Masyitah Pelayan Firaun
 

Sebagaimana maklum, Firaun dengan segala kesombongan dan kebongkakannya
telah mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata menyembah dan
memperhambakan diri kepadanya. Barangsiapa yang ingkar akan disiksa dan
dibunuh. Begitulah kejamnya Firaun dan kerajaannya. Namun begitu terdapat
beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah di antaranya Siti
Asiah, isteri Firaun dan keluarga Masyitah. Masyitah adalah pelayan raja
dan lebih terkenal sebagai tukang sikat Firaun. Mereka terpaksa
menyembunyikan iman mereka kepada Allah, dengan itu mereka tidak akan
diganggu.

Tetapi pada satu hari, sewaktu Masyitah sedang menyikat rambut salah
seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh dan dia dengan
tidak sengaja melatah dan menyebut "Allah". Puteri tersebut apabila
mendengar perkataan "Allah", dia pun bertanya kepada Masyitah siapakah
"Allah" itu. Masyitah pada mulanya enggan untuk menjawab pertanyaan itu
tetapi setelah didesak berkali-kali, Masyitah memberitahu bahawa Allah itu
adalah Tuhan yang Esa dan Tuhan sekalian Alam.

Puteri itu dengan serta-merta mengadu pada Firaun akan hal Masyitah itu.
Firaun agak terperanjat bila mendengar Masyitah menyembah Tuhan selain
daripadanya. Maka Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah
memerintahkan menterinya yang bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan
kaum keluarganya yang telah menyembah Allah. Firaun sedikit pun tidak
mengenang jasa Masyitah terhadap keluarganya. Selain menjadi tukang sikat,
Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana Firaun. Tetapi tanpa usul
periksa dan kejam Firaun menjatuhkan hukuman kepada Masyitah.

Inilah masanya untuk menguji Masyitah, seorang wanita yang lemah fizikalnya
tetapi memiliki kekuatan jiwa yang luar biasa. Beliau dengan lapang dada
menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia yang tidak berhati
perut itu. Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya untuk menyediakan
sebuah kawah yang besar untuk mencampakkan Masyitah dan keluarganya yang
ingkar dengan Firaun seandainya mereka tidak mahu kembali kepada Firaun.
Masyitah bersama dengan suami dan empat orang anaknya termasuk seorang
anaknya yang masih bayi dihadapkan ke hadapan Firaun untuk diberi kata dua
sama ada hendak menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang
berisi air panas yang mendidih. Maka dengan tegas Masyitah dan suaminya
tetap mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah itulah Tuhan
yang Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa.

Dengan keputusan itu, Hamman dengan tiada rasa peri kemanusiaan mencampak
satu persatu keluarga Masyitah ke dalam kawah yang berisi air panas yang
mendidih. Sambih ketawa terbahak-bahak dengan nada yang menyindir, Hamman
mencampakkan suami Masyitah dahulu diikuti dengan anak-anaknya yang lain.
Masyitah melihat sendiri dengan mata kepalanya bagaimana anak-anaknya
terkapai-kapai di dalam air yang panas menggelegak itu. Kini tinggal
Masyitah dan bayinya yang akan dicampakkan ke dalam kawah tersebut.

Syaitan membisikkan ke telinga Masyitah rasa was-was dan kasihan melihat
anaknya yang masih kecil itu disiksa sedemikian rupa. Masyitah mula
ragu-ragu samada hendak terjun ataupun tidak. Tetapi dengan kekuasaan
Allah, tiba-tiba anak yang masih bayi itu berkata-kata kepada ibunya,
Masyitah : "Wahai ibu, marilah kita menyusul ayah, sesungguhnya syurga
sedang menanti kita".

Bila mendengarkan kata-kata yang sangat ajaib dari anaknya yang masih bayi
itu, dengan rasa kehambaan dan cinta kepada Allah, Masyitah terjun bersama
anaknya ke dalam kawah yang berisi air panas itu dan matilah mereka
sekeluarga demi mempertahankan iman mereka kepada Allah.

Tetapi Allah tidak membiarkan manusia berbuat durjana sesuka hati. Allah
datangkan kepada Firaun, Hamman dan para pengawalnya yang membunuh Masyitah
dengan azab siksa yang sangat pedih. Allah runtuhkan kerajaan Firaun dan
Hamman mati di dalam runtuhan tersebut. Tentera dan para pengawalnya
ditenggelamkan di dalam dasar laut. Mereka mati di dalam keadaan kafir.
Sebaliknya Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan yang mulia dan bahagia
di dalam syurga.

Sewaktu Rasulullah s.a.w Isra' dan Mikraj, baginda telah melalui sebuah
makam. Makam itu sangat wangi dengan bauan kasturi. Lantas Rasulullah s.a.w
bertanya kepada Jibril yang mengiringinya, maka jawab Jibril a.s : "Itulah
Makam Masyitah, salah seorang wanita penghulu syurga." Begitulah
keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah. Walaupun tubuhnya dan
tubuh keluarganya hancur, namun di sisi Allah mereka sangat mulia.

Wahai wanita yang mukmin, bersabarlah menghadapi hidup di dunia ini.
Kesusahan dan kekurangan, kata nista manusia dan kejian di dalam
membangunkan Islam itu hanyalah sementara. Bersabarlah dan tenangkan hati
dengan banyak mengadu dan mengharapkan keredhaan Allah. Kuatkan iman dan
sematkan di dalam hati kecintaan kepada Allah dan Rasul itu melebihi dari
segalanya. Patuh dan taat akan perintah suami, didik anak-anak dengan
Islam. Insya Allah kita akan selamat di dunia dan akhirat. Marilah
sama-sama mencontohi Masyitah yang sanggup mengorbankan nyawanya dan nyawa
keluarganya demi mendapatkan cinta kepada Allah. Tidakkah kita ingin
mengikut jejaknya ?


 

1
Hosted by www.Geocities.ws