Berzikir rawat
kekalutan, kekusutan jiwa
SESUNGGUHNYA zikrullah adalah semulia-mulia ibadat, sebesar-besar cara
mendekatkan diri kepada Allah, makanan roh dan sumber ketenangan hati orang yang
beriman. Firman Allah dalam surah al-Ra'd ayat 28 yang bermaksud "Iaitu
orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah,
ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang".
Allah memerintahkan kepada hamba-Nya memperbanyakkan zikir mengingati-Nya,
manakala Rasulullah menggalakkannya kepada umat Islam menjadi amalan itu
berkekalan.
Dalam al-Quran dan hadis jelas menggambarkan kebesaran kesan zikir dan faedahnya.
Ia boleh dilakukan sama ada secara bersendirian mahupun berjemaah atau
berkumpulan, melalui lisan mahupun dengan hati. Dalam memperkatakan mengenai
zikrullah dengan lisan atau hati, Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar ada
menyatakan bahawa ia adalah zikir yang paling afdhal. Ulang kali, menyebut
sifat-sifatnya.
Zikir dengan lisan adalah dengan menyebut nama Allah berulang kali, menyebut
sifatnya atau melafazkan puji-pujian kepada-Nya. Zikir dengan hati pula ialah
menghadirkan kebesaran, keagungan, kehebatan, kemuliaan dan kesempurnaan Allah
di dalam diri dan jiwanya sehingga hati itu menjadi sentiasa sibuk dengan
zikrullah.
Ahli zikir adalah golongan manusia yang istimewa dan terkemuka. Pengiktirafan
ini dianugerahkan sendiri oleh Allah melalui lisan Nabi Muhammad yang maksudnya
"Telah majulah orang-orang yang istimewa, para sahabat bertanya, siapakah mereka
yang istimewa itu wahai Rasulullah, jawab baginda, iaitu mereka yang banyak
mengingati Allah sama ada lelaki mahupun wanita (Riwayat Muslim).
Majlis zikir turut dikenali sebagai satu daripada taman syurga. Seseorang yang
lidahnya sentiasa basah dengan mengingati Allah akan mendapat beberapa manfaat
antaranya:
Membersihkan hati daripada sifat mazmumah
Melembutkan hati sehingga dapat melihat kebenaran yang datang daripada Allah
Merasa betapa dekatnya diri dengan Allah sehingga apabila berhadapan dengan
pelbagai musibah dan pergantungannya hanya kepada Allah
Meningkatkan mutu amalan kepada Allah
Memelihara diri daripada gangguan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia
daripada mengingati Allah
Menjadi penawar kepada hati yang sering gundah gulana, keluh kesah dan tidak
tenteram
Ucapan �La Ila Ha Ilallah� adalah ucapan zikir yang paling mulia. Seorang
daripada Syeikh al-Azhar yang terkenal iaitu Syeikh Abdul Halim Mahmud pernah
menyebut bahawa zikir �La Ila Ha Ilallah�, istighfar dan selawat ke atas Nabi
adalah tiang aurad dan wirid para ahli sufi. Zikir ini adalah sebagai satu
daripada wasilah ke arah penyucian diri.
Mengerjakan solat termasuk dalam kategori zikrullah. Hal ini dijelaskan oleh
Allah. Membaca al-Quran juga adalah zikir yang paling mulia kerana ia adalah
kalam Allah atau kata-kata Allah.
Maka apabila seseorang membaca al-Quran, dia sebenarnya menuturkan kata-kata
Allah dan ia adalah gambaran betapa hampir dirinya dengan Allah. Sehubungan itu,
seorang Muslim hendaklah membaca al-Quran setiap hari supaya hatinya tidak
kosong tanpa roh.
Apabila membacanya, maka dalam masa sama pembacanya akan mengingati Allah.
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali menyebut dalam bukunya Mukasyafah al-Qulub
membaca al-Quran adalah satu daripada kaedah merawat kekalutan dan kekusutan
jiwa.