EMPAYAR CHIN

 

Latar Belakang

Kerajaan Chin ini pada asalnya merupakan sebuah wilayah Dinasti Chou yang terletak di kawasan tengah Shensi dan kawasan Timur Kansu. Ia dipercayai diasaskan sebalum tahun 770 SM. Pada permulaannya, kawasan ini merupakan sebuah kawasan pedalaman yang agak mundur tetapi selepas pembaharuan yang dilakukan oleh Shangyang, Kerajaan Chin ini mula berkembang dan menawan ibu kota Kerajaan Chou pada 256 SM. Pada tahun 230 SM - 221 SM, raja Chin menyerang dan menawan kerajaan-kerajaan kecil yang lain dan membentuk Empayar Chin. Empayar Chin ini akhirnya mengalami keruntuhan pada tahun 206 SM disebabkan pemerintah Maharaja Chin yang zalim.

 

Ciri-ciri

Melaksanakan Dasar Perluasan Kuasa Wilayah

Pada awalnya, Kerajaan Chin ini bertempat di kawasan yang agak terpencil di kawasan tengah Shensi dan kawasan Timur Kansu. Pada masa ini, Kerajaan Chin merupakan kerajaan yang mundur sekali di antara kerajaan-kerajaan lain di China. Pada tahun 361 SM, raja Chin membuat keputusan untuk memperkuatkan negara dan memperluaskan wilayahnya memandangkan kerajaan jirannya masing-masing begitu giat melaksanakan dasar perluasan kuasa. Baginda melantik Shangyang yang berfahaman legalisme sebagai Perdana Menteri untuk melaksanakan dasar memperkuatkan negara. Pada tahun 359 SM, Shangyang mula memperkenalkan dasar kerajaan yang baru, begitu juga pada tahun 350 SM. Beliau berjaya melaksanakan dasarnya walaupun mendapat tentangan yang kuat daripada golongan konservatif. Kerajaan Chin terus berkembang menjadi sebuah kerajaan yang kuat. Pada masa ini, Kerajaan Chin mulai memperluaskan wilayahnya. Pada tahun 256 SM, Kerajaan Chin menyerang ibu kota Dinasti Chou dan menawan kota tersebut. Pada masa yang sama, tindakan Chin ini ditentang kuat oleh bangsawan yang lain kerana raja Chou dianggap sebagai ketua mereka. Raja Chin pun mengambil tindakan untuk menghapuskan negeri-negeri yang menentangnya. Pada tahun 246 SM, Ying Zheng (kemudian memakai gelaran Shih Huang Ti) menaiki takhta. Pada masa itu, Chin telah mencapai kegemilangan dalam pelbagai bidang dan merupakan kerajaan yang paling kuat. Baginda melantik Li Shi untuk membentuk dasar kerajaan baru untuk menjadi perintis bagi menyerang keenam-enam kerajaan yang lain selepas kerajaan kecil telah disatukan. Mulai tahun 230 SM, Kerajaan Chin telah menawan Kerajaan Han yang terletak di tengah Honan dan Tenggara Shensi. Seterusnya, pada tahun 226 SM, Kerajaan Ch'i yang terletak di Utara Shantung dan Tenggara Hopeh telah ditakluk. Pada tahun 225 SM, Kerajaan Wei yang terletak di Utara Honan, Timur Shensi, Barat Daya Shansi dan Selatan Hopeh dikalahkan. Pada tahun yang seterusnya, iaitu 223 SM, Chin menyerang dan menawan Kerajaan Chu yang terletak di Hupeh dan Utara Hunan. Kerajaan Yen yang terletak di Utara Hopeh dan Selatan Liao Ning dan Kerajaan Chao yang terletak di Shansi dan Barat Hopeh ditawan oleh Chin pada tahun 222 SM. Pada masa ini, Empayar Chin pun terbentuk. Negeri China yang telah berpecah belah selama 800 tahun telah disatukan dan baginda memakai gelaran Shih Huang Ti.

 

Pemerintah yang Cekap

Shih Huang Ti merupakan seorang pemerintah yang cekap walaupun baginda zalim. Baginda menaiki takhta pada tahun 240 SM. Baginda merupakan Maharaja China yang pertama yang berjaya menyatukan negara China yang pada masa itu berada dalam keadaan yang berpecah belah sehingga pada tahun 221 SM, Empayar Chin dibentuk. Baginda juga merupakan orang yang pertama menggunakan gelaran Maharaja. Mengikut baginda, pemerintahan sesebuah negara haruslah bercorak autokratik iaitu berdasarkan unsur-unsur legalisme yang percaya bahawa rakyat mesti diperintah dengan tegas. Baginda juga menekankan pemerintahan berpusat, iaitu meletakkan semua kuasa negara di bawah kerajaan pusat dan menghapuskan sistem feudal. Oleh itu, baginda membakar buku-buku Confucius yang menentang dasar dan pemerintahannya. Selain itu, baginda juga mengebumikan 460 orang yang berfahaman Confucius di ibu kota Sien Yang. Bagi mengelakkan serangan orang nomad, baginda mengarahkan pembinaan Tembok Besar China. Baginda juga berjaya mewujudkan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan mengalami perkembangan ekonomi dan kebudayaan yang pesat. Baginda menyatukan sistem kewangan, ukuran dan bahasa yang digunakan dalam negara. Pada tahun 210 SM, baginda mangkat. Kemangkatannya menyebabkan negara China mengalami kemerosotan yang drastik dan digulingkan oleh pemberontak pada tahun 206 SM.

