|
Kitab
Zikir Dan Doa (VERSI
DRAF _ MASIH DIEDIT) Keutamaan zikir Di antara
ayat-ayat al-Quran, firman Allah Ta’ala “Maka berzikirlah (ingatlah) kepadaKu, niscaya Aku akan mengingati kamu sekalian…..” (al-Baqarah: 152) Berzikirlah
(ingatlah) kepada Allah dengan zikir yang banyak.” (al-Ahzab:
41) “Mereka yang berzikir kepada Allah dalam keadaan berdiri duduk dan sedang berbaring.” (al-Imran: 191) “Dan apabila kamu telah selesai menunaikan sembahyang maka berzikirlah kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan sedang berbaring.” (an-Nisa’:
103) Berkata Ibnu Abbas: Maksud
ayat di atas, hendaklah seseorang itu berzikir kepada Allah pada malam hari dan
siangnya, di daratan dan di lautan ketika dalam pelayaran dan di dalam
keadaan kaya dan miskin, sakit dan sihat, sama ada dengan suara rendah (dalam
hati) mahupun dengan suara keras yang didengar oleh ramai. Allah berfirman: “Berzikirlah
pada Tuhanmu dalam dirimu (hatimu) dengan penuh perasaan rendah hati dan
takut dan bukan dengan suara keras di waktu pagi dan petang dan janganlah
engkau sampai dikira orang-orang yang lalai.” (al-A’raf:
205) Allah
berfirman lagi pada mencela orang-orang munafikin:
“Mereka itu tiada mengingati Allah melainkan sedikit sakali.”
(an-Nisa: 142)
Di antara Hadis-hadis yang membicarakan hal-hal ini ialah: “Berfirman Allah azzawajalla: Aku sentiasa
bersama hambaKu selagi ia mengingatiKu, dan selagi kedua belah bibirnya
bergerak-gerak (kerana berzikir kepadaKu).”
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Barangsiapa yang ingin
bersenang-senang di dalam taman-taman syurga maka hendaklah ia memperbanyakkan
zikir Allah azzawajalla.”
Apabila Rasulullah s.a.w ditanya: Mana satu amalan yang paling utama
sekali, baginda lalu menjawab:
“Iaitu apabila engkau menghadap
maut sedangkan lidahmu lembut
berzikir kepada Allah azzawajalla.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Telah berfirman Allah Tabaraka
Ta’ala. Andaikata hambaKu mengingatiKU dalam dirinya, niscaya Aku akan
mengingatinya di dalam diriKu. Andaikata dia mengingatiKu di hadapan orang ramai,
niscaya Aku akan mengingatinya di hadapan orang ramai yang lebih baik dari
kumpulannya. Andaikata dia mendekatiKu sejengkal, niscaya Aku akan mendekatinya
sehasta.”
Dari
kata-kata atsar pula, berkata al-Hasan: Zikir itu ada dua macamnya: Berzikir
kepada Allah azzawajalla di antara dirimu dan antara Allah azzawajalla. Alangkah
baiknya ini dan besar pula pahalanya. Dan lebih utama dari itu ialah berzikir
kepada Allah s.w.t pada ketika Allah mengharamkan sesuatu kepadanya. Keutamaan majlis
zikir.
Berkata
Rasulullah s.a.w. “Tiada sesuatu kaum pun yang duduk di dalam
satu majlis sedang mereka berzikir kepada Allah azzawajalla, melainkan para
Malaikat berkerumun di sisi mereka dan rahmat akan mencucuri mereka, dan Allah
akan menyebut-nyebut mereka kepada sesiapa yang ada di sisinya.” Keutamaan
bertahlil.
Bersabda Rasulullah s.a.w.
“Seutama-utama ucapan yang saya
katakan, begitu juga para Nabi yang sebelumku ialah: Laa Ilaha Illallahu
Wahdahuu Laa Sayariikalah (Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada
sekutu bagiNya),”
Bersabda Nabi s.a.w lagi: “Barangsiapa mengucapkan: Laa Ilahaa Illallahu
Wahdahuu Laa Syarikalah, Lahul Mulku Walahul Hamdu Wahuwa ‘Alaa Kullu
Syai’in Qadir (Tiada Tuhan melainkan Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu
bagiNya kepunyaanNya segala kerajaan dan bagiNya segala kepujian dan dia
Berkuasa atas segala sesuatu) setiap kali 100 kali Pahalanya sama seperti pahala
memerdekakan 10 hamba sahaya, dan dicatitkan baginya 100 hasanah (keabaikan) dan
dipadamkan daripadanya 100 saiyi’ah (keburukan).” Keutamaan
tasbih, tahmid dan zikir-zikir lain.
Bersabda Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa membaca subhaanallah selepas
setiap sembahyang 33 kali, dan membaca Alhamdulillaah 33 kali dan membaca Allahu
Akhbar 33 kali, kemudian mencukupkan bilangan 100 dengan Laailaha Illallaahu
Wahdahu Laa Syarikalah, Lahul Mulku Walahul hamdu Wahuwa ‘Alaa Kulli syai’in
Qadir diampunkan dosa-dosanya.”
Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
“Barangsiapa yang membaca:
Subhaanallahi Wa Bihamdhi sehari 100 kali akan dileburkan segala
kesalahan-kesalahannya.”
Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
“Sebaik-baik pertuturan kepada
Allah Ta’ala empat: (1) Subhaanallah, (2) Alhamdulilaah, (3) Laa Ilaha
Illallaah, (4) Allaahu Akbar. Tidak ada halangannya untuk memmulakan yang mana
satu dari empat itu terlebih dulu.”
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:
“Dua kalimah yang ringan
disebutkan oleh lidah, tetapi amat berat dalam timbangan, juga amat dicintai
oleh yang Maha Pengasih iaitu: (1) Subhaanallaahi Wa Bihamdihi (2) subhaanallahi
‘Azhiim.” Rahsia Keutamaan zikir Sekiranya
ada berkata: Mengapa zikir kepada Allah itu, meskipun amat ringan disebutkan
oleh lidah dan amat ringan disebutkan oleh lidah dan amat mudah untuk dilakukan,
menjadi lebih utama dan lebih berfaedah dari berbagai-bagai ibadat yang lain
yang lebih berat dan sukar melakukannya. Ketahuilah bahwa untuk mentahkikkan (menerangkan)
perkara ini tidak sempurna, melainkan dengan ilmu mukasyafah (ilmu penyingkapan).
