Cinta dari
pandangan Imam Al-Syafie
IMAM Al-Syafie banyak memberi pedoman dalam memilih kawan. Beliau juga mengakui
sukar mencari sahabat sejati yang mahu berkongsi suka duka bersama.
Ketika menilai sahabat sejati pada waktu susah, katanya: �Kawan yang tidak dapat
dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan.
�Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong
ketika susah.�
�Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga
pencarianku melenakanku.
�Kukunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati
manusia.�
Imam Al-Syafie turut meminta kita berhati-hati memilih sahabat kerana sahabat
yang baik akan membawa ke arah kebaikan dan begitu sebaliknya.
Katanya: �Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan
terpaksa, tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya.
�Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti
istirehat.
�Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha
yang keras.
�Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala
dibalas dengan sikap tidak sopan.
�Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, tidak ada gunanya cinta yang
dibuat-buat.
�Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta
setelah dicintai.
�Dia akan memungkiri jalinan cinta yang terbentuk dan akan menampakkan hal yang
dulunya menjadi rahsia.�
Seseorang itu juga dapat menundukkan musuhnya dengan menunjukkan rasa
persahabatan.
Imam Al-Syafie dalam hal ini berkata: �Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak
mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan.
�Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu
kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan.
�Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang
kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.