 

Kedudukan Ekonomi yang Kukuh

Empayar Chin lebih mementingkan aktiviti pertanian daripada aktiviti perdagangan. Antara tahun 219 SM - 211 SM, Shih Huang Ti telah memindahkan lebih daripada 100 ribu orang penduduk ke kawasan Utara China untuk mengusahakan tanah terbiar. Jumlah penduduk di sana pada asalnya amat sikti dan keadaannya juga mundur, tetapi dengan kehadiran mereka telag merangsangkan perkembangan bidang ekonomi yang pesat. Baginda juga mengambil langkah untuk menghapuskan sistem kewangan yang digunakan oleh kerajaan lama dan digantikan dengan sistem yang berasaskan amalan orang Chin. Selain itu, sistem ukuran yang diubahsuai dan disatukan di seluruh Empayar. Kesemuanya ini telah membantu perkembangan ekonomi. Jalan raya dibina di sekitar empayarnya bagi memudahkan pemerintahan dan kewujudannya merangsangkan lagi perkembangan ekonomi dalam negara.

 

Angkatan Tentera yang Kuat

Empayar Chin mempunyai angkatan tentera yang kuat. Hal ini dapat dibuktikan apabila Chin hanya menggunakan masa yang singkat untuk menyatukan negeri China yang berpecah belah sejak 230 SM, iaitu lebih kurang 8 tahun. Selain itu, serangan orang nomad juga dapat dipatahkan oleh tentera Chin. Empayar Chin juga dapat mengekalkan keamanan dan stabiliti dalam empayarnya dan ini adalah hasil daripada memiliki angkatan tentera yang kuat di mana semua pemberontakan dapat dihapuskan dengan senang.

 

Undang-undang yang Teratur

Pemerintahan yang diamalkan oleh Empayar Chin adalah bercorak autokratik, iaitu rakyat mesti diperintah dengan tegas dan mutlak. Undang-undang yang ketat telah diperkenalkan oleh Han Fei Tsu, seorang pendukung falsafah legalisme. Beliau berpendapat bahawa pemerintah yang berteraskan undang-undang lebih baik daripada pemerintahan melalui teladan. Mengikut beliau lagi, manusia hanya dapat dikawal melalui kekerasan dan undang-undang yang kuat. Undang-undang ini lebih memihak terhadap tuan tanah dan ini telah menyebabkan rakyat yang terdiri daripada golongan petani memberontak selepas Shih Huang Ti mangkat. Walau bagaimanapun, undang-undang ini berjaya mengekalkan keamanan dan stabiliti Empayar Chin sebelum Shih Huang Ti mangkat.

 

Pentadbiran yang Kemas/Sistematik

Shih Huang Ti menjalankan pemerintahan berpusat iaitu meletakkan semua kusa negeri di bawah kerajaan pusat. Baginda membahagikan empayarnya kepada 36 wilayah yang dikenali sebagai "Jiunn". Di bawah wilayah ini, terdapat daerah. Semua wilayah dan daerah ini ditadbir secara langsung oleh kerajaan pusat dan kerajaan pusat sahaja yang berkuasa melantik atau melucutkan pegawai yang memerintah kawasan ini. Di dalam kerajaan pusat pula, baginda melantik 3 orang pegawai tertinggi dan selepasnya ialah 9 orang pegawai utama. Terdapat juga pegawai-pegawai yang lain selepasnya. Dasar pemerintahan ini ditentang kuat oleh golongan konservatif yang menyokong pemerintahan secara sistem feudal dan mengugut akan berlaku pemberontakan. Shih Huang Ti pun mengambl tindakan memindahkan semua golongan konservatif ini dari seluruh wilayahnya dan dikumpulkan di ibu kota untuk menyenangkan pengawalan terhadap mereka. Bilangannya adalah seramai 120 ribu orang. Baginda melarang mereka memiliki senjata. Bagi memudahkan lagi pemerintahan, sistem kewangan, ukuran dan bahasa juga disusun semula. Sistem yang baru adalah berasaskan sistem yang diamalkan oleh Chin selama ini.

 

Wujudnya Hubungan antara Jajahan

Setelah Shih Huang Ti menyatukan negeri China yang berpecah-belah, baginda telah membahagikan empayarnya kepada 36 wilayah. Bagi menyenangkan pemerintahan berpusat, baginda mengarahkan pembinaan jalan raja dalam empayar dan ini telah mewujudkan hubungan antara jajahan takluk dengan jajahan takluk dan antara jajahan takluk dengan kerajaan pusat. Jalan raya ini dibina bermula dari Sien Yang berhala ke Timur sehingga ke kawasan Hopeh, Liao Ning dan Shantung; ke Selatan pula sehingga ke Chekiang dan Kiangsi. Lebar jalan raya ini adalah 50 kaki dan ia dibina dengan sebaik-baiknya. Selain itu, pembukaan sistem saliran juga memudahkan lagi hubungan antara jajahan takluk dengan jajahan takluk dan jajagan takluk dengan kerajaan pusat. Hubungan yang wujud adalah bersifat ketenteraan, perdagangan dan kebudayaan.

Hosted by www.Geocities.ws

1