KITAB BIMBINGAN MUKMIN - Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

 

 

 

Kitab Tata-tertib Pelayaran

          Ketahuilah, bahwasanya setiap orang yang belayar, sedangkan apa yang dituntutnya itu, seperti menambah ilmu pengetahuan, atau mempelajari urusan keagamaan, ataupun kerana mencari kelebihan rezeki untuk memenuhi tujuan keagamaan, maka orang itu tergolong orang-orang yang menempuh perjalanan keakhiratan. Bagi orang yang belayar kerana tujuan-tujuan yang tersebut di atas, ada beberapa syarat dan tata-tertib, yang jika ia mencuaikannya terluputlah semua tujuan-tujuan tadi. Dan ia tidak lagi terkira sebagai orang yang menempuh perjalanan keakhiratan, malah tergolong orang yang bekerja untuk kepentingan keduniaan, ataupun tergoong dari pengikut-pengikut syaitan. Tetapi sekiranya ia tetap berpegang kuat dengan syarat-syarat dan tata-tertib tersebut, maka pelayarannya itu tidak akan sepi dari berbagai-bagai faedah yang dapat dihubungkan dengan amalan-amalan keakhiratan.

 

          Berikut dihuraikan satu persatu bahagian-bahagian pelayaran itu:

          Bahagian pertama: Pelayaran kerana menuntut ilmu pengetahuan; iaitu sam ada hukumnya wajib ataupun sunnat. Masing-masing hukum itu ditentukan menurut ilmu pengetahuan itu sendiri; kiranya ia sebagai ilmu pengetahuan yang wajib dituntut, wajiblah hukumnya dan kiranya sunnat maka sunnat pulalah hukumnya.

 

          Ilmu yang harus dituntut itu, ada kalanya berupa ilmu pengetahuan yang berkenaan dengan urusan-urusan keagamaan, ataupun yang berkaitan dengan budi pekerti dan akhlak bagi dirinya sendiri, ataupun yang berhubungan dengan tanda-tanda kekuasaan Allah Ta’ala di atas bumiNya.

          Bersabda Rasulullah s.a.w.:

 

          Barangsiapa berpergian dari rumahnya kerana menuntut ilmu pengetahuan, maka ia adalah dalam perjalanan Allah, sehingga ia kembali.”

 

          Jabir bin Abdullah pernah berpergian dari Kota Madinah yang memakan masa selama perjalanan sebulan lamanya, kerana tujuan hendak meriwayatkan senuah Hadis Rasulullah s.a.w dari Abdullah bin Unais, sehingga ia mendengar sendiri Hadis itu darinya.

 

          Asy-Sya’bi pula berkata: Andaikata seseorang belayar dari negeri Syam menuju ke penghujug daerah negeri Yaman, kerana mempelajari suatu kalimat yang boleh memberinya petunjuk atu mencegagahnya dari suatu perkara yang salah, maka tentulah pelayarannya ke sana itu tidak sesia belaka.

 

          Adapun ilmu pengetahuan dan budi pekerti yang bertujuan untuk memperbaiki peribadi sendiri, maka yang demikian itu adalah amat penting sekali. Orang yang tidak mapu menilik keburukan perilakunya tentulah tidak berkuasa mensucikan hatinya dari segala keburukan itu. Jiwa itu, biasanya bila masih di dalam negeri sendiri, disebabkan dorongan-dorongan yang bermacam-macam, tidak boleh melahirkan keburukan-keburukan akhlaknya, kerana ia merasa paling senang dengan segala macam kelakuan yang telah menjadi kebiasaannya. Akan tetapi bila jiwa itu dapat diuji dengan kepayahan di negeri orang, barulah dapat dituntun keburukan-keburukannya. Dengan demikian dapatlah ia memberikan perhatian sepenuhnya terhadap keburukan itu, lalu berusaha untuk melenyapkannya.

 

          Adapun tentang tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah di atasan bumiNya, maka dalam meneliti dan memperhatikannya, ada banyak faedah-faedah dan manfaat-manfaat bagi orang yang menyaksikannya. Padanya terdapat bahagian-bahagian (negeri-negeri) yang berdekatan antara satu dengan yang lain. Padanya terdapat gunung-ganang, lembah-lembah, lautan-lautan, dan berbagai-bagai jenis binatang dan tumbuh-tumbuhan. Tiap-tiap satu dari ciptaan-ciptaan Allah ini, meyaksikan sifat keesaan bagi Allah yang Maha Agung.

