10 syarat jadi imam
SOALAN: Bolehkah ustaz jelaskan syarat-syarat menjadi imam.
JAWAPAN: Syarat-syarat sah untuk seseorang itu menjadi Imam :
1) Islam, tidak sah solat yang diimamkan oleh seseorang yang kafir.
2) Berakal, tidak sah solat yang diimamkan oleh seseorang yang gila. Ini kerana,
solat yang dilakukan oleh orang yang disahkan gila tersebut tidak sah. Tetapi
jika gila itu bermusim maka solat ketika dia sihat sah tetapi adalah dibenci.
Ini kerana dikhuatiri penyakit gilanya itu berulang ketika dia menunaikan solat.
3) Baligh, tidak sah solat yang diimamkan seseorang mumaiyiz kepada seorang yang
baligh di dalam solat wajib dan sunat. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan
oleh Ibn Abbas dan Ibn Mas�ud, �Janganlah diimamkan solat itu oleh seorang budak
sehingga dia baligh.�
Ini kerana solat itu adalah dalam keadaan sempurna sedangkan budak atau
kanak-kanak itu bukan daripada ahli yang sempurna.
Imam Syafie berpendapat, harus orang yang baligh menjadi makmum kepada imam yang
belum Mumaiyiz. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Amr bin Salamah:
Aku telah mengimamkan solat di zaman Rasulullah s.a.w sedang aku adalah anak
yang baru berumur tujuh tahun. (Riwayat Bukhari)
4) Lelaki yang sejati sekiranya yang menjadi makmum itu adalah lelaki.
Tidak sah solat yang diimamkan oleh seorang perempuan atau khunsa bagi makmum
lelaki sama ada solat fardu atau sunat. Sekiranya yang menjadi makmum itu
perempuan semata-mata maka tidak disyaratkan lelaki menjadi imam bagi jemaah
tersebut.
5) Bersih daripada hadas dan kekotoran.
Tidak sah menjadi imam yang berhadas atau orang yang terdapat najis pada
badannya, pakaiannya sama ada dia mengetahui hal tersebut atau lupa.
6) Baik bacaannya dan mengetahui rukun-rukunnya.
Seseorang imam hendaklah baik bacaannya kerana solat tidak sah melainkan dengan
bacaan dan mengetahui rukun-rukun solat. Tidak sah seseorang qari menjadi makmum
kepada seseorang yang buta huruf (jumhur) dan wajib bagi qari mengulangi
solatnya. Seperti mana keadaannya tidak menjadi makmum kepada seseorang yang
tidak mampu rukuk, sujud atau tidak boleh duduk ataupun tidak mampu mengadap
kiblat.
7) Keadaan yang bukan makmum.
Tidak sah solat makmum mengikut makmum lain sebagai imam. Mengikut seseorang
yang sudah terputus dengan imamnya disebabkan masbuk:
i- Al-Hanafiah: tidak harus menjadi seseorang masbuq itu sebagai ikutan kerana
dia telah mengikut (makmum). Oleh yang demikian, yang diikut tidak boleh
diikuti.
ii- Al-Malikiah: tidak harus menjadikan seseorang yang masbuk itu sebagai ikutan
kerana dia tadi mengikut (makmum). Namun adapun yang mudrik (tidak sempat rakaat
bersama imam boleh diikuti apabila dia bangkit untuk menunaikan solatnya dan
hendaklah mudrik yang tidak sempat rakaat tadi berniat menjadi imam. Kerana
ketika itu dia sedang solat berseorangan dan tidak thabit hukum makmum.
iii- Al-Syafieyyah: terputus ikutan / menurut imam dengan semata-mata keluarnya
imam dari solat sama ada dengan memberi salam atau dengan sebab terbatalnya
wuduk. Ini kerana terkeluarnya dari ikatan di antara imam dan makmum maka pada
ketika itu dia boleh mengikuti orang lain yang ganti imam atau orang lain yang
mengikutnya sebagai imam.
Kesimpulannya : al-Hanafiah dan Malikiah tidak mengharuskan mengikut seseorang
yang asalnya mengikut selepas imam memberi salam, dan harus pada Al-Syafieyyah
dan al-Hanabilah. Ini adalah lebih utama.
8) Syarat khas pada al-Hanafiah dan al-Hanabilah: sejahtera daripada keuzuran.
Tidak lawas ketika buang air, kerap terkentut dan batuk makruh ke atas orang
yang mempunyai penyakit-penyakit ini menjadi imam. Sekiranya seseorang yang
mempunyai satu keuzuran adalah lebih utama menjadi imam daripada orang yang
mempunyai dua keuzuran.
Adapun pendapat al-Malikiah tidak mensyaratkan syarat ini tetapi dihukum makruh
menjadi imam selagi mana tidak terbatal wuduknya.
Begitu juga pendapat bagi Al-Syafieyyah tidak mensyaratkan syarat ini dan sah
menjadi imam orang yang mempunyai keuzuran ini dan tidak perlu mengulangi solat
tersebut.
9) Imam mesti seorang yang fasih al-lisan.
Mampu menyebut huruf-huruf di dalam al-Quran dari makhrajnya.
10) Al-Hanafiah dan Al-Syafieyyah mensyaratkan supaya solat itu diimamkan oleh
orang yang bermazhab yang sama dengan makmum.
Sekiranya seseorang yang bermazhab Hanafi solat di belakang seorang imam
bermazhab Syafie yang mengalir darah pada tubuhnya dan tidak berwuduk selepas
itu atau solat seorang yang bermazhab Syafie di belakang seseorang bermazhab
Hanafi yang menyentuh perempuan dan tidak berwuduk, maka solat makmum itu batal
kerana setiap mazhab melihat kepada batalnya solat imam itu tadi.
Al-Hanafiah berpendapat solat di belakang imam yang bermazhab Syafie adalah
makruh.