Pemberontakan Boxer

 

Pengenalan

Boxer merupakan gabungan kongsi gelap seperti White Lotus Society, Big Sword Society, Eight Diagrams dan lain-lain. Pada mulanya, Boxer dikenali sebagai I Ho Tuan yang bermaksud Pertubuhan Keadilan dan Keharmonian. Kemudian Boxer dikenali pula sebagai I Ho Chuan yang bermaksud Tinju Keadilan dan Keharmonian. Boxer dipercayai wujud pada akhir abad ke-18 atau awal abad ke-19 iaitu semasa pemerintahan Maharaja Chia Ching (1796-1820). Pada peringkat awal, penubuhan Boxer bersikap anti-Manchu dan anti asing. Slogan perjuangan mereka ialah “Gulingkan Manchu dan Usir Orang Asing”. Pada tahun 1890-an, sikap mereka berubah menjadi pro-Manchu dan anti asing. Slogan mereka juga bertukar menjadi “Lindungi Manchu dan Usir Orang Asing”. Perubahan ini berlaku kerana mereka diyakinkan segala masalah yang berlaku di China bukan kerana Manchu tetapi akibat dari kehadiran asing. Pemberontakan Boxer yang berlaku pada tahun 1900 dipimpin oleh Chu Hung Teng bertujuan mengusir orang asing dari negeri China.

 

Sebab-sebab

1.         Anti asing

Sejak awal lagi, orang-orang Cina memang bersikap anti asing lebih-lebih lagi mereka diyakinkan segala masalah yang berlaku di China berpunca dari kedatangan orang asing. Perasaan anti asing di kalangan orang Cina bertambah semasa perkembangan pengaruh Maharani Dowager Tzu Hsi pada akhir abad ke-19. Pencerobohan Barat sejak Perang Candu 1839-1842 bukan sahaja menjejaskan kedaulatan China tetapi juga menjatuhkan maruah China. Akibatnya, timbul keinginan di kalangan orang Cina untuk membalas dendam dan memulihkan kebanggaan nasional China. Perasaan anti asing juga bertambah akibat dari perkembangan imperialisme asing pada tahun 1890-an terutamanya selepas kekalahan China dalam Perang China-Jepun 1894-1895. Kerajaan China juga tidak bersetuju dengan tindakan orang asing melindungi pelarian-pelarian China yang dikehendaki oleh Kerajaan Manchu. Sebagai contoh, British telah membantu Kung Yu Wei dan Liang Chih Chao melarikan diri ke Hong Kong dan kemudiannya mendapat perlindungan di Jepun. Tindakan Jepun membenarkan penerbitan Chiang I Pao yang diharamkan oleh China telah menambahkan lagi kemarahan China. Untuk kepentingan China maka orang-orang asing perlu diusir dari negeri China.

2.         Kemasukan asing

Kemasukan orang asing telah membebankan negeri China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik berlaku ketidakcekapan dalam pentadbiran serta amalan rasuah dan penyelewengan kerana pegawai kerajaan menjadi penagih candu yang dibawa oleh orang-orang asing terutamanya British. Kemasukan asing juga menyebabkan China terpaksa menghadapi peperangan-peperangan dan pemberontakan seperti Perang Candu (1839-1842), Perang Arrow (1856-1860), Perang China-Jepun (1894-1895), Pembeorntakan Taiping (1851-1864), Pemberontakan Nien (1853-1868), Pemberontakan Muslim (1855-1873) dan Pemberontakan Tungan (1862-1878). Selain dari itu, China telah kehilangan beberapa wilayah kepada kuasa-kuasa asing. Di antara wilayah tersebut ialah Hong Kong, Kowloon, Kepulauan Pescadores, Semenanjung Liaotung, Farmosa dan lain-lain lagi.

