Kisah Malaikat Maut Menyamar


Ada seorang dari kalangan Bani Israil yang asyik menimbun harta yang
banyak, semua diambil dan dikumpulnya. Dia membina satu istana yang
lengkap dengan pengawal-pengawalnya dan semua ahli keluarganya dikumpul
bersama. Pada suatu malam, dia duduk sambil mengangkat salah satu
kakinya dan pembantunya sedang duduk bersila makan malam, manakala
setelah pembantunya selesai makan, dia berkata : "Wahai diriku, berilah
aku ketenangan, kerana aku sudah menyediakan semua keperluanmu".

Belum lagi habis kata-katanya, tiba-tiba datang malaikat Maut menyamar
seperti pengemis, membawa kantung kosong seperti peminta sedekah.
Kemudian dia menggoyang-goyangkan pintu dengan kuatnya sehingga
mengejutkan semua penghuni rumah termasuk raja yang sedang goyang kaki
di atas kerusinya.

Pengawal menemui tetamu tersebut dan bertanya : "Apa maksudmu ?"

Tetamu menjawab : "Tolong panggilkan tuanmu".

Lantas pengawal istana menjawab : "Raja kami tidak mahu menemui tetamu
seperti engkau". "Siapa engkau ?"

Kata malaikat Maut lagi : "Katakan kepada tuanmu, aku mahu berjumpa
dengannya. Bagaimanapun saya mesti menemuinya".

Kemudian pintu digoyangkan lagi, jauh lebih kuat dari yang pertama. Oleh
yang demikian, pengawal istana melompat ke arah tetamu.

Kemudian tetamu itu berkata lagi :"Beritahu kepada tuanmu bahawa saya
adalah malaikat Maut"

Mereka dalam ketakutan dan tuannya pucat sambil berkata :"Elok-eloklah
jika kamu bercakap kepadanya (malaikat maut)" Lalu pengawal itu menanya
nyawa siapakah yang mahu diambil.

Kemudian malaikat Maut masuk ke bilik tuan tadi dan berkata :"Lakulah
apa yang tuan mahu dengan harta tuan, yang jelas saya tidak akan keluar
dari rumah ini sebelum nyawa tuan melayang"

Raja itu melihat dan menghitung semua hartanya dan berkata kepada
hartanya : "Semoga engkau dilaknat Allah SWT, engkaulah yang membuat aku
sibuk sehingga tidak sempat beribadah kepada Allah. Engkaulah yang
menghalang aku daripada mengabdikan diri kepada Allah"

Kemudian dengan kuasa Allah, harta itu menjawab : "Mengapa tuan mencela
aku ? Tuan telah menjadi raja dengan sebabku dan memperalatkanku, tuan
dapat berkahwin dan bersenang-senang dengan wanita cantik kerana aku.
Tuan sudah menjadi raja dengan sebab aku, bahkan tuan telah menggunakan
aku ke jalan yang tidak baik, namun aku diam sahaja. Seandainya tuan
memanfaatkan aku ke jalan yang baik, jelas tuan akan beruntung. Kita
sama-sama dari tanah, boleh saja mendapat kebaikan utaupun dosa." Lalu
malaikat Maut mencabut nyawa lelaki itu sehingga mati....
 

1
Hosted by www.Geocities.ws