Nasib Taib sungguh malang, bak pepatah sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas bekerja sebagai pegawai keselamatan selama lima tahun, akhirnya dia dibuang kerja kerana syarikatnya itu akan ditutup. Saat isterinya sedang sarat mengandung anak keenam mereka, bala ini menimpa keluarga Taib. Kehidupan mereka sungguh susah. Kelima-lima anak mereka semuanya kecil-kecil belaka. Yang tua berumur 12 tahun sehingga yang berumur lapan tahun tidak dapat melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah kerana keadaan mereka yang cukup daif. Hanya titin anak Taib yang keempat yang berumur 7 tahun mampu disekolahkan. Yang kecil pula, ninin, berumur empat tahun masih menyusu.
Isteri Taib, Eton, tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga anak-anak mereka yang sebesar bilangan sepasukan bola itu. Taib pula sukar untuk mendapat pekerjaan memandangkan kelulusan yang diperolehinya hanya setakat darjah satu.
“Itulah bang, dulu mak abang suruh abang sekolah, abang cabut pergi buat kerja tak berfaedah. Sekarang siapa susah? Eton dan anak-anak jugak yang susah. Sekarang abang dah kena buang kerja, abang nak kerja sebagai apa lagi dengan setakat darjah satu punya kelulusan?” Eton mengeluh
“Alah Eton, nanti pandai-pandai lah abang cari kerja. Mesti ada punya, jadi pembersih jamban pun tak apa lah,” Jawab Taib sambil mengaru kepalanya.
Memang sekarang sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Maklumlah dalam keadaan kemelesatan ekonomi, semua orang terjejas. Tapi Taib tidak mampu menganggur memandangkan anak-anak mereka harus diberi makan. Bayi dalam kandungan itu pula pasti memerlukan kos rawatan hospital bila bersalin kelak. Selama seminggu berturut-turut Taib mengelilingi kota untuk mencari pekerjaan malangnya habuk pun tak ada. Duit tambang bas dah banyak digunakan tapi satu pekerjaan pun masih belum dapat. Anak-anak perlu disuap.
Pada suatu hari, Taib diberitahu bahawa seorang pembantu pembersihan diperlukan di sebuah hotel. Dengan tidak berlengah lagi, Taib terus pergi ke hotel itu untuk memohon pekerjaan. Sesampainya dia di sana, Taib dihampakan kerana jawatan itu memerlukan seorang yang dapat berkomunikasi dalam bahasa cina. Beberapa tempat yang Taib mohon pekerjaan, kebanyakan inginkan mereka yang berbahasa cina. Si Taib pula hanya tau berbahasa melayu dan sedikit sahaja bahasa Inggeris. Apabila Taib diberi pekerjaan sebagai pembersih blok bersama-sama dengan pekerja-pekerja bangla, isterinya pula cerewet. Dia tidak mahu suaminya membuat pekerjaan yang kotor itu.
“Eton ni cerewetlah. Sekarang kita perlu cari makan. Kalau Eton cerewet macam gini macam mana abang nak dapat kerja?” Taib mengeluh.
“Ialah kalau nak cari kerja pun carilah yang mulia sikit. Sekurang-kurangnya kalau pembersih pun biar baik sikit. Ini tidak kerja pembersih bawah blok. Eeee. Eton tak sanggup. Tak sanggup. Nanti orang kata Eton bini pengutip sampah.” Eton tetap menegakkan egonya. Tak padan dengan perut yang membuyungnya itu.
“Baiklah Ton, untuk sementara ini abang akan cuba cari kerja part time. Duit dalam bank Eton gunakan lah pandai-pandai untuk makan anak-anak. Dah, abang nak keluar cari kerja.”
“Apalah nasib aku. Dapat bini cerewet. Kerja pulak semua tak kena. Nak cina konon huh! Melayu ni kurang bagus ke? Ah aku tak peduli apa juga kerja senonoh ke tak senonoh ke aku akan buat jugak. Bini aku tak kasi ke kasi ke aku tak peduli. Ini tak boleh jadi. Sampai bila aku nak jadi ginik. Lama-lama anak aku boncit angin. Kerja angkat taik unta ke taik gajah ke aku tak kisah lah,” Taib mengeluh panjang.
