|
"Kisah Lucu"
Penulis adalah
seorang warga Malaysia yang dikenal sebagai Akimahen
It was a long, long, long time ago.
Tersebutlah kisah di sebuah negeri bernama Al-K'tiak Masham. Kisah mengenai
dua orang pahlawan. Dua orang sahabat. Hang Jawad dan Hang Abat.
Kedua-dua pahlawan ini berasal dari kampung yang sama iaitu Kampung Sekuning
Langsat. Mereka berkawan semenjak dari kecil lagi. Kemana sahaja mereka
pergi, mereka pasti bersama. Dari kecil hinggalah dewasa, tak pernah
berpisah, sentiasa bersama. Ke sungai, mandi telanjang bersama. Ke hutan,
melastik burung bersama. Ke dusun orang, mencuri buah-buahan bersama.
Sehinggalah ke Gunung Ledang menuntut ilmu silat bersama, dari Guru yang
sama.
Walaupun lahir dari keluarga yang berbeza, terlalu banyak persamaan di
antara mereka. Selain memiliki paras rupa yang hampir sama, tarikh lahir
juga sama. Warna kegemaran, makanan kegemaran sehinggalah brand seluar dalam
yang dipakai, semuanya sama. Cuma ada dua perkara sahaja yang tidak sama.
Pertama, Hang Jawad adalah peminat Manchester United, manakala Hang Abat
pula adalah peminat setia Club Liverpool. Perbezaan kedua pula ialah
karakter mereka. Hang Jawad adalah lebih degil, keras kepala dan panas baran.
Manakala Hang Abat pula, selalu lebih banyak mengalah jika berlaku
perselisihan.
Kekuatan dan kehebatan mereka memang telah terserlah sejak dari zaman TADIKA
lagi. Kewujudan mereka telah banyak membawa perubahan dan kemakmuran di
Kampung Sekuning Langsat. Kampung itu yang dahulunya dekenali sebagai 'black
area', tempat bersarangnya segala Lanun, Mafia dan Yakuza, kini telah
menjadi aman. Kesemua malaun itu telah dimusnahkan oleh Hang Jawad dan Hang
Abat.
Berita mengenai kehebatan mereka sampai ke pengetahuan Raja Aki, raja negera
Al-K'tiak Masham. Tanpa melalui sebarang ujian dan temuduga, Raja Aki telah
melantik mereka berdua sebagai Pahlawan Negara, merangkap pengawal peribadi
beliau.
Untuk dijadikan cerita, Raja Aki ini mempunyai seorang anak yang sungguh
cantik dan seksi. Setelah lama menjeling dan memandang, maka Hang Jawad dan
Hang Abat telah terpikat dan jatuh cinta pada Puteri Britney ini.
"Wahai sahabatku Abat....." Suatu hari, Hang Jawad memulakan bicara.
"Ya... sahabatku Jawad. Ada apa? Selain dari bab meminjam wang, katakanlah,
apa sahaja. Aku sedia mendengar dan aku sedia membantu." Balas Hang Abat.
"Bukan wang yang aku mahukan. Begini... aku rasa hatiku telah terpaut pada
Puteri Britney. Dan... aku tidak tahu apakah yang harus aku lakukan.
Tidakkah kau mempunyai sebarang ilham untuk memikatnya?"
Hang Abat terdiam mendengar kata-kata Hang Jawad. Sungguh dia tidak
menyangka, sahabatnya juga mencintai gadis yang sama sepertinya.
'Mengapa Puteri Britney yang kau cintai? Oh Tuhan tabahkanlah hati ku..'
Keluh hati Hang Abat. Namun dia tidak mampu untuk menyuarakannya.
Dipendamkan saja, nun jauh di sudut hatinya. Walaupun agak kecewa dengan
kenyataan itu, tapi dia tetap tenang mengawal perasaannya. Lalu berkata....
"Wahai sahabatku Jawad. Jika itulah perkara yang kau gundahkan, aku bersedia
membantumu. Demi kebahagian sahabatku, aku sanggup lakukan apa sahaja...
percayalah. Esok biar aku pergi berjumpa dengan Puteri Britney dan
menyampaikan perasaan cintamu itu kepadanya. Akan kucuba sedaya upaya agar
Puteri Britney menjadi milikmu."
