Mencari keredhaan Allah
DIALAH Yang menjadikan bumi bagi kamu:
mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah
daripada rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat
kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatnya dan
takutilah kemurkaan-Nya). (Surah al-Mulk : 15)
Huraian
Islam tidak melarang kita mencari kesenangan di dunia. Walau bagaimanapun suatu
masa nanti setiap yang bernama manusia itu akan menemui mati.
Maka, apakah bekalan yang harus disediakan sebelum mati itu? Sudah tentu semasa
seseorang itu masih hidup, bekalan berupa amal soleh sama ada usaha, amal,
akhlak, kerja dipersiapkan.
Sebab itulah dikatakan bahawa "Dunia adalah ladang akhirat". Maksudnya di
akhirat kelak, wajib bagi seseorang Muslim itu dipertanggungjawabkan akan apa
yang telah dilakukannya semasa di dunia.
Maka jika semasa di dunia, hidup seseorang itu dipenuhi dengan perkara maksiat
seperti pergaulan be-bas, rasuah, mengkhianati orang lain, pecah amanah atau
sebagainya, sudah tentu bekalan yang akan dibawa adalah berbentuk dosa dan
maksiat kepada Allah, begitulah sebaliknya.
Sesungguhnya dunia adalah ibarat air laut. Semakin diminum airnya yang masin
terasa hausnya, samalah keadaannya dengan kesenangan dunia yang jika semakin
dikejar, tidak akan pernah merasa puas, apalagi jika pendidikan
agama yang dimiliki seseorang itu terlalu dangkal (sedikit) menjadikan orang
yang sedemikian ini
tergolong sebagai orang yang
kufur dengan nikmat Tuhan-Nya dan tidak takut melakukan maksiat.
Justeru Allah s.w.t. menyuruh kita supaya menggunakan nikmat pemberian-Nya untuk
perkara- perkara kebaikan, bukan kemungkaran ataupun kejahatan kerana kepada
Dialah kita akan dikembalikan.
Kesimpulan
Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang bersifat sementara.
Namun Islam tidak menafikan akan kepentingan dunia kerana dunia adalah masa
untuk kita bercucuk tanam dan akhirat adalah masa untuk kita menikmati hasilnya.
Maka, tidak ada alasan lagi untuk kita tidak memanfaatkan keperluan kehidupan
dunia sebagai saham untuk keuntungan di akhirat kelak kerana orang yang
bersyukur dengan nikmat Allah s.w.t. adalah mereka yang menggunakan segala
nikmat yang dikurniakan itu untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. dan takut
melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. kerana yang
demikian itu (maksiat dan kejahatan) umpama serangga perosak yang akan
memusnahkan segala kebaikan yang dilakukan sebelumnya.
- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam MMalaysia (Jakim).