Surah Al Fatihah
1. Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
2. Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan yang memelihara semesta
'alam.
3. Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
4. Tuhan yang menguasai hari pembalasan.
5. Hanya Engkau sahaja (Tuhan) yang kami sembah dan hanya kepada Mu sahaja kami
pohon perlolongan.
6. Tunjukkan kami jalan yang lurus.
7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni'mat ke atas mereka
bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang
sesat.
Setiap orang Islam membaca surah yang pendek dan mengandungi tujuh ayat ini
sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam dan lebih sekali ganda lagi
apabila ia menunaikan solat sunat dan sebanyak-banyaknya tanpa had apabila dia
ingin mengadap Allah dengan solat-solat tambahan selain dari solat-solat fardu
dan solat-solat sunat. Setiap solat tidak sah tanpa membaca surah ini. Ini
berdasarkan keterangan hadith al-Bukhari dan Muslim dari Rasulullah SAW dari
hadith 'Ubadat bin as-Samit: Sabda Rasulullah SAW:
"Tiada solat kepada mereka yang tidak membaca Surah al-Fatihah."
Di dalam surah ini terkandung dasar-dasar 'aqidah dan dasar-dasar kefahaman
Islam, juga dasar-dasar perasaan (terhadap Allah) dan tawajjuh (berdoa) yang
membayangkan sebahagian hikmat mengapa Surah al-Fatihah dipilih untuk
diulang-ulangkan bacaannya dalam setiap raka'at solat dan hikmat batalnya setiap
solat yang tidak dibacakan Surah al-Fatihah.
Surah ini dimulakan dengan :
1. Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
Walaupun ada khilaf mengenai 'Bismillahirrahmanirrahim' apakah ia merupakan satu
ayat dalam setiap surah atau ia merupakan satu ayat al-Qur'an yang dimulakan
dengannya ketika membaca setiap surah, namun menurut pendapat yang arjah
(terkuat) ia adalah satu ayat di dalam Surah al-Fatihah dan dengannya ia
dikirakan tujuh ayat. Dan di sana ada suatu pendapat yang mengatakan bahawa yang
dimaksudkan dengan firman Allah 'Azzawajalla:
87. Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadamu tujuh ayat dari ayat-ayat yang
diulang-ulangkan bacaannya dan al-Qur'anul 'Azim" (Al-Hijr)
ialah Surah al-Fatihah yang disifatkan sebagai surah yang mempunyai tujuh ayat
dan sebagai "al-Mathani" kerana ia diulang-ulangkan bacaannya di dalam solat.
Memulakan sesuatu dengan "nama Allah" itu merupakan satu adab cara yang
diwahyukan oleh Allah kepada RasulNya dalam ayat pertama yang diturunkan kepada
beliau dengan ittifaq para ulama' iaitu:
1. "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan" (Al-'Alaq)
Adab cara ini amat sesuai dengan dasar kefahaman Islam yang agung, yang
menganggapkan Allah bersifat Maha Awal dan Maha Akhir, Maha Zahir dan Maha
Batin. Allah SWT adalah Zat yang maujud yang sebenar dan seluruh maujud yang
lain mendapat kewujudan mereka dari kewujudan Allah dan segala permulaan yang
lain adalah berpangkal dari kewujudan Allah, kerana itu amatlah wajar segala
permulaan, segala harakat atau tindakan dan segala tujuan itu dimulakan dengan
nama-Nya.
Allah SWT sifatkan diri-Nya di permulaan dengan sifat-sifat ar-Rahman "Maha
Penyayang" dan ar-Rahim "Maha Pengasih" iaitu dua sifat yang mencakup segala
pengertian, kasih sayang dan kasihan belas dan segala keadaannya. Hanya pada
Allah SWT sahaja terkumpul dua sifat ini. Begitu juga hanya Allah sahaja yang
wajar disifatkan dengan ar-Rahman "Maha Penyayang". Mana-mana hamba Allah boleh
disifatkan dengan sifat ar-Rahim, tetapi tidak boleh disifatkan dengan sifat
ar-Rahman dari segi kepercayaan dan lebih tidak wajar lagi dikembarkan kedua-dua
sifat itu padanya.
Walaupun terdapat perselisihan pendapat tentang pengertian dua sifat ini, iaitu
manakah di antara kedua-duanya yang mempunyai pengertian kasih sayang dan
kasihan belas yang lebih luas, namun perselisihan itu bukanlah dari perbahasan
yang kita hendak bicarakan dengan terperinci dalam Tafsir Fi Zilal ini, malah
kita hanya membuat kesimpulan sahaja dari perbahasan itu bahawa kedua-dua sifat
ar-Rahman dan ar-Rahim adalah meliputi segala pengertian kasih sayang dan
kasihan belas juga meliputi segala keadaan dan bidangnya.