Tetapi di dalam ilmu mu’amalah tentang tingkatan zikir kepada Allah s.w.t.
bahwasanya zikir yang menginggalkan kesan dan yang berfaedah ialah zikir yang
dilakukan dengan tetap dan berterusan dengan hati yang hadir. Adapun bezikir
dengan lidah sedangkan hati lalai yang hadir. Adapun berzikir dengan lidah
sedangkan hati lalai tidaklah memberikan apa-apa kesan atau faedah, malah
ditetapkan bahwasanya kehadiran hati dengan mengingati Allah s.w.t selalu atau
pada kebanyakkan waktum ialah lebih dipentingkan dari segala ibadatnya, bahkan
dengannya jugalah dapat dijamin terpeliharanya seluruh peribadatan; dan yang
dinamakan buah atau hasil dari peribadatan amaliah. Dan bagi zikir itu ada permulaannya dan ada pula pengakhirannya. Permulaannya menimbulkan kelapangan dalam diri serta kecintaan dan pengakhirannya yakni sesudah dilakukan zikir itu berkali-kali dan menjadi kelazimannya pula, dia tidak akan merasakan ketenangan dan kesenangan diri serta kecintaannya melainkan dengan berzikir. Itulah peringkat yang harus dituntut dalam berzikir. Keutamaan
berdoa. Allah telah
berfirman:
“Apabila hamba-hambaKu bertanya
engkau tentang ZatKu, maka (katakanlah) Aku amat hampir, sentiasa memperkenankan
permohonan orang yang bermohon ketika bermohon kepadaKu. Oleh kerana itu,
hendaklah mereka berkenaan memohon kepadaKu.”
(al-Baqarah: 186)
Allah berfirman lagi:
“Berdoalah kepada Tuhan kamu
dengan merendahkan diri dan suara perlahan-lahan, sesungguhnya Dia (Allah) tiada
suka kepada orang-orang yang melanggar batas.”
(al-A’raf : 55)
Allah berfirman lagi:
“Dan Tuhan kamu telah berfirman:
Mohonlah kepadaKu niscaya Aku memperkenankan permohonan kamu.”
(al-Mu’minun:
60)
Berfirman Allah lagi:
“Katakanlah: Berdoalah kamu
kepada Allah atau berdoalah kepada ar-Rahman (Tuhan Pengasih) dengan nama yang
mana pun kamu berdoa, (kerana) bagi Allah nama-nama yang terbaik.”
(al-Isra’:
110)
Nabi s.a.w telah bersabda:
“Doa itu intinya segala ibadat.”
Nabi s.a.w bersabda lagi:
“Memohonkan kepada Allah Ta’ala
dari kelebihan-kelebihanNya, sesungguhnya Allah Ta’ala suka jika Dia dimohoni,
dan sebaik-baik ibadat itu menantikan kelapangan.” Adab dan tertib berdoa
Dalam berdoa kepada Allah Ta’ala itu ada sepuluh adab iaitu: (1)
Sebaik-baiknya, ia memilih
waktu-waktu yang mulia untuk memanjatkan doanya ke hadrat Allah Ta’ala.
Misalnya di waktu wukuf di Hari Arafah setahun sekali, atau pada bulan Ramadhan
di antara bulan-bulan yang lain. Atau pada hari Jum’at dari hari-hari yang
lain dalam masa seminggu dan di waktu tengah malam dalam masa malam hari. Allah
telah berfirman: “Dan pada waktu-waktu tengah
malam, mereka memohon keampunan.”
(as-Zariat: 18) (2) Hendaklah ia mencari ketika dan keadaan yang baik, seperti masa berkecamuknya barisan-barisan hadapan pada sabiullah (peperangan untuk meninggikan syiar Allah), dan pada masa turunnya hujan lebat (di negara yang sukar dituruni hujan) dan pada masa mendirikan sembahyang-sembahyang fardhu dan sesudahnya dan masa-masa di antara azan dan iqamah, dan pada ketika bersujud dalam masa sembahyang. Pendekata dikira mulianya sesuatu waktu itu kembali kepada kemuliaan keadaannya. Misalnya di waktu tengah malam, ketika itu hati sedang dalam keadaan bersih suci dan ikhlas serta terjatuh daripada segala perkara yang meruncingkannya. Begitu juga waktu di Hari Arafah dan pada hari Jum’at, ketika itu seluruh perhatian sedang berkumpul dan hati sedang tolong-menolong pada mencapai kerahmatan yang menyeluruh dari Allah azzawajalla. (3) Hendaklah menghadapkan mukanya ke arah kiblat ketika memohonkan sesuatu doa, mengangkat tinggi kedua belah tangan sehingga boleh terlihat bahagian ketiak, kemudian selesai berdoa, ia pun menyapu kedua belah tangan itu ke muka. Berkata Umar Ibnul-Khattab r.a: Seringkali Rasulullah s.a.w ketika mengangkat kedua belah tangannya waktu berdoa tidak meleraikannya melainkan sesudah disapukan dengan kedua belah tangan itu kewajahnya. Ibnul Abas pula berkata: Biasanya bila Rasulullah s.a.w berdoa dirapatkan kedua belah tapan tangannya dan dijadikan bahagian dalam tapak tangan itu bersetentangan dengan wajahnya. Demikianlah cara-cara tangan itu ketika dalam berdoa dan baginda tidak pula mengangkatkan pemandangannya ke arah langit. (4) Hendaklah merendahkan suara antara perlahan dan kuat. Siti Aisyah berkata dalam memberikan penerangan tentang maksud ayat berikut: “Dan janganlah engkau mengangkkat suaramu di dalam sembahyang dan jangan pula merendahkannya sangat.” (al-Isra’ 110) Kata Siti Aisyah maksudnya ialah ketika membaca doa-doanya: Allah s.w.t telah memuji Nabi Zakaria a.s. dengan firmanNya: “Ketika
ia menyeru Tuhannya dengan seruan perlahan-lahan.” (Maryam: 3) Firman Allah Ta’ala lagi: “Serulah Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan suara perlahan-lahan.” (al-A’raf: 55) (5) Janganlah sampai ia memaksa-maksakan dirinya dalam berdoa dengan bersajak-sajak. Sebaik-baiknya janganlah sampai malampaui doa-doa ma’tsurah (doa-doa yang dihafal dari Rasulullah s.a.w.) sebab dikhuatiri ia akan melampaui batas di dalam doanya, lalu ia meminta apa yang tak patut dimintanya. Perlu diketahui bahwa bukan semua orang pandai menyusun doa terhadap Allah s.w.t. (6) Hendaklah ia berdoa dengan penuh perasaan rendah diri, penuh kekhusyu’an, penuh harapan dan kecenderungan dan juga penuh ketakutan. Allah telah berfirman: “Serulah Tuhan kamu dengan merendah diri dan suara perlahan-lahan.” (al-A’raf: 55) (7) Hendaklah bersikap tetap d dalam doanya dan meyakini bahwa doanya itu akan di kabulkan oleh Allah s.w.t. serta membenarkan harapannya itu. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Janganlah seseorang kamu berkata ketika berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Ampunilah aku jika Engkau menghendaki! Atau berkata: Ya Allah! Ya Tuhanku! Rahmatilah aku jika Engkau menghendaki Malah hendaklah menguatkan keazaman dalam doanya itu, kerana Allah tiada pernah di paksa atas pengabulan doa. Berkata Rasulullah s.a.w “Bila
