"Iskandar"

Mardalina NIE (Townsville)

       

           

"Dari pagi tadi keluar sampai sekarang tak balik-balik! Sekarang cepat kau balik! Kau kalau pasal merayap memang nombor satu," leteran seorang ibu terhadap anak gadisnya menerusi telefon.

"Yelah….Yelah….Orang nak baliklah ni. Orang pergi hantar filem kejap lah. Sekarang ni ada kat kedai gambar kat Tampines Mall. Mummy ni orang keluar lama sikit pun bising."

Aku rasakan diriku ini seolah-olah seperti dikongkong. Kemana sahaja hendak aku pergi, keluar dengan siapa, bila akan aku pulang, semuanya harus aku beritahu kepada ibuku. Aku sedar apa yang dilakukan oleh ibuku itu adalah untuk kebaikan diriku. Dia tidak mahu aku berkelakuan dan berperangai tidak senonoh seperti kebanyakan remaja zaman sekarang, yang berpakaian menjolokkan mata. Terdedah sana, terdedah sini.

Tangan aku digenggam erat dan kemudian dileraikan seketika diiringi dengan kucupan mesra yang hinggap di jidatku.

"Dahlah sayang…..Nanti kahwin you pun macam gitu," pujuk kekasihku sambil dikucupnya dahiku.

Mataku tiba-tiba berair dan panas-panas suam. Setitik demi setitik air jernih itu jatuh ke atas gambar-gambar yang sedang aku tatapi. Airmata yang empar umpama susu getah yang ditoreh waktu pagi mengalirkan kenangan sewaktu bersama Iskandar Zulkarnain, kekasih yang baru beberapa bulan bersamaku menikmati alam percintaan. Biarlah airmata ini terus mengalir dan terus mengalir supaya kenangan kami terus basah dan cinta kami terus segar berabad.

"Sayang; kita ni macam buat photo shot eh. Diana dengan Wan gambar dia orang pun tak banyak macam kita. Kitaaaa…. sampai 60 keping," komen yang dilemparkan kekasihku sewaktu kami berdua di dalam perjalanan pulang dari kedai gambar.

Terimbas kembali sewaktu aku, kekasihku dan empat orang lain lagi teman kami melawat ke Pulau Sentosa. Kami bermandi-manda di Fantasy Island dalam pakaian mandi yang membuatku kelihatan seksi. Itulah saat-saat yang paling bahagia dan gembira buat kami semua terutama sekali aku dan Iskandar. Sewaktu itu kami menyambut perhubungan kami yang ke-3 bulan sekaligus menyambut ulang tahun hari jadi Wan, salah seorang teman kami.

Apabila aku menatap gambar-gambar semasa di Sentosa, teringat kembali sewaktu menghadapi dilema dimana harus aku menyimpan gambar-gambar tersebut. Jika gambar-gambar itu disimpan di rumahku, khuatir pula akan ibuku terjumpa. Masalahnya, ibuku tidak merestui perhubungan aku dengan Iskandar. Ibuku tidak sukakan orang yang merokok atau hanya tahu berfoya-foya. Cukup dengan hanya mendengar dari mulut orang sahaja, ibuku mempercayai khabar angin yang diterimanya tentang keburukan Iskandar. Sedangkan, kekasihku itu walaupun dia seorang perokok dan suka berfoya, tetapi dia seorang yang baik. Kalau hendak melakukan kejahatan seperti melumba haram, dia akan hanya melakukan sendiri dan tidak akan menyusahkan orang lain. Dia tidak minum arak ataupun berzina. Walaupun pengetahuannya tentang agama cetek, tetapi kekasih ku itu tetap tahu apa yang dilarang dalam sisi agama dan apa yang diizinkan. Amalannya mungkin kurang, tapi dia seorang yang murah hati dan sering menderma atau membantu orang yang dalam kesusahan mengikut sedaya upayanya. Dia juga tidak bersikap biadap pada yang lebih tua atau muda darinya malahan dia menghormati mereka.

Tetapi jika gambar itu semua disimpan oleh kekasihku, dikhuatiri pula bapanya yang kuat agama dan warak itu akan terjumpa. Maklumlah dalam 60 keping gambar itu, ada beberapa keping gambar yang kurang elok untuk dilihat seperti kami berdua sedang berpeluk-pelukan. Bukan itu sahaja, kami pula memakai pakaian mandi yang amat menjolokkan mata sesiapa yang melihatnya. Walaupun aku seorang gadis yang berkerudung, tetapi bagiku tidak salah memakai pakaian mandi itu asalkan aku tidak berniat jahat sedangkan aku sendiri mengaku bahawa aku masih bersifat "jahat."

"Abang, gambar ni abang ajelah simpan. Jangan sampai abah nampak sudahlah," pesanku berulang kali kepada kekasihku yang sejak tadi tersenyum simpul melihatku dalam kerisauan dimana harus gambar itu disimpan.

"Ok! Ok! Ayang jangan risaulahhh…, abang tahulah nanti nak simpan kat mana. Alah kalau abah nampak pun ok apa, nanti dia suruh kita kahwin cepat. Kan best kita boleh duduk serumah," akuan kekasihku yang sudah tidak sabar hendak memperisterikanku.