Jika memulakan sesuatu dengan nama Allah yang mengandungi maksud mentauhidkan
Allah dan beradab sopan dengan-Nya itu merupakan dasar pokok dalam kefahaman
Islam, maka pencakupan segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas dengan
segala keadaan dan bidangnya dalam dua sifat ar-Rahman dan ar-Rahim itu
merupakan dasar yang kedua di dalam kefahaman ini dan ia juga menggariskan
hakikat hubungan yang wujud di antara Allah dengan para hamba-Nya.
=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-
Setelah dimulakan dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih, maka
diiringi pula dengan menghadap Allah serta mempersembahkan kepada-Nya segala
sanjungan dan pujian dan menyifatkan-Nya sebagai Tuhan yang memegang teraju
Rububiyah yang mutlak terhadap semesta 'alam.
2. "Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan yang memelihara semesta
'alam."
Alhamdulillah adalah perasaan kesyukuran yang melimpah pada hati mu'min sebaik
sahaja ia teringat kepada Allah, kerana kewujudan dirinya dari mula lagi adalah
dari limpah ni'mat kurniaan Ilahi yang membangkitkan kesyukuran, pujian dan
sanjungan, malah di setiap kelip mata dan detik waktu, dan di setiap langkah
Allah melimpahkan ni'mat dan rahmat-Nya ke atas seluruh makhluk-Nya terutama
manusia, kerana itu mengucap Alhamdulillah di awal dan di akhir merupakan salah
satu dari dasar-dasar kefahaman Islam secara langsung. (Firman Allah):
70. "Dan Dialah Allah, tiada Tuhan yang lain melainkan Dia, terpulang kepada-Nya
seluruh kepujian di awal dan di akhir." (Al-Qasas)
Namun demikian, kemurahan dan limpah kurnia Allah ke atas hamba-hamba-Nya yang
mu'min itu adalah sampai ke tahap setinggi-tingginya apabila hamba itu berkata:
"Alhamdulillah", maka Allah akan tuliskan untuknya satu balasan kebaikan yang
mengatasi segala timbangan neraca yang lain. Tersebut dalam Sunan Ibn Majah dari
Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW telah menceritakan kepada mereka; iaitu ada
seorang hamba Allah mengucap kepujian dengan kata:
(Ya rabbi lakalhamdu kama yam baghi li jala li wajhika wa 'azi mi sulto nik)
"Wahai Tuhanku! Segala kepujian itu terpulang kepada-Mu, iaitu kepujian yang
layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu."
Ucapan ini telah menyulitkan dua Malaikat pencatat amalan, kedua-duanya tidak
tahu bagaimana hendak menulis pahalanya lalu kedua-dua Malaikat itu menghadap
Allah dan berkata kepada-Nya: "Ada seorang hamba mengucapkan pujian yang kami
tidak mengetahui bagaimana hendak menulis balasannya?" Firman Allah: (Sedangkan
Dia lebih mengetahui apa yang telah diucapkan hamba-Nya itu) "Apakah pujian yang
telah diucapkan oleh hamba Ku itu?" Jawab kedua-dua Malaikat itu dia berkata:
"Wahai Tuhanku segala kepujian itu terpulang kepada Mu, iaitu kepujian yang
layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu." Firman Allah kepada
kedua-duanya: "Tulislah ucapan itu sebagaimana yang diucapkan oleh hamba Ku
sehingga ia menemui Aku dan Akulah sendiri akan membalaskannya."
=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-
Menghadap Allah dengan mengemukakan sanjungan dan kepujian menggambarkan
perasaan mu'min yang terharu sebaik sahaja ia teringat kepada Allah sebagaimana
telah kami terangkan sebelum ini. Adapun bahagian akhir ayat:
2. "... Tuhan yang memelihara semesta 'alam,"
adalah menjadi dasar kefahaman atau kepercayaan Islam kerana sifat Rububiyah
yang mutlak dan menyeluruh itu merupakan salah satu daripada dasar-dasar 'aqidah
Islam. Kata-kata "Rabb" bererti pemelihara, penguasa, pentadbir dan pengurus
yang memelihara urusan islah dan kerja-kerja tarbiyah dan pengasuhan terhadap
seluruh makhluk-Nya.
Allah tidak menciptakan 'alam kemudian membiarkannya begitu sahaja, malah Dia
memperelok, menjaga, memelihara dan mengasuhnya, kerana itu hubungan di antara
Allah dengan makhluk sentiasa berterusan pada setiap waktu dan keadaan.