"Terima kasih, sahabatku Abat. Hanya kaulah satu-satunya sahabatku..
selama-lamanya." Jawad tersenyum riang sambil menyapu gambir pada daun sireh
yang diletakkan di atas tapak tangan.
Sireh Pinang, memang itulah makanan kegemaran sambil melayan kedinginan
malam setiap kali tibanya penghujung bulan. Harga rokok semakin lama semakin
melambung tinggi. Setiap kali diumumkan Belanjawan Negara, pasti akan naik
harganya. Kalau dulu 4.6 dirham, kini sudah naik hingga 5 dirham. Maka,
sementara menunggu gaji, sireh pinanglah yang menjadi pengganti. Sambil
mengunyah sireh pinang, Hang Jawad dan Hang Abat terus bercerita, berbincang,
bagaimanakah cara untuk memikat Puteri Britney.
Keesokannya, seperti yang dijanjikan, Hang Abat pun pergi ke istana dan
menceroboh masuk ke bilik Puteri Britney untuk menyampaikan hajat sahabatnya.
"Siapakah gerangannya itu?" Jerit Puteri Britney apabila menyedari ada
seseorang sedang bersembunyi di sebalik tirai di biliknya.
"Hamba... Laksamana Abat..." Jawap Hang Abat lalu keluar menunjukkan diri
kepada Puteri Britney.
"Oh... Tuan Laksamana rupanya... "
"Ampunkan hamba wahai Tuan Puteri. Ampunkan hamba jika kedatangan hamba
secara kurang sopan ini mengganggu ketenangan Tuan Puteri." Kata Hang Abat
sambil melutut di lantai dan mengangkat sepuluh jarinya ke hujung dahi.
Puteri Britney memandang tenang wajah Hang Abat. Sambil berjalan menuju ke
arah lelaki itu, dia berkata...
"Bangunlah wahai Tuan Laksamana. Tidak perlu kamu memohon ampun. Puteri
senang dengan kedatangan kamu. Malah, Puteri memang menantinya."
Puteri Britney menghentikan langkahnya. matanya merenung tepat mata Hang
Abat. Hang Abat cuba mengelak. Cuba menangkis sinar mata Puteri Britney yang
menyilaukan nafsunya. Dup dap, dup dap jantungnya melihat kejelitaan gadis
itu. Sungguh menawan, sungguh seksi dan sungguh mengiurkan.
"Apakah mimpi yang membawa Tuan Laksamana ke mari?" Tanya Puteri Britney
perlahan. Lunak dan manja suaranya. Bertambah kuat gelora cinta Hang Abat
bila mendengar kemerduan suara Puteri Britney. Tak ubah seperti suara Rani
Mukherji. Namun dia masih mengawal perasaannya itu. Dia datang demi
menunaikan janjinya pada seorang sahabat. Bukan untuk kepentingan diri
sendiri.
"Begini Tuan Puteri... Tujuan hamba hamba ke sini ialah untuk meminta
kebenaran, kerana ingin menyunting sekuntum bunga di taman istana ini.."
Kata Hang Abat, menggunakan taktik lama meminang. Tidak berani dia
menyampaikan hajatnya secara direct kepada Puteri Britney.
"Oooo.. Kalau itu yang Tuan Laksamana mahukan, ambil sajalah yang mana satu
pun. Bunga orkid, bunga mawar, bunga raya dan bunga taik ayam pun ada. Ambil
sajalah yang mana Tuan Laksamana suka..." Balas Puteri Britney yang tidak
faham dengan simpulan bahasa Hang Abat. Walaupun cantik, rupa-rupanya
sungguh rendah tahap IQ Puteri Britney.
"Bukan begitu maksud hamba. Bunga yang hamba hajatkan ialah bunga bernyawa
yang sedang berdiri dihadapan hamba ini.... Bunga Britney."
'Ooppsss...!!' Tergamam Puteri Britney mendengar kata-kata Hang Abat.