Dari segi ekonomi, kemasukan orang asing telah menjejaskan ekonomi China. Banyak wangChina mengalir keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu telah melebihi nilai eksport barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu membebankan ekonomi China. Kemasukan asing juga menyebabkan China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi menghadapi peperangan-peperangan dan pemberontakan-pemberontakan seperti Perang Candu (1839-1842), Perang Arrow (1856-1860), Pemberontakan Taiping (1851-1864) dan lain-lain. Selain itu, China terpaksa membayar ganti rugi selepas menerima kekalahan dalam tiap-tiap peperangan. Sebagai contoh, ganti rugi Perang Candu sebanyak 21 juta taels, Perang Arrow sebanyak 20 juta taels dan dalam Perang China-Jepun sebanyak 200 juta taels. Pembukaan negeri China kepada orang-orang asing telah menyebabkan ekonomi China dikuasai oleh orang asing. Pembukaan pelabuhan-pelabuhan China telah menyebabkan kemasukan pengusaha-pengusaha dan barang asing yang menjadi saingan kepada barang-barang China. Barang-barang asing lebih diminati kerana harganya murah. Keadaan ini menyebabkan pasaran China dikuasai oleh barang-barang asing. Akibatnya banyak perusahaan tempatan terpaksa ditutup menyebabkan berlakunya pengangguran. Pengenalan sistem pengangkutan moden telah menjejaskan mata pencarian mereka yang bergantung kepada sistem pengangkutan kuno. Perkembangan perdagangan asing di China amat merugikan negeri China. Sebagai contoh, pada tahun 1899, China mengalami kerugian sebanyak 69 juta taels dalam perdagangan asing. Masalah ekonomi yang dihadapi menyebabkan kerajaan memperkenalkan cukai-cukai baru dan cukai-cukai tambahan. Langkah ini sudah tentu membebankan ekonomi orang-orang China. Kemerosotan taraf hidup telah menyebabkan petani-petani, penganggur-penganggur dan kongsi gelap-kongsi gelap menyertai Boxer untuk mengusir orang-orang asing dari negeri China.

Dari segi sosial, kemasukan Barat telah membawa kepada kemasukan pengaruh Barat. Orang-orang Cina terutamanya golongan muda terpengaruh dengan unsur-unsur Barat menyebabkan mereka meninggalkan adat resam tradisional. Kemasukan candu telah menimbulkan masalah kesihatan dan keruntuhan akhlak di kalangan orang-orang Cina.

Kemasukan Barat telah membawa kepada kemasukan agama Kristian. Orang-orang Cina tidak bersetuju dengan tindakan mubaligh-mubaligh mengkristiankan orang-orang Cina. Selepas Perjanjian Peking 1860, mubaligh-mubaligh bukan sahaja diberi kebebasan menyebarkan agama Kristian tetapi boleh membeli tanah untuk tujuan agama seperti mendirikan gereja, sekolah dan lain-lain. Perkembangan agama Kristian pada tahun 1890-an dianggap sebagai satu penghinaan terhadap kepercayaan dan falsafah China. Tindakan orang-orang Cina terhadap Kristian juga menimbulkan kemarahan orang-orang Cina lain. Mereka dianggap sombong dan telah mengasingkan diri dari orang-orang Cina yang lain. Orang-orang Cina Kristian menganggap taraf mereka lebih tinggi dari orang-orang Cina yang lain. Mereka tidak lagi membiayai perayaan-perayaan orang Cina serta memulaukannya. Tindakan ini sudah tentu membebankan orang-orang Cina yang lain. Tindakan mubaligh-mubaligh juga menimbulkan kemarahan orang-orang Cina. Mubaligh-mubaligh sentiasa menyebelahi orang-orang Cina Kristian dalam perselisihan di antara orang-orang Cina Kristian dengan orang-orang Cina bukan Kristian. Mubaligh-mubaligh juga lebih mengutamakan orang-orang Cina Kristian dalam kegiatan mereka. Selain itu, terdapat kepercayaan bahawa mubaligh-mubaligh melakukan amalan-amalan ganjil serta tidak berperikemanusiaan seperti mencungkil mata kanak-kanak. Akibatnya, orang Cina menganggap agama Kristian sebagai unsur yang memecahbelahkan orang-orang Cina. Untuk menyatupadukan orang-orang Cina, agama Kristian dan orang-orang Barat perlu diusir dari negeri China.

3.         Sokongan Maharani

Menurut Wolfgang Frankie dalam bukunya “A Century of Chinese Revolution 1851-1949” sokongan Maharani Dowager Tzu Hsi merupakan faktor penting menyebabkan berlakunya Pemberontakan Boxer 1900. Maharani yang memang bersikap anti asing bercita-cita untuk mengusir orang asing dari negeri China bagi memulihkan Kerajaan Manchu. Sokongan Maharani menyebabkan anggota-anggota Boxer berani menentang orang-orang asing. Pada akhir abad ke-19, berlaku pelbagai masalah di negeri China dan Maharani menyedari Kerajaan Manchu tidak mampu untuk menyelesaikannya. Untuk mengalihkan perhatian orang Cina supaya tidak menyalahkan Kerajaan Manchu, Maharani menjalankan kegiatan menanam perasaan anti asing di kalangan orang-orang Cina.