Konsep Rububiyah Allah yang mutlak terhadap seluruh makhluk-Nya merupakan
persimpangan jalan yang memisahkan di antara 'aqidah tauhid yang jelas dan
sempurna dengan 'aqidah yang kabur yang terjadi akibat dari ketidakjelasan dan
ketidaktegasan hakikat tauhid ini. Ramai manusia yang mengakui Allah sebagai
Tuhan Pencipta 'alam, tetapi di samping itu mereka mempercayai berbagai-bagai
tuhan yang lain yang menguasai kehidupan mereka. Kepercayaan yang seperti ini
nampak jelas anih dan lucu, tetapi itulah yang telah berlaku dan sedang berlaku.
Al-Qur'an telah menceritakan tentang perkataan sekumpulan kaum Musyrikin yang
menyembah bermacam-macam tuhan itu.
3. "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendampingkan kami lebik
dekat kepada Allah." (AZ-Zumar)
Al-Qur'an juga telah menceritakan tentang sekumpulan Ahlil Kitab.
31. "Mereka mengambil ulama'-ulama' dan paderi-paderi mereka selaku tuhan-tuhan
yang lain dari Allah." (At-Taubah)
'Aqidah-'aqidah Jahiliyah yang tegak di merata negeri semasa kedatangan Islam
adalah penuh dengan kepercayaan kepada berbagai-bagai tuhan yang disifatkan
sebagai tuhan-tuhan kecil di samping tuhan yang agung mengikut sangkaan mereka.
Konsep Rububiyah yang mutlak yang meliputi seluruh 'alam yang terkandung di
dalam surah ini merupakan persimpangan jalan yang memisahkan di antara 'aqidah
yang tersusun rapi dengan 'aqidah yang kacau-bilau. Konsep ini bertujuan supaya
seluruh 'alam bertawajjuh kepada Allah yang Tunggal yang Berkuasa Penuh dan
menolak semua tuhan yang lain, juga menghapuskan kebingungan bertawajjuh kepada
bermacam-macam tuhan itu dan seterusnya supaya hati seluruh 'alam tenang dan
tenteram kepada naungan dan Rububiyah Allah yang kekal dan pemeliharaan-Nya yang
tidak pernah putus dan tak kunjung hilang, bukannya seperti pendapat Aristotle
-- yang dianggap sebagal setinggi-tinggi kkefahaman falsafah -- yang mengatakan
bahawa Allah telah menciptakan 'alam kemudian Ia tidak memperdulikannya dengan
alasan kerana martabat Allah itu begitu tinggi dan tidak wajar untuk memikirkan
sesuatu yang rendah dari-Nya dan kerana Allah hanya memikirkan tentang Zat-Nya
sahaja: Aristotle yang mengeluarkan pendapat ini merupakan ahli faisafah yang
paling besar dan akalnya merupakan akal manusia yang paling tinggi.
Islam datang ketika dunia dipenuhi dengan timbunan 'aqidah, pemikiran, dongeng,
pendapat falsafah, kepercayaan yang karut-marut, yang bercampur aduk di antara
yang benar dengan yang batil, yang betul dengan yang palsu, agama dengan
khurafat, falsafah dengan dongeng, dan hati nurani manusia pada waktu itu
meraba-raba dalam gelap gelita dan dalam sangka-sangkaan tanpa berpijak pada
suatu keyakinan.
Padang gurun yang tidak mempunyai sebarang kemantapan, sebarang keyakinan dan
sebarang nur itulah yang (menjadi latar belakang) yang melingkungi kefahaman dan
pemikiran manusia terhadap Allah, sifat-sifat-Nya, hubungan-Nya dengan para
makhluk-Nya terutama hubungan antara Allah dengan manusia.
Oleh sebab itu hati nurani manusia tidak berupaya memperoleh satu pegangan yang
kukuh mengenai persoalan 'alam ini, persoalan diri mereka sendiri dan persoalan
sistem hidup mereka sebelum mereka memperoleh pegangan yang kukuh mengenai
persoalan 'aqidah mereka, persoalan kefahaman terhadap Tuhan mereka dan
sifat-sifat-Nya dan sebelum mereka mendapat satu keyakinan yang jelas dan lurus
di tengah gumpalan awan mendung, di tengah-tengah padang gurun dan di
tengah-tengah timbunan sampah-sarap kepercayaan yang karut itu.