Aku seolah-olah terdengar panggilannya mengajak aku bersama-samanya berenang. Senyuman manis jelas terukir diwajahnya. Lambaian tangannya juga tertayang di wayang penglihtanku seolah-olah dia sedang memanggilku. Terasa kehangatan pelukannya ketika aku dalam kesejukan. Oh indahnya! Adakah ini benar-benar di namakan cinta?

"Gambar kecik ni nak buat apa? Kan abang dah ada yang 4R punya," jejaka yang wajahnya saling tidak tumpah seperti pelakon Malaysia, Hani Mohsin melemparkan kata-kata sedemikian.

Itu adalah gambar pertama kali yang kami ambil pada Hari Raya Aidilfitri yang lepas. Gambar itu aku berikan padanya untuk disimpan di dompetnya. Kami memperagakan warna baju tradisional yang sama. Baju yang dipakai olehku pada hari raya adalah hadiah pertama ku terima dari Iskandar sewaktu dia cuba menguratku.

Fikiran aku terganggu. Terganggu akan apa yang berlaku. Kenapa? Kenapa ini semua harus berlaku pada saat sebegini? Ya Allah! Aku kini dalam kebingungnan, keresahan, kekeliruan, kegelisahan dan kekosongan. Aku kini hidup terkontang-kanting. Aku pasrah!

"Dalin…. Ini Aziran. I ada sesuatu nak bilang you. Isk….Iskandar meninggal. I harap….you….you dapat bersabar ye," kata-kata itu ku dengar dari gagang telefon yang disampaikan oleh Aziran, teman baik serta teman sekerja kekasihku, pada suatu malam yang hening dan sepi.

"Ah you jangan main-mainlah Ran. Agaknya dia sekarang kat sebelah you tengah ketawakan," aku tidak mempercayai apa yang disampaikan oleh Aziran.

Begitu lama aku mengambil masa untuk mempercayai berita yang aku terima tadi. Setengah jam lamanya. Itu pun hanya selepas aku menghubungi sepupu Iskandar, Eddie untuk mendapatkan kepastian. Aku masih tidak percaya sehinggalah, kupingku mendengar suara sayu Eddie yang sedang menangis. Hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang aku rasakan di ketika itu.

Aku rasakan seperti baru semalam aku mengenalinya. Tapi hari ini…Dia pergi! Pergi buat selama-lamanya meninggalkan aku tanpa kata.

"Abang kalau nak mati; abang nak mati siang jadi tak banyak dosa."

"…oooh jadi ayang sukalah abang mati? Abang dah mati nanti ayanglah yang nak mandikan abang eh? Macam gitu tak payah buang duit panggil orang mandikan."

"Nanti dah mati tak dapat makan ni semua. Jadi masih hidup ni, makan apa yang nak makan. Mati nanti at least mata pejam rapat pasal semua dah dapat makan."

Aku seolah-olah terdengar kata-katanya itu yang sering terngiang-ngiang di kedua-dua belah kupingku apa yang dikatakan oleh allahyarham kekasih sejatiku itu sewaktu kami berdua-duaan. Setiap kata-kata yang dilafazkannya seolah-olah seperti satu ucapan. Ya-Allah. Kenapakah harus ini berlaku?

"Hai! You budak baru eh yang kerja kat office atas? I dengar you tunggu result. Result PSLE eh….." Itulah kata-kata yang dilemparnya sewaktu mengusikku di tempat kami bekerja. Sewaktu itu aku bekerja sebagai kerani sambilan di DHL WORLDWIDE sementara dia pula sebagai Operations Agent.

Aku masih ingat lenggang lenggoknya, senyuman manis yang diukirnya, t-shirt merah berkolar putih, seluar kelabu yang digosok licin adalah pakaian seragam kerjanya yang digayakannya dengan topi berwarna coklat seperti warna teh susu yang dipakai sewaktu memikatku ketika itu sedang di dalam perjalanan pulang dari kerja.

Semasa bercinta dahulu, aku mencurahkan segala kasih sayangku terhadapnya. Dialah yang membalut lukaku sewaktu aku berduka dan dia jugalah yang mewarnai hidupku yang dulunya kegelapan.

Pelukan, ciumannya aku kini terasa. Oh indahnya di saat yang singkat itu. Tapi kini dia pergi buat selamanya, meninggalkan aku akibat satu kemalangan jalan raya. Aku rasa amat kehilangan dan hidupku rasa kekosongan. Mengapa! Mengapa harus kita dipisahkan disaat-saat aku menagih kesetiaanmu.

Iskandar Zulkarnain, ditimpa kecelakaan sewaktu dalam perjalanan pulang dari Pahang. Memang itu hobinya. Merantau ke Malaysia bersama motorsikalnya. Kali ini, dia ke Pahang menunggang motorsikal yang baru dibelinya 3 bulan lalu. Motorsikal yang berjenama SUZUKI GSX R750 berwarna hitam kuning.

Jika dulu, filem-filem melayu yang ku tonton mempunyai adegan-adegan sebegini atau buku-buku yang dibacaku menceritakan perkara yang sama, sangkaku ianya akan terjadi dalam filem dan drama ataupun hanya satu rekaan, tapi tanpa ku menduga kini ia menjadi satu realiti bagiku. Aku sendiri yang menghadapinya. Menghadapi apa yang dirasakan apabila kehilangan seorang insan yang amat aku sayangi. Seorang insan yang pernah berjanji akan bergelar suami bagiku empat tahun akan datang. Insan yang berjanji akan sehidup semati denganku. Tetapi segalanya tidak kesampaian. Inilah yang dinamakan kita merancang tetapi Tuhan yang menentukan.

Terasa hiba hati ini apabila mendengar cerita dahiat yang menimpanya, lebih-lebih lagi keadaannya yang cedera parah. Titisan airmataku tidak jemu mengalir terkenangkan akan nasibnya; gambar-gambarnya tidak jemu aku tatapi.

Dulu dengan motorsikal Super Four V-Tech CB400 berwarna kelabu yang pernah ditunggangnya selama 2 tahun, dia akan ke Melaka seorang diri ataupun kadang-kala bersama teman sekerjanya sekurang-kurangnya seminggu sekali. Setiap kali dia ke Melaka, dia akan pergi pada awal pagi seawal 2 pagi sejurus sahaja pulang dari kerja. Belum pernah sebarang kecelakaan yang menimpanya sejauh ini. Sering kali ke Melaka, dia akan cuba kembali ke Singapura selewat-lewatnya 8 pagi; kemudian akan berehat untuk seketika dan kembali ke tempat kerja untuk bertugas yang bermula pada jam 3.30 petang.

Dengan adanya motor baru itu, juga masih diamalkan hobinya malahan dua kali seminggu kerana menurutnya motornya itu perlu run-in dahulu. Tapi kali ini dia pulang dari Pahang pada siang hari bersama lima lagi kawan-kawan motornya dan perkara sebegini boleh berlaku. Motor ini……

Sebuah van yang menuju ke pasar malam telah berempuh dengan motorsikal yang ditunggang kekasihku. Kecelakaan itu meragut nyawa seorang lelaki yang berusia lewat 20-an dan mencederakan seorang wanita yang memandu van tersebut.

"Macam mana eh, sekali motor ni abang naik baru 3 bulan ke abang mati accident? Padan muka orang tua tu masa tu. Biar abah sambung bayar! Lokek sangatkan," Seakan terdengar-dengar kembali kata-kata sebegitu apabila aku menatap sekeping gambar yang sempat diambilnya bersama motor barunya itu di majlis perkahwinan sepupunya.

Tidak dapat aku menahan titisan airmata yang terus mengalir apabila melihat gambar-gambar yang pernah aku ambil bersamanya. Bukan itu sahaja, setiap kali kedengaran lagu "PERMAISURI" nyanyian kumpulan DATA di corong radio, hatiku mula terasa sebak. Lagu itu pernah dinyanyikannya untukku apatah lagi ketika aku merajuk padanya. Lagu itulah yang dinyanyinya untuk memujukku.

Aku menghela nafas panjang, cuba mengenyah dengan kekuatan supaya tidak tewas terhadap jelmaan kenangan bersama arwah kekasihku beberapa minggu yang lalu; yang menyesakan pernafasanku, yang menyebakkan dadaku.

Kini aku rasa amat kehilangan. Hidupku kekosongan tanpa arwah kekasihku disampingku. Malamku yang dulu penuh bermakna kini menjadi sepi. Kalau dulu, selepas sahaja pulang dari kerja, sudah membersihkan diri dan tidak ke Melaka, arwah kekasihku akan menelefonku genap pada jam 2 pagi. Kini deringan telefon kecil berwarna kuning tidak lagi kedengaran. Pemanggil yang setia sudah tiada lagi. Namun aku sedar, yang pergi tetap pergi dan aku yang hidup ini harus meneruskan kehidupan.

Fajar kazib akan menjelma sejamang lagi, membuktikan bahwa aturan Allah itu cukup teratur dan maha sempurna. Sayup kedengaran suara sumbang milik kutu-kutu embun menyanyikan lagu diiringi petikan gitar yang cukup berirama di corong radio. Sebentar kemudian suara sumbang dan bunyi petikan gitar tenggelam, oleh alunan merdu aku yang sedang diuji Allah; menghangatkan lagi kasih terhadap arwah kekasihku dengan menghadiahkan ayat-ayat suci yang tentunya lebih bermakna daripada kisah percintaan kami yang berputik 7 bulan lalu.

Pastinya arwah kekasihku akan bersemadi penuh bahagia dengan meninggalkan aku yang setia, yang amat menyintainya dan yang tidak mungkin akan melupakannya walaupun dia telah pergi mengadap Tuhan yang Maha-Esa.

Bacaan tahlil serta diiringi dengan doa suci aku hadiahkan untuk arwah kekasihku di setiap solatku. Aku sentiasa berdoa agar rohnya dicucuri rahmat. Amin.

Al-Fatihah

           

 

Hosted by www.Geocities.ws

1