          Bahagian kedua: Hendaklah pelayarannya itu kerana tujuan-tujuan beribadat seperti menunaikan Rukun Haji atau menyahut seruan jihad fi-sabilillah. Dalam sebuah Hadis berbunyi:

 

          Tiada diperlengkapkan persediaan pelayaran, melainkan untuk menuju ke tiga buah masjidku (masjid Madinah), Masjidil-Haram (Makkah) dan Masjidil Aqsha.”

 

          Bahagian ketiga: Pelayaran untuk menghindarkan diri dari sebab-sebab yang menganggu agama. Ini juga bertujuan baik, sebab melarikan diri dari sesuatu tekanan yang tak mampu di tanggung, adalah sunnat dari perjalanan para Nabi dan Rasul. Adalah menjadi amalan para Salaf Saleh radhiallahu-anhum, bila melihat sesuatu fitnah dalam sesebuah negeri, mereka terus meninggalkan negeri itu, kerana ingin menjauhkan diri dari bahaya dan fitnah tersebut.

 

          Pernah diriwayatkan, bahwa setengah para salaf Saleh ditanya: Hendak ke mana tuan? Katanya: kami dengar ada sebuah perkampungan di sana, barang-barangnya semua murah. Kami ingin tinggal di situ. Lalu ditanya lagi: Adakah perlu dibuat? Jawabnya: Ya, Jika ada orang yang menyampaikan kepadamu di sebuah tempat ada kemudahan-kemudahan semacam itu, maka pindahlah ke sana. Kerana yang demikian itu lebih selamat bagi agamamu, dan lebih meringankan bebananmu. Dan in adalah untuk melarikan diri dari tempat barang-barangnya terlalu mahal.

 

          Bahagian keempat: Pelayaran kerana menghindarkan diri dari sesuatu yang membahayakan badan, seperti takut terkena taun atau yang membahayakan harta, seperti terlalu mahal harga barang-barang atau yang seumpamanya. Melakukan semua ini tiada halangannya, bahkan ada kalanya melarikan diri dari pada setengah-setengah hal menjadi wajib, dan pada setengah setengah yang lain pula menjadi sunnat iaitu menurut tingkatan-tingkatan faedah yang boleh dicapai dari hal-hal yang dilakukan itu. Dalam hal ini, hanya yang dikecualikan ialah taun saja, maka hendaklah jangan ia meninggalkan tempat yang merajalela padanya penyakit taun itu kerana adanya larangan untuk membuat yang demikian itu, (sebabnya mungkin supaya ia tidak merebakkan penyakit itu ketempat lain – pent.)

 

          Pendek kata pelayaran itu terbahagi kepada tiga bahagian:

 

(1)               Pelayaran kerana sebab yang tercela.

(2)               Pelayaran kerana sebab yang terpuji.

(3)               Pelayaran yang mubah atau harus

 

Pelayaran kerana sebab yang tercela yang termasuk dalam kategori haram, seperti pelayaran seorang yang menderhaka kepada ibubapanya atau yang termasuk dalam kategori makruh, seperti lari dari negeri yang sedang merebak     di dalamnya penyakit taun.

 

Pelayaran kerana sebab yang terpuji yang termasuk dalam kategori wajib, seperti pelayaran orang yang naik haji untuk menunaikan Rukun Islam Kelima, atau kerana menuntut ilmu pengetahuan yang dikira wajib atas setiap Muslim Muslimah. Atau yang termasuk dalam kategori sunnat seperti pelayaran seorang yang menziarahi para alim ulama untuk melengkapi diri dengan akhlak dan tata-tertib mereka dan untuk menggerakkan hati demi mencontohi cara hidup mereka, serta mengambil faedah-faedah ilmiah terus dari jiwa mereka.

 

Adapun pelayaran yang mubah atau yang harus, maka puncanya ialah niat di hati. Jika maksud pelayaran itu, ialah kerana mencari harta dunia agar dengan harta ia dapat menahan diri dari meminta-minta dari orang lain, ataupun kerana memelihara maruah dirinya atas tanggungannya terhadap anak isteri dan keluarga yang mana bila ada kelebihan dari keperluan itu nanti, ia akan mensedekahkan pula kepada orang-orang yang berhajat, maka dengan adanya niat semacam ini, jadilah pelayaran itu mubah atau harus, terkira salah satu dari amalan keakhiratan yang akan diberi pahala kepadanya.

 

Andaikata seseorang belayar kerana menunaikan haji tetapi yang mendorong kepergiannya itu ialah riya’ atau kerana mencari nama, maka sesialah amalannya, dan ia terkeluar dari hitungan kerja-kerja keakhiratan.