Seorang manusia itu tidak dapat memahami betapa perlunya kemantapan ini sehingga
ia mengetahui betapa besarnya timbunan sampah kepercayaan yang karut itu dan
sehingga ia memeriksa padang gurun yang penuh dengan berbagai-bagai 'aqidah,
berbagai-bagai kefahaman, berbagai-bagai dongeng, berbagai-bagai pendapat
falsafah, berbagai-bagai tanggapan yang karut dan berbagai-bagai fikiran yang
kacau yang mencemari dan mempengaruhi hati nurani manusia. Inilah keadaan yang
didapati oleh Islam ketika ia datang. Apa yang kami sebut secara sepintas lalu
mengenai kepercayaan-kepercayaan ini hanya satu bahagian yang kecil sahaja.
(Dalam pentafsiran surah-surah al-Qur'an kelak akan dibentangkan berbagai-bagai
bentuk kepercayaan itu yang diolahkan oleh al-Qur'an dengan pengolahan yang
lengkap dan sempurna).
Oleh sebab itulah perhatian pertama Islam adalah lebih dahulu ditujukan kepada
usaha membersihkan bidang 'aqidah ketuhanan, menetapkan kefahaman yang
meyakinkan hati nurani mengenai persoalan Allah dan sifat-sifat-Nya dengan para
makhluk-Nya dan hubungan para makhluk dengan-Nya secara tegas dan yakin.
Oleh sebab itulah kepercayaan Tauhid yang sempurna, tulen, bersih dan
menyeluruh, tidak bercampur dengan sesuatu yang asing sama ada dari dekat atau
dari jauh merupakan tapak tegak kefahaman dan kepercayaan yang dibawa oleh
Islam, dan Islam terus berusaha membersihkan kepercayaan ini dalam hati nurani
manusia dan memeriksa setiap fikiran yang kotor di sekitar hakikat Tauhid itu
supaya ia bersih dari segala kekeliruan dan kesamaran dan supaya tetap teguh
tanpa dimasuki tanggapan yang karut baik dari apa-apa bentuk sekalipun.
Demikianlah Islam memberi kata pemutus yang begitu jelas dan terang mengenai
sifat-sifat Allah terutama sifat-sifat yang ada hubungan dengan sifat Rububiyah
yang mutlak. Kebanyakan timbunan sampah-sarap kepercayaan yang wujud di padang
gurun itu ialah sampah pendapat-pendapat falsafah dan 'aqidah-'aqidah yang
simpang-siur, tanggapan-tanggapan yang kacau dan dongeng-dongeng yang karut
tentang persoalan sifat-sifat ketuhanan yang amat penting ini, iaitu persoalan
yang mempunyai kesan yang amat besar dalam hati nurani manusia dan budipekerti
mereka.
Sesiapa yang mengkaji usaha-usaha yang berterusan yang telah dilakukan oleh
Islam untuk menegakkan kata pemutus mengenal Zat Allah, sifat-sifat-Nya dan
hubungan-Nya dengan para makhluk-Nya. iaitu usaha-usaha dalam bentuk penerangan
nas-nas al-Qur'an yang begitu banyak tanpa mengkaji timbunan sampah-sarap
(kepercayaan karut) yang berat yang wujud di padang gurun yang amat luas, di
mana sesatnya umat manusia itu mungkin tidak dapat memahami sejauh mana ia
memerlukan kepada penerangan al-Qur'an yang berulang-ulang itu dan kepada
pemeriksaan yang begitu teliti di segala lorong dan pintu hati nurani itu.
Tetapi dengan mengkaji timbunan sampah sarap itu dapatlah diketahui betapa
perlunya usaha-usaha yang berterusan itu dan betapa besarnya peranan yang
dilakukan oleh 'aqidah Islam untuk membebaskan hati nurani manusia dari
kepenatan meraba-raba dan terumbang-ambing di antara berbagai-bagai tuhan palsu,
kepercayaan-kepercayaan dan dongeng-dongeng yang karut-marut.
Keindahan, kesempurnaan dan keseimbangan 'aqidah Islam dan kemudahan hakikat
Tauhid yang agung yang didokong oleh Islam itu tidak terserlah kepada hati dan
akal manusia seterang yang terserlah kepadanya setelah ia lebih dahulu mengkaji
dan menyelidiki timbunan sampah-sarap Jahiliyah dari berbagai-bagai 'aqidah,
kepercayaan, dongeng dan falsafah terutama yang memperkatakan tentang hakikat
ketuhanan dan hubungannya dengan 'alam. Ketika inilah 'aqidah Islam benar-benar
merupakan rahmat yang haqiqi kepada hati dan akal, iaitu satu rahmat yang
mengandungi keindahan dan kemudahan, kejelasan dan keseimbangan, kehampiran,
kemesraan, dan keserasian secara langsung yang mendalam dengan fitrah manusia.
=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-
3. "Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih."
