|
KITAB BIMBINGAN MUKMIN - Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali
|
|
Riwayat Ringkas Hujjatul Islam Imam Al Ghazali
(dipetik
dari Laman Traditional Islam
- Pemurnian
Tasawwuf oleh Iman Al Ghazali tulisan Ustaz Muhammad
'Uthman el-Muhammady
Abu
Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ta’us Ahmad al-Tusi al-Shafi’I
yang terkenal secara umumnya dengan nama al-Ghazali, dilahirkan pada 450 Hijrah/1058
Masihi di Tabaran, satu daripada dua buah kota kecil di Tus, sekarang dalam
kawasan Meshed di Khurasan. Beliau
bukannya ulama yang tersohor pertama dalam keluarganya, kerana datuk saudaranya
bernama abu Hamid al-Ghazali (men.435 H/1043 M) merupakan seorang ahli ilmu
kalam dan ahli fiqh yang terkenal; mungkin beliau ini menjadi contoh ikutan bagi
orang muda yang berhemah tinggi itu. Semenjak
awal lagi beliau terdedah kepada pengaruh amalan-amalan dan ilmu tasawwuf,
ayahandanya seorang yang beramal dengan amalan tasawwuf yang sangat warak,
mengikut laporan al-Subki, sehingga dikatakan ia hanya makan dari hasil usaha
tangannya sendiri, dan beliau selalu bersama dengan mereka yang alim. Imam
Ghazali rh yang yatim itu dididik oleh sufi yang menjadi sahabat ayahandanya,
bersekali dengan saudaranya Ahmad. Semenjak masa kanak-kanaknya Imam al-Ghazali
mempelajari ilmu kalam dan fiqh, mula-mulanya dalam kota kecil kelahirannya
dengan Shaikh Ahmad ibn Muhammad al-Radhkhani al-Tusi, kemudian beliau pergi
melanjutkan pengajiannya di Jurjan di bawah didikan Imam abu Nasr al-Isma’ili.
Ibn
‘Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali mengambil ilmu tentang hadith al-Bukhari
daripada Abu Sahl Muhammad ibn Ahmad al-Hafsi, dan antara syaikh-syaikhnya yang
lain dalam ilmu hadith ialah Nasr ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, ‘Abd
Allah ibn Muhammad ibn Ahmad al-Khawari, dan Muhammad ibn Yahya ibn Muhammad ibn
Suja’i al-Zawzani dan seterusnya. Sewaktu
dalam perjalanan pulang dari Jurjan ada kisah yang menarik tentang Imam ini yang
berkisar bagaimana beliau dirompak. Bila para perompak itu meninggalkannya,
beliau mengikuti mereka, tetapi beliau diberi amaran agar tidak mengikuti mereka
itu kalau tidak beliau akan mati. Lalu beliau meminta dengan nama Allah supaya
dikembali kertas-kertas yang mengandungi catitan-catitan pelajarannya kerana
kertas itu tidak ada gunanya untuk mereka. Bila ditanya tentang kertas apa yang
ada dalam beg itu beliau menjawab bahawa itu mengandungi catitan-catitan ilmunya
yang didengarinya yang kerananya beliau jauh mengembara. Perompak itu ketawa dan
bertanya “bagaimana kamu memperolehi ilmu mereka bila kami ambil kertas itu
maka kamu tidak berilmu lagi”. Ini suatu yang aneh berlaku. Bagaimanapun
catitan-catitannya diserahkan kembali. Apabila beliau kembali ke Tus lepas itu,
imam al-Ghazali mengambil masa tiga tahun menghafal semua catitan-catitan yang
dipelajarinya itu. Setelah
beliau kembali dari Jurjan dan berada di Tus buat beberapa waktu, mungkin di
waktu ini beliau mempelajari tasawwuf di bawah Shaikh Yusuf al-Nassaj dan
mungkin juga melakukan latihan-latihan kesufian. Sewaktu berumur lebih kurang
dua puluh tahun beliau pergi melanjutkan pelajarannya ke Maktab Nizamiyyah di
Nishapur untuk berguru kepada Imam al-Haramain iaitu Abu al-Ma’ali al-Juwaini,
yang merupakan guru generasi yang keempat dari Imam al-Ash’ari sendiri dalam
akidah ajaran Imam itu. Dalam akademi itu beliau mempelajari ilmu-ilmu seperti
usul al-din, fiqh, falsafah, logik, ilmu-ilmu sains tabi’I, tasawwuf dan
lainnya. Imam
al-Haramain memberi kepada para pelajar kebebasan berfikir dan kebebasan
mengeluarkan pendapat mereka, dan mereka digalakkan dalam mengambil bahagian
dalam perdebatan dan perbincangan tentang pelbagai jenis persoalan yang dihadapi.
