Meraung di Pintu Neraka” 

Tazkirah 4 - “Meraung di Pintu Neraka” 

Sebagai makhluk yang bersifat baharu, sampai masanya kita akan kembali 
jua menemui Ilahi. Mungkin esok, mungkin lusa, mungkin tahun hadapan 
malah mungkin sebentar lagi. Bagaimanapun, mati bukanlah akhiran kepada 
hidup kerana apabila terpisah sahaja roh dari jasad, bermula pula satu 
alam baru yang perlu ditempuh. Itulah alam barzakh yang bakal kita lalui 
kelak. 

“Dan di belakang mereka itu barzakh sampai hari kebangkitan” 
(Al-Mukminun : Ayat 100) 

Barzakh meliputi kesemua perkuburan – di dalam tanah, di dalam api, di 
dalam perut binatang buas atau hancur di dalam air. 

Apakah sebenarnya yang akan kita tempuhi di alam barzakh nanti? Itulah 
yang perlu diketahui kerana sesungguhnya perjalanan yang bakal dilalui 
selepas nyawa dicabut Izrail amat menggetarkan. Ia menjadi teramat 
indah jika kita hidup beramal soleh tapi menjadi teramat menakutkan jika 
menghabiskan hayat dengan maksiat serta kemungkaran. 

Sebuah hadith menyebut : “apabila mayat dimasukkan ke dalam usungan dan 
dibawa ke kubur, maka ia tidak berdiam diri sebaliknya berkata-kata. 
Ucapannya didengar oleh segala makhluk kecuali manusia. Bagaimanapun, 
ucapan itu berbeza-beza antara yang soleh, yang derhaka dan yang 
bergelumang dengan maksiat. 

Kalau si mati seorang yang soleh, dengan gembiranya ia berkata; 
“Segerakanlah olehmu membawa aku ke kubur!” Tidak sabar lagi ia menunggu masa 
untuk menemui Ilahi dan mendapat balasan nikmat dariNya. Sebaliknya 
jika mayat itu semasa hidupnya suka membuat mungkar, dengan penuh 
ketakutan ia bertanya; “Ke manakah kamu semua membawa diriku ini?” Ketika itu, 
perasaan gerun terhadap balasan seksa dari Allah Azzawajalla sudah 
tidak dapat dibendung lagi. 

Seperti yang dinyatakan oleh Rasullullah saw, alam kubur itu merupakan 
tahap pertama untuk menuju akhirat. Ia tempat yang amat indah, tapi 
boleh juga menjadi tempat yang paling menggerunkan. 

Apabila mayat telah dimasukkan ke dalam kubur, maka tinggallah ia 
bersendirian tanpa teman, tiada lampu, tiada makanan dan minuman. Di saat 
itu barulah ia mengetahui sama ada bakal ke syurga atau neraka. Kalau ia 
calon syurga, maka diperlihatkan kepadanya bayangan syurga dan 
demukianlah sebaliknya. 

Bagi calon ahli syurga, dibukakan pintu syurga untuknya bersama ucapan 
“Itulah tempat tinggalmu dan apa sahaja yang disediakan Allah di 
dalamnya.” Setiap detik dipampangkan kepadanya keindahan syurga. Sedikit pun 
mereka tidak bosan menatapnya walaupun bertahun-tahun di dalam kubur 
menunggu tibanya kiamat. 

Kuburnya juga akan diperluas dan diterangi cahaya. Kemudian rohnya 
dihimpunkan bersama roh-roh para solehin seumpama seekor burung yang berada 
di sebatang pohon di syurga. Demikian dijelaskan oleh Imam Ahmad bin 
Hanbal. 

Namun, orang-orang yang kafir dan ingkar akan menerima keadaan yang 
berlainan. 

“Orang-orang kafir itu disempitkan kuburnya sampai remuk 
tulang-belulangnya. Demikian itulah kehidupan yang sempit, penuh dengan kecelakaan 
dan kesengsaraan.” (Hadith riwayat At-Tarmizi dan Ibnu Hibban) 

Di samping itu, si mati juga akan diazab dengan api yang marak menyala, 
ular serta binatang buas. 

Seksa kubur yang paling azab ialah yang meninggalkan solat. Dalam 
sebuah kitab ada menceritakan tentang seorang soleh yang mengebumikan mayat 
abangnya. Ketika menimbuskan mayat itu, entah bagaimana dompetnya 
terjatuh dan tertimbus. Setelah pulang ke rumah barulah dia tersedar akan 
kehilangan dompetnya itu. 

Lalu ia kembali ke kubur dan menggalinya semula. Setelah digali, dia 
terperanjat apabila melihat ada api menyala di dalam kubur abangnya. 
Lantas ditimbus semula kubur itu dan pulang ke rumah. 

Dia menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya, kemudian bertanya; 
“Wahai ibu, apakah yang telah dibuat oleh abangku hingga kuburnya 
terdapat api?” Ibunya bertanya kembali; “Mengapa kamu bertanya begitu?” 

Selesai dia menceritakan kejadian tersebut, ibunya menangis seraya 
berkata; “Abangmu itu selalu meringan-ringankan sembahyang dan melambatkan 
waktunya.” 

Kalau orang yang melambatkan solat akan mengalami hal seperti itu, 
bayangkan bagaimana orang yang tidak bersolat sama sekali! Seksa kubur 
bukan sahaja berlaku kerana dosa besar, malah dosa kecil sekalipun turut 
dihukum. 

Kubur sesungguhnya menyimpan pelbagai rahsia. Lebih menginsafkan, 
kadangkala ia dipertontonkan Allah kepada kita dengan pelbagai cara dan 
bermacam-macam peristiwa. Ada yang menakutkan, tetapi ada juga yang 
menyeronokkan. 

Sebagai orang yang paling akrab dengan perkuburan, setiap penggali 
kubur menyimpan rahsia mereka sendiri. Kebanyakkan mereka telah menyaksikan 
bermacam-macam kejadian aneh yang tidak terjangkau oleh akal logik. 
Alangkah bertuahnya mereka dapat menyaksikan bukti-bukti kebesaran janji 
Allah. 

Bagaimanapun, apa yang disaksikan berlaku pada mayat dan kubur bukan 
semuanya seksaan Allah kepada jenazah. Ada kalanya perkara-perkara aneh 
yang berlaku itu adalah untuk mengajaran kepada manusia yang masih 
hidup. 

Dalam kitab Al-Safinah al-Makhirah Ila Al-Barzakh ada disebutkan bahawa 
apa sahaja yang berlaku ke atas mayat dan di dalam liang lahad adalah 
satu misteri. Ia bertujuan memberi iktibar kepada keluarga si mati serta 
manusia yang masih hidup. Terimalah ia sebagai tarbiah dan bukan dengan 
kegerunan serta syak wasangka. 

Kitab rujukan : Meraung di Pintu Neraka – Haji Anwar Muzafar. 

(w.n.afinaz)
 

1
Hosted by www.Geocities.ws