Kedua-dua sifat yang meliputi segala pengertian kasihan belas dan kasih sayang
dalam segala keadaan dan bidangnya ini diulangi sekali lagi di tengah-tengah
ayat untuk menonjolkan lagi ciri yang jelas dari konsep Rububiyah Allah yang
sempurna dan untuk menegakkan asas-asas hubungan yang kekal di antara Allah
dengan makhluk-makhluk-Nya iaitu hubungan kasih sayang dan belas kasihan yang
merangsangkan kesyukuran dan sanjungan, hubungan yang ditegakkan di atas rasa
ketenteraman dan kemesraan. Oleh sebab itulah kesyukuran dan sanjungan itu
merupakan sambutan semulajadi terhadap rahmat kasih sayang dan belas kasihan
yang lemah-lembut itu.
Tuhan yang disembah dalam Islam tidak memburu para hamba-Nya seperti musuh
memburu musuh sebagaimana yang dilakukan oleh tuhan-tuhan atau dewa-dewa Olympus
(tempat kediaman tuhan-tuhan) pada saat-saat mereka dilanda keinginan dan
kemarahan seperti yang digambarkan oleh dongeng-dongeng Greek. Tuhan dalam Islam
tidak merancangkan tipu daya membalas dendam terhadap para hamba-Nya seperti
yang didakwa oleh dongeng-dongeng yang dipalsukan dalam Perjanjian Lama (Taurat)
sebagaimana diceritakan di dalam dongeng Babel bab dua belas Sifrut Takwin
(Bahagian Penciptaan).
4. "Yang menguasai hari pembalasan."
Ini merupakan 'aqidah pokok yang amat besar dan mempunyai kesan yang amat
mendalam dalam seluruh hidup manusia, iaitu 'aqidah pokok mempercayai hari
Akhirat. Kata-kata "yang menguasai atau penguasa" membayangkan darjah kuasa yang
paling tinggi. "Hari Pembalasan" ialah hari penentuan balasan di Akhirat. Ramai
orang yang percaya kepada Uluhiyah Allah dan percaya bahawa Allahlah yang
menciptakan 'alam buana ini bagi pertama kali, namun demikian mereka tidak
percaya kepada Hari Balasan. Keperihalan setengah-setengah mereka telah
diceritakan oleh al-Qur'an.
38. "Dan jika Engkau bertanya mereka: "Siapakah yang telah menciptakan langit
dan bumi, nescaya mereka menjawab: "Allah". (Az-Zumar)
Kemudian dalam surah yang lain al-Qur'an menceritakan hal mereka:
2-3. "Bahkan mereka hairan kerana mereka telah didatangi seorang Rasul yang
memberi peringatan dari kalangan mereka sendiri, lalu berkatalah orang-orang
kafir: "Ini adalah suatu perkara yang amat aneh. "Apakah setelah kami mati dan
menjadi tanah (kami akan dihidupkan kembali)? Itu adalah suatu perkembalian yang
amat jauh." (Surah Qaf)
Kepercayaan terhadap Hari Balasan merupakan satu lagi 'aqidah pokok di dalam
Islam. Nilai kepercayaan ini ialah ia meletakkan pandangan dan hati manusia pada
sebuah 'alam yang lain setelah tamatnya 'alam bumi supaya mereka tidak begitu
terkongkong kepada keperluan keperluan bumi sahaja dan ketika itu mereka tidak
lagi terpengaruh kepada keperluan-keperluan bumi, juga supaya mereka tidak
begitu gelisah untuk mendapatkan balasan dan ganjaran dari hasil usaha mereka
dalam usia mereka yang pendek dan di 'alam bumi yang terbatas ini dan ketika itu
barulah mereka dapat berbuat amalan-amalan semata-mata kerana Allah dan sanggup
menunggu ganjarannya mengikut bagaimana yang ditentukan Allah sama ada di 'alam
bumi ini atau 'alam Akhirat. Mereka sanggup menunggu dengan tenang dan yakin
terhadap balasan yang baik itu serta berpegang teguh dengan kebenaran, mereka
sanggup menunggu dengan selesa, lapang dada dan penuh kepercayaan, kerana itu
kepercayaan kepada Hari Balasan merupakan persimpangan jalan yang memisahkan di
antara perhambaan kepada keinginan-keinginan hawa nafsu dengan kebebasan
insaniyah yang layak dengan kejadian makhluk manusia, persimpangan jalan yang
memisahkan di antara tunduk kepada kefahaman-kefahaman bumi, nilai-nilainya dan
ukuran-ukurannya dengan tunduk dan berpegang kepada nilai-nilai Rabbaniyah dan
tidak tunduk kepada logik Jahiliyah. Seterusnya ia merupakan persimpangan jalan
di antara insaniyah dalam bentuk hakikatnya yang unggul sebagaimana yang
dikehendaki Allah kepada para hamba-Nya dengan insaniyah dalam bentuk-bentuknya
yang buruk, menyeleweng dan tidak sempurna.
