Dalam
bahang terik mentari, di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi
Ibrahim a.s. terus menunggang unta bersama Siti Hajar. Walaupun perjalanan agak
sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya
ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang
itu.
Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah
tidak akan menganiaya hamba-hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah
itu.Setelah lebih kurang 6 bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah. Nabi
Ibrahim memilih salah sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim
a.s. turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.
Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan,
sedikitpun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara
memberitahu isterinya tentang perintah Allah SWT itu. Sepanjang perjalanan tadi
lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.
Setelah Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim a.s. bersiap
sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang
bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu : "Wahai
suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?" Tanpa memandang
wajah isterinya yang dicintainya, Nabi Ibrahim a.s. hanya mampu menganggukkan
kepala. ""Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini,
ampunkanlah aku. Aku tak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang
kering kontang ini." ""Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu..." ""Kalau
bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa.
Tergamakkah engkau meninggalkannya?" Hati Nabi Ibrahim a.s bagai disayat-sayat.
Pilu dan pedih hatinya, hanya Allah SWT yang tahu. "Tidak, bukan itu maksudku.
Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah SWT."
Bila
disebut ia perintah Allah SWT, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus
merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia
yakin kalau tidak kerana perintah Allah SWT, masakan sanggup suaminya
meninggalkan dia serta anaknya di situ. Dia sedaya upaya menguatkan pergantungan
dan pertolongan kepada Allah SWT. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah
hikmah di sebalik perintah Allah SWT itu? Sewaktu gelodak hatinya semakin
memuncak, dengan rahmat Allah SWT, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu
masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia
dari serata pelusuk dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah
SWT.
Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan ALlah, dengan
menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan... Lalu dengan hati yang berat tetapi
penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya : "Jika benar ia adalah
perintah Allah SWT, tinggalkanlah kami di sini. Aku redha ditinggalkan" suara
Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya yang berlinangan. Ditabahkan
hatinya dengan berkata : "Tentang keselamatan kami, serahkanlah urusan itu
kepada Allah SWT. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang
lemah ini."
Siti
Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta redha di atas
segala perbuatannya selama mereka bersama. "Cuma...," katanya lagi, "doakanlah
agar datang pembelaan Allah SWT kepada kami." Nabi Ibrahim a.s sangat terharu
dan bersyukur. Isterinya Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera
mengangkat tangannya untuk berdoa :
"Ya
Tuhan kami, aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa
pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan
mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka,
kurniakanlah rezeki pada mereka dari buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur
kepada-Mu.�
Menitis airmatanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati
suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang
sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan yang
padu pada janji Allah SWT, ditunaikan juga perintah Allah SWT walaupun risiko
yang bakal dihadapi adalah besar. Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri
dan anaknya, Nabi Ibrahim a.s terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan
mereka terus kepada Allah SWT.
Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah di dalam pelukannya.
Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati
untuk menerima segala kemungkinan yang akan berlaku. Tidak lama selepas
pemergian Nabi Ibrahim a.s, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya
juga telah kering sama sekali. Anaknya Ismail a.s menangis kehausan. Siti Hajar
hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang
kering kontang itu?
Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air
bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya
hanyalah fatamorgana. Namun SIti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain dia
ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata
air. Diapun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang
dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia telah berulang-alik sebanyak
tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air.
Walaupun tubuhnya telah keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air,
namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang telah
kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke bumi.
Tiba-tiba dengan rahmat Allah SWT, sedang Siti Hajar mencari-cari air,
terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail a.s. Waktu itu
gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan
terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.." yang bermaksud, berkumpullah,
kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku."
Selepas peristiwa itu, kabilah-kabilah yang berlalu akan berhenti untuk
mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Mekah) kerana
dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah SWT. Sengaja didatangkan
sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Mekah menjadi tumpuan manusia
untuk berdatangan.
Ya,
Siti Hajar, seorang wanita solehah yang merupakan isteri Nabi yang paling
dicintai ALlah SWT, adalah perintis kepada semua peristiwa itu, hingga Makkah
sekarang menjadi tempat yang paling diberkati dan aman.