CIRI-CIRI EMPAYAR

 

Melaksanakan Dasar Perluasan Kuasa Wilayah

Empayar Maurya di bawah pemerintahan Chandra Gupta telah meluaskan kuasanya sehingga merangkumi seluruh India Utara hingga ke Dataran Deccan dan di Baratnya hingga ke Saurashtra dan di Timurnya ke Mysore Utara. Empayar Han di China meluaskan empayarnya hingga ke Kansu, Asia Tengah, Manchuria, Korea Utara, Annam dan Pulau Hainan. Empayar Yunani pula telah meluaskan jajahannya hingga ke Mesir, Syria, Palestin dan Phoenicia. Empayar Rom berjaya meluaskan kawasannya hingga meliputi 3 buah benua, iaitu benua Asia, Eropah, dan Afrika. Empayar Melaka berjaya meluaskan kawasannya hingga ke beberapa negeri di tanah Melayu dan Sumatera.

 

Pemerintah yang Cekap

Di India, terdapat Chandra Gupta, Bindusara dan Asoka. Di China, terdapat Shih Huang Ti dan Wu Ti. Di Yunani, terdapat Iskandar Zulkarnain. Di Rom pula, Augustus dan Julius Caesar merupakan pemerintah yang cekap. Sultan Iskandar Syah dan Sultan Alauddin Riayat Syah merupakan pemerintah bagi Empayar Melaka, makala Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam merupakan pemerintah yang cekap bagi Acheh.

 

Kedudukan Ekonomi yang Kukuh

India menggalakkan kegiatan pertanian dan perdagangan. Perdagangan dijalankan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Sistem percukaian yang teratur diwujudkan bagi mengatasi bencana alam seperti banjir dan kemarau. Di Rom pula, perdagangan bebas antara Laut Hitam dan Sepanyol amat menggalakkan. Perdagangan luar juga diadakan dengan Afrika, Rusia, Jerman, Asia Kecil dan lain-lain. Infrastruktur telah dibina di Rom termasuk jalan raya bagi meningkatkan kegiatan perdagangan. Bidang industri dan pertanian juga digalakkan. Melaka pula menjadi pelabuhan entreport yang terkenal pada abad ke-15 M. Begitu juga dengan Acheh, pada abad ke-16 dan ke-17 M.

 

Angkatan Tentera yang Kuat

Empayar Rom di bawah pemerintahan Augustus telah mengambil beribu-ribu tentera untuk mempertahankan negara daripada serangan musuh. Tenteranya dianggarkan berjumlah kira-kira 400 ribu orang. Mereka diletakkan di kawasan yang strategik. Empayar Srivijaya pula mempunyai pasukan tentera yang kuat sehingga berjaya menguasai 3 laluan laut kegugusan pulau-pulau Melayu iaitu Selat Melaka dan Selat Sunda. Pasukan tenteranya berjumlah kira-kira 20,000 orang.

 

Undang-undang yang Teratur

Rom membahagikan undang-undangnya kepada 3, iaitu undang-undang sivil untuk semua warganegaranya, undang-undang rakyat untuk rakyat tanpa mengira kewarganegaraan dan "natural law" (undang-undang yang menegaskan bahawa semua adalah sama dari segi undang-undang dan kerajaan tidak berkuasa untuk menindas). Di Melaka, terdapat undang-undang adat Kesultanan Melaka yang terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Di India pula, Asoka mengenakan hukuman yang keras seperti hukuman mati ke atas orang yang melakukan kesalahan tertentu. Acheh pula memiliki Kanun Mahkota Alam.

 

Pentadbiran yang Kemas/Sistematik

Di India, sistem pentadbirannya begitu cekap dan teratur. Kerajaannya mempunyai 2 komponen yang penting iaitu raja dan menteri. Raja menjadi pemerintah yang berkuasa mutlak manakala menteri akan membantu raja dalam pemerintahan. Empayarnya dibahagikan kepada beberapa provinsi dan ditadbir oleh Wizurai. Beberapa jabatan diwujudkan seperti kewangan, percukaian, pertanian, polis dan kehakiman. Majapahit pula memperkenalkan sistem pentadbiran yang cekap dan teratur di bawah pemerintahan Hayam Wuruk. Majapahit juga memperkenalkan sistem pungutan cukai yang teratur dan adil.

 

Penduduk Pelbagai Ras

Di bawah Empayar Rom, Eropah telah disatukan di bawah satu pemerintahan walaupun penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa. Di Alam Melayu, di bawah Empayar Melaka dan Acheh, penduduk di negeri-negeri di Tanah Melayu dan negeri-negeri di Sumatera telah diletakkan di bawah satu pentadbiran. Walaupun mereka terdiri daripada satu rumpun bangsa, tetapi mereka mengamalkan kebudayaan yang berbeza.

 

Wujudnya Hubungan di antara Jajahan Takluk

Biasanya, hubungan baik akan wujud di kalangan negeri-negeri yang ditakluk sama ada hubungan politik atau ekonomi. Melalui perhubungan ini, kegiatan perdagangan di antara negeri-negeri tersebut telah wujud. Contohnya, hubungan perdagangan antara negeri-negeri Melayu dan Sumatera telah wujud dengan adanya hubungan politik. Mereka akan saling bantu-membantu, misalnya Empayar Acheh turut membantu Melaka bagi menghadapi ancaman Kristian.

 

Empayar Chin | Empayar Han | Empayar Maurya | Empayar Srivijaya | Empayar Graeco-Roman | Empayar Melaka | Empayar Acheh | Empayar Majapahit | Empayar Rom | Empayar Yunani | Empayar Sargon | Empayar Babylon | Empayar Chaldea

 

[Main]

Hosted by www.Geocities.ws
GridHoster Web Hosting
1