Sedekah -
Pendinding api neraka
Oleh ZUARIDA MOHYIN
BERSEDEKAH, di antara amalan sunat yang dianjurkan dan digalakkan kepada umat
Islam, tidak kira status atau taraf hidup mereka.Malah amalan mulia ini bukan
hanya kepada orang-orang kaya, tetapi mereka yang berpendapatan rendah juga
disarankan melakukannya, menurut kadar kemampuan masing-masing.
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda : Tangan yang di atas (orang yang memberi) itu
lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).
Apatah lagi dalam kita melaksanakan ibadah puasa pada bulan Ramadan, yang
merupakan bulan rahmat, bulan keampunan, bulan diturunkan di dalamnya al-Quran,
bulan jihad dan bulan dilipatgandakan ganjaran pahala.
Oleh kerana hari ini genap 10 hari kita berpuasa, maka masih tidak terlambat
lagi untuk merebut ganjaran pahala daripada amalan sedekah sempena bulan penuh
keberkatan ini.
Sayangnya amalan bersedekah ini semacam bermusim, hatta pada bulan Ramadan jika
dibandingkan dengan bulan-bulan lain.
Semoga panduan dan pesanan daripada Ketua Unit Syariah dan Penerangan, Pusat
Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Shukri Yusoff yang
ditemui baru-baru ini, dapat dijadikan bimbingan bersama.
Soalan: Apakah pengertian sedekah dan terangkan bentuk-bentuk sedekah
sebagaimana yang disarankan oleh Islam?
Jawapan: Sedekah itu berasal daripada perkataan bahasa Arab, iaitu as-Sadakah :
benar. Jadi apabila kita sebut tentang keimanan mahupun keyakinan kepada janji
Allah s.w.t., sudah tentu di sana perlu kepada pembuktian.
Jelaslah sedekah itu adalah sebagai bentuk pembuktian kepada kebenaran iman kita
dengan mengeluarkan sebahagian daripada harta kita yang Allah s.w.t. kurniakan.
Malah apabila kita menyebut sedekah ini, hukumnya sunat, berbeza dengan nazar
dan zakat.
Pun begitu, apabila kita menyentuh tentang bentuk-bentuk sedekah, segolongan
orang miskin di kalangan sahabat telah mendatangi Baginda lalu bertanya: "Ya
Rasulullah orang kaya telah menguasai segala pahala kebaikan, mereka sembahyang,
puasa seperti yang kami lakukan. Malah mereka mampu pula bersedekah dengan
kelebihan harta mereka sedangkan kami tidak boleh?'' Jawab Baginda: Tidakkah
Allah telah membuatkan untuk kamu semua itu sesuatu yang kamu boleh sedekahkan.
(Riwayat Muslim)
Di dalam hadis ini, Nabi hendak menceritakan tentang bentuk-bentuk sedekah yang
disebut di dalam hadis ini, iaitu Sesungguhnya bertasbih itu merupakan sedekah
dan setiap takbir juga merupakan sedekah, tahmid dan tahlil juga adalah bentuk
sedekah. Selain itu, setiap perkara atau perintah untuk membuat makruf, melarang
orang membuat mungkar, itu juga adalah sedekah. Bersama atau bergaul dengan
isteri, itu juga dikira sedekah.
Apabila sampai kepada soalan bersama dengan isteri, maka sahabat bertanya lagi:
"Adakah kami mendatangi isteri kami ini juga dikatakan sebagai satu bentuk
sedekah? Lantas jawab Baginda: Apabila kamu mendatangi isteri kamu dan
menunaikan hajat kamu, maka kamu akan mendapat pahala tetapi jika kamu
mendatangi wanita lain yang bukan isteri kamu, sudah tentu ini merupakan satu
bentuk dosa.
Hadis ini sebenarnya juga tidak bermaksud, apabila kita melakukan
perkara-perkara di atas, menandakan kita sudah terlepas daripada melaksanakan
tanggungjawab bersedekah.
Gembira
Apa yang Rasulullah ingin tegaskan di sini, hanya sebagai satu berita gembira
kepada orang yang tidak berkemampuan melakukan sedekah kebendaan.
Pun begitu, makna sedekah yang sebenar-benarnya mengikut takrif ajaran Islam,
ialah dalam bentuk harta, duit, aset dan sebagainya.