Dalam perdebatan-perdebatan dengan rakan-rakannya Imam al-Ghazali menunjukkan
kemampuan berfikir yang luas dan tajam, dan ia mempunyai kebolehan yang tinggi
dalam kepetahan berhujah yang ini terbukti kemudiannya dalam tulisan-tulisannya
seperti Tahafut al-Falasifah. Tidak
lama kemudiannya beliau berkesempatan memberi kuliah kepada rakan-rakannya, dan
membuat penulisan. Beliau merupakan seorang yang berfikir secara kritilal dan
bebas merdeka; sewaktu beliau menjadi pelajar di Nizamiyyah di Nishapur beliau
merasa tidak berpuas hati dengan pegangan yang dimilikinya, dan membebaskan
dirinya daripada cara bertaklid semata dalam pegangan agama. Sewaktu
di Nishapur beliau menjadi murid kepada ulama sufi abu ‘Ali al-Fadl ibn
Muhammad ibn ‘Ali al-Farmadhi; daripada guru sufi inilah beliau lebih banyak
lagi mempelajari ilmu berkenaan dengan pengetahuan dan amalan kesufian. Al-Farmadhi
itu sendiri adalah murid kepada bapa saudara beliau sendiri dan juga murid al-Qushairi
(men.465/1074) yang terkenal itu. Beliau mengamalkan juga amalan-amalan
kezahidan yang ketat di bawah bimbingan beliau ini; sebagaimana yang disebutkan
oleh beliau sendiri keadaannya tidaklah sampai ke tahap boleh mendapat inspirasi
murni ‘dari alam tinggi”. Waktu
itu juga beliau merasa tidak puas hati dengan pemikiran secara falsafah yang
dihadapinya itu termasuk apa yang diterima secara otoriti dalam hubungan dengan
usul al-din. Tekanan dalam tasawwuf tentang hubungan yang rapat dan mesra dengan
Tuhan menjadikan imam utama ini lebih tidak berpuas hati lagi dengan huraian
falsafah dalam usul al-din itu. Al-Farmadhi meninggal pada tahun 477 /1074 M dan
Imam al-Haramain meninggal di tahun 478 H/1085 M. Waktu itu Imam al-Ghazali
berumur dua puluh lapan tahun; ianya masih sangat bertenaga, dan namanya masyhur
dalam alam Islam. Beliau
pergi ke istana Nizam al-Mulk wazir Malikshah (memerintah waktu itu 465
H/1072-485 H/1092 M) dan berada dalam kalangan para ahli ilmu kalam dan fuqaha
di istana beliau itu. Nizam al-Mulk itu seorang wazir yang memberi galakan
kepada perkembangan ilmu-ilmu, sains, sastera, dan menghimpunkan sekelilingnya
para ulama dan ilmiawan yang terkenal dan mempunyai ilmu yang mendalam. Beliau
biasa mengadakan majlis-majlis perbincangan ilmiah dan al-Ghazali mendapat
namanya yang terkenal kerana kebolehan debatnya yang sangat baik.