seseorang kamu berdoa, hendaklah ia memperbesarkan permohonannya, sebab tiada
sesuatu pun yang dianggap besar di hadrat Allah s.w.t. Bersabda lagi Rasulullah s.a.w. “Berdoalah kepada Allah sedangkan kamu penuh keyakinan akan dikabulkan permintaan kamu itu dan ketahuilah bahwasanya Allah azzawajalla tidak akan mengabulkan doa orang yang lalai hatinya.” (8) Hendaklah ia bersungguh-sungguh dan jangan berputus asa dalam doanya. Dan sebaik-baiknya diulang-ulangkan sampai tiga kali, dan jangan sampai merasa terlalu lambat menerima pengabulan. (9) Hendaklah ia memulakan doanya dengan sebutan nama Allah dan janganlah sekali-kali memulakan dengan permintaan dulu. Sesudah menyebut nama Allah disebut pula salawat atas Nabi s.a.w. dan menutup doanya juga dengan sebutan salawat atas Rasulullah s.a.w juga. (10) Mengerjakan adab kebatinan dan itulah punca pengabulan dalam semua doa; iaitu bertaubat dan menghentikan segala macam penganiayaan serta menuju kepada Allah azzawajalla dengan sepenuh hati dan perasaan. Yang demikian itu adalah sebab yang paling hampir kepada terkabulnya segala permintaan. Keutamaan salawat atas nabi (s.a.w)
Allah telah berfirman: “Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya mengucapkan salawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlan salawat ke atasnya (Nabi) dan berikanlah salam dengan sempurna-sempurna salam.” (al:Azhab: 56) Berkata Nabi s.a.w. “Barangsiapa yang mengucapkan salawat ke atas ummatku, dituliskan baginya sepuluh hasanah (kebaikan). Para sahabat bertanya: Bagaimana boleh kamu mengucapkan salawat ke atasmu. Berkata Rasulullah: Ucapkanlah Ya Allah! Ya Tuhanku! Kurniakanlah salawat (kerahmatan) ke atas hambaMu Muhammad dan ke atas keluarganya dan isteri-isterinya serta keturunannya, sebagaimana Engkau mengurniakan selawat keatas Muhammad dan isteri-isterinya serta keturunannya, sebagaimana Engkau memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia.” Diriwatkan bahwasanya Siyidina Umar Ibnul-Khattab r.a, apabila sampai kepadanya berita kewafatan Rasulullah s.a.w., terus meratap seraya berkata: Demi bapaku dan ibuku duhai Rasulullah! Sebenarnya keutamaanmu di sisi Tuhan telah sampai kemuncaknya sehingga dijadikan ketaatan kepadamu sama seperti ketaatan kepada Tuhan, sebagaimana firman Allah azzawajalla: “Barangsiapa yang mentaati Rasul, maka sebenarnya dia telah mentaati Allah.” (an-Nisa’: 80) Demi bapaku dan ibuku duhai Rasulullah! Sebenarnya keutamaanmu di sisi Allah telah meningkat sampai Dia (Allah) memberitahukan engkau keampunanNya terhadapmu, sebelum Dia memberitahukanmu tentang dosamu. Allah berfirman: “Allah telah mengampunimu (Muhammad) mengapa engkau izinkan mereka (tinggal) tidak menurut pergi berperang.” (at-Taubah: 43) Demi bapaku dan ibuku duhai Rasulullah! Sebenarnya keutamaanmu telah memuncak di sisi Allah, sehingga ahli neraka berangan-angan hendak mentaatimu (menurutmu), padahal mereka berada di lapisan-lapisan neraka disiksa mereka berkata (dalam firman): “Aduhai alangkah baiknya
jika kita dulu mentaati Allah dan mentaati RasulNya.”
(al-Ahzab:
66) Demi
bapaku dan ibuku duhai Rasulullah! Jika Musa dikurniakan oleh Allah batu yang
memancar daripadanya matair-matair, maka adakah yang lebih menakjubkan lagi
daripada jari-jemarimu, apabila terpancar daripadanya air, mudah-mudahan Allah
merahmatimu. Demi
bapaku dan ibuku duhai Rasulullah! Jika sulaiman dikurnikan oleh Allah angin
yang menerbangkannya sebulan perjalanan pergi dan sebulan pula perjalanan
kembali, maka adakah yang lain lebih menakjubkan daripada Burak (kenderaan kilat)
yang membawamu mendaki hingga langit ketujuh, kemudian kembali semula pada malam
yang sama ke Abtah (Makkah) untuk bersembahyang subuh di situ pula moga-moga
Allah merahmatimu. Demi
bapaku dan ibuku duhai Rasulullah! Jika Isa bin Maryam dikurniakan oleh Allah
kuasa menghidupkan orang mati (dengan izin Allah), maka adakah lain perkara yang
lebih menakjubkan lagi daripada kambing yang beracun ketika ia berkata-kata
denganmu, padahal ia telah menjadi daging yang sudah dipanggang. Bukankah rusuk
kambing itu telah berkata kepadamu: Jangan makan aku kerana aku ini telah disira
dengan racun. Demi
bapamu dan ibuku duhai Rasulullah! Meskipun amat pendek umurmu dan amat sedikit
masa kepimpinanmu, akan tetapi orang-orang yang menurutimu lebih jauh
bandingannya dengan orang yang menuruti Nuh, padahal amat lanjut umurnya dan
amat panjang pula masa kepimpinannya. Sebenarnya orang yang mempercayai
risalahmu amat banyak sekali, padahal orang yang mempercayai risalahnya amat
sedikit pula. Engkau telah mengenakan pakaian bulu, mengenderai keledai dan
membiarkan orang lain menunggang di belakangmu pula. Engkau meletakkan makananmu
di atas tanah bila memakannya, kemudian engkau menjilat pula jari-jemarimu
sesudah makan sebagai tanda rendah diri. Moga-moga Allah mengurniakan ke atasmu
salawat dan salam. Keutamaan
istighfar (mohon keampunan)
Berfirman Allah azzawajalla:
“Dan mereka pada ketika melakukan keburukan ataupun menganiyai diri,
mereka segera mengingati Allah, maka mereka pun meminta keampunan di atas
dosa-dosa mereka.”
