KISAH NAFSU
YANG DEGIL PADA PERINTAH ALLAH
Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi,
seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahawa
sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah
berfirman yang bermaksud :
"Wahai akal mengadaplah engkau."
Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman
yang bermaksud:
"Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.
Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud :
"Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang
menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."
Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
"Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang
bermaksud :
"Wahai nafsu, mengadaplah kamu!".
Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman
lagi yang bermaksud :
"Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan
Engkau adalah Engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan
kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
"Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan
Engkau adalah Engkau."
Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah
dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
"Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, "
Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."
Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah
S.W.T mewajibkan puasa.
Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat
oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal
kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.
Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Siapa yang menjurusi satu jalan untuk
mencari ilmu nescaya Allah akan mempermudahkan padanya jalan ke syurga." (Sahih
Muslim)