Ilmu
pengetahuan al-Ghazali berkenaan dengan fiqh, usul al-din, dan falsafah
sedemikian dikagumi oleh Nizam al-Mulk sehingga beliau dilantik sebagai
professor Usul al-Din di Nizamiyyah itu (diasaskan pada tahun 458–460
H/1065-67 M) di Baghdad pada tahun 484H/1091M. Waktu itu beliau berumur tiga
puluh empat tahun. Ini merupakan kemuliaan yang sedemikian tinggi di alam Islam,
dan beliau itu diangkat kepada jawatan yang sedemikian sewaktu umur sedemikian
muda, yang tidak pernah orang lain dilantik kepada jawatan sedemikian sewaktu
bermur semuda itu. Beliau
sedemikian berjaya sebagai professor di Akademi itu; kuliahnya yang sedemikian
cemerlang dan kedalaman ilmu pengetahuannya serta kejelasan huraiannya menarik
semakin ramai para pelajar atau pendengar kepadanya, termasuk mereka dari
kalangan para sarjana yang terkenal di zaman itu. Dengan segeranya ramai mereka
mengiktirafi kefasihan, kedalaman pengetahuan, dan kemampuan beliau sebagai
pembicara ilmu, dan kemudiannya beliau dikirakan sebagai ahli usul al-din yang
teragung dalam tradisi Asha’irah. Maka beliau diminta nasihat dalam
perkara-perkara keagamaan dan siasah dan beliau menimbulkan pengarah yang
sebanding dengan pengaruh pegawai-pegawai negara yang tertinggi. Beliau
mencapai kejayaan tertinggi sebagai ulama dilihat dari segi keduniaan
lahiriahnya, tetapi dari segi batinnya beliau mula mengalami krisis intelektuil
dan kerohanian yang amat mendalam. Rasa syaknya dan menyoal semua perkara yang
ada dahulunya pada beliau mula menimbulkan dirinya semula dan beliau sampai
bersikap kritikal terhadap mata-mata pelajaran yang diajarkannya sendiri. Beliau
merasa kekosongan dalam huraian-huraian yang berupa helah-helah di kalangan para
fuqaha. Sistem huraian di kalangan ahli ilmu kalam tidak merupakan keyakinan
secara ilmu dan intelektuilnya. Beliau menentang huraian mereka yang memberi
penekanan yang berlebihan tentang perkara-perkara doktrinal, kerana yang
demikian membawa agama menjadi lingkungan sistem ortodoksi dan berupa sebagai
soal-jawab yang dangkal sahaja; perbalahan-perbalahan di kalangan para
mutakalimun berupa perakara-perkara soal-jawab tentang pegangan agama yang tidak
ada hubungan sebenar dengan kehidupan manusia dengan agamanya. Sekali
lagi beliau menumpukan dirinya kepada penelitian tentang falsafah secara
bersungguh-sungguh dan menyeluruh, dan beliau mendapati bahawa pegangan dan
keyakinan tidak boleh dibinakan atas pemikiran semata-mata. Akal ada peranannya
pada tahap-tahap tertentu, tetapi akhirnya Kebenaran Yang Terakhir memang tidak
boleh dicapai dengan akal fikiran. Dengan menyedari tentang batasan-batasan
pemikiran dalam hubungan dengan teologi, beliau berada dalam rasa syak berkenaan
dengan ilmu dan pegangan lalu beliau merasa tidak tenang jiwanya dan hatinya.
