Allah tidak
mempunyai anak
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Syeikh Sya'rawi berkata, selepas Allah s.w.t. menerangkan bahawa setiap sesuatu
di alam ini di bawah kekuasaan-Nya, Allah s.w.t. hendak mengembalikan atas
mereka yang cuba menjadikan Allah penolong dan sekutu bagi kerajaan-Nya.
Kemudian ayat-ayat yang berikut menunjukkan kefahaman mereka yang sesat terhadap
hakikat Uluhiah dan penyelewengan mereka daripada dasar tauhid yang menjadi
landasan agama Allah dan asas kefahaman yang betul dalam setiap risalah. Ia
menggandingkan kefahaman mereka yang menyeleweng dengan kefahaman-kefahaman
jahiliah yang karut terhadap zat Allah s.w.t. dan sifat-sifat-Nya, di samping
menjelaskan wujudnya persamaan di antara hati kaum Musyrikin Arab dengan hati
kaum Musyrikin daripada golongan Ahli Kitab serta membetulkan seluruh mereka
yang menyeleweng ke arah kepercayaan syirik itu dan menerangkan landasan
kefahaman keimanan yang betul kepada mereka.
Firman Allah, �Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: �Allah mempunyai anak�.
Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia-lah yang memiliki
segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya.
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan
apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman
kepadanya: �Jadilah engkau!� Lalu menjadilah ia.� (Al-Baqarah: 116 dan 117)
Firman Allah s.w.t., Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: �Allah mempunyai
anak.� Inilah dakwaan golongan Yahudi, Kristian dan musyrikin. Yahudi mendakwa
Uzair sebagai anak Allah. Kristian pula mendakwa al-Masih anak Allah. Sedangkan
golongan musyrikin pula mendakwa segala malaikat adalah anak perempuan Allah.
Maka Allah s.w.t. mendustakan semua dakwaan mereka seraya berfirman, �Sebelum
al-Quran meneruskan penerangannya tentang segi-segi kekarutan kefahaman mereka
yang lain terhadap Allah s.w.t., ia terlebih dahulu membersihkan Allah s.w.t.
daripada kefahaman itu dan menerangkan hakikat hubungan yang sebenar antara
Allah dengan sekalian makhluk-Nya.�
Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir berkata: Ulama telah khilaf sebab turun ayat
ini:
1. Diturunkan kepada golongan Yahudi yang menjadikan Uzair anak Allah. Inilah
pendapat Ibn Abbas r.a..
2. Diturunkan kepada Kristian Najran yang berkata, Isa anak Allah. Inilah
pendapat Muqatil.
3. Diturunkan kepada Kristian dan Musyrikin Arab kerana orang Kristian mendakwa
Isa anak Allah dan musyrikin pula mendakwa malaikat adalah anak-anak perempuan
Allah. Inilah pendapat Ibrahim bin al-Sariy.
4. Bahawa ia diturunkan terhadap Yahudi, Kristian dan Musyrikin Arab. Inilah
pendapat al-Tha'labi.
Maha Suci Allah (daripada apa yang mereka katakan itu), iaitu Maha Suci Allah
daripada segala dakwaan mereka dengan sesuci-suci-Nya. Dakwaan yang karut bahawa
Allah mempunyai anak itu bukanlah dakwaan kaum Nasara sahaja terhadap Isa
al-Masih, malah ia juga dakwaan kaum Yahudi terhadap Uzair dan dakwaan Musyrikin
Arab terhadap malaikat. Ayat ini tidak menghuraikan dakwaan-dakwaan itu kerana
tujuan penerangan ayat ini adalah untuk menerangkan secara ringkas tentang tiga
golongan yang menentang Islam pada masa itu di Semenanjung Tanah Arab � yang
anehnya ketiga-tiga golongan itu masih terus menentang Islam pada hari ini dalam
bentuk pergerakan Zionis antarabangsa. Dan ketiga-tiga golongan ini lebih kufur
daripada kaum Musyrikin pada masa itu � dan daripada kenyataan umum ayat ini
gugurlah dakwaan kaum Yahudi dan Nasara kononnya mereka sahaja golongan manusia
yang mendapat hidayat. Kini nyatalah bahawa mereka adalah sama dengan kaum
Musyrikin (Arab).
Bahkan Dialah yang daripada segala dakwaan mereka dengan sesuci-sucinya memiliki
segala yang di langit dan di bumi. Bahkan ia bukan sebagaimana apa yang mereka
sangka. Sebenarnya Allahlah yang bersifat Maha Pencipta semua yang ada daripada
makhluk-Nya termasuklah Uzair, al-Masih dan malaikat.
Semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya. Al-Zajjaj berkata: Perkataan qunut
mempunyai dua makna:
1. Qiam atau berdiri;
2. Taat.
Dan yang masyhur pada bahasa dan penggunaan iaitu qunut dengan maksud doa ketika
qiam sedangkan orang berqunut ialah orang yang melaksanakan arahan Allah s.w.t..