“Eh Taib! Kau buat apa kat sini termenung aje? Tak kerja ke?” tegur seorang sahabat Taib yang kebetulan lalu dihadapannya.
“Oh Bidin! Hai, aku tgh bingung nie. Kau tau kan aku kena buang kerja. Sampai sekarang aku belum dapat satu kerja pun. Aku tengah buntu. Kau ada kerja tak? Kerja angkat taik pun tak pe lah.” Jawab Taib selamba.
“Hahaha. Macam-macam kau. Wah teruk betul keadaan kau? Kau kata apa kau nak kerja angkat taik? Aku syorkan kau kerja dalam sarkas angkatkan taik gajah ke taik harimau ke,” gurau Bidin.
“Merepek lah kau aku tengah susah ni kau mainkan aku pulak.”
“Ok lah aku kasi kau lagi satu cadangan, cuba kau cari kerja di luar negeri. Banyak kawan aku pergi luar negeri jadi pekerja kontrak di sana? Eh aku nak pergi dulu lah. Lambat aku nanti ke masjid.”
Taib sambung bertenung. Taib terbayang-bayang kata-kata Bidin. Mungkin ada betulnya kata Bidin. Kalau kerja kontrak pun jadi lah. Mungkin di luar negeri tuhan bukakan rezekinya.
“Emm. Betul jugak kata Bidin. Aku akan cuba tanya si Eton. Kalau dia tak kasi pun aku boleh kelentong dia. Manalah tahu nanti di sana aku jadi orang kaya. Kaya! Kaya!,” Taib tersenyum lebar dengan ideanya yang menarik itu lalu menuju pulang ke rumahnya untuk memberitahu Eton rancangannya itu.
*******************
“Ah bang baru balik? Dah dapat kerja ke belum?” Eton menyambut suaminya pulang.
“Belum, tapi Ton, abang ada satu idea. Abang nak cari kerja di luar negeri. Mungkin cari kerja di luar negeri tak sesusah di sini.”
“Apa? Luar negeri? Tak nak Eton tak nak. Siapa nak jaga Eton. Abis tu nanti kalau Eton beranak siapa nak jaga Eton?” Eton membangkang keras.
“Nanti kalau dapat kerja abang hantar lah duit bulan bulan. Kalau di sana abang tak dapat kerja jugak, abang akan balik. Tapi abang akan cuba dapatkan kerja. Jangan takut Eton, jika kita rajin dan berusaha pasti Tuhan akan menolong kita. Kalau Eton izinkan abang berangkat esok.” Taib cuma memujuk isterinya yang degil itu.
“Abang nak pergi negeri mana?” Eton sudah mula bimbang.
“Entahlah abang pergi ke mana abang dapat pergi.”
“Abang jangan melencong tau.”
*****************
“Welcome to Singapore”
Sesampainya dia di negeri asing itu, dia berjalan selama sejam kehulur ke hilir mencari pekerjaan sehinggalah dia terjumpa dengan sebuah kemah yang besar. Taib terus teringatkan kata-kata Kassin temannya di kampung tentang bekerja di Sarkas. Wah tidak sangka Taib nasibnya sungguh baik, sampai saja di Kota Singa itu, rezeki sudah mendatang.
“Saya mahu cari kerja ada kerja tak di sini,” Taib menanyakan salah seorang perkerja sarkas yang sedang melatih seekor singa.
“Lu tanya itu olang yang ada misai itu yang dodok di kelusi itu. Lu tanya dia ada keja kosong tak.” Jawab pekerja itu dengan pelatnya.
“Terima kasih ah apek.”
Taib terus menuju ke tempat orang berkenaan dan bertanyakan soalan yang sama. Tapi malangnya ditolak bulat bulat oleh apek misai itu.
“Tolonglah saya, angkat itu taik gajah pun gua boleh punya. Asalkan lu kasi gua kerja. Tolong lah apek. Tolong lah.” Taib merayu.