Beliau merasa beliau berada dalam kedudukan yang tidak sebenar. Akhirnya
beliau mendapat kesedaran bahawa jalan yang sebenarnya ialah jalan tasawwuf yang
membawa manusia kepada kebenaran yang sebenarnya melalui pengalaman rohaniah
yang sahih. Beliau telahpun mempelajari ilmu tasawwuf secara teori dan bahkan
ada juga melakukan amalan-amalannya; tetapi beliau belum lagi mara ke dalam
pengalamannya secara yang sangat jauh. Dia memikirkan bahawa kalaulah beliau
menumpukan dirinya kepada perjalanan kesufian melalui ciri-ciri kezuhudan, serta
menekuni amalan-amalan spiritual, berserta dengan tafakur yang mendalam, beliau
berkemungkinan akan mencapai nur yang sedang dicari-carinya. Tetapi
yang demikian ini melibatkan beliau meninggalkan kerjaya ilmiah yang cemerlang
dan kedudukan keduniaan yang sedemikian tinggi itu. Beliau terasa juga runtunan
untuk mendapat kemasyhuran dan kehebatan dirinya dalam kehidupan. Tetapi
runtunan untuk mencari kebenaran terlalu amat kuatnya. Beliau merasakan bahawa
beliau memerlukan keyakinan yang menetap pada pegangan, yang diperkuatkan lagi
dengan pemikirannya tentang kedatangan maut. Beliau berada dalam konflik
pemikiran dan perasaan sedemikian selama enam bulan lamanya mulai dari bulan
Rajab 488H/ Julai 1095. Beliau
menjadi merusut kesihatan badannya dan pemikirannya juga amat terganggu; selera
makannya dan penghadamannya hilang sampai suaranyapun tidak ada lagi. Maka
senanglah baginya untuk melepaskan jawatannya sebagai professor
lalu ia meninggalkan kota Baghdad pada bulan dhul-Qa’idah 488 H/
November 1095 M, secara lahirnya beliau menunjukkan bahawa beliau sedang hendak
menunaikan fardhu haji; beliau meminta saudaranya Ahmad menggantinya memberi
pengajaran kepada orang ramai dalam masa
pemergiannya itu; sebenarnya beliau menjalankan ‘uzlah sebagaimana yang
diajarkan oleh para ulama sufi demi untuk mencapai kedamaian fikiran dan hati
serta keselamatan untuk rohnya sendiri. Beliau
menyedekahkan semua harta miliknya melainkan bahagian-bahagian tertentu yang
diamanahkan untuk perbelanjaan keluarganya, kemudian beliau terus pergi ke
Syria. Selama
dua tahun lamanya beliau berada dalam ‘uzlah (tahun 488 H/1095 M ) di salah
sebuah daripada menara-menara masjid Umayyah di Damsyik; kemudian beliau pergi
ke Jerusalem untuk menjalankan ‘uzlah lagi di mana beliau melakukan tafakur
yang mendalam di Masjid ‘Umar dan Qubbat al-Sakhr (The Dome of the Rock).
Selepas daripada melawat makam Nabi Ibrahim a.s. di Hebron, beliau melaksanakan
hajinya ke Makkah dan pergi ke Madinah. Itu diikuti dengan amalan ber’uzlah di
tempat-tempat yang mulia dan masjid-masjid, serta mengembara di padang-padang
pasir. Selepas daripada sebelas tahun berada dalam pengembaraan beliau kembali
ke kota kelahirannya Tus, dalam tahun 499 H/1105 M. Berkenaan
dengan pengalaman-pengalamannya mengikut apa- apa yang berlaku selepas beliau
meninggalkan kota Baghdad, tidak ada apa-apa yang diberitahu olehnya kepada kita.
Apa yang diberitahu ialah bagaimana adanya perkara-perkara yang tidak boleh
dihuraiakan yang terlalu banyak yang berlaku kepadanya dalam bentuk ilham-ilham
sewaktu beliau berada dalam masa ‘uzlahnya itu. Pengalaman-pengalaman itu
nampaknya membawa sebagai natijahnya kepada beliau menerima otoritas Nabi s.a.w.
