PEMINUM ARAK
(seperti yang diceritakan oleh Tuan Haji Muda Ibrahim)
Pengalaman berhadapan jenazah aneh yang pernah saya temui tidak terhenti setakat
itu, malah ada yang lebih merobek perasaan saya iaitu ketika menguruskan jenazah
seorang lelaki yang dijumpai tersepit di dalam keretanya yang remuk setelah
merempuh pagar sebuah jambatan, kira-kira 15 tahun yang lalu.
Lelaki yang dalam linkungan 50-an itu meninggal dunia di tempat kejadian. Apa
yang mengejutkan ialah bersamanya dua orang wanita muda, cantik yang turut
meninggal dunia di situ, Apa yang orang kampung tahu mereka bukan isteri atau
anak saudara lelaki tersebut malah kedua-dua wanita tersebut bukan orang
tempatan.
Di samping itu, botol-botol arak dilihat bergelimpangan di dalam keretanya.
Walaupun tujuan mereka datang ke sini untuk melancong, tetapi kalau sudah
berkepit dengan perempuan, itu jelas bercanggah dengan agama dan sopan santun
kita. Beberapa hari sebelum kemalangan yang menimpanya, orang kampung ada
melihat mereka bersiar-siar di pantai, tetapi tidak tahu di mana pula mereka
bermalam.
Lelaki yang meninggal itu sebenarnya seorang pegawai eksekutif di sebuah
syarikat swasta dan orang ramai memang tahu dia adalah kaki arak dan gemar
berfoya-foya dengan wanita-wanita cantik yang silih berganti.
Allah Maha Adil, perbuatan maksiatnya itu tetap dibalas Tuhan. Jenazahnya ada
sedikit masalah. Namun nasib dia tu baik kerana mujurlah ada orang kampung yang
sanggup menolong membawa mayatnya ke hospital dan beberapa orang kakitangan
pejabatnya sanggup menguruskan jenazah beliau. Jika tidak, tidak tahulah apa
akan terjadi.
Malah saya sendiri tak sampai hati untuk membiarkan jenazahnya begitu sahaja dan
saya sempurnakan sehinggalah siap dia dikapankan. Apabila saya ingat-ingatkan
kembali saat saya membuka kain putih yang menutup jasanya, memang ia adalah
pengalaman ngeri yang sukar dilupakan.
Ya Allah, sungguh dahsyat! Lidahnya terjelir sehingga sejengkal. Tak sanggup
saya menatapnya lama-lama. Jadi sebelum memandikannya, saya cuba masukkan
kembali lidahnya yang terjelir itu ke dalam mulutnya agar tidak nampak ngerinya,
namun lidahnya itu jatuh terjelir balik. Kemudian saya cuba lipat dan gulungkan
lidahnya itu, masih lagi gagal. Lantaran itu saya biarkan lidahnya terjelir
begitu sahaja kerana bimbang kalau dipaksa juga nanti menyakitkan jenazah.
Mukanya pula berubah menjadi hitam legam macam kena bakar.Pada hal lelaki itu
sebenarnya segak orangnya. Tubuh dia tu putih. Tetapi bila meninggal Allah ubah
mukanya menjadi hitam. Yang menghairankan hanya mukanya sahaja berubah jadi
hitam, manakala badannya dalam keadaan elok.
Demikianlah balasan yang Allah paparkan bagi orang yang tidak peduli soal iman.
Terlampau ikutkan nafsu. Jangan fikir apabila duit banyak dalam poket, kita
boleh buat apa sahaja yang kita mahu, kerana setiap dosa yang dilakukan itu
kadang-kadang Allah tunjukkan di dunia lagi. Sebab itulah semasa hidup kita
perlu beringat agar tidak melakukan dosa-dosa
besar. Janganlah apabila sudah nazak baru hendak bertaubat kerana ketika itu
taubat tidak diterima lagi.
Dr. Rozhan Othman, Department of Management, Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM Bangi, Selangor, Malaysia.
Tel: 6-03-829 3392 Fax: 6-03-829 3310