4.         Bencana alam

Pada akhir abad ke-19 terutamanya pada tahun 1890-an berlaku pelbagai bencana alam di negeri China. Sebagai contoh, kemarau panjang berlaku di sekitar Sungai Yangtze dan di beberapa wilayah Utara. Pada 1898, banjir besar berlaku di sekitar Hwang Ho. Pada tahun yang sama, kebuluran berlaku di Shantung. Orang-orang China mendakwa bencana alam berlaku akibat dari kemarahan dewa khususnya dewa tanah. Tindakan Barat meneroka tanah telah memusnahkan tempat kediaman dewa dan seterusnya menimbulkan kemarahan dewa. Untuk mengelakkan kemarahan dewa supaya tidak menurunkan bencana alam maka orang-orang Barat perlu dihalang dari meneroka tanah. Untuk menjamin orang-orang asing tidak meneroka tanah, mereka perlu diusir dari negeri China.

5.         Imperialisme asing

Pada akhir abad ke-19 khususnya selepas kekalahan China dalam Perang China-Jepun 1894-1895, kuasa-kuasa Barat telah menekan China untuk mendapatkan wilayah keistimewaan. Mereka telah berlumba untuk mendapat konsesi di China sehingga ahli-ahli Sejarah menganggap China sebagai tembikai masak yang dipotong dan dibahagikan sesama kuasa Barat dan Jepun. Sebagai contoh, Russia menduduki Semenanjung Liaotung 1896, Jerman menduduki Teluk Kiaochow di Shantung 1897, British menduduki Wei Hai Wei 1898 dan Perancis menduduki Teluk Kwangchow 1898. Kuasa-kuasa Barat juga telah menuntut keistimewaan-keistimewaan lain selain dari mendapatkan wilayah. Sebagai contoh, mereka telah mendesak China membenarkan mereka membina jalan keretapi di China. British telah meminta kebenaran membina jalan keretapi sejauh 2800 batu, Perancis 420 batu, Russia 1530 batu dan Belgium 650 batu. Untuk menghalang imperialisme asing, kuasa-kuasa asing perlu diusir dari negeri China.

6.         Kelemahan China

Kelemahan China ternyata pada akhir abad ke-19 sama ada dalam pentadbiran atau ketenteraan. Dalam pentadbiran berlaku amalan rasuah, penyelewengan serta ketidakcekapan. Kelemahan dalam tentera terbukti bila China dikalahkan oleh British dalam Perang Candu (1839-1842) dan Perang Arrow (1856-1860). China juga tidak dapat memadamkan Perang Taiping (1851-1864) kecuali selepas mendapat bantuan Barat. Kelemahan China lebih terbukti apabila dikalahkan oleh Jepun dalam Perang China-Jepun 1894-1895. Kelemahan ini menyedarkan orang Cina untuk bangun membantu Manchu dan menganggap ianya sebagai tanggungjawab mereka untuk memulihkan negeri China dengan mengusir orang-orang asing.

7.         Anti Manchu

Pemberontakan Boxer juga meletus kerana adanya perasaan anti Manchu di kalangan anggota Boxer. Pada mulanya mereka bersikap anti Manchu dan anti asing, di mana slogan perjuangan mereka ialah “Gulingkan Manchu dan Usir Orang Asing”. Hanya pada tahun 1890-an, sikap mereka berubah menjadi pro Manchu dan anti asing di mana slogan mereka bertukar menjadi “Lindungi Manchu dan Usir Orang Asing” bila mereka diyakinkan segala masalah yang berlaku di China bukan kerana Manchu tetapi akibat kedatangan orang asing.

8.         Sokongan pegawai

Boxer bukan sahaja mendapat sokongan Maharani tetapi juga dari pegawai-pegawai Kerajaan Manchu. Sebagai contoh, Gabenor Shantung Li Ping Heng dan kemudiannya Yu Hsien menyokong Pemberontakan Boxer. Akibat dari sokongan mereka, Pemberontakan Boxer bermula di Shantung. Selain dari itu, Boxer juga mendapat sokongan pegawai-pegawai seperti Putera Tuan, Putera Chuan, Kang I dan Yu Lu.

9.         Kongsi gelap

Pemberontakan Boxer juga berlaku kerana Boxer mendapat sokongan dari kongsi gelap-kongsi gelap seperti White Lotus Society, Big Sword Society, Eight Diagrams dan sebagainya. Kongsi gelap-kongsi gelap menyertai gabungan Boxer yang dikenali sebagai I Ho Tuan dan kemudiannya I Ho Chuan.