Mengapakah sedekah ini perlu dalam bentuk harta? Ini kerana kalau sebut sahaja
harta, duit, barangan atau aset, pastinya ia adalah sesuatu yang amat berharga
dan amat disayangi. Berbeza kalau kita kita bersedekah dengan tenaga. Ia
diumpamakan seperti tidak ada sebarang makna atau nilai.
Selain itu, perkataan sedekah jika bersandarkan kepada al-Quran dan hadis,
sebenarnya ia dalam bentuk harta. Ini ditekankan lagi, apabila Nabi s.a.w.
membuat contoh, bersedekahlah kamu walaupun dengan separuh daripada tamar. Nabi
menggunakan benda, ini menjelaskan bahawa sedekah dalam konsep Islam ialah harta
benda tanpa menafikan sedekah dalam bentuk-bentuk lain.
Segelintir berpendapat, sekiranya sedekah itu sunat, maka pekerjaan ini boleh
dibuat ataupun ditinggalkan. Adakah begitu juga kepada amalan bersedekah?
Itu memanglah betul tetapi sebenarnya di dalam hidup kita, kalau boleh kita
hendak mencapai darjat yang paling tinggi di sisi Allah s.w.t.
Hakikatnya, tawaran syurga yang Allah berikan kepada kita itu, terdapat banyak
pintu, di antaranya Babus Sadakah iaitu Pintu Sedekah. Jadi mudah-mudahan, jika
sedekah ini kita dapat jadikan sebagai satu budaya di dalam kehidupan,
insya-Allah kita akan berpeluang masuk melalui pintu ini.
Diseru
Hal ini diperkukuhkan dengan hadis sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Sesiapa
yang membelanjakan sepasang kuda, unta atau sebagainya untuk digunakan dalam
perjuangan di jalan Allah, maka namanya diseru dari dalam Syurga: ''Wahai hamba
Allah! Pintu ini adalah lebih baik. Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli
sembahyang (orang yang sempurna sembahyangnya) maka dia diseru dari Bab Solat
(pintu sembahyang). Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli Jihad (orang yang
berjuang di jalan Allah), maka dia diseru dari Bab Jihad (pintu jihad). Sesiapa
yang tergolong dari kalangan ahli Sadaqah (orang yang suka bersedekah), maka dia
diseru dari Bab Sadaqah (pintu sedekah) dan sesiapa yang tergolong dari golongan
orang yang suka berpuasa, maka dia akan diseru dari Bab Ar-Rayyan (pintu
Ar-Rayyan).'' Abu Bakar As-Siddiq bertanya: ''Wahai Rasulullah! Adakah setiap
orang semestinya akan diseru dari pintu-pintu tersebut. Adakah tidak mungkin
seseorang itu diseru dari kesemua pintu? Rasulullah s.a.w. bersabda: Benar! Aku
berharap bahawa engkau termasuk di antara orang yang namanya diseru dari semua
pintu. (Riwayat Muslim)
Keutamaan bersedekah adalah lebih digalakkan pada bulan Ramadan berbanding
bulan-bulan lain. Apakah keistimewaannya bersedekah pada bulan ini?
Rasulullah s.a.w. ditanya: "Wahai Rasulullah, apakah bentuk sedekah yang paling
afdal?'' Jawab Baginda: Kamu bersedekah dalam bulan Ramadan. (Riwayat Muslim)
Bulan Ramadan ini banyak keistimewaannya; Pertama, ia adalah nas, Rasulullah
bersabda: Kelebihan orang yang bersedekah dalam bulan Ramadan ini, ia umpama
satu akademik untuk melatih. Apatah lagi, tujuan yang paling besar daripada
ibadah Ramadan ini sebagaimana yang ditegaskan di dalam surah al-Baqarah ayat
183 bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
Jadi, di antara bentuk bukti ketakwaan itu ialah sekiranya berharta, maka
diinfakkan atau disedekahkan.
Amalan
Kedua, amalan sunat sepanjang sebulan pada bulan Ramadan ini, diletakkan oleh
Allah seolah-olah dia melakukan perkara-perkara wajib. Pahala itu memang
berbeza. Manakala, perkara wajib pula, digandakan sebanyak 70 kali.
Sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis bermaksud:
Menunaikan perkara-perkara sunat dalam bulan Ramadan dikira melakukan perkara
fardu di bulan yang lain. Manakala, melaksanakan satu kefarduan sepanjang bulan
ini, adalah seolah-olah melakukan 70 kefarduan pada bulan lain.
Selain itu, Ramadan seringkali juga dikaitkan dengan pekerjaan-pekerjaan untuk
menolong dan meringankan bebanan orang susah. Tambahan pula Baginda menggelarkan
bulan Ramadan sebagai `shahrul musawah' atau bulan prihatin.
Di samping itu, sabda Rasulullah: Kalau manusia tahu kelebihan Ramadan, nescaya
mereka mahu setiap tahun itu Ramadan.
Di dalam hadis lain pula diterangkan, daripada Jabir, katanya, "Apabila akhir
malam Ramadan, maka menangis langit dan bumi, dan malaikat kerana musibah yang
menimpa umat Muhamad." Lalu para sahabat bertanya, Apakah musibah itu?" Kata
Nabi s.a.w. "Kerana perginya Ramadan. Doa di dalam bulan Ramadan adalah
mustajab, sedekah diterima, kebaikan digandakan dan azab pula ditolak.
Kategori penerima yang bagaimanakah layak menerima pemberian sedekah serta
apakah aspek yang menjadi keutamaan dalam amalan ini?
Dalam hal ini sedekah yang paling perlu kita berikan ialah kepada kaum kerabat
kita. Mengapa Nabi sebutkan begitu? Menurut Baginda, apabila kita memberi kepada
kaum kerabat, kita akan memperoleh dua pahala, iaitu pahala menghubungkan
silaturahim dan kedua, pahala sedekah itu sendiri.
Juga ditegaskan di sini, supaya kita tidak sekadar melihat orang jauh tetapi
melihat mereka yang rapat dengan kita, seperti ibu bapa, adik-beradik, bapa atau
emak saudara, sepupu. Ini juga tidak bermaksud kita tidak perlu membantu orang
jauh tetapi janganlah sehingga meminggirkan orang yang terdekat dengan kita.
Saranan
Bayangkan sekiranya semua umat Islam melakukan seperti saranan Rasulullah,
insya-Allah tidaklah kesusahan yang wujud membawa kepada kehidupan yang melarat
sehingga tidak cukup makan dan minum atau perkara-perkara asas di dalam
kehidupan.
Di samping itu, mereka yang bersedekah ini, Allah s.w.t. janjikan kepadanya
syurga dan merupakan pendinding daripada api neraka, dan amalan ini juga dapat
menjinakkan hati kita sekali gus membuang sifat kesombongan yang wujud di dalam
diri.
Ia sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud: Sesiapa yang sanggup mendinding
dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma,
maka hendaklah dia lakukan. (Riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis yang lain daripada Anas, Baginda bersabda bermaksud:
Bersedekahlah kamu, sesungguhnya bersedekah itu melepaskan kamu daripada
Jahanam.
Begitulah betapa besarnya kelebihan yang akan diperoleh oleh mereka yang
bersedekah. Selain itu, bersedekah juga dianjurkan kepada orang lain, sama ada
individu atau kumpulan, institusi yang memberikan kita pendidikan serta tidak
ketinggalan institusi kebajikan yang sentiasa memerlukan bantuan dan sumbangan
para dermawan.
Anjuran bersedekah ini juga digalakkan kepada golongan orang miskin, cuma yang
betul-betul Nabi tekankan ialah jangan mengabaikan mereka yang dekat dengan
kita, terutamanya anak yatim.
Ia berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Balad ayat 15 bermaksud:
(kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat.
Ada hadis yang menyuruh kita bersedekah dengan benda-benda yang elok tetapi yang
banyak berlaku sekarang, orang bersedekah dengan benda-benda yang sudah tidak
diperlukan lagi?
Seelok-eloknya, apabila kita hendak bersedekah, hendaklah kita memberi benda
yang terbaik. Firman Allah bermaksud: Kamu sekali-kali tidak sampai kepada
kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu manafkahkan sebahagian harta yang kamu
cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahui.
