CNI terus berbakti

SESUNGGUHNYA, naluri kemanusiaan insan di bumi bertuah Malaysia masih tersentak melihat penderitaan dan kesengsaraan yang masih ditanggung oleh rakyat Bosnia dan Herzegovina.

Perang paling buruk dalam sejarah Eropah itu masih meruntun simpati masyarakat Malaysia dalam memberi bantuan kepada mangsa peperangan.

Membuktikan keprihatinan, syarikat jualan langsung Creative Network International (CNI) melalui Yayasan CNI baru-baru ini telah menyumbang RM10,000 untuk rakyat Bosnia dan Herzegovina.

Presiden Yayasan CNI, Chuah Tek Lan berkata, sumbangan itu bukan sekadar memaparkan keprihatin Yayasan CNI terhadap kesusahan rakyat Bosnia.

Malah, katanya, ia juga membuktikan dasar konsisten negara dalam membantu rakyat bekas republik Yugoslavia itu.

``Walaupun sumbangan ini kecil berbanding bantuan-bantuan yang dihulurkan oleh agensi lain, namun ia amat bermakna untuk meringankan masalah dan kesengsaraan mangsa perang Bosnia,'' katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyerahan cek sempena Majlis Kecemerlangan CNI, di Stadium Putra Bukit Jalil, baru-baru ini.

Pada majlis yang turut dihadiri kira-kira 8,000 ahli CNI itu, Chuah telah menyampaikan cek kepada Duta Bosnia dan Herzegovina ke Malaysia, Dr. Othman Music.

Sementara itu, pada majlis yang sama, CNI telah melantik penyanyi Nora yang baru-baru ini meraih kejayaan Album Pop Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001 melalui album Kirana sebagai `Duta Life Enzym'.

Pengarah Pemasaran CNI, Liu Tian Ji memberitahu, pemilihan Nora atau nama sebenarnya, Wan Nora Afiza Ariffin dibuat berdasarkan keyakinan penyanyi itu sendiri terhadap produk Life Enzym.

``Nora telah menjadi pelanggan setia produk CNI malah baru-baru ini beliau telah membuat keputusan menyertai kami sebagai pengedar,'' katanya.

Katanya, pelantikan Nora sebagai jurucakap produk Life Enzym bertitik tolak daripada kesungguhan penyanyi yang juga merupakan ibu kepada dua cahaya mata itu mengamalkan produk berkenaan.

Nora yang sedang popular dengan lagunya Menyemai Cinta Bersamamu ketika ditanya Keluarga mengakui hal itu.

Akui Nora, beliau mengamalkan produk Life Enzym untuk menjaga kesihatan di samping membantunya menurunkan berat badan.

``Life Enzym bertindak membuang toksik dalam badan dan keupayaan produk ini dalam meningkatkan metabolisme ternyata membantu usaha saya untuk kurus,'' jelasnya.

Menjawab satu soalan, Nora berkata, beliau gembira menerima tawaran CNI itu dan yakin mampu melaksanakannya kerana kesungguhannya mengamalkan produk berkenaan.

Petikan dari © UTUSAN MELAYU (M)  keluaran 27/06/2001

Hosted by www.Geocities.ws

1