Kehidupan manusia tidak akan bergerak lurus di atas jalan Allah yang luhur
selagi kepercayaan pokok kepada Hari Balasan ini tidak wujud dalam pemikiran
mereka, selagi hati mereka tidak yakin bahawa ganjaran dan balasan di 'alam bumi
ini bukanlah ganjaran mereka yang terakhir dan selagi mereka yang mempunyai usia
yang terbatas itu tidak percaya bahawa di sana ada sebuah 'alam hidup Akhirat
yang patut mereka berjuang dan berusaha untuknya dan patut berkorban untuk
menbantu kebenaran dan mendokong kebaikan dengan kepercayaan akan mendapat
balasan dan ganjaran Akhirat itu.
Orang-orang yang beriman kepada 'alam Akhirat dan orang-orang yang engkar akan
hari Akhirat tidak mempunyai titik-titik persamaan dari segi perasaan, akhlak,
kelakuan dan amalannya. Mereka merupakan dua golongan manusia yang berbeza.
Mereka tidak bertemu di bumi dan tidak bertemu di Akhirat. Inilah persimpangan
jalan.
=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-
5. "Hanya Engkau sahaja Tuhan yang kami sembah dan hanya kepada Engkau sahaja
kami pohon pertolongan."
Ini satu lagi 'aqidah pokok yang lahir dari 'aqidah-'aqidah pokok yang lepas
yang telah diterangkan dalam surah ini, iaitu 'aqidah tiada 'ibadat melainkan
untuk Allah dan tiada permohonan pertolongan melainkan kepada Allah.
Di sini juga satu lagi persimpangan jalan, iaitu persimpangan jalan yang
memisahkan di antara kebebasan mutlak dari seluruh bentuk perhambaan dengan
perhambaan mutlak kepada sesama manusia.
'Aqidah ini merupakan sebuah perisytiharan hari keputeraan kebebasan manusia
yang mutlak dari perhambaan kepada kepercayaan-kepercayaan yang karut-marut dan
dari perhambaan kepada peraturan-peraturan dan undang-undang yang diciptakan
manusia. Andainya Allah itu sahaja Tuhan yang disembah dan dipohon pertolongan
maka selama itulah hati manusia bebas dari perhambaan kepada peraturan-peraturan
dan undang-undang ciptaan manusia dan dari perhambaan kepada tokoh-tokoh
sebagaimana ia bebas dari perhambaan kepada dongeng-dongeng dan
kepercayaan-kepercayaan yang karut-marut.
Di sini diterangkan sikap orang Muslim terhadap kuasa-kuasa manusia dan
kuasa-kuasa 'alam (tabi'i).
Bagi seseorang Muslim kuasa-kuasa manusia itu terbahagi kepada dua jenis: Satu
kuasa yang mendapat hidayah, yang beriman kepada Allah dan yang menurut jalan
Allah, kuasa inilah yang harus disokong olehnya dan diberi kerjasama untuk
menegakkan kebajikan, kebenaran dan kebaikan. Satu lagi kuasa ialah kuasa yang
sesat yang tidak mempunyai hubungan dengan Allah dan tidak mengikut jalan-Nya.
Kuasa inilah yang harus diperangi, ditentang dan dicemburui olehnya. Seorang
Muslim tidak harus gentar kepada kuasa-kuasa yang sesat itu sama ada besar atau
zalim, kerana kuasa yang sesat dan terputus dari kekuatan Allah tiada lagi
mempunyai kekuatan yang haqiqi, ia telah kehilangan makanan tetapnya yang dapat
memelihara tenaga kekuatannya. Ia adalah sama seperti nasib serpihan-serpihan
dari sebuah bintang yang bernyala, iaitu ia hanya sebentar sahaja bernyala,
kemudian ia beransur-ansur malap, mendingin dan terus padam biarpun bagaimana
besar saiz serpihan-serpihan itu, tetapi sebiji atom yang kecil yang berhubung
dengan sumbernya yang memancarkan sinar itu tetap kekal kekuatannya,
kepanasannya dan cahayanya.
249. "Berapa banyak kumpulan yang sedikit telah mengalahkan kumpulan yang ramai
dengan izin Allah?" (Al-Baqarah)
Yakni mereka dapat mengalahkan kumpulan yang ramai itu dengan sebab mereka
mempunyai hubungan dengan Allah selaku sumber kekuatan yang pertama dan kerana
mereka mengambil kekuatan mereka dari Allah satu-satunya sumber seluruh kekuatan
dan kemuliaan.