(Ali Imran: 92)
Mendidik
Ini menjelaskan bahawa al-Quran mendidik manusia supaya menyumbang atau
bersedekah dengan apa yang kita sayang untuk mencapai darjat kebaikan. Maka
apabila kita bersedekah dengan benda yang tidak kita sayangi atau tidak
diperlukan lagi, ia sudah bercanggah dengan kehendak dan suruhan Allah kepada
kita untuk bersedekah.
Tidak dinafikan juga ada orang yang bersedekah dengan alasan jika tidak
diberikan, ia tetap akan dibuang atau menjadi sampah, jadi satu cara ialah
dengan bersedekah dan itulah yang berlaku semasa bencana tsunami melanda
beberapa buah negara di Asia Tenggara, apabila mereka menerima pakaian yang
sewajarnya dilupuskan.
Di sinilah terletaknya sikap kita yang tidak prihatin dan mengambil peluang di
atas nama sedekah itu untuk berbuat sebegitu. Hakikatnya, orang Islam atau
saudara sesama Islam ini, mereka mempunyai harga diri. Sudahlah dia berada di
dalam keadaan susah, kemudian melihat pula bantuan yang tidak seberapa, ia
bukannya dianggap sebagai pertolongan kepada mereka, malah satu bentuk hinaan.
Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku.
Bagaimana pula halnya mereka yang memberitahu kekurangan barang tersebut sebelum
mensedekahkannya dan menyuruh penerima tersebut membuangnya jika mereka tidak
menyukainya?
Benda yang hendak disedekahkan itu, mestilah benda yang baik dan boleh dipakai.
Sekiranya ia tidak menepati ciri-ciri ini, maka tidak boleh atau tidak sesuai
atau tidak menepati ciri barangan untuk dijadikan sedekah.
Ia bersesuaian dengan sebuah kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w..
Seorang sahabat meninggal dunia, jadi lelaki tersebut menyebut beberapa perkara
sebelum kematiannya.
Di antara tiga perkara yang disebut ialah pertama, Alangkah baik kalau banyak.
Kedua, alangkah baik kalau baru dan ketiga, alangkah baik kalau semua sekali.
Maksud daripada 'alangkah baik kalau banyak' ialah, pada suatu hari dia memimpin
seorang buta ke masjid. Kemudian apabila sampai ke masjid dipastikan semua
urusan si buta itu tadi selesai. Sebelum kematiannya, dia nampak pahala daripada
bantuannya. Sebab itulah perasaan terkilannya diluahkan dengan kata-kata
tersebut.
Sementara luahan 'alangkah baik kalau baru' pula dikaitkan dengan bantuannya
memberikan baju sejuk yang lama kepada seorang sahabat sewaktu menuju ke masjid.
Sedangkan baju yang baru, ia pakai.
Begitu juga dengan kekesalan yang ketiga, iaitu sewaktu rumahnya didatangi oleh
seorang miskin yang meminta makanan. Kebetulan di rumahnya ada sekeping roti,
jadi diberikan separuh daripadanya sahaja. Pemberian separuh itulah menimbulkan
penyesalannya kerana tidak diberikan kesemua roti itu.
Itulah yang dikatakan nilai kebaikan atau nilai sedekah yang perlu manusia buat
di dalam kehidupan.
Adakah kisah-kisah yang boleh dikongsikan dengan pembaca mengenai sejarah Nabi
bersedekah pada bulan puasa?
Tidak ada disebut secara tepat, cuma dibayangkan pada bulan puasa ini ialah
sifat pemurah Baginda sebagaimana diceritakan oleh Aisyah: "Seperti angin yang
bertiupan." Buktinya sehinggakan Baginda tidak meninggalkan sebarang harta
selepas pemergiannya.
Sekarang ini, sikap prihatin, sedih dan insaf tidak cukup. Selain itu, seseorang
mestilah bertindak mengambil sesuatu langkah yang diperlukan. Barulah ada
maknanya rasa kasihan dan sedih.