 

Peristiwa kebangkitan

Pemberontakan Boxer bermula pada tahun 1898 di Shangtung di mana mereka telah menyerang orang-orang Cina Kristian. Pada tahun 1899, anggota Boxer menyerang orang-orang Cina Kristian dan orang-orang asing di Shantung, Chihli, Shansi dan Manchuria. Mereka telah memusnahkan gereja-gereja dan jalan keretapi. Pada Mei 1900, Boxer telah membunuh 68 orang Cina Kristian dan membakar 75 buah rumah mereka. Walau bagaimanapun, ahli-ahli Sejarah China mendakwa kebangkitan Boxer yang sebenar berlaku pada pertengahan 1900. Pada 14 Jun 1900, anggota-anggota Boxer tiba di Peking dalam usaha untuk mengusir orang-orang asing dari negeri China. Pada 19 Jun 1900, Maharani secara langsung menyatakan sokongannya kepada Boxer. Pada tarikh tersebut, baginda mengarahkan orang-orang asing keluar dari Peking. Keengganan orang asing menyebabkan Maharani mengisytiharkan peperangan pada 21 Jun 1900. Mereka telah berjaya mengepung pejabat perwakilan asing tetapi gagal menawannya. Walau bagaimanapun, mereka berjaya membunuh duta Jerman iaitu Von Ketterler dan pegawai kedutaan Jepun iaitu Sugiyama. Pada 15 Ogos 1900, 19000 tentera asing terdiri daripada Amerika, British, Jepun, Itali, Belgium, Perancis, Russian dan Austria telah menyerang dan menawan Peking. Maharani Dowager Tzu Hsi melarikan diri ke Sian dan membawa Maharaja Kwang Hsu sebagai tebusan. Satu rundingan telah diadakan di antara China yang diwakili oleh Li Hung Chang dan Putera Kung dengan ketua perwakilan asing. Hasil dari rundingan tersebut Protokol Boxer telah ditandatangani pada 7 September 1901.

 

Syarat-syarat Protokol Boxer

1.         China akan menghantar utusan ke Jepun dan Jerman untuk memohon maaf secara rasmi dari Kerajaan Jepun dan Kerajaan Jerman kerana kematian Sugiyama dan Von Ketterler.

2.         Mereka yang terlibat dalam pemberontakan akan dihukum dan yang terlibat secara langsung dalam pembunuhan akan dihukum bunuh.

3.         Peperiksaan di bandar-bandar berlakunya pemberontakan digantung selama 5 tahun.

4.         China akan membayar ganti rugi sebanyak 450 juta taels yang perlu diselesaikan dalam tempoh 40 tahun.

5.         China dilarang mengimport atau membuat senjata selama 2 tahun.

6.         China bersetuju untuk mengkaji semula perjanjian yang telah ditandatangani dengan kuasa-kuasa asing.

7.         Kuasa asing dibenar menempatkan pegawai bagi menjaga keselamatan pejabat kedutaan masing-masing di Peking.

8.         Kuasa-kuasa asing akan mendapat keistimewaan tambahan seperti pajakan dan kawasan tambahan.

9.         Kuasa-kuasa asing boleh menduduki tempat-tempat strategik bagi menjamin keselamatan hubungan antara kedutaan di Peking dengan laut.

10.     Kuasa-kuasa asing boleh menduduki tempat-tempat strategik di sepanjang jalan keretapi terutamanya di kawasan pantai.

11.     Kubu China di Taku dan kubu-kubu lain antara Peking dengan laut mesti dimusnahkan.

12.     Tugu mesti didirikan di tempat orang-orang asing terbunuh.

13.     Pejabat Hal Ehwal Luar atau Tsungli Tamen ditukar menjadi Kementerian Luar.

 

Kesimpulan

Pemberontakan Boxer mempengaruhi masa depan politik China. Ianya telah mempercepatkan keruntuhan Dinasti Manchu dan wujudnya sebuah republik. Kegagalan Pemberontakan Boxer mengakibatkan kemerosotan maruah serta kewangan Kerajaan China. Manakala kedudukan orang-orang asing di China semakin kukuh akibat daripada Protokol Boxer. Kegagalan Pemberontakan Boxer juga telah memperhebatkan gerakan anti Manchu sehingga membawa kepada perkembangan gerakan revolusioner di bawah Sun Yat Sen yang berjaya menggulingkan Dinasti Manchu melalui Revolusi 1911.

 

oleh SP Star

11/11/2001 17:11:32

Hosted by www.Geocities.ws

1