(ali-Imran: 135)
Berfirman Allah lagi:
“Barangsipa yang melakukan
kejahatan ataupun menganiayai dirinya, kemudian ia meminta keampunan kepada
Allah, niscaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampunan dan Maha Mengasihani.”
(an-Nisa’:
110)
Allah berfirman:
“Maka bertasbihlah dengan
kepujian terhadap Tuhanmu dan mintalah keampunan, sesungguhnya Ia Maha
Pengampunan.”
(an-Nasr: 3)
Berfirman Allah lagi:
“Dan orang-orang yang memohn
keampunan pada waktu tengah malam.”
(ali-Imran 17)
Allah berfirman:
“Mereka itu sedikit sekali tidur
di waktu malam, dan pada waktu tengah malam itu mereka meminta keampunan.”
(adz-Dzariat: 17-18)
Rasulullah s.a.w. sendiri sering memperbanyakkan sebutan:
“Maha Suci Engkau, ya Allah, ya
Tuhanku! Aku memujiMu. Ya Allah, ya Tuhanku! Ampunilah aku, sesungguhnya Engkau
Maha Pengampun Maha Mengasihani.”
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:
“Barangsiapa memperbanyakkan
memohon keampunan, niscaya Allah akan menukarkan segala kesulitannya menjadi
kelapangan, dan segala kesempitannya diberikan jalan kelua, dan Dia akan
memberinya rezeki tanpa terkira banyaknya”.
Berkata Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya aku sentiasa memohon keampunan kepada Allah Ta’ala dan
bertaubat kepadaNya dalam sehari sebanyak 70 kali.”
Dalam istighfarnya, baginda Rasulullah sentiasa menyebut:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Ampunilah
aku terhadap semua dosa yang telah aku lakukan terdahulu dan kemudian yang
tersembunyi dan yang terang, dan juga terhadap semua dosa yang Engkau Amat
Mengetahui mengenainya. Engkaulah yang terdahulu dan yang terkemudian dan Engkau Berkuasa di
atas setiap sesuatu.”
Dari al-Fudhail r.a katanya: Meminta keampunan tanpa berhenti dan membuat
dosa adalah taubatnya para pendusta. Dan dari Rabi’ah al-Adawiah pula, katanya:
Permohonan keampunan yang kami lakukan memerlukan kepada permohonan keampunan
yang lebih banyak.
Adapun tentang wirid-wirid di pagi hari dan petangnya juga sesudah setiap
sembahyang dan di waktu tengah malam, kami telah menyediakan bab yang tersendiri
mengenainya. Bagi orang yang ingin mempelajarinya sila rujuk bab tersebut. Tata-tertib
tidur. (1)
Bersuci (berwudhu’) dan bersiwak (2)
Menyediakan penyuciannya (untuk wudhu’
atau tayamum) dan siwak, lalu berniat untuk melakukan ibadat di waktu bangun
dari tidur nanti. (3)
Orang yang ingin mewasiatkan sesuatu
untuk keluarganya jangan sampai tertidur, melainkan sesudah ditulis wasiat itu
dan disimpan dibawah kepalanya sebab bukan mustahil ia boleh meninggal dunia di
dalam tidur. (4)
Sebelum tidur, hendaklah terlebih
dulu ia bertaubat dari segala dosa, bersih hati terhadap sekalian kaum Muslimin,
tiada menyimpan dendam terhadap seseorang dan tiada berazam untuk melakukan
maksiat kelak bila bangun dari tidur nanti. (5)
Hendaklah jangan terlalu mengambil
berat sangat tentang tempat tidurnya supaya ia dari yang empuk dan halus. (6)
Jangan cuba tidur segera, selagi mata
belum mengantuk dan jangan cuba memaksa-maksakan mata untuk tidur, kecuali jika
bermaksud supaya senang bangun untuk beribadat di tengah malam. (7)
Hendaklah tidur berhadapan dengan
kiblat. (8)
Hendaklah membaca doa-doa yang warid
ketika hendak tidur. Di antaranya membaca doa-doa yang warid ketika hendak tidur.
Di antaranya membaca Surah al-Ikhlas dan mu’ awwidzataini (Surah-surah al-Falaq
dan an-Nas) dan sesudah baca, menyemburkan kedua tangan lalu
menyapu dengan keduanya pada wajah dan seluruh tubuh. Selanjutnya boleh
membaca pula Ayat Kursi dan membaca Subhaanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali,
Allahu Akbar 33 kali juga. (9)
Hendaklah mengingat ketika mahu tidur,
bahwa tidur itu adalah semacam mati, manakala bangun daripadanya semacam
ba’ats. Dan hendaklah meyakini pula, bahwa manusia itu diwafatkan ats adat
kebiasaannya sama ada di dalam hatinya mencintai Allah dan cinta untuk kembali
kepadaNya ataupun bersarang di dalam hatinya kecintaannya dunia, dan kelak ia
akan dibangkitkan seperti ketika diwafatkan. (10)
Berdoa ketika bangun dari tidur.