Sikap seseorang Muslim terhadap kuasa-kuasa 'alam pula ialah sikap beramah-tamah
dan bersahabat bukan sikap takut-takut dan bermusuh, kerana kekuatan manusia dan
kekuatan 'alam adalah terbit dari kehendak iradat Allah belaka dan kedua-duanya
dikendalikan oleh kehendak iradat Allah, kedua-duanya berlangsung seimbang dan
saling membantu dalam pergerakan dan tujuan.
'Aqidah seseorang Muslim menyarankan bahawa Allah telah menciptakan kuasa-kuasa
'alam itu untuk menjadi sahabat dan teman pembantu yang boleh bekerjasama dan
untuk menjalinkan persahabatan itu ia harus mengkaji, mengenalpasti dan
bekerjasama dengannya serta bersama-sama bertawajjuh kepada Allah selaku
Tuhannya dan Tuhan kuasa-kuasa itu. Dan andainya kuasa-kuasa itu kadang-kadang
mendatangkan kemerbahayaan kepada manusia, maka itu hanya merupakan akibat dari
sikap manusia yang tidak mengkajinya dengan teliti dan tidak mempunyai
pengetahuan yang cukup tentang undang-undang perjalanannya.
Biasanya orang-orang Barat yang mewarisi kepercayaan Jahiliyah Roman menggunakan
ungkapan "menakluk 'alam" untuk menyatakan sesuatu kejayaan mempergunakan
kuasa-kuasa 'alam. Ungkapan ini jelas menggambarkan satu pandangan Jahihyah yang
putus hubungan dengan Allah dan dengan roh 'alam buana yang patuh kepada Allah,
sedangkan seseorang Muslim yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah
Tuhannya yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih, juga mempunyai hubungan yang
mesra dengan roh 'alam buana yang bertasbih kepada Allah Tuhan yang memelihara
semesta 'alam adalah tetap beranggapan bahawa di sana ada lagi hubungan yang
lain dari hubungan menakluk yang kasar itu. Ia beranggapan bahawa Allah itulah
Pencipta seluruh kuasa-kuasa 'alam itu, Allah menciptakan kuasa-kuasa itu
mengikut satu peraturan yang sama supaya manusia dapat bekerjasama dengan-Nya
untuk mencapai matlamat-matlamat yang telah ditentukan kepadanya mengikut
peraturan itu. Sejak dari awal kuasa-kuasa itu telah diciptakan Allah supaya
dapat digunakan oleh manusia, kerana itu Allah memberi kemudahan-kemudahan
kepada mereka untuk menemui rahsia-rahsia kuasa itu dan mengenalpastikan
peraturan-peraturannya. Oleh sebab itu manusia harus bersyukur kepada Allah
apabila ia berjaya mendapat pertolongan dari mana-mana kuasa itu kerana Allahlah
yang menundukkan kuasa-kuasa itu untuk digunakan mereka dan bukan mereka yang
dapat menaklukinya. Firman Allah 'Azzawajalla:
29. "Dialah yang menciptakan untuk kamu segala apa yang ada di bumi."
(Al-Baqarah)
Dengan sikap sedemikian hati seorang Muslim tidak akan dipenuhi dengan
anggapan-anggapan yang salah terhadap kuasa-kuasa 'alam dan tidak akan timbul
perasaan-perasaan cemas dan takut terhadap kuasa-kuasa itu. Ia hanya beriman,
menyembah dan memohon pertolongan kepada Allah yang Tunggal sahaja, kerana
kuasa-kuasa 'alam itu adalah dari ciptaan Allah belaka. Ia mengkaji dan
mempelajari rahsia-rahsia kuasa 'alam dan dari kajiannya itulah ia mendapat
pertolongan dari kuasa-kuasa itu dan mengetahui rahsia-rahsianya dan
membolehkannya hidup bersama-sama kuasa-kuasa itu di sebuah 'alam yang mesra dan
dalam hubungan persahabatan yang baik. Alangkah indahnya sabda Rasulullah SAW
ketika beliau merenung Bukit Uhud:
"Bukit ini sayang kepada kita dan kita juga sayang kepadanya."
Dalam kata-kata ini terbayang segala perasaan kasih mesra yang tersemat di dalam
hati Muslim yang utama Muhammad SAW yang terjalin di antaranya dengan
kejadian-kejadian 'alam di ruangnya yang besar dan kasar.
