Pelik tapi
benar dalam solat
Oleh: ZUARIDA MOHYIN
PERNAHKAH anda melihat orang sembahyang sambil mendukung anak, sambil menoleh ke
kiri dan ke kanan, memegang al-Quran dan bagaimana bersolat di dalam kapal
terbang?
Ramai keliru dalam hal ini, apa lagi sewaktu berada di negara asing, yang
mempunyai perlakuan solat yang pelbagai rupa dan ragam.
Lantaran itu, memiliki buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat tulisan Abdul Rahman
Mohamed terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. pasti dapat mendedahkan segalanya.
Sebenarnya, anda boleh menangis ketika solat jika sedih atau menyesali perbuatan
masa lampau. Namun bagaimana anda hendak mengesat air mata? Buku ini akan
memberi demonstrasi serta panduan menoleh ke kiri dan kanan ketika solat tetapi
dengan syarat dada tidak terpaling dari arah kiblat.
Anda juga boleh melangkah ke kiri, ke kanan, ke hadapan atau ke belakang untuk
mengelakkan sesuatu yang merbahaya misalnya ada najis, benda tajam atau binatang
berbisa di tempat sujud. Malah anda juga boleh menutup suis elektrik, api dapur,
membuka pintu jika ada tetamu datang, mematikan bunyi telefon bimbit,
mententeramkan anak-anak anda yang sedang berkelahi, melekatkan kembali mikrofon
yang terjatuh, mematikan mikrofon yang berbunyi bising dan sebagainya.
Buku ini juga menerangkan bagaimana hendak menegur imam yang melakukan kesalahan
dalam bacaan atau rukun fi�li, membetulkan orang yang tersalah kiblat dan
bagaimana menjawab salam ketika solat.
Jjika berada dalam situasi kritikal seperti sedang memandu yang tidak boleh
berhenti atau berada di dalam keadaan keliling yang merbahaya untuk solat
seperti biasa sedangkan waktu solat hampir luput, turut diterangkan di dalam
buku ini. Ia sekali gus menjawab bagaimana bersolat bagi angkasawan.
Selain itu, anda jangan merasa pelik jika anak kecil boleh menjadi imam solat
sedangkan Imam Ghazali pun telah menjadi guru besar ketika berumur sembilan
tahun.
Antara persoalan lain ialah kaedah menjamak (mengumpul) dan mengqasar (memendekkan)
solat semasa musafir dan bagaimana mendirikan solat serta berwuduk ketika
terlantar sakit, wayar elektrik berselirat di tubuh serta bersimen.
Tahukah anda juga bahawa jika terpaksa atau terdesak, umat Islam boleh bersolat
di gereja atau kuil. Hukum solatnya sah tetapi makruh asalkan mematuhi
syarat-syarat tertentu.
Ini berlandaskan kepada hadis Rasulullah, Seluruh muka bumi adalah masjid dan
sebagai alat pembersih, maka siapa sahaja bila sampai padanya waktu solat, maka
hendaklah dia solat. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Buku ini juga memuatkan gambar-gambar berwarna dalam situasi sebenar untuk
panduan pembaca dengan lebih jelas.