EMPAYAR BABYLON

 

Latar Belakang

Lebih kurang dalam tahun 2200 SM, orang Amorite telah menghilir Sungai Eupharates dan menetap di sekeliling Kampung Babylon. Lama-kelamaan, kekuasaan mereka bertambah dan membentuk satu empayar yang besar. Kerajaan ini telah mencapai kegemilangan pada zaman pemerintahan Hammurabi. Selepas kemangkatan baginda, kerajaannya merosot dan akhirnya diserang oleh Kerajaan Assyria pada tahun 1250 SM.

 

Ciri-ciri

Melaksanakan Dasar Peluasan Kuasa

Lebih kurang dalam tahun 2200 SM, orang Amorites telah datang ke Sungai Eupharates dan menetap di sekeliling Kampung Babylon. Lama-kelamaan, kekuasaan mereka bertambah. Raja mereka yang bernama Hammurabi telah berazam hendak menyerang kota-kota yang berjiran dan menubuhkan sebuah empayar yang kuat seperti yang ditubuhkan oleh Sargon. Baginda memulakan serangan terhadap kota-kota di sebelah Selatan. Mereka berperang secara beransur-ansur setiap kota yang ditakluknya didirikan kubu yang dikawal oleh angkatan tentera. Sehingga akhirnya, baginda berjaya menubuhkan empayar yang luas.

 

Pemerintah yang Cekap

Hammurabi merupakan pemerintah Dinasti Babylon yang agung dalam keadaan aman dari zaman peperangan. Baginda sangat mengambil berat tentang pemeliharaan kambing biri-biri dan penanaman jagung yang telah lama menjadi pekerjaan utama bagi rakyatnya. Baginda membina satu terusan yang luas, menyusun semula sistem pengairan dan memperbaiki pengurusan sistem itu. Raja ini terkenal, terutama sekali kerana kanun undang-undngnya yang dipanggil Kod Hammurabi. Babylon telah menjadi masyhur, indah dan kuat dalam zaman pemerintahannya iaitu dari 1709 SM - 1669 SM. Selepas kemangkatan baginda, Dinasti Babylon mulai merosot.

 

Ekonomi yang Kukuh

Sebahagian besar daripada hasil negerinya ialah hasil pertanian. Selain menanam jagung dan memelihara kambing, mereka juga menanam pohon-pohon khurma. Buahnya selain dimakan sebagai buah-buahan, dijadikan juga kuih, manisan dan cuka. Bijinya dijadikan arang ataupun digunakan sebagai bahan makanan lembu. Pokok-pokok lain ditebang dan kayunya digunakan untuk membuat jambatan manakala pucuknya dibuat ulam. Semasa musim memetik hasil pertanian, hamba abdi dan kanak-kanak akan diupah oleh tuan tanah untuk bekerja di ladang. Rumah berhala dijadikan pusat perniagaan dan pusat agama negeri. Dalam bangunan ini juga dijalankan urusan-urusan bank. Mereka tidak menggunakan mata wang tetapi mereka menggunakan ketul-ketul perak yang dinilaikan mengikut beratnya. Emas juga digunakan tetapi sangat berkurangan. Bunga yang ditetapkan bagi pinjaman ialah 20% dan semua cukai kerajaan dibayar ke rumah berhala.

 

Undang-undang yang Teratur

Hammurabi telah mengumpul dan menyusun semula undang-undang lama negerinya serta meluluskan undang-undangnya sendiri. Kanun undang-undang yang diperkenalkan oleh baginda dikenali sebagai Kod Hammurabi. Baginda telah menulis undang-undangnya pada kepingan-kepingan batu besar supaya rakyat berpeluang membaca dan memahami undang-undangnya. Dalam Kod Hammurabi, terdapat 280 undang-undang atau hukuman yang meliputi semua aspek kehidupan. Prinsip utama undang-undang ini ialah hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Kod ini menjanjikan keadilan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira taraf kedudukannya. Menerusi kod ini, terdapat satu sistem kehakiman yang merangkumi mahkamah majistret, mahkamah hakim dan mahkamah rayuan. Undang-undang dalam kod ini berkaitan dengan banyak perkara seperti jenayah, perniagaan, perkahwinan, hutang dan sebagainya. Selain itu, kod ini juga menetapkan bayaran bagi semua jenis pekerjaan.

Hosted by www.Geocities.ws

1