Hendaklah ia dimulakan dengan: “Segala
kepujian bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah mematikan kami da
kepadaNyalah kami akan dikembalikan” Kemudian membaca ayat terakhir
dari Surah al-Imran iaitu ayat 190 hingga akhir ata 200, sebanuak sepuluh ayat
kesemuanya. 190
Sesungguhnya dalam kejadian langit
dan bumi dan pergantian malam dan siang adalah menjadi keterangan bagi
orang-orang yang mengerti. 191
Iaitu orang-orang yang mengingati
Tuhan ketika berdiri duduk dan berbaring serta memikirkan tentang kejadian
petala langit dan bumi sambil berkata: Duhai Tuhan kami! Tiadalah Engkau
menjadikan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau peliharalah kami dari
siksa api neraka. 192
Duhai Tuhan kami, Sesiapa yang engkau
masukkan ke dalam api neraka itu, sebenarnya Engkau telah menghinakannya. Dan
tiadalah orang-orang yang zalim itu mempunyai penolong. 193
Duhai Tuhan kami! Sesungguhnya kami
telah mendegar penyeru yang mengajak
untuk beriman. Berimanlah dengan Tuhanmu! Maka kami segera beriman. Duhai Tuhan
kami ampunlah dosa-dosa kami dan tebuskanlah kesalahan-kesalahan kami, dan
wafatkankanlah kami bersama-sama orang–orang yang baik. 194
Duhai Tuhan kami kurniakanlah
kami-kami apa-apa yang kau janjikan kami menerusi para Rasul Engkau, dan
janganlah engkau tidak akan memungkiri janji. 195
Maka tuhan telah memperkenalkan
permohonan mereka bahawa aku (Tuhan) tidak akan mengsia-siakan amalan sesaorang
yang beramal diantara kamu dari kaum lelaki mahupun perempuan, setengah kamu
kepad setengah yang lain. Sebab itu orang yang berpindah negeri atau orang-orang
yang diusir dari rumah-rumah mereka dan mereka dianiaya pada jalan Aku, mereka
yang berjuang mati-matain dan terbunuh, niscaya Aku akan menebus mereka dari
segala keburukan-keburukan mereka. dan akan aku masukkan mereka ke dalam syurga
yang mengalir di bawahnya sungai-sungai sebagai pahala dan balasan dari Allah
dan pada Allah ada sebaik-baik pahala. 196
Janganlah engkau sampai terpengaruh
tentang perubahan sikap orang-orang yang kafir dalam beberapa negeri. 197
Kesenangan yang sebentar (yang mereka
rasakan), kemudian nanti akan disediakan bagi mereka tempat tinggal di Neraka
Jahanam dan itulah tempat tinggal yang amat buruk. 198
Akan tetapi orang-orang yang patuh
kepada Tuhannya akan memperoleh syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,
mereka kekal di situ. Mereka mendapat sambutan yang baik di sisi Allah, dan apa
yang ada pada sisi Allah itu adalah baik bagi orang-orang yang baik. 199
Dan sesungguhnyaa orang-orang yang
ahli kitab (Nasrani dan Yahudi) itu ada di antara mereka yang berimana kepada
Allah dan apa yang diturunkan kepada kamu dan apa yang diturunkan
kepada mereka, mereka tunduk kepada Tuhan, tiada menukarkan
keterangan-keterangan Allah dengan harga yang murah. Mereka itu memperoleh
pahala dari Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah itu cepat perhitungannya. 200
Wahai orang-orang yang beriman
bersabalah kamu serta anjurkanlah sabar kepada orang lain dan perteguhkanlah
serta patuhlah kepada Allah, moga-moga kamu sekalian menjadi orang-orang yang
beruntung. Kemudian membaca pula subhaanallaah 10 kali, Alhamdulillaah 10 kali, Allahu Akbar 10 kali dan Laa Illaaha Illallaah 10 kali. Berkata Siti Aisyah r.a.: Biasanya Rasulullah
s.a.w. ketika bangun di tengah malam, baginda memulakan sembahyangnya dengan bacaan: “Ya Allah! Ya Tuhanku! Tuhannya Jibril dan
Mikail dan Israfil, Tuhan Pencipta petala langit dan bumi, Maha Mengetahui
segala yang ghaib dan yang terang. Engkaulah yang memutuskan antara
hamba-hambaMu tentang apa yang mereka perselisihkan. Oleh itu berikanlah aku
petunjuk yang benar dari mana-mana yang di peselisihkan itu dengan izzinMu.
Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk kepada orang yang Engkau kehendaki ke jalan
yang lurus.” Kemudian baginda memulakan sembahyangnya dengan
dua rakaat yang ringan dan sesudah itu barulah baginda bersembahyang terus dua
rakaat, dua rakaat menurut kemahuannnya dan di akhiri dengan sembahyang witir
kiranya baginda belum bersembahyang witir pada awal mala. Dalam sembahyang tersebut kadang-kadang baginda membaca dengan suara tinggi dan kadang-kadang membaca perlahan-lahan saja. Kebanyakan riwayat yang sahih mengatakan sembahyang baginda di tengah malam itu ialah sebanyak 13 rakaat. Wirid untuk orang beribadat semata-mata
Ketahuilah bahwa wirid-wirid
dan zikir-zikir yang warid dan ibadat-ibadat yang ddibuat pada waktu malam dan
siang itu, adalah sunnat yang dituntut bagi orang yang tidak mempunyai kerja
lain selain beribadat. Orang itu kiranya bukan kerjanya beribadat dia tiada
mempunyai kerja lain dan menganggur manakala semua waktunya terbuang sia-sia
saja.
Adapun orang alim yang boleh memberikan manfaat kepada orang ramai dengan
ilmunya seperti memberikan fatwa agama atau mengajar atau mengarang buku-buku,
maka susunan wirid-wiridnya adalah berlainan dengan susunan wirid seorang abid
atau orang yang kerjanya beribadat sepanjang masa. Orang alim itu memerlukan
banyak masa lain untuk bermutalaah buku-buku dan memerlukan masa juga untuk
mengarang buk-buku yang berfaedah. Kerja-kerja semacam ini tentulah memakan masa
yang banyak. Oleh itu kalau semua masanya habis dalam kerja-kerja serupa itu,
maka yang demikian itu aadlah lebih utama sesudah dikerjakan semua
sembahyang-sembahyang yang fardhu dan sunnat-sunnatnya. Perkara ini telah saya
sebutkan di dalam Kitab Ilmu Pengetahuan, mengenai keutamaan pelajaran dan
pengajaran kerana dengan ilmu sajalah seseorang itu dapat mengamalkan zikir
kepada Allah dengan sunguh-sunguh. Cubalah perhatikan apa yang difirmankan oleh
Allah atau yang disabdakan oleh Rasulullah niscaya kita akan mendapati berbagai
faedah dan manfaat bagi manusia yang boleh membimbingnya ke jalan akhirat.