=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-
Setelah menjelaskan dasar-dasar 'aqidah yang asasi dalam kefahaman Islam dan
menjelaskan konsep tawajjuh kepada Allah yang Tunggal, iaitu konsep yang
menentukan segala 'ibadat dan memohon pertolongan kepada Allah yang Tunggal
sahaja, maka ayat yang berikut menjelaskan pula cara 'amali untuk bertawajjuh
dengan berdoa kepada Allah dalam bentuknya yang umum sesuai dengan suasana dan
sifat surah ini.
6. "Tunjukkan kami jalan yang lurus."
Maksudnya kurniakan Taufik kepada kami untuk mengenalpasti jalan yang lurus dan
selepas mengenalinya kurniakanlah pula Taufik kepada kami untuk mengikut jalan
yang lurus itu dengan penuh kejujuran.
Mengenal dan berjalan di atas jalan yang lurus itu merupakan hasil dari hidayah,
pemeliharaan dan rahmat Allah. Bertawajjuh kepada Allah dengan berdoa merupakan
hasil dari kepercayaan bahawa Allah itulah satu-satunya Tuhan yang berkuasa
memberi pertolongan.
Hidayah inilah merupakan perkara yang paling penting bagi seseorang mu'min. Ia
merupakan perkara utama yang harus dipinta pertolongan Allah untuk
mencapaikannya. Mendapat Hidayah ke jalan lurus itulah jaminan kebahagiaan hidup
di dunia dan Akhirat. Hidayah ke jalan yang lurus pada hakikatnya ialah Hidayah
untuk memimpin fitrah manusia kepada undang-undang Allah yang mengatur dan
memperseimbangankan di antara harakat manusia dengan harakat 'alam al-wujud
seluruhnya menuju kepada Allah Tuhan Semesta 'Alam.
Ayat yang berikut menjelaskan sifat jalan yang lurus itu:
7. "Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni'mat ke atas mereka,
bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang
sesat"
Yakni jalan orang-orang yang Allah kurniakan ni'mat-Nya kepada mereka bukan
jalan orang-orang yang dimurkai-Nya, iaitu mereka yang mengenal jalan yang
benar, kemudian mereka menyimpang darinya atau mereka yang sesat terus dari
mula-mula lagi dari jalan yang benar. Jalan yang lurus ialah jalan orang-orang
yang berbahagia, yang mendapat hidayah dan sampai kepada Allah.
Di samping itu, inilah surah yang dipilih untuk dibaca berulang-ulang kali dalam
setiap solat dan mana-mana solat tidak sah tanpa membacanya. Walaupun surah ini
pendek namun ia mengandungi dasar-dasar 'aqidah yang asasi dalam kefahaman Islam
dan mengandungi tawajjuh atau doa-doa kepada Allah secara sedar yang terbit dari
kefahaman itu.
Tersebut dalam Sohih Muslim dari hadith al-'Ala' ibn Abdur Rahman Maula
al-Harqah dari bapanya Abu Hurairah dari Rasulullah SAW:
Firman Allah Ta'ala: "Aku telah membahagikan solat (al-Fatihah) kepada dua
bahagian, separuhnya untuk-Ku dan separuh lagi untuk hamba-Ku dan untuk hamba-Ku
apa sahaja yang dipohonkan kepada-Ku," apabila hamba-Ku berkata:
(alhamdulillahirabbil'alamin) Allah menjawab: "Hamba-Ku telah memuji-Ku" apabila
hamba itu berkata: (arrahmanirrahim) Allah menjawab: Hamba-Ku telah memberi
sanjungan kepada-Ku:" apabila hamba itu berkata: (malikiyaumiddin) Allah
menjawab: "Hamba-Ku telah mengagung-agungkan-Ku dan apabila hamba itu berkata:
(iyakana'buduwaiya kanasta'in) Allah menjawab: "Ini di antara hamba-Ku dengan
Aku dan untuk hamba-Ku apa sahaja yang dipohonkan kepada-Ku," apabila hamba itu
berkata: (ihdinassira tal mustaqim siratallazi naan 'am ta 'alaihim ghairil
maghdu bi 'alaihim waladdha lin) Allah menjawab: "Ini untuk hamba-Ku dan untuk
hamba-Ku apa sahaja yang dipohonkan kepada-Ku."
Setelah maksud ayat-ayat itu dihuraikan dengan jelas ternyatalah kepada kita
bahawa hadith yang sohih ini telah mendedahkan salah satu daripada rahsia-rahsia
(kebesaran) surah al-Fatihah ini yang dipilih sebagai surah yang dibaca oleh
setiap Muslim sebanyak tujuh belas kali sehari semalam atau sebanyak mana yang
disukainya apabila ia berdoa kepada Allah di dalam solat.