Tercegat dia, tanpa sebarang kata. Terpaku dia, tanpa penukulnya. Terharu
dia, perasan tak terkira. Sangkanya, Hang Abat ingin menjadikannya sebagai
awek pahlawan itu. Sungguh gumbira dia. Sebenarnya, Puteri Britney sudah
lama ada menaruh hati pada Hang Abat. Sejak pandang pertama lagi. Dia suka
melihat Hang Abat yang bukan sahaja hensem, malah cool and steady. Namun,
Puteri Britney tahu Hang Jawad cuba menekelnya. Sebab itulah dia cuba
memendamkan perasaannya itu. Dia tidak mahu, kerananya, kedua-dua pahlawan
itu bersengketa kelak. Tapi, kata-kata Hang Abat tadi benar-benar membuatkan
hatinya melonjak gembira. Pintu kerinduan yang selama ini terkunci, bagai
direntap dengan kata-kata Hang Abat tadi. Lalu dia terus menerkam dan
memeluk Hang Abat tanpa segan silu.
"Oh.. Abang Abat. Sebenarnya Bunga Britney ini telah lama menunggu untuk
disunting oleh Abang Abad ...uhuks... uhuks... uhuks..." Kata Puteri Britney
sambil menangis. Sebak jiwanya bercampur happy. Kedua tangannya memeluk erat
tubuh Hang Abat, seolah tidak mahu dilepaskan selama-lamanya. Pipi kanannya
ditekupkan ke dada Hang Abat. Sudah lama dia mengidamkan babak-babak seperti
itu.
Hang Abat terpinga-pinga. Stim pun ada. Hilang melayang segala idea. Kelu
seribu bahasa. Serba salah dia. Patutkah dia mengambil peluang dan
menggunakan kesempatan itu? Patutkah dia mangatakan bahawa dia juga amat
cintakan Puteri Britney? Kalau diikutkan hati, mahu dia membalas pelukan itu
dan mencium pipi Puteri Britney sepuas-puasnya. Tetapi.. tidak..!! Dia tak
tergamak membelot janjinya. Dia sanggup kecewa asalkan sahabatnya bahagia.
Lalu dia cuba menerangkan perkara sebenar, tujuan sebenar dia datang ke
situ.
"Wahai Tuan Puteri.... sebenarnya....."
Belum sempat Hang Abat menghabiskan kata-kata, pintu bilik itu dirempuh.
Meluru masuk beberapa orang pengawal istana lalu mengepong mereka berdua.
"Cesss..!!!! Puteri Britney... berani kau menconteng arang di muka
Ayahandamu ini..!!" Jerit raja Aki apabila melihat anaknya sedang berpelukan
dengan Hang Abat. Teramatlah murkanya dia. Jelous pun ada. Sejak kematian
isterinya, sudah lama dia tidak berasmara seperti itu. 'Huh~!', keluh
hatinya. Puteri Britney, serta merta meleraikan pelukannya dari tubuh Hang
Abat. Mengelabah mereka. Gabra gila babi...
"Kau Abat..!!! Ku harapkan pagar, pagar rupanya memakan padi..!!" Sambung
Raja Aki lagi. Tinggi nada suaranya. Marah benar dia.
"Tuanku... ampunkan patik Tuanku. Sebenarnya....."
"Ahhhh..!!!!! Aku tidak mahu mendengar sebarang alasan dari mu..!!" Celah
Raja Aki sebelum sempat Hang Abat menghabiskan kata-katanya. Pengawal istana
tadi, masih diam berdiri mengepong Hang Abat dan Puteri Britney.
"Dengar sini..! Kamu berdua telah melanggar undang-undang istana, berkhalwat
tanpa surat kebenaran. Dengan ini beta menjatuhkan hukuman ke atas kamu
berdua. Kamu berdua akan dikahwinkan malam ini juga. Dan mulai esok, kamu
berdua tidak dibenarkan lagi tingal di dalam negara Al-K'tiak Masham ini.
Kamu berdua dihukum buang negara selama dua tahun." Raja aki berhenti
seketika, menelan air liurnya, lalu menaymbung lagi...
"Pengawal..!!! Pergi panggil Tok Kadi dan ibu bapa Hang Abat ini... sekarang
juga..!"