Betapa tidak terkadang-kadang satu masalah saja yang dipelajari oleh
seseorang pelajar boleh memberi manfaat untuk beribadat seumur hidupnya.
Andaikata tiada dipelajari, tentulah segala amalannya itu akan menjadi sia-sia
dan tidak berguna.
Adapun orang awam dan para penuntut maka hadirnya mereka di dalam
majlis-majlis ilmu pengetahuan dan muhadharah-muhadharah agama adalah lebih
utama daripada kerja berwirid semata-mata. Begitu juga dengan pekerja-pekerja
yang memerlukan sara hidup untuk anak isteri maka tidak wajarlah baginya untuk
menghabiskan semua masa kerana beribadat dan berwirid saja. Bahkan wiridnya
dalam waktu bekerja itu ialah menghadirkan diri untuk bekerja di pasar-pasar
ataupun mencari sara hiddup yang wajib, tetapi dalam pada itu janganlah sampai
ia melupakan tuhan dan melupakan zikir kepadaNya di waktu pekerjaan dan mencari
sara hidup itu. Keutamaan
bangun di tengah malam. Bangun di tengah malam untuk beribadat memanglah menjadi perkara yang paling utama sekali. Di antara dalil-dalil yang menunjukkan keutamaan ini ialah ayat-ayat al-Quran berikut:
“Mereka meninggalkan tempat tidur kerana berdoa kepada Tuhan dengan
perasaan penuh ketakutan dan penuh harapan, dan mereka membelanjakan dari rezeki
yang Kami (Allah) kurniakan kepada mereka.”
(as-Sajdah: 16)
Allah berfirman: “Adakah orang yang
merendahkan diri (kerana beribadat) selama beberapa masa di waktu malam.”
(az-Zumar: 9)
Allah berfirman lagi: “Dan mereka yang berbakti di waktu malam dalam keadaan bersujud dan berdiri.”
(al-Furqan: 64)
Berfirman Allah: “Mereka itu sedikit sekali
tidur di waktu malam. Dan mereka memohonkan keampunan di sepanjang malamnya.
Dalam harta benda mereka, ada ditentukan hak yang tertentu bagi orang yang
meminta dan orang susah.”
(adz-Dzariat:
17-19)
Adapun Hadis-Hadis yang ada hubungannya dengan perkara yang dibicarakan
ini ialah: “Dua rakaat yang dilakukan oleh seseorang hamba di tengah malam, adalah lebih utama daripada dunia dan seisinya.” “Sesungguhnya ada suatu masa di waktu malam, yang jika ditemui oleh seorang hamba Muslim, lalu dia meminta sesuatu yang baik kepada Allah Ta’ala, niscaya Allah akan mengurniakan kebaikan itu kepadanya.”
Akhir seklai Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
“Beribadatlah kamu di waktu malam,
kerana ia adalah perilaku para salihin sebelum kamu.” Sebab yang
memudahkan beribadat di tengah malam.
Di antara sebab-sebab yang boleh menggalakkan seseorang untuk beribadat
di tengah malam ialah: (1)
Jangan mengenyangkan sangat perutnya,
sehingga ia tidak banyak minum pula. Kerana yang demikian itu akan menyebabkan
ia terlalu mengantuk dan akan menjadi beratlah baginya untuk bangun beribadat di
tengah malam. (2)
Hendaklah ia melazimkan tidur
sebentar di siang hari, kerana yang demikian itu dapat menolong ia bangun di
tengah malam. (3)
Hendaklah ia memahamkan dirinya
tentang keutamaan beribadat di tengah malam dengan mempelajari ayat-ayat al-Quran
dan Hadis-hadi yang menerangkan peri keutamaannya, sehingga keazaman menjadi
kuat dan kecenderungan untuk mendapatkan pahalanya tersemat di dalam hati. Di
waktu itu tentulah keinginan bangun di tengah malam akan berlonjak-lonjak untuk
menuntut kelebihan pahala dan untuk mencapai tingkatan-tingkatan syurga yang
tinggi. (4)
Beribadat di tengah malam itu adalah
suatu pertanda yang mulia, kerana ia menunjukkan kecintaan hati terhadap Allah
dan membuktikan betapa kukuh keimanannya. Sebab kerjanya di waktu malam itu
tiada lain melainkan semata-mata kerana bermunajat kepada Tuhan, sedangkan Allah
menyaksikan segala gerak-lakunya dan menyingkap segala isi hatinya. Dan
ketahuilah, bahwa segala gerak-laku hati di waktu itu adalah datangnya dari
Allah Ta’ala, seolah-olah Allah sedang berkata-kata dengannya. Andaikata ia
tergolong orang yang dikasihi Allah Ta’ala, tentulah dia akan berminat untuk
berkhalwat ditengah malam dengan Tuhannya, dan ia akan merasa amal lazat
bermunajat, manakala kelazatan bermunajat itu akan menyebabkan ia semakin
cenderung dan kuat untuk bangun beribadat di tengah malam. Kenikmatan
bermunajat dengan hukum akal dan naqal.
Tiada syak laagi orang yang bermunajat itu merasakan sepenuh kelazatan
dan kenikmatan dalam munajat-munajatnya, kerana yang demikian itu dapat
dibuktikan dengan hukum-hukum akal dan naqal.
Adapun dengan hukum akal dapat diumpamakan seorang yang mencintai seorang
lain kerana kecantikannya, ataupun terhadap seorang raja kerana kemurahan
hatinya dan kerana banyak harta yang dibelanjakannya. Dalam kedua-dua misal tadi,
dapat dibayangkan betapa orang yang tercinta itu merasa nikmat bila dapat
bertemu dan berkhalwat dengan orang yang dikasihinya dan tidak mustahil juga,
dia akan merasa redha untuk bercumbu-cumbuan dengannya sepanjang malam, tanpa
tidur oleh kerana terlalu mendalam cintanya terhadap orang itu.
