD. Kerajaan Manchu gagal melahirkan pemimpin yang berkebolehan, cekap dan dinamik dalam melaksanakan rancangan pembaharuan. Kerajaan Manchu tidak merancang dan menyelaraskan perlaksanaan rancangan itu. Tanggungjawab melaksanakan rancangan pembaharuan diserahkan kepada pemimpin-pemimpin wilayah. Kerajaan Manchu hanya berminat untuk meniru sains dan teknologi Barat bagi memodenkan negeri China. Mereka tidak berminat untuk mengadakan perubahan yang radikal atau menyusun semula masyarakat serta institusi China. Kegagalan menggunakan nilai-nilai dan institusi Barat juga menggagalkan GMD. Paul A. Conen dalam bukunya “Ching China: Confrontation with the West 1850-1900” menegaskan kegagalan GMD berpunca daripada “refusal of Chinese reformers to see the relevance of modernization to what their eyes were essentially traditional problems.”

7.         Penyelewengan

Sejak golongan konservatif berpengaruh dalam istana Manchu, pelbagai penyelewengan telah berlaku dalam perlaksanaan GMD. Peruntukan telah disalahgunakan untuk kepentingan lain. Sebagai contoh, peruntukan untuk memodenkan angkatan laut telah digunakan oleh Maharani Dowager untuk membina semula “Istana Musim Panas” yang musnah semasa Perang Arrow 1856-1860. Penyelewengan yang berlaku sudah tentu menjejaskan perlaksanaan GMD.

8.         Peruntukan

GMD memerlukan peruntukan yang banyak. Dewasa itu, China menghadapi masalah ekonomi akibat perbelanjaan peperangan, bayaran ganti rugi, pemberontakan, bencana alam dan sebagainya. Kekurangan peruntukan telah menjejaskan perlaksanaan GMD.

9.         Imperialisme asing

Kemasukan Barat dan Jepun telah menjejaskan perlaksanaan GMD. China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menghadapi perbelanjaan perang dan bayaran ganti rugi. Kemasukan asing juga menyebabkan China tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam melaksanakan GMD. Syarat-syarat perjanjian yang berat sebelah telah menyebabkan industri tempatan tidak dapat dilindungi daripada saingan asing. Akibatnya banyak industri tempatan terpaksa ditutup. Dasar imperialisme asing juga menjejaskan lagi perlaksanaan GMD. Pada tahun 1874, Jepun menyerang dan menguasai Formosa (Taiwan). Pada tahun 1881, Rusia menguasai Ili di Sinkiang. Pada tahun 1884, Perancis menduduki Annam. Pada tahun 1895, Jepun menduduki Korea. Peperangan China-Jepun 1894-1895 menandakan akhirnya rancangan pembaharuan GMD.

 

oleh SP Star

23/03/2002 16:41:20

Hosted by www.Geocities.ws

1