Penghulu Wanita Di Syurga
Syidatina Fatimah r.ha : Penghulu Wanita DiSyurga
Dia membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda
dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, dialah yang mengambil
alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas rumah dan
menguruskan keperluan ayahandanya.
Di sebalik kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang paling kuat beribadah.
Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang
telah pergi itu, tidak pula menghalang Sayidatina Fatimah daripada bermunajata
dan beribadah kepada Allah SWT. Malam- malam yang dilalui, diisi dengan tahajud,
zikir dan siangnya pula dengan sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan
lain-lain. Setiap hari, suara halusnya mengalunkan irama Al Quran.
Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan pemuda yang sangat
miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun
suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah SAW. Setelah berkahwin
kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan penuh
ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah, suaminya Sayidina Ali
merupakan orang kepercayaan Rasulullah SAW yang diamanahkan untuk berada di
barisan hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah
ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya.
Namun dia tetap redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan
belaian mesra daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah r.ha,
saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan
Allah SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.
Sepanjang pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil menjadi
temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab
dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah dia sejauh
hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah
bahang mentari padang pasir yang terik. Kadangkala dia berlapar sepanjang hari.
Sering pula dia berpuasa dan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di
dadanya.
Pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum,
Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat keletihan
ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa
dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan
anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali,
kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw
merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu,
sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia
untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan
ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat
tempat di sisi-Nya.
Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah.
Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala
penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada Sayidina
Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darjatnya. Sayidatina Fatimah tidak pernah
mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia
meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya.
Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu
bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang
kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia
tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan
sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan. Memang cocok sekali pasangan
Sayidina Ali ini kerana Sayidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga
digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah.
Namun, pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali
tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayidatina Fatimah
segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya
tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak dia mengelilingi Sayidina Ali.
Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan
aksi Sayidatina Fatimah itu, tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan
isterinya itu.
"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu,
nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi
amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan baginda.
Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin
bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat
berhalus di saat berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu
bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah,
meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain keranah yang menyusahkan
Sayidina Ali k.w. Pun Rasulullah SAW berkata begitu terhadapnya.
Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah.
Dia juga turut bersama Rasulullah semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan
ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam
perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh sakit. Sayidatina
Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke
telinga Fatimah r.ha yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan
sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.
Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian
baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang
akan berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina
Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28
tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah.
Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam
al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat begitu oleh
Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir
kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang lain.
Mereka tidak sempat berlaku sombong serta membangga diri atau bersenang-senang.
Sebaliknya, dengan kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk
sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri),
tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar
bertaqwa kepada Allah SWT. Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat
adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan
ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya,
biarpun diri mereka menderita.