 

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

 

“Hanyasanya amalan-amalan itu bergantung dengan niat-niatnya.”

 

Tata-tertib orang musafir

 

          Ada beberapa tata-tertib yang harus diperhatikan oleh seorang musafir dari mula ia berangkat, sampai ia kembali semule ke rumahnya; iaitu:

 

          Pertama: Mula-mula haruslah ia mengembalikan semua harta, atau barang-barang yang diperolehinya secara aniya atau dengan cara tipu daya. Sesudah itu, ia membayar pula segala hutang-piutangnya. Kemudian barulah ia menyediakan nafkah atau perbelanjaan bagi orang-orang yang dalam tanggungannya. Kemudian mengembalikan pula semua amanat orang yang disimpannya. Segala perbekalan yang dibawa dalam pelayaran itu hendaklah berupa yang baik dan halal dan sebaiknya dilebihkan sedikit untuk dibahagi-bahagikan kepada teman-teman yang ikut serta dalam pelayaran itu.

         

Ketika dalam pelayaran, biarlah segala percakapannya dari kata-kata yang manis dan baik didengar orang, dan membiasakan selalu memberi makan kepada orang lain, dan menampakkan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Kerana pelayaran itu selalunya menimbulkan sebab-sebab kejengkelan, maka barangsiapa yang sanggup memperbagusi akhlaknya dalam masa kejengkelan itu, maka itulah yang dinamakan orang yang luhur budi pekertinya.

         

Seterusnya untuk lebih menyempurnakan keluhuran budi pekerti bagi orang musafir ialah dengan berbuat baik terhadap orang-orang yang menyewakan sesuatu keperluan di dalam pelayaran itu, juga terhadap kawan-kawan sepelayaran dengan memberinya berbagai-bagai bantuan sekadar yang termampu. Selain itu sebaik-baiknya ia menolong orang-orang yang tergendala di dalam perjalanan dengan memberinya kenderaan atau makanan yang diperlukannya.

         

Tambahan lagi hendaklah ia sering menunjukkan rasa kemesraan dengan kawan-kawan sepelayaran dengan berlebih kurang, bersenda-gurau, membawakan cerita-cerita yang menggelikan hati di masa-masa yang lapang, tanpa menyentuh perasaan orang lain, atau pun terkait dengan sesuatu maksiat. Semua ini bermaksud semata-mata untuk menjadi penawar hati yang dapat melenyapkan kebosanan dalam pelayaran dan menghilangkan kesukaran-kesukarannya.

         

Kedua: Sebaik-baiknya ia mengajak seorang kawan untuk menemaninya dalam pelayaran itu, dan jangan dia berpergian seorang diri saja. Kata orang: Cari kawan dulu, kemudian baru tentu perjalanan. Kawan yang dipilih itu, biarlah orang yang boleh menasihatinya dalam urusan-urusan agama, sehingga kawan itu boleh mengingatkan sesuatu kewajiban bila ia terlupa membantu dan menolongnya pula bila ia teringat. Sebab telah disebutkan sebelum ini, bahwa seseorang itu dapat dianalisa dengan perjalanan kawannya. Jadi kalau hendak mengetahui perilaku seseorang itu lihatlah kepada perilaku kawannya.

         

Rasulullah s.a.w. sendiri telah  melarang orang yang berpergian seorang diri saja. Baginda bersabda: Jika kamu tiga orang dalam satu-satu pelayaran, maka hendaklah kamu lantik seorang menjadi ketua.

         

Ketua yang dilantik itu, biarlah seorang yang baik akhlak dan budi pekertinya, berbelas kasihan terhadap kawan-kawan, lebih mengutamakan kepentingan kawan dari diri sendiri, dan bijak menyatukan-padukan kemahuan ramai. Sebab diperlukan ketua, ialah pendapat-pendapat ramai tentunya tidak sama dalam kepentingan pelayaran. Jadi tidak sempurna satu-satu tujuan, melainkan dengan persepakatan ramai dalam tujuan itu, kerana biasanya bila sudah banyak sangat pendapat-pendapat timbullah kacau-bilau.

         

Adapun sebab teraturnya urusan-urusan alam ini, ialah kerana pentadbirnya ialah Satu, Esa iaitu Allah Subhanahu wa Ta’ala.