Kesemua pengawal yang tadinya mengepong Hang Abat dan Puteri Britney mula
bersurai. Keluar pergi melaksanakan arahan Raja Aki. Setelah lengkap segala
persediaan, maka upacara pernikahan mereka pun dilangsungkan. Puteri Britney
tersenyum riang. Pucuk dicita, ulam yang mendatang. Dia gembira dengan
hukuman Ayahandanya itu. Tidak sangka begitu mudah sekali dia dapat memiliki
Hang Abat.
'Kekekeke...', gelak sakan dia di dalam hati.
'Yahooooo..!! Yabedu bedu...!!', seronoknya dia tidak terkira.
Hang Abat pula, masih gelisah. Masih serba salah. Namun, dia tidak dapat
berpuat apa-apa. Perintah Raja Aki mesti diturutkan. Dia tidak mahu
menderhaka.
'Maafkan aku wahai sahabat. Maafkan aku Hang Jawad'. Wajah Hang Abat ceria,
tapi hatinya merintih sedih. Janjinya pada Hang Jawad tidak dapat ditunaikan.
Setelah sempurna upacara pernikahan, maka dengan serta merta pasangan itu
dihantar ke luar negara dengan pesawat peribadi milik Raja Aki. Mereka
dihantar kenegara jiran, iaitu negara Al-K'tiak Bushuk. Tiggallah mereka di
situ sehinggalah tamat tempoh hukuman.
Hang Jawad pula, masih menuggu kepulangan hang Abat di rumahnya. Dia
menunggu sambil menonton TV, hingga ke lewat malam. Dia mula rasa gelisah
kerana Hang Abat tidak pulang-pulang. Rancangan Smart Shop yang membosankan,
menambah lagi keresahan Hang Jawad.
'Kalaulah ada ASTRO, alangkah bestnya...', bisik hati Hang Jawad. Dia bangun
dari sofa lalu berjalan menuju ke tingkap. Matanya memerhati ke arah istana.
Firasatnya mengesyaki sesuatu yang tidak baik telah berlaku. Dia cuba
menelefon handset Hang Abat. Tapi jawapannya..." Nombor yang anda dail tiada
didalam perkhidmatan". Huh~! Hang Jawad mengeluh. Dia mendail sekali lagi.
Sama juga jawapannya.
"Tak boleh jadi, mesti ada sesuatu yang tak kena. Aku mesti pergi ke istana..."
Hang Jawad mengambil jaketnya lalu bergegas keluar. Setiap kali dia keluar,
mesti dipakainya jaket itu. Sayang sungguh dia dengan jaket Manchester
United yang dihadiahkan oleh bapa saudaranya dari London.
Tanpa berlengah, Hang Jawad menghidupkan enjin motor vespa buruknya, lalu
bergerak menuju ke istana. Prop pop pop pop..!!! Nyaring dan ganas bunyinya.
Tak ubah seperti bunyi motor Harley Davidson. Habis terkejut dan lari
bertempiaran burung-burung pungguk yang sedang asyik memerhatikan bulan.
Dalam perjalanannya itu, dia bertembung dengan Bendahara Agus.
"Hei... Hang Jawad..!! Nak kemana malam-malam buta ni?" Tegur Bendahara
Agus.
"Aku nak ke istana..." Jawab Hang Jawad
"Ke istana..?? Ofis sudah tutup da.. ko kerja overtime ker?" Bendahara Agus
kehairanan.
"Aku mencari sahabatku Hang Abat. Sejak petang tadi dia tidak pulang.
Mungkin ada di istana agaknya..." Hang Jawad memandang Bendahara Agus.
Mengharap jawapan. Mungkin Bendahara Agus tahu dimana sahabatnya.
"Ooooo.. Pengkhianat tu... kau tak dengar berita lagi?"
Jawapan yang dinanti, soalan yang keluar.
"Pengkhianat..????? Berita..???? Berita apa? Apa yang sudah berlaku?" Hang
Jawad konfius dengan kenyataan Bendahara Agus. Hatinya semakin resah.