Andaikata ada orang berkata: Memang benar itu, tetapi jika orang yang
cantik atau kekasihnya itu dapat dilihat dengan mata secara berhadapan-hadapan,
bagaimana pula dengan Zat Allah yang tidak boleh dilihat itu?
Ketahuilah, bahwasanya jika kekasihnya itu memang benar-benar dicintai,
tidak mengapa walaupun ia berada di balik tabir. Ataupun jika ia berada di
tempay yang gelap-gelita. Namun orang yang mencintainya itu tetap merasakan
kenikmatan dengan semata-ata berada dekat dengannya, meskipun tanpa dapat
melihat kekasihnya itu. Manakala hatinya akan merasa puasa
dengan yang demikian itu dan tiada mengharapkan selain dari itu.
Memadalah merasa kenikmatan dengan melahirkan cintanya itu terhadap kekasihnya
dan cukuplah menyebut-nyebutkan dengan lidah ketika berdekatan dengannya
sehingga perkara itu menjadi termaklum. Andaikata
orang itu berkata lagi: Mungkin orang yang bercinta itu menunggu jawaban
kekasihnya, dan tentu seklai dia akan merasa senang bila mendengar jawabannya
itu, sedangkan orang yang mencintai Allah, tidak mungkin mendengar percakapan (firman)
Allah Ta’ala? Ketahuilah,
kiranya ia mengetahui bahwa kekasihnya itu (Allah) tidak akan memberi jawaban
dan akan terus berdiam diri, tentulah ia masih merasa nikmat juga dengan
mendedahkan segala hal-ehwalnya serta membukakan segala rahsia hatinya kepada
Allah yang dikasihiNya itu. Betapa tidak! Kerana orang yang hatinya penuh
kayakinan terhadap Allah Ta’ala akan merasa sesuatu perasaan tindak balas di
dalam sanubarinya di waktu bermunajat kepada Allah, maka tentulah ia akan merasa
nikmat itu.
Contohnya
yang semisal ialah orang yang berkhalwat dengn raja di waktu malam seraya
mendedahkan segala hajat dan keperluannya kepada raja itu, tentulah ia akan
merasa gembira kerana dapat berdua-duaan bersamanya, dengan berharap pula akan
mendapat pengurniaan daripada raja itu. Ini
adalah satu harapan kepada seorang raja akan memberinya pengurniaan secara
terbatas saja. Apatah lagi jika harapan itu ditujukan kepada Allah Ta’ala
tentulah tiada terbatas sama sekali, kerana apa yang diberikan oleh Allah itu
lebih kekal dan lebih banyak manfaatnya daripada yang diberikan oleh manusia.
Jadi bagaimana boleh dikatakan seseorang itu tidak akan merasa nikmat dengan
mendedahkan segala keperluannya kepada Allah di dalam khalwat dan munajatnya?
Adapun
menurut hukum naqal, maka halnya dapat disaksikan oleh orang-orang yang bangun
di tengah malam itu sendiri, betapa mereka merasa nikmatnya beribadat di waktu
itu. Betapa pula mereka merasakan malam yang panjang itu menjadi pendek, laksana
seorang yang bercinta bertemu dengan kekasihnya di tengah malam, sehingga
setengah mereja berkata kepada kekasihnya setangahnya: Bagaimana anda dengan
malam anda? Dijawabnya: Tak pernah dapat aku meraikannya sama sekali. Ia
menunjukkan mukanya sekejap lalu pergi semula, sehingga tak sempat aku hendak
memerhatikannya sama sekali. Berkata
Ali bin Bakkar: Selama 40 tahun tak pernah ada sesuatu yang menyedihkan aku
selain daripada terbitnya fajar.
Berkata
al-Fudhail bin Iyadh: Setiap kali matahari terbenam aku merasa gembira dengan
tibanya kegelapan malam, kerana ketika itu ake dapat berkhalwat dengan Tuhanku.
Kemudian apabila matahari itu terbit semula, berdukacitalah aku kerana aku
terpaksa berhadapan dengan orang ramai. Berkata
Abu Sulaiman: Orang-orang yang beribadat di tengah malam lebih menikmati dengan
waktu malamnya daripada orang yang bersukaria dengan alat- alat yang memerdukan
jiwa. Dan kalaulah tidak kerana adanya malam, niscaya aku tiada ingin hidup di
dunia ini.
Yang
lain pula berkata: Tiada sesuatu barang di dunia ini yang dapat menyerupai
kenikmatan ahli syurga, kecuali apa yang dirasakan oleh orang yang
menggantungkan hatinya dengan waktu malam, disebabkan kelazatan bermunajat
kepada Allah. Yang
lain lagi berkata: Kelazatan bermunajat itu bukanlah berasal dari duni, tetapi
ia berasal dari syurga yang dirasakan Allah kepada para walinya, dan tiada
seorang pun selain mereka yang dapat merasakan keindahan bermunajat itu.