          Firman Allah Ta’ala:

          “Andaikata pada keduanya (langit dan bumi) ada tuhan-tuhan selain Allah, niscaya keduanya akan binasa.”                (al-Anbiya’: 22)

 

          Ketiga: Ketika hampir berangkat, hendaklah ia mengucapkan ‘Selamat Tinggal’ kepada sahabat-handai, rakan-taulan, anak-isteri dan sekalian keluarga. Ketika hendak berpisah dia mendoakan pula kepada orang-orang yang menghantarnya belayar dengan berkata:

 

          “Saya serahkan kepada Allah agamanu, amanatmu dan segala kesudahan amalanmu.”

 

          Orang-orang yang menghantar berdoa pula:

 

          “Semoga Allah sentiasa menambahmu dengan taqwa dan mengampunkan dosamu serta mendorongmu kepada kebaikan ke mana saja anda menuju.”

 

          Orang yang hendak belayar itu, hendaklah bersembahyang dua rakaat sunnat istikharah. Apabila ia sampai ke pintu rumahnya hendaklah ia membaca:

 

          Dengan nama Allah, aku bertawakkal hanya kepada Allah, tiada upaya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah. Ya Tuhanku aku berlindung kepadaMu agar tiada sesat ataupun disesatkan tiada tergelincir ataupun digelincirkan tiada aniaya ataupun dianiayakan, tiada menjadi bodoh ataupun dibodohkan oleh orang lain.”

 

          Apabila menaiki kenderaan atau sebagainya, dia membaca pula:

 

          “Maha Suci Tuhan yang telah mengerahkan kenderaan ini bagi kita, padahal kita tiada berkuasa untuk menundukkannya, dan bahawasanya kita sekalian pasti akan kembali juga kepada Allah.”

 

          Keempat: Hendaklah ia menaruh perasaan belas kasihan ke atas binatang yang ia mengenderainya. Jangan membebankan ke atasnya bermacam-macam muatan, sehingga binatang itu tidak tertanggung memikulnya. Jangan sekali-kali memukul binatang itu di mukanya, sebab yang demikian itu adalah di larang. Sunnat pula ia turun dari atas tunggangannya itu sekali-sekala, agar binatang itu dapat berehat sebentar, manakala tuan punya binatang itu pula akan merasa gembira bila melihat binatang itu tidak dibebani sangat.

         

Dalam pada itu badan juga perlu beristirehat agar segala anggotanya tidak terasakan penat, di sebabkan terlalu lama duduk tunggangannya.

         

Seterusnya jangan sekali-kali menambah barang-barang yang dibebankan ke atas binatang itu, selain dari apa yang telah dipersetujui, meskipun barang yang ditambah itu kecil atau ringan saja, kerana yang kecil atau sedikit itu boleh membawa kepada banyak pula.

         

Pernah berlaku, seorang kawan berkata kepada Ibnul-Mubarak yang sedang di atas tunggangannya: Tolonglah bawakan surat ini kepada teman saya si fulan! Ibnul-Mubarak menjawab: Tunggu dulu! Saya minta izin kepada tuan punya kenderaan ini, sebab saya tidak mensyaratkan kepadanya membawa surat ini.

         

Lihatlah bagaimana wara’nya Ibnul-Mubarak ini. Dia telah membelakangi pendapat ahli-ahli ilmu fiqh yang mengatakan, bahwa membawa barang-barang seperti surat itu adalah di antara perkara tolak-ansur (yakni: tidak patut diperkirakan sangat), akan tetapi Ibnul Mubarak tetap berpegang dengan jalan kewara’annya (yakni: tiap-tiap sesuatu mestilah menurut jalannya yang terang).

         

Kelima: Hendaklah ia berhati-hati bila belayar bersama-sama suatu kumpulan ramai (kafilah), janganlah sampai ia berjalan sendirian berjauhan dari mereka, agar tidak tersesat jalan, terutama sekali bila ia tertidur di waktu malam, hendaklah lebih berhati-hati.

         

Dan bila sampai waktu hendak tidur di malam hari, maka hendaklah kawan-kawan sepelayaran itu berganti-ganti berjaga malam.

         

Selain itu, sebaik-baiknya hendaklah ia membawa cermin, gunting, berus gigi dan sikat. Janganlah hendaknya terlalu cerewet dalam bertaharah (bersuci), sebab orang-orang yang terdahulu hanya memadai dengan bertayamum saja, agar tidak memberatkan diri mereka untuk membawa air bersama. Bila berwudhu’ pula mereka tidak memperdulikan sangat, kiranya air itu dari lopak-lopak atau sebagainya, selagi mereka tiada meyakini bahwa air itu najis. Sayidina Umar Ibnul-Khattab sendiri pernah berwudhu’ dari sebuah bejana seorang Nasrani.