Rasulullah s.a.w. ada menyebut mengenai suruhan dan galakan bersedekah,
sebagaimana Baginda bersabda yang maksudnya: Mana-mana orang mukmin yang memberi
makanan kepada seorang mukmin yang lain kerana kelaparan, maka Allah akan
memberi makanan kepadanya pada Hari Kiamat daripada buah-buahan Syurga. Dan
mana-mana orang mukmin yang memberi minuman kepada seorang mukmin yang lain
kerana kehausan, maka Allah akan memberi minuman kepadanya pada Hari Kiamat
daripada tamar Syurga yang termetri bekasnya. Dan mana-mana orang mukmin yang
memberi pakaian kepada seorang mukmin yang lain kerana tidak berpakaian, maka
Allah akan memberi pakaian kepadanya daripada pakaian Syurga yang berwarna
hijau. (Riwayat Tirmizi dan Abu Daud). Sila huraikan maksud hadis ini?
Di dalam konteks hadis Ibnu Khuzaimah, Rasulullah bersabda: Sesiapa yang memberi
orang berpuasa, makanan untuk berbuka puasa. Istilah `sha-iman' iaitu orang
berpuasa, ia umum tidak mengira orang yang kaya ataupun miskin.
Cuma sekiranya, kita pasti ada orang yang susah dan ada orang yang kaya,
tentulah kita memberi kepada orang susah dan itu adalah lebih afdal.
Pun begitu, kalau diambil konteks hadis di atas ialah umum, maka makanan
tersebut boleh diberi kepada sesiapa sahaja yang berpuasa tidak kira apa taraf
hidup mereka.
Bagaimanakah amalan bersedekah ini boleh kita jadikan satu bentuk kebiasaan atau
menjadi budaya dan tidak hanya popular atau semarak pada bulan Ramadan?
Bulan Ramadan orang mengejar kepada ganjaran pahalanya yang berlipat kali ganda
tetapi sebenarnya, kehidupan kita ini bukan hanya di dalam satu bulan ini
sahaja.
Sepatutnya bulan ini dijadikan satu masa atau tempoh latihan, tarbiah atau
pendidikan. Malah ia tidak terbatas kepada sedekah sahaja tetapi amalan-amalan
sunat yang lain seperti qiamullail, tadarus al-Quran, berbuat baik dan banyak
lagi.
Bagi saya dan menerusi penelitian sendiri, tempoh 30 hari ini, cukup untuk
menjadikan bersedekah itu satu budaya kepada kita tetapi dengan syarat,
ditanamkan kesungguhan, keazaman dan niat yang ikhlas.
Soal sedekah ini payah dilakukan kerana ia melibatkan satu sumbangan benda yang
kita sayangi. Berbeza dengan amalan lain seperti sembahyang, berzikir, bantuan
tenaga dan lainnya. Apatah lagi, pulangan daripada sedekah ini tidak nampak
dengan mata kasar.
Hakikatnya, apabila kita bersedekah, harta kita bertambah. Inilah janji Allah
kepada mereka yang melaksanakannya sejajar dengan hadis Baginda bermaksud: Ya
Allah, berikanlah orang yang menginfakkan harta mereka dan bersedekah itu
balasannya. Doa ini bukan sahaja daripada orang miskin tetapi doa malaikat itu
sendiri.
Bagaimana pula dengan sindiket-sindiket tertentu yang menggunakan penipuan dalam
meminta sedekah?
Apabila kita bersedekah, ganjaran pahalanya tetap diperoleh. Pernah berlaku pada
zaman Nabi, orang bersedekah kepada penzina, orang kaya dan pencuri. Ramai
kalangan sahabat mempersoalkannya. Malah Nabi membenarkannya dengan harapan
melalui pemberian sedekah tersebut ia membantu mengubah mereka ke arah yang
lebih baik.
Barangkali sedekah ini agak sukar dilakukan kerana syaitan sentiasa membisikkan
kepada manusia bahawa dengan bersedekah kamu akan fakir.
Kita mungkin tidak terfikir sehingga ke tahap miskin tetapi `habis duit aku'.
Itu sebenarnya bisikan syaitan, sedangkan banyak janji Allah bagi orang yang
banyak melakukan sedekah sehingga dengan melakukannya, ia boleh memadamkan
kemarahan dan kemurkaan Allah.
Selain itu juga, sedekah juga membina akhlak manusia itu. Ia bukan sekadar
bercakap baik tetapi akhlak pun baik, dan ia perlu datang dari hati. Oleh itu,
hati ini kita kena pupuk, termasuklah membuangkan rasa cinta pada dunia dengan
jalan bersedekah.