Al-Quran haram dijadikan tangkal
AL-QURAN ialah
kitab suci yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk memberi
petunjuk dan hidayah kepada manusia. Dalam masa yang sama, al-Quran juga
diturunkan sebagai penyembuh kepada pelbagai penyakit manusia sebagaimana firman
Allah, Dan kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci
yang menjadi ubat penyembuh dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya)
al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua. (al-Isra�:
82)
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai hal ini, wartawan MOHD. RADZI MOHD.
ZIN dan jurufoto Nazeri Abu Bakar menemu bual Pegawai Agama Istana Negara, Datuk
Abu Hassan Din al-Hafiz.
Apakah maksud syifa� dalam ayat 82 surah al-Isra� itu?
ABU HASSAN: Kebanyakan ulama menafsir syifa� sebagai penyembuh walaupun ada yang
kadang-kadang menafsirnya sebagai penawar.
Menurut para ulama, al-Quran sebagai kitab suci ini antara lainnya diturunkan
bagi menyembuhkan penyakit zahir dan batin.
Penyakit zahir termasuklah sakit jantung, kayap dan sebagainya manakala penyakit
batin adalah seperti hasad, dengki, sombong dan lain-lain.
Ia diperkukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah s.a.w., �Hendaklah kamu
menggunakan dua perkara untuk penyembuh iaitu al-Quran dan madu lebah.�
Adakah semua ayat al-Quran itu boleh digunakan sebagai penyembuh?
Bukan semua ayat Allah itu menjadi penyembuh tetapi pernyataan itu adalah secara
umum. Bagi mereka yang mempunyai penyakit was-was dan resah gelisah, mungkin
dengan membaca al-Quran ia boleh hilang.
Bagaimanapun, ada ayat khusus untuk penyakit yang khusus. Ini boleh diketahui
jika mendalami atau kita mengkaji tentang penggunaan ayat-ayat al-Quran dalam
perubatan Islam.
Bagaimanapun, bagi tujuan perubatan, kita mestilah yakin apabila mengamalkan
bacaan ayat tertentu. Ia pula perlu dilakukan berulang-ulang dan istiqamah,
bukannya baca sekali dua sahaja. Melalui cara ini, insya-Allah penyakit itu akan
sembuh.
Apakah contoh ayat yang boleh dijadikan penyembuh penyakit manusia?
Ada pandangan sesetengah ulama bahawa ayat 1-6 surah Taha adalah ayat pelembut
hati.
Ini berdasarkan kisah Saidina Umar al-Khattab yang terkenal dengan sifat garang
dan bengis beriman kepada Allah dengan hanya mendengar adiknya membaca ayat ini
secara sepintas lalu.
Bagaimanapun, jangan salahkan ayat-ayat al-Quran ini jika usaha kita tidak
berjaya.
Begitu juga ada ulama yang berkata, untuk menambahkan kasih suami kepada isteri
boleh diamalkan membaca ayat 23 daripada surah Yusuf.
Menurut Ahmad at Tabrani daripada Kaab bin Malik, Nabi bersabda, �Apabila salah
seorang kamu berasa sakit maka hendaklah ia meletak tangannya di tempat yang
berasa sakit dan membaca doa, aku minta berlindung dengan kemuliaan Allah dan
kekuasaan-Nya di atas segala apa kesakitan yang aku rasai.�
Setiap kita amat berharap semua permohonan kepada Allah itu dimakbulkan tetapi
apakah syarat-syarat untuk sesuatu doa itu diterima?
Antara syarat sesuatu doa atau permohonan itu diterima ialah kita perlu
mengikhlaskan diri bermunajat kepada Allah. Kita juga perlu melakukannya secara
berterusan dan bukan sekali-sekala atau apabila ditimpa bencana, penyakit atau
kesusahan baru kita berdoa kepada Allah.
Ia juga mesti dibaca dengan elok iaitu bertepatan dengan hukum tajwidnya serta
menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.
Al-Quran ialah kitab suci, maka dengan sendirinya ia tidak boleh dipersenda atau
dihina. Sebab itu dalam Mazhab Shafie, kita tidak boleh menyentuh al-Quran tanpa
wuduk. Ia juga bukan hanya dibeli untuk dijadikan perhiasan.
Apakah kelebihan orang yang sentiasa membasahkan lidahnya dengan al-Quran dan
juga golongan para hafiz?
Para ulama sangat menggalakkan kita membaca al-Quran. Galakan ini bukan sahaja
setakat membaca tetapi memahami dan mengamalkannya.
Mereka yang sentiasa membaca al-Quran ini dengan sendirinya ada pertahanan
dalaman di mana syaitan dan iblis sukar menghampiri mereka. Ia juga boleh
mengelakkan kita daripada perbuatan khianat, insya-Allah.
Dalam aspek yang lain, menurut Matan Syatibi, mereka yang qari iaitu yang
menjadikan al-Quran sebagai amalan hidup, hafiz atau hammalatul Quran ini di
akhirat kelak akan dihiasi dengan mahkota yang penuh intan berlian. Bayangkan
pula penghormatan kepada ibu bapa mereka, sudah tentu lebih lagi.
Selain itu, golongan ulama mujtahid seperti Imam Shafie dan Ibnu Taimiah mereka
ini bukan sahaja hafiz al-Quran tetapi turut menghafaz beribu-ribu hadis.
Golongan ini jasad mereka mungkin tidak hancur dimakan bumi.
Bagaimana pula dengan perbuatan sesetengah orang yang menjadikan ayat al-Quran
sebagai tangkal?
Perbuatan seperti ini adalah salah dan berdosa. Al-Quran hendaklah dibaca dan
bukannya dipakai pada mana-mana bahagian anggota badan manusia.
Rasulullah pernah memberi amaran melalui hadisnya, �Sesungguhnya jampi serapah,
tangkal dan tiwalah itu adalah syirik. Lalu sahabat bertanya, apakah tiwalah itu,
Baginda menjawab ia adalah apa-apa yang dilakukan oleh isteri supaya suami kasih
kepada mereka.� Ini termasuklah nasi tangas atau nasi kangkang.
Bagaimanapun, amalan menggunakan ayat-ayat Allah dalam perubatan Islam sama ada
secara terus kepada pesakit atau dihembus pada air adalah harus kerana banyak
ayat al-Quran mempunyai unsur penyembuhan.
Bomoh tradisi pula berbeza kerana walaupun ada yang menggunakan ayat al-Quran
tetapi ia dicampur dengan jampi serapah atau perbuatan menurun. Inilah yang
dilarang oleh agama