Lima sebab
boleh guna wali hakim
WALI hakim ialah sultan atau raja yang beragama Islam yang bertindak sebagai
wali kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Sultan atau raja ini
sibuk dengan tugas negara, maka mereka menyerahkannya kepada kadi atau pendaftar
nikah untuk bertindak sebagai wali hakim.
Dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 2 (1), wali
hakim ditakrifkan sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong
dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh raja
dalam hal sesuatu negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai
wali dari nasab.
Sebab menggunakan wali hakim
Tidak ada wali nasab.
Bagi pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali nasab seperti saudara baru
yang tidak ada saudara maranya yang memeluk Islam atau perempuan yang tidak
mempunyai wali langsung mengikut tertib wali atau anak luar nikah, maka wali
hakim yang menjadi wali dalam perkahwinannya.
Anak tidak sah taraf atau anak angkat.
Anak tidak sah taraf atau anak luar nikah ialah anak yang lahir atau terbentuk
sebelum diadakan perkahwinan yang sah.
Jika anak yang tidak sah taraf itu perempuan dan mahu berkahwin, maka walinya
ialah wali hakim. Begitu juga anak angkat. Jika anak angkat itu berasal dari
anak tidak sah taraf, maka walinya adalah wali hakim.
Sekiranya anak angkat itu berasal daripada bapa yang sah atau keluarga yang sah,
maka walinya ialah berdasarkan susunan atau tertib wali yang ada, bukannya bapa
angkat.
Wali yang ada tidak cukup syarat.
Dalam Islam, kalau wali aqrab tidak cukup syarat untuk menjadi wali seperti gila,
tidak sampai umur dan sebagainya, maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada
wali ab�ad mengikut tertib wali. Sekiranya satu-satunya wali yang ada itu juga
tidak cukup syarat tidak ada lagi wali yang lain, maka bidang kuasa wali itu
berpindah kepada wali hakim.
Wali aqrab menunaikan haji atau umrah
Dalam kitab Minhaj Talibin dalam bab nikah menyatakan jika wali aqrab menunaikan
haji atau umrah, maka hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah
kepada wali ab�ad, tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim.
Demikian juga sekiranya wali aqrab itu membuat wakalah wali.
Oleh demikian, jika seseorang perempuan yang hendak berkahwin, hendaklah
menunggu sehingga wali itu pulang dari Makkah atau dengan menggunakan wali hakim.
Wali enggan
Fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang
dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin, walhal
pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.
Diriwayatkan daripada Ma�qil bin Yasar, katanya : �Saya mempunyai saudara
perempuan . Dia dipinang seorang pemuda yang mempunyai pertalian darah dengan
saya. Saya kahwinkan perempuan itu dengan pemuda itu, kemudian diceraikan dengan
talak yang boleh dirujuk. Perempuan itu ditinggalkan sampai habis edahnya. Tidak
berapa lama kemudian, pemuda itu datang lagi untuk meminang, maka saya jawab:
�Demi Allah, saya tidak akan mengahwinkan engkau dengan dia selama-lamanya.�
Peristiwa ini disampaikan kepada Rasulullah.
Berhubung peristiwa itu, Allah menurunkan ayat bermaksud: �Apabila kamu
mentalakkan isteri-isterimu, lalu habis masa edahnya, maka janganlah kamu (wali)
menghalangi mereka kahwin dengan bakal suaminya.� (Surah al-Baqarah, ayat 232)
Kemudian Ma�qil berkata: �Kemudian saya membayar kifarah sumpah dan perempuan
itu saya kahwinkan dengan lelaki berkenaan.� (Hadis riwayat al-Bukhari dan Abu
Daud)
Dalam sebuah hadis lain dinyatakan: �Ada tiga perkara yang tidak boleh
ditangguhkan iaitu solat apabila telah datang waktunya, jenazah apabila telah
terlantar dan wanita janda yang telah bertemu jodohnya.� (Hadis riwayat at-Tirmizi
dan Hakim)
Oleh demikian, perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada
alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada
wanita itu.
Menurut jumhur fuqaha (Syafie, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan
menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakim yang menikahkannya. Rasulullah
bersabda : �Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi
perempuan yang tidak mempunyai wali.� (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.