Berkata
Ibnul Munkadir pula: Tiada lagi yang tinggal dari kelazatan dunia melainkan tiga
saja: (1) Bangun kerana beribadat di tengah malam, (2) Bertemu dengan sahabat,
dan (3) Bersembahyang dengan berjemaah. Ada
yang bertanya pula, dan aku menggunakan kesempatan dengan fajarnya bila ia
terbit dan kini aku masih belum penuh gembira dengannya sama sekali.* _________________________ * Untuk menguatkan perbahasan yang dibicarakan oleh pengarang dalam pelajaran-pelajarannya untuk umum kamu suka menyebutkan apa yang dikutip oleh pengarang dalam karangannya yang lain dari Ibnul Qaiyim ad-Dimasyqi dalam kitab “Ighatsatul-Lahfaan” bunyinya: Berkata Ibnul Qaiyim: Hakikat manusia itu adalah hatinya dan rohnya dan tiada sempurna bagi manusia itu melainkan sengan mentauhidkan Tuhannya, beribadat kepadaNya, takut kepada sisksaNya serta berharap penuh kepada rahmatNya. Itulah kemuncak kelazatan manusia. Kebahagiaannya dan kenikmatannya, kerana tiada sesuatu benda pun di dalam alam ini selain Allah azzawajalla, yang mana hati akan merasa tenang dan tenteram kepadaNya manakala diri akan merasa senang dan nikmat bila menuju kepadaNya. Hakikat iman dengan Allah itu sendiri serta kecintaan, peribadatan, kebesaran dan berzikir kepada Allah itu adalah makanan jiwa bagi manusia. Disitulah terletaknya kekuatan, kebaikan dan ketulusan hati, sebagaimana yang telah ditunjuk oleh Hadis dan al-Quran serta disaksikan oleh fitrah manusia sendiri. Bukan seperti yang didakwakan oleh orang yang kurang penelitannya, bahwasanya beribadat dan berzikir itu adalah suatu perintah yang berat untuk tujuan menduga manusia, ataupun untuk tujuan memberi pahala, ataupun kerana mendidik jiwa dan membiasakannya, agar ia dapat meningkat daripada darjat kebinatangan. Oleh itu dikatakan, bahwa beribadat kepada Allah, mengenal dan mentauhidkan ZatNya serta mensyukuriNya diumpamakan sebagai cahaya mata manusia dan sebaik-baik nikmat yang boleh dirasakan oleh roh dan seluruh anggota. Bukanlah maksud dari ibadat dan perintah itu untuk menyusahkan dan memberatkan, sebagaimana yang diambil dari maksud pertama tadi, walaupun sebenarnya dalam menjalankan terdapat semacam keberatan, tetapi itu sudah menjadi semacam kelaziman. Oleh kerana itu maka segala perintah Allah s.w.t. dan kewajiban-kewaiban yang dibebankan ke atas hamba-hambaNya, dan juga syariat-syariatNya yang ditentukan ke atas mereka itu adalah sebagai cahaya mata dan kelazatan hati serta kenikmatan roh dan kegembiraannya. Padanya terselit kebahagian dan kemenangan serta kesempurnaan manusia dalam urusan dunia dan akhiratnya. Malah tiada kebahagiaan dan tiada kenikmatan yang hakiki, melainkan dengan semua itu sebagaimana Allah telah berfirman: “Wahai sekalian manusia, sesunguhnya telah datang kepada kamu nasihat daripada Tuhan kamu serta penawar bagi hati yang di dalam dada, juga petunjuk dan rahmat bagi orang-orang Mu’minin. Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmatNya hendaklah dengan itu mereka bergembira. Hal itu adalah lebih baik dari (harta) yang mereka kumpulkan.” (Yunus: 57-58) Berkata Abu Said al-Khudri: Yang dimaksudkan dengan kurnia Allah itu ialah al-Quran dan rahmatNya, bahwa Dia (Allah) telah menjdikan kamu dari ahli al-Quran. Demikianlah kebanyakan pendapat para ulama yang lain, kesemuanya telah menafikan bahwa perintah-perintah Allah, kewajiban-kewajiban serta syariat-syariatNya sebagai bebanan ke atas manusia, sebab Allah Ta’ala telah berfirman: “Allah tiada membebankan ke atas diri manusia, melainkan sekadat keampunannya.” (al-Baqarah: 286) Firman Allah ini telah membuktikan penafian bebanan ke atas manusia dan Allah tiada menamakan perintah-perintah wasiat-wasiat dan syariat-syariatNya, sebagai bebanan, malah dinamakannya sebagai rohani, nurani, penawar dan ubat, petunjuk, rahmat, kehidupan, perjanjian wasiat dan sebagainya dalam firman-firmanNya. Pembahagian
Waktu Malam
Menghidupkan
malam, yakni memenuhkan waktu-waktunya dengan amalan-amalan ibadat ada tujuh
peringkatnya: (1)
Menghidupkan
sepanjang waktu malam. Yang dapat memenuhinya ialah orang-orang yang kuat
keazamannya yang benar-benar telah menetapkan dirinya untuk beribadat kepada
Allah azzawajalla. Kerjanya itu menjadi semacam makanan bagi jiwa dan kehidupan
bagi hati. Sebab itu mereka tidak merasa letih atau lelah untuk beribadat di
sepanjang malam, manakala tidurnya ditukarkan pada waktu siang pula. Dikatakan
ada sebanyak 40 tabi’in terkenal dengan amalannya dalam cara ini. (2)
Bangun
untuk beribadat separuh dari malam. (3)
Bangun
untuk beribadat dalam sepertiga masa dari separuh malam yang terakhir. (4)
Bangun
untuk beribadat dalam seperenam malam yang terakhir atau seperlimanya. (5)
Tidak
menurut cara-cara yang telah lalu, dia tidur kemudian bangun malam pada
masa-masa yang tidak tetap waktunya. (6)
Bangun
malam setakat cukup untuk melakukan sembahyang empat rakaat ataupun dua rakaat
saja. (7)
Kiranya
memang sukar baginya untuk bangun malam, maka hendaklah jangan sampai terlalai
terus, sehingga masuk waktu subuh, ia masih di atas tempat tidur juga. Tetapi
sekurang-kurangnya, hendaklah ia bangun ketika masuk waktu subuh atau waktu
orang bersahur. Adapun bangun di waktu malam yang dilakukan oleh
Rasulullah s.a.w. maka caranya tidaklah tetap dalam tertib yang sama, tetapi ada
kalanya baginda separuh malam dan adakalanya sepertiga malam dan ada kala dua
pertiga malam dan ada juga seperenam malam saja, dan hal itu berbeda antara satu
sama yang lain. Perkata ini dipandukan kepada ayat al-Quran dalam dua tempat,
iaitu: “Sesungguhnya
Tuhanmu Mengetahui bahwa engkau bangun (mengerjakan sembahyang) kurang dari dua
pertiga malam, ada pula separuhnya dan sepertiganya.”
(al-Muzammil:
20) Perkataan kurang dari dua pertiga malam dalam ayat di
atas itu, seolah-olah maksudnya ialah: Separuhnya dan separuh dari seperenamnya.
Jika kalimat wanisghfahuu watsulutsihii, maka maksudnya ialah: Separuh dari dua
pertiga dan sepertiga dari dua pertiga, jadi hampir mendekati sepertiga dan
seperempat. Jika kalimat di atas itu diberikan baris fathah (atas) maka
maksudnya ialah: Separuh malam dan sepertiganya.
Berkata
Siti Aisyah r.a.: Rasulullah s.a.w. bangun dari tidur apabila baginda mendengar
kokokan ayam, dan ini maknanya seperenam malam atau kurang sedikit daripadanya.
|
|