"Hang Abat telah melarikan diri, setelah menculik Puteri Britney..." Kata
Bendahara Agus cuba menipu Hang Jawad. Dia sebenarnya memang tidak senang
dengan persahabatan dua orang pahlawan itu. Dia juga irihati dengan layanan
istimewa yang diberikan oleh Raja Aki kepada mereka. Dialah yang merancang
penangkapan Hang Abat. Semasa Hang Jawad dan Hang Abat berbincang bagaimana
hendak memikat Puteri Britney, Bendahara Agus telah mencuri dengar perbualan
mereka. Dia tahu Hang Abat akan pergi ke bilik Puteri Britney, lalu dia
melaporkan hal itu kepada Raja Aki.
"Apa..????"
"Cesss..!!! Sahabat tak guna...!!!!!! Sia-sia aku percayakan kau selama ini.
Kau tipu aku Abat..!!!"
Tanpa usul periksa, Hang Jawad telah mempercayai kata-kata Bendahara Agus.
Teramatlah marahnya dia. Puteri Britney tercinta telah dirampas oleh
sahabatnya sendiri.
"Arghhhh..!!!!!!!!" Jerit Hang Jawad lalu menerajang motor vespanya. Sungguh
kuat tendangan mautnya. Terpelanting motor vespa itu. Nun jauh, sayup mata
memandang. Hang Jawad mengamok. Helmetnya dibaling, lalu terkena kepala
Bendahara Agus.
"Aduh... sakitnya...." Bendahara Agus mengerang lalu lari lintang pukang,
tanpa menoleh ke belakang. Bukan sahaja manusia, harimau dan singa juga akan
lari jika melihat keadaan Hang Jawad ketika itu. Mukanya merah menyala.
Keluar haba dan cahaya api dari badannya, seperti Son Goku dalam cerita
Dragon Ball.
"Kame... hame.. haaa...!!!!" Jerit Hang Jawad. Matanya dipejamkan. Mindanya
memusatkan tumpuan, mengumpul segala kuasa dan tenaga kebatinan yang ada.
Dia mengangkat kedua tangannya. Selepas seketika, keluar bebola api dari
tangan itu. Dia membaling bebola api itu menghala ke rumah Hang Abat. Tepat
sasarannya mengena. Habis terbakar hangus rumah Hang Abat. Mujurlah tiada
sesiapa di dalamnya.
Hang Jawad terus mengamok. Banyak lagi harta benda awam yang dimusnahkannya.
Balai Polis, Balai Bomba, dan beberapa buah Klinik Swasta musnah terbakar,
terkena tembakan bebola apinya. Marahkan nyamuk, kelambu yang dibakarnya.
Kalau setakat kelambu sahaja, masih tidak mengapa. Habis cadar, selimut,
bantal dan katil yang tidak berdosa turut menjdai mangsa. Orang ramai mula
melarikan diri, keluar meninggalkan Al-K'tiak Masham. Negara itu yang
dahulunya meriah, kini sunyi sepi, angkara keganasan dan kegilaan Hang Jawad.
Raja Aki teramatlah susah hati, mengenangkan bencana yang menimpa negaranya.
Tiada seorangpun di kalangan pengawal dan tentera, yang berani melawan Hang
Jawad. Dia terlalu kuat. ilmunya terlalu hebat. Rumahnya pula dilengkapi
dengan Security System yang amat canggih. Tiada siapapun yang berjaya
menceroboh masuk untuk menangkapnya. Raja Aki teringat pada hang Abat. Dia
yakin Hang Abat sahaja yang tahu kelemahan sahabatnya itu. Tanpa berlengah
Raja Aki terus menghantar e-mail kepada Hang Abat, mengarahnya pulang segera
ke negara Al-K'tiak Masham. Hukuman keatasnya damansuhkan serta-merta.
Setelah membaca e-mail itu, Hang Abat pun pulang ke istana Ayahanda mertua,
bersama isterinya Puteri Britney. Sebaik sahaja tiba, dengan diiringi
beberapa orang pengawal dan tentera, Hang Abat bergerak pergi ke rumah Hang
Jawad.
"Hei Jawad..!!!! Turun kau..!!! Jerit hang Abat sejurus tiba di hadapan
pintu rumah sahabatnya itu. Namun tiada sebarang jawapan. Hang Abat
memanggil lagi.
" Hei Jawad...!!! Aku tahu kau ada di dalam..!! Ini aku sahabatmu Abat...
aku telang pulang..!!"