Ulama tafsir mengemukakan tiga pendapat yang dimaksudkan dengan qunut:
1. Ketaatan. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ibn Jubair, Mujahid dan Qatadah;
2. Ia bermaksud ikrar dengan ibadat. Inilah pendapat Ikrimah dan al-Suddi;
3. Ia bermaksud qiam. Inilah pendapat al-Hasan dan al-Rabi'.
Sedangkan makna qiamnya pula mempunyai dua pendapat:
1. Bahawa maksudnya qiam dengan syahadah dengan ubudiyah;
2. Iaitu berdiri di hadapan-Nya pada hari kiamat.
Semuanya patuh kepada Allah s.w.t. dan sekali-kali tidak mungkin melanggar hukum
takdir Tuhan. Oleh itu, tidak sekali-kali perlu difahamkan bahawa Allah s.w.t.
mempunyai anak di kalangan makhluk-makhluk yang wujud di langit dan di bumi ini
kerana seluruh makhluk ini adalah daripada ciptaan-Nya belaka. Semuanya
diciptakan dengan darjah yang sama dan alat yang sama.
Berkehendak
Firman Allah, �Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala
keindahannya); Allah sahajalah Pencipta dan Pereka yang tidak mempunyai sebarang
contoh terdahulu dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia
hanya berfirman kepadanya: Di sini kita sampai kepada satu konsep Islam yang
bersih dan sempurna mengenai Allah s.w.t. dan bentuk hubungan antara khalik dan
makhluk, juga mengenai cara kemunculan makhluk daripada ciptaan-Nya. Konsep ini
merupakan setinggi-tinggi dan sejelas-jelas kefahaman mengenai semua hakikat
ini. Alam buana ini muncul daripada Penciptanya dengan perantaraan keputusan
iradat Allah yang mutlak dan Maha Berkuasa iaitu, �Jadilah engkau!� Lalu
menjadilah ia.
Apabila Allah s.w.t. berkehendak mencipta sesuatu, ia boleh terhasil tanpa
sebarang larangan dan tangguh, bahkan dengan sekelip mata, pasti arahan-Nya
terlaksana. Keputusan Iradat Allah hendak menjadikan sesuatu makhluk sudah cukup
untuk melahirkan makhluk itu ke alam al-wujud mengikut rupa bentuk yang telah
ditentukan-Nya tanpa perantaraan kekuatan dan bahan.
Tetapi bagaimana cara iradat Allah � yang kita tidak mengetahui hakikat itu �
berhubung dengan makhluk yang hendak diciptakan-Nya itu adalah satu rahsia yang
tidak didedahkan kepada kefahaman manusia, kerana tenaga manusia tidak
dilengkapi dengan kesediaan-kesediaan untuk memahaminya kerana ia tidak
diperlukannya dalam menjalani tugas yang diserahkan kepada mereka, iaitu tugas
memerintah dan mengimarahkan bumi ini.
Sebagaimana manusia dikurniakan Allah s.w.t. dengan kudrat kuasa sekadar yang
membolehkan mereka untuk membongkakkan undang-undang alam yang berguna kepada
mereka di dalam menjalani tugas-tugas mereka, begitulah juga Allah s.w.t.
menyembunyikan daripada mereka rahsia-rahsia lain yang tidak ada hubungan dengan
tugas khalifah mereka yang agung.
Pendapat-pendapat falsafah hanya berkelana dan meraba-raba di padang gurun tanpa
pedoman apabila ia cuba membongkarkan rahsia-rahsia ini dan membuat
berbagai-bagai andaian yang terbit daripada kefahaman manusia yang tidak
disediakan untuk bidang ini. Mereka sama sekali tidak dibekalkan dengan
alat-alat yang membolehkan mereka mengetahui dan meneroka bidang ini. Oleh sebab
itulah hasil andaian-andaian itu kelihatan lucu walaupun ia dibuat dalam tahap
yang setinggi-tingginya.
Ia kelihatan begitu lucu hingga membingungkan manusia bagaimana pendapat ini
boleh terkeluar daripada seorang ahli falsafah! Semuanya ini disebabkan
ahli-ahli falsafah itu cuba keluar dengan kefahaman dan pemikiran manusia
daripada tabiat kejadiannya dan membawanya keluar melebihi batas keupayaan yang
ditentukan kepadanya.
Oleh sebab itu mereka tidak sampai kepada sesuatu pendapat yang boleh diyakini
dan boleh dihormati oleh orang yang berpegang dengan kefahaman Islam dan hidup
di bawah naungannya. Islam telah menyelamatkan para penganutnya yang beriman
kepada hakikatnya daripada berkelana dan meraba-raba di padang gurun yang tidak
berpandu dan daripada melakukan percubaan-percubaan yang gagal serta tersalah
jalan dari awal lagi.
Gerakan iradat itu berlangsung dengan suatu cara yang tidak dapat diketahui oleh
daya pemikiran manusia. Ini kerana hal ini di luar kemampuan daya pemikiran
mereka. Oleh itu adalah kerja-kerja membuang tenaga yang sia-sia untuk berusaha
membongkar rahsia ini dan meraba-raba di padang gurun tanpa pemandu.
- DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyaarah di Kolej Uniti, Pasir Panjang,
Port Dickson, Negeri Sembilan.