dan tunduk dengan sepenuhnya kepada kebenaran-kebenaran yang diwahyukan dalam
al-Qur’an. Antara
tanda-tanda awal tentang beliau memberi pembelaan terhadap akidah Ahlis-Sunnah
wal-jama’ah (yang memang dahulunya memang beliau memberi pembelaan terhadapnya,
tetapi sekarang pembelaan itu diberikan selepas daripada berlaku sesuatu yang
boleh disebut sebagai pengesahan secara kerohanian tentang kebenaran-kebenaran
itu) ialah penulisannya berjudul ar-Risalah al-Qudsiyyah yang digubah
sewaktu beliau berada dalam ‘uzlahnya di Jerusalem, mungkin sebelum 492 H/1099
M sebab pada bulan Sya’ban tahun tersebut Jerusalem ditawan oleh tentera
Salib. Ini dimasukkan ke dalam bab ke tiga kitab teragungnya Ihya’
‘Ulumi’d-Din dalam bab berkenaan dengan dasar-dasar ‘Aqidah; di dalam
kitab itu beliau mencatitkan apa yang dipelajarinya dalam masa beliau
ber’uzlah sambil melakukan latihan-latihan kerohanian dan menjalankan tafakur
yang mendalam itu. Dalam
masa pengembaraan itu beliau terus menerus mengarang kitab-kitab selain daripada
Ihya’ ‘Ulumi’d-Din dan dari semasa ke semasa beliau kembali memberi
pengajaran kepada para muridnya. Beliau merasakan bahawa ia mempunyai peranan
untuk menyelamatkan agama daripada aliran kezindikan dan kekufuran dan beliau
mengarang kitab-kitab untuk menegakkan akidah Ahl al-Sunnah wal-jama’ah
sebagaimana yang jelas daripada bahagian akidah dalam Ihya’
‘Ulumi’d-Din dan kitab-kitab lain seperti al-Iqtisad fi’l-I’tiqad;
beliau juga mengarang kita tentang kesesatan Batiniyyah dalam kitabnya al-Fad’ih
al-Bataniyyah dan juga kesesatan dan kekufuran dalam kitab Faisalat al-Tafriqah
bainal-islam wa’z-zanadiqah. Beliau juga meneruskan pemerhatiannya
terhadap hadith-hadith Nabi s.a.w. Bila
beliau kembali ke Tus beliau meneruskan hidup ‘uzlahnya serta tafakkur yang
diamalnya; bagaimanapun Fakhr al-Mulk anak lelaki Nizam al-Mulk yang memberi
lindungan kepadanya, yang waktu itu menjadi wazir kepada Sultan Sanjar menggesa
beliau menerima jawatan professor ilmu akidah di Maktab Maimunah Nizamiyyah di
Nishapur yang beliau setujui akhirnya, dengan perasaan hati yang berat; tetapi
beliau tidak lama bertugas di sana dan kemudiannya kembali ke kota kelahirannya
lagi dan membina madrasah di mana beliau memberi pengajaran di sana
berkenaan dengan usul al-din dan tasawwuf. Kemudiannya
bila beliau disuruh oleh wazir al-Said mengajar pula dan Nizamiyyah di Baghdad,
beliau membuat pilihan untuk menetap di Tus; di sana beliau hidup dengan aman
dengan para muridnya; hidupnya dipenuhi dengan pendidikan dan ibadat kepada
Allah sehingga beliau meninggal dunia pada 14 Jamadil-Akhir tahun 505 H/19
Disember 1111 M dengan kitab hadith atas dadanya, kata kisahnya. Ibn
al-Jawzi meriwayatkan dalam kitab al-Thabat ‘Inda al-Mamat kisah yang
didapatinya daripada Ahmad saudara Imam al-Ghazali bahawa “pada Hari Isnin (14
Jamadil-Akhir) pada waktu masuk Subuh saudaraku Abu Hamid mengambil wudu’nya,
sembahyang Subuh, kemudian berkata: ‘Bawa kepadaku kain kafanku’; beliau
mengambil kain itu, menciumnya dan meletakkannya pada matanya, sambil berkata:
‘Kami mendengar dan taat dengan penuh persediaan untuk hadhir ke Hadhrat Tuhan,
Raja (Yang Maha Berkuasa)’; kemudian beliau melunjurkan kakinya, mengadap
kiblat,dan meninggal dunia sebelum matahari naik’. Diceritakan
bahawa Shaikh Abul-hasan al-Shadhili rd bermimpi bahawa ia melihat Nabi s.a.w.
menunjukkan Imam Al Ghazali kepada nabi Musa dan ‘Isa, sambil bertanya kepada
kedua mereka, ‘Adakah terdapat orang alim yang bijaksana dalam umat anda
berdua?’, jawab keduanya tidak ada. Dalam
hayatnya beliau menyedari bahawa beliau mesti bertanggungjawab untuk menghadapi
aliran ilhad atau kekufuran yang sedang muncul pada waktu itu menyanggahi ajaran
Islam berdasarkan Qur’an dan Sunnah sebagaimana yang ada dalam Ahlis-Sunnah
wal-jama’ah. Kerana itu beliau memberi pembelaan terhadap akidah Ahlis-Sunnah
wal-jamaah dalam teks-teks karangannya. |
|