"Kau sahabat khianat..!!! Aku tak mahu melihat mukamu... pergi..!!! Pergi
kau..!!! Berambus..!!! Go to hell..!!!" Tiba-tiba Hang Jawad bersuara. Namun
bayangnya masih belum kelihatan.
"Aku faham kemarahanmu, dan aku tidak kisah jika kau membenciku. Aku cuma
mahu kau hentikan kekacauan yang kau lakukan sekarang. Tiada apa faedah yang
kau perolehi...!"
Hang Abat berhenti seketika, lalu berjalan menuju ke tangga.
"Hei Jawad..!!!!!!!!! Turun la..!!!!!!!" Semakin tinggi suara Hang Abat.
"Aku tak mahu turun...!!!! Kalau kau nak jumpa aku dan kalau kau berani naik
la.. Hahahaha..!!!"
Hang Abat hampa dengan jawapan dan kedegilan sahabatnya itu. Dia tahu Hang
Jawad memang keras kepala. Dia sudah masak sangat dengan perangainya. Jika
sekali Hang Jawad mengatakan tidak... maka selama-lamalah maknanya. Hang
Abat termenung seketika, sambil menggaru bontotnya yang tidak gatal. Dia
perlu menangkap Hang Jawad. Perintah Raja Aki mesti dilaksanakan. Walaupun
itu sahabatnya, dia tak boleh pilih kasih. Yang salah tetap bersalah dan
mesti duhukum setimpal dengan kesalahannya. Undang-undang dan keadilan mesti
ditegakkan.
Hang Abat tahu kelemahan Hang Jawad. Kelemahan yang tidak diketahui oleh
sesiapapun. Hanya dia seorang sahaja yang tahu. Dia tiada pilihan. Dia
terpaksa menggunakan taktik rahsia itu untuk menangkap Hang Jawad.
"Hei Jawad..!! Tadi dalam perjalanan kemari, aku ternampak Mat Saleh tengah
beromen. Dengan Ah Moi mana entah. Seksi siutttt.. mengancam abessss..
melelehhhhh wa cakap lu..!!"
Sebaik sahaja habis ayat itu. Maka terpacul muka Hang Jawad dihadapan pintu.
Tersengih dia. Dengan wajah yang penuh ceria dia berkata...
"Yer ker Abat? Fulllamakkkkk...!! Dah lama seh aku tak ngendap.. Kat mana?
Jom ar pegi cepat...jom... jom.. jom.."
Tanpa memijak anak tangga, Hang Jawad terus melompat ke tanah. Tak
sabar-sabar dia. Dia tak tahu sebenarnya dia telah diperdaya.
Sebaik sahaja kakinya menjejak bumi, pengawal dan tentera yang dari tadi
menanti, terus mengepong dan menangkap Hang Jawad. Hang Jawad tidak mampu
melawan, kerana di dalam keadaan ghairah semua kekuatannya akan hilang.
Mereka menggari tangannya dan memasukkan dia ke dalam sangkar besi yang
dibawa, lalu diusung ke istana. Akhirnya dia tewas. Bukan di hujung keris
sakti. Bukan dengan peluru senapang. Tapi, dengan panah psikologi nafsu.
Nafsu... nafsu.. nafsu..
Hang Jawad dipenjara tiga tahun atas kesalahanya merosakkan harta benda
awam. Selepas dibebaskan dia telah pergi membawa diri ke India bersama
kumpulan Tabligh. Jiwanya sudah semakin tenang. Dia masih berkawan dan
berutus e-mail dengan Hang Abat.
Hang Abat telah ditabalkan sebagai raja baru negara Al-K'tiak Masham. Kini
dia hidup bahagia besama isterinya Puteri Britney, juga Ayahanda mertuanya,
Raja Aki.
Manakala Bendahara Agus pula, hilang entah kemana. Ada yang mengatakan dia
pergi ke hutan mencari Ayam Seramanya yang hilang. Ayam Serama yang
dibelinya dengan harga 5 juta dirham. Dengan hasil wang yang di songlapnya
dari akaun negara. Mungkin sebelum bertemu dengan Ayam Seramanya itu, dia
akan bertemu dengan harimau dan singa terlebih dahulu.. biarkan....
Sekian,
~akimahen~ |