“Lu mau angkat taik? Lu jangan merepek lah. Sudah lah lu cari kerja tempat lain sini tak ada kerja kosong.”
Puas Taib merayu. Naik menyampah tengok apek bermisai itu. Sungguh sombong. Taib sedih kerana tidak diterima kerja di sana. Tempat begitu besar takkan tak perlu pekerja yang banyak? Taib tidak faham keadaan boss sarkas itu. Mungkin memang tidak ada kerja kosong untuk Taib. Taib terus berjalan keluar tetapi dihalang oleh boss sarkas itu.
“Apa Boss mau? Boss kata tak ada kerja untuk saya kan?” Taib betul betul geram pada saat itu.
“Baru saya teringat, saya ada kerja untuk awak. Kerja ini gaji cukup lumayan. Lu mau tau tak, ini sarkas sangat terkenal dengan pertunjukkan gorilla dan orang ramai suka tengok itu gorilla. Tapi masalahnya gua punya gorilla sakit. Tak boleh buat show lah tak boleh tunjuk orang dia punya muka. Saya banyak susah. Tapi awak pasti boleh tolong kan?”
“Tolong buat apa?”
“Lu jadi Gorilla lah. Tapi lu pakai topen gorilla, act macam gorillalah.”
“Apa??? Jadi gorilla? Awak ingat saya apa? Muka saya macam binatang ke? Sudahlah boss. Kerja bodoh. Gua tak mau jadi gorilla. Gua manusia bukan gorilla.” Taib mengamuk bila diberi kerja itu.
“Relak relak brader. Gua kasi lu gaji lumayan punya, satu hari gua kasi lima puluh dolar. Kalau tak cukup gua kasi lu satu latus dollar.”
Untuk pendekkan cerita, Taib pun menerima pekerjaan itu. Taib bekerja dengan bersungguh-sungguh. Kini, ramai pengunjung gemar dengan Gorilla baru itu. Sarkas itu menjadi begitu terkenal dengan pertunjukkan gorillanya yang sungguh menakjubkan. Gorilla itu pandai menari, melompat, memanjat dan lain lain lagi. Ialah gorilla manusia apa apa pun boleh dibuat.
Taib menghantar wang setiap bulan ke rumahnya di kampung. Eton pula bahagia dengan nasibnya sekarang. Sedikit sebanyak kehidupan mereka sudah meningkat. Makan minum anaknya semua dapat ditanggung dengan baik. Perkerjaan Taib memerlukan Taib pergi ke seluruh dunia untuk buat pertunjukkan jadi Taib sukar untuk pulang ke kampunya tapi Taib tetap tidak lupa menghantar wang untuk keluarganya.
Pada suatu hari itu, sarkas itu membuat pertunjukkan di Kampung Taib. Taib rindu sungguh dengan keluarganya dan ingin pulang sebentar untuk berjumpa dengan isteri dan anak-anak tersayang. Tetapi bossnya tidak membenarkannya kerana pertunjukkan gorilla tidak boleh ditangguh. Ini akan menjejas sarkas itu jika “Gorilla” terkenal tidak ada di dalam sarkas. Taib sedih dan kecewa. Rindunya terhadap keluarganya sangat kuat. Sehinggakan Taib tidak dapat buat kerjanya dengan penuh konsentrasi.
Pada suatu saat, sedang Taib membuat pertunjukkan bersama Singa, Taib hilang kawalan dan dia terjatuh ke dalam Sangkar Singa. Apa lagi, Taib pun menjerit sekuat-kuatnya meminta tolong. Taib melalak, menjerit dan mengapai-ngapai untuk cuba melarikan diri dari menjadi mangsa Singa. Penonton semuanya heran mendengar suara Gorilla sedang menjerit-jerit. Wah sungguh menakjubkan “Gorilla” sarkas ini. Si Singa pula menujuk ke arah Gorilla dengan wajahnya yang bengis. Taib menepis dan menendang Singa itu. Tiba-tiba Singa itu bersuara,
“Oi jgn menjerit lah bodoh. Aku pun manusia macam kau. Nanti pecah tembelang kita.”
Taib terus pengsan.
January 2002 Berita Harian