          Keenam: pada menyatakan tata-cara orang yang baru kembali dari belayar. Rasulullah s.a.w. ketika kembali dari satu-satu ghazwah (peperangan) atau selesai dari menunaikan haji dan umrah, sentiasa bertakbir tiga kali, bila bertemu dengan tempat-tempat yang tinggi. Baginda mengucapkan:

 

          Tiada Tuhan melainkan Allah, yang Esa tiada sekutu bagiNya. KepunyaanNya segala kerajaan dan kepujian dan Dia Berkuasa atas setiap sesuatu. Kita sekalian kembali, bertaubat, beribadat, bersujud dan kepada Tuhan kami sentiasa memuji-muji. Tuhan telah membenarkan janjiNya, memenangkan hambaNya serta menghancur-leburkan semua kekuatan musuh dengan kuasaNya.”

 

          Lalu baginda mengirim utusan ke Madinah, memberitahu tentang kedatangannya.

 

          Rasulullah s.a.w. melarang keras seseorang yang baru sampai dari pelayaran mengetuk pintu rumah isterinya di waktu malam, lalu menyerempak isterinya secara mendadak, kerana dikhuatiri akan melihat sesuatu yang tidak diingininya ketika itu.

         

Sebaik-baik saja sampai di Madinah, baginda terus menuju ke masjid, lalu baginda bersembahyang dua rakaat. Sesudah itu barulah baginda kembali ke rumahnya.

 

          Sewajarnyalah seseorang yang kembali dari pelayaran itu membawa oleh-oleh untuk keluarga dan kaum kerabatnya berupakan cenderamata, seperti makanan dan sebagainya sekadar yang termampu saja. Sebab tentulah orang-orang yang di rumah mengharap-harapkan sesuatu hadiah atau pemberian yang dibawanya dari pelayaran itu. Selain itu perasaan orang yang menerima pemberian itu akan gembira, bila menerimanya. Dengan itu akan menjadi lebih kukuhlah rasa kasih sayang dan kegembiraan dalam keluarga itu; Juga akan timbullah semacam perhatian yang ditinggalkan disebabkan hadiah yang dibawanya itu.

 

          Semua ini adalah merupakan tata-cara, atau adab-adab yang lahir saja.*

         

* Semua tata-cara ini tepat sekali bila dipadankan dengan orang-orang yang belayar di zaman dahulu. Adapun pelayaran dalam zaman moden ini, tentulah sebahagian dari tata-cara ini sudah tidak praktikal lagi disebabkan keadaan sekitaran yang berlainan dan kemudahan-kemudahan yang dapat dirasakan oleh orang yang belayar itu sudah mencapai kemuncaknya, sehingga dapat dikatakan, bahwa pelayaran pada hari ini merupakan suatu kenikmatan yang utama – pent.

 

Adapun tentang tata-cara atau adab-adabnya yang batin, maka kami telah pun menerangkan bahagiannya dalam fasal-fasal sebelum ini.

 

          Ringkasnya ialah: Hendaknya jangan sampai ia belayar melainkan kerana menambah ilmu pengetahuannya. Bila memasuki sesebuah Bandar, ia niatkan dalam hati untuk menziarahi orang-orang tuanya dan berkenalan dengan ahli bijaksananya. Dalam pertemuan itu, hendaklah ia cuba mempelajari dari mereka sesuatu adab, ataupun kalimah (pelajaran), agar ia dapat manfaat bagi dirinya, kemudian memanfaatkan pula kepada orang lain. Apabila ia ingin tinggal di rumah seorang kawan, maka janganlah ia tinggal lebih dari tiga hari. Sebab itulah batasan yang wajib bagi orang yang menerima tetamu, jika ia meninggalkan rumahnya setelah habis tiga hari itu, maka tiada mengapalah ia tinggal lebih lama dari itu.

 

          Sementara itu, hendaklah ia tidak menghabiskan masanya dalam pelayaran itu, dengan melakukan perkara-perkara yang tiada berfaedah sama sekali, kerana yang demikian itu akan memutuskan keberkatan pelayarannya.

 

Kemudahan yang perlu dipelajari oleh seorang musafir

 

          Ketahuilah bahwa seorang musafir itu memerlukan bekal dalam pelayarannya bagi kepentingan dunianya dan juga akhiratnya. Adapun bekal yang diperlukan dalam pelayaran di dunia, ialah makanan, minