Yahudi bantah kiblat ke Kaabah
IBN al-Jauzi berkata dalam kitabnya Zad al-Masir: Sebab turunnya ayat ini ialah
bahawa orang Yahudi berkata tatkala dinasakhkan arahan menghadap kiblat. Kata
mereka: �Sesungguhnya Muhammad menghalalkan bagi sahabatnya mengikut kemahuannya
dan mengharamkannya mengikut kemahuannya.� Lantas turunnya ayat ini. Inilah juga
yang dinyatakan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya.
Kempen-kempen mereka adalah berhubung dengan isu pemansuhan setengah-setengah
perintah dan taklif terutama ketika berlaku perubahan kiblat dari arah Baitul
Maqdis ke Kaabah. Isu ini telah mematahkan hujah-hujah mereka terhadap kaum
Muslimin.
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami
tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya,
atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam
langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat
melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.
Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi
Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil
kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus. (Al-Baqarah:
106 hingga 108)
Kemudian Allah s.w.t menempelak Yahudi tatkala mereka menuduh al-Quran dengan
sebab berlakunya nasakh. Firman-Nya, apa sahaja ayat keterangan yang Kami
mansukhkan (batalkan). Al-Zajjaj berkata: �Nasakh pada bahasa bermaksud
membatalkan sesuatu dan mendatangkan yang lain tempatnya sebagaimana kata orang
Arab: Matahari menasakhkan bayang apabila menghilangkannya dan mengganti
tempatnya.�
Dikehendaki dengan nasakh di sini ialah tiga pendapat ulama:
i. Mengangkat lafaz dan hukum. Inilah riwayat al-Suddi daripada Ibn Abbas.
ii. Menukar ayat dengan yang lain. Inilah riwayat Muqatil daripada Ibn Abbas.
iii. Mengangkat hukum berserta kekalnya lafaz. Inilah yang diriwayatkan oleh
Mujahid daripada sahabat-sahabat Ibn Mas`ud. Dan dengannya juga pendapat Abu
al-`Aliyah.
Iaitu sekali-kali Kami tidak menukar daripada hukum ayat, kemudian Kami
menukarnya dengan yang lain atau Kami lupakannya wahai Muhammad iaitu
menghilangkan daripada hatimu. Sama ada isu itu perubahan kiblat - sebagaimana
telah diperkatakan oleh ayat-ayat ini dan ayat-ayat kemudiannya - atau isu lain
yang berkaitan perubahan sesetengah perintah, peraturan-peraturan dan
taklif-taklif yang mengikuti perkembangan masyarakat Islam dan
suasana-suasananya yang berubah-ubah atau yang ada kaitan khusus dengan
perubahan setengah-setengah hukum yang tercatat di dalam kitab Taurat walaupun
secara umumnya al-Quran membenarkan kitab itu, sama ada isu ini, isu itu atau
gabungan dari semua isu tersebut yang telah digunakan oleh kaum Yahudi sebagai
alat untuk menimbulkan keraguan terhadap akidah Islam.
Maka al-Quran telah memberi penjelasan yang tegas mengenai isu pemansuhan dan
perubahan itu iaitu penjelasan untuk menghapuskan kekeliruan-kekeliruan yang
ditimbulkan oleh kaum Yahudi yang bertindak mengikut kebiasaan dan perancangan
mereka dalam rangka usaha memerangi akidah Islam dengan pelbagai cara. Atau yang
Kami tinggalkan (atau tangguhkan).
Makna tangguh di sini terdapat tiga pandangan ulama:
i. Mentakhirkannya daripada nasakh dan kami tidak menasakhkannya. Inilah
pendapat al-Farra'.
ii. Mentakhirkan turunnya dan tidak diturun sekali gus.
iii. Kami takhirkannya daripada beramal dengannya dengan kami nasakhkannya.
Inilah yang dihikayatkan kedua-duanya oleh Abu Ali al-Farisi.
Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya. Ibn Abbas berkata: Dengan yang
lebih lembut daripadanya dan mudah kepada manusia, atau yang sebanding dengannya.
Sudah pasti Kami akan mendatangkan dengan yang lebih baik bagimu wahai orang
yang beriman, dan yang lebih bermanfaat sama ada secara langsung atau bertangguh.
Boleh jadi dengan mengangkat masyaqqah darimu atau menambahkan pahala dan
balasan untukmu.
Perubahan atau pindaan kecil untuk mengikut kehendak-kehendak keadaan - di masa
hayat Rasul - adalah untuk kepentingan umat manusia dan untuk mewujudkan
kebaikan lebih besar yang diperlukan oleh tahap-tahap perkembangan hidup mereka.
Allah sebagai Tuhan Pencipta, Tuhan yang mengutuskan para Rasul dan menurunkan
ayat-ayat.
Dialah sahaja yang dapat menimbang dan menilai perubahan dan pindaan itu.
Apabila Allah mansuhkan sesuatu ayat, maka Dia campakkan ayat itu ke alam
kelupaan - sama ada ayat itu berupa ayat yang dibaca yang mengandungi sesuatu
hukum atau ayat itu berupa mukjizat-mukjizat yang dibawa kerana sesuatu tujuan
yang wujud di masa itu kemudian digolong semula seperti mukjizat fizikal dibawa
oleh para rasul - maka Dia akan menggantikannya dengan ayat yang lebih baik atau
setanding dengannya. Tiada suatu yang dapat melemahkan Allah kerana Dialah yang
memiliki segala sesuatu dan Dialah pemegang teraju pentadbiran dan pengurusan di
langit dan di bumi. Oleh sebab itulah penjelasan itu diiringi dengan
ulasan-ulasan berikut:
Tidakkah engkau mengetahui. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma`ani berkata: Persoalan di
sini dikatakan semata-mata untuk takrir (pengakuan). Dan ada pendapat mengatakan
sebab pengingkaran.
Bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? Tidakkah kamu mengetahui
wahai manusia bahawa Allah Maha Mengetahui, Bijaksana dan Berkuasa. Tidak keluar
daripada-Nya kecuali setiap kebaikan dan ihsan terhadap hamba. Syeikh Sya'rawi
berkata: �Apakah sebab golongan Ahli Kitab dan musyrikin tidak mahu kebaikan
bagi orang yang beriman pada agama mereka? Ini kerana mereka merasa bahawa apa
yang dibawa oleh Muhammad s.a.w pada zamannya jauh lebih baik daripada apa yang
dibawa oleh Musa dan juga apa yang dibawa oleh Isa. Di sini kami tidak ingin
untuk memperkecilkan atau merendahkan apa yang dibawa oleh rasul-rasul zaman
dahulu. Sebaliknya ingin kami tegaskan bahawa semua rasul terdahulu datang pada
zaman mereka dengan sebaik-baiknya tetapi terhad kepada kaum dan zamannya
sahaja.�
Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam
langit dan bumi? Tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah jualah yang bersifat Maha
Pemilik dan melakukan mengikut kehendak-Nya segala urusan makhluk.
Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi. Al-Baghawi
berkata dalam Ma`alim al-Tanzil: �Kaum kerabat yang hampir atau rakan taulan.�
Dan yang dapat memberi pertolongan. Sebenarnya tiadalah bagimu sebarang penolong
atau pembantu yang dapat menolong atau menyelesaikan urusanmu selain Allah.
Sebaliknya Dialah sahaja penolong kepadamu.
Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Ia mengandungi amaran dan
peringatan bahawa Allah itulah pelindung dan penolong mereka. Mungkin amaran dan
peringatan ini disebabkan adanya setengah-setengah mereka tertipu dengan kempen
kaum Yahudi yang mengeliru dan menyebabkan fikiran mereka kelam kabut kerana
(mendengar) hujah-hujah mereka yang palsu, sehingga mereka tergamak mengemukakan
pertanyaan-pertanyaan kepada Rasulullah yang tidak sesuai dengan keyakinan dan
keimanan mereka. Ini dibuktikan oleh keterangan ayat berikut yang terang-terang
memberi amaran dan kecaman.
Firman-Nya lagi, Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana
diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Sebab turun ayat ini terdapat lima
pendapat:
i. Bahawa Rafi' dan Wahab bin Zaid, kedua-duanya bertanya Rasulullah: �Datangkan
kepada kami kitab yang kami dapat bacanya, yang diturunkan dari langit ke atas
kami dan mengalirkan sungai-sungai untuk kami supaya kami ikutimu.� Lantas
turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ibn Abbas.
ii. Bahawa orang Quraisy bertanya Nabi s.a.w supaya menjadikan bagi mereka Bukit
Safa ditukar menjadi emas. Lantas sabda Nabi: �Ia bagi kamu seperti hidangan
yang diturunkan dari langit kepada Bani Israel, kemudian mereka enggan.� Inilah
pendapat Mujahid.
iii. Seorang lelaki berkata: �Wahai Rasulullah, kalaulah kafarah kita sama
seperti kafarah Bani Israel.� Lantas sabda Nabi s.a.w: �Ya Allah, kami tidak
melampaunya, apa yang Allah kurniakan kepada kamu jauh lebih baik daripada apa
yang dikurniakan terhadap Bani Israel. Ini kerana apabila mereka melakukan satu
kesalahan nescaya didapatinya tertera pada pintu rumahnya dan jenis kafarahnya.
Dan jika dia membayar kafarahnya adalah dia mendapat kerugian di dunia. Dan jika
dia tidak membayar kafarahnya adalah dia mendapat kerugian di akhirat.
Sesungguhnya Allah mengurniakanmu jauh lebih baik daripada apa yang dikurniakan
kepada Bani Israel. Inilah pendapat Abu al-`Aliyah.
iv. Bahawa Abdullah bin Abi Umayyah al-Makhzumi telah datang menemui Nabi s.a.w
bersama rombongan Quraish seraya berkata: �Wahai Muhammad, demi Allah! Aku tidak
akan beriman denganmu sehingga kamu datangkan dengan Allah dan malaikat pada
satu pihak.� Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ibn Saib.
v. Sekumpulan golongan musyrikin menemui Nabi s.aw. Mereka berkata: �Kami tidak
beriman denganmu sehingga kamu boleh keluarkan pancutan air dari bumi.�
Sedangkan sebahagian yang lain pula berkata: �Aku tidak akan beriman sehingga
segala gunung-ganang Mekah berjalan kepada kami.� Abdullah bin Abi Umayyah pula
berkata: �Aku tidak akan beriman denganmu sehingga kamu datangkan kitab dari
langit yang termaktub dalamnya daripada Allah, Tuhan sekalian alam kepada Ibn
Umayyah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Aku telah mengutuskan Muhammad kepada
manusia.� Dan kata yang lain pula: �Marilah aku membawa kitabmu untuk
dikumpulkan sebagaimana datangnya Musa dengan Taurat.� Lantas turunnya ayat ini.
Inilah yang dinyatakan oleh Muhammad bin Ishaq al-Anbari.
Al-Samarqandi dalam Bahr al-`Ulum meriwayatkan daripada al-Dhahhaq sebab nuzul
yang keenam bahawa sekumpulan kafir Mekah termasuk Abu Jahal bertanya kepada
Rasulullah: �Jika kamu sebenarnya Nabi, tolong hilangkan dinding dan hijab
sehingga kami dapat melihat Allah secara terang-terangan.� Lantas Allah s.w.t
menurunkan ayat ini.
Adapun kepada siapa ayat ini ditujukan terbahagi kepada tiga pendapat:
i. Kaum Quraish. Inilah pandangan Ibn Abbas dan Mujahid.
ii. Yahudi. Inilah pandangan Muqatil.
iii. Semua orang Arab. Inilah pandangan Abu Sulaiman al-Dimasyqi.
Bahkan kamu mahu meminta wahai orang beriman dengan bertanya kepada Nabimu
sebagaimana lagak kaum Musa yang bertanya kepada Nabi mereka sebelum ini.
Justeru, jadilah kamu seperti Yahudi yang berkata kepada Nabi mereka iaitu:
�Tunjukkan kami Allah secara nyata.� Nescaya kamu sesat sebagaimana kamu telah
sesat.
Seterusnya firman Allah, Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil
kekufuran. Dengan cara menukar dan menggantikan petunjuk dengan kesesatan di
samping mengambil kekufuran, ganti daripada iman. Al-Nasafi dalam Madarik
al-Tanzil berkata: �Siapa yang meninggalkan thiqah dengan ayat yang diturunkan
dan syak padanya serta memilih yang lain.�
Maka sesungguhnya dia telah sesat dari jalan yang lurus. Kecaman ini disebabkan
setengah-setengah orang yang beriman menunjukkan kedegilan yang sama dengan
kedegilan kaum Musa yang sering menuntut dalil-dalil, mukjizat-mukjizat dan
melakukan tindak-tanduk yang menyusahkan Rasul mereka setiap kali dia menyuruh
mereka melakukan sesuatu atau menyampaikan kepada mereka sesuatu taklif (yang
baru) sebagaimana diceritakan di dalam berbagai-bagai surah (yang lain).
Peringatan ini juga untuk mengingatkan mereka daripada kesudahan jalan itu,
iaitu kesesatan dan penukaran kekufuran dengan keimanan. Itulah kesudahan yang
dialami oleh Bani Israel. Itulah juga kesudahan yang dicita-citakan oleh kaum
Yahudi jika mereka dapat menarik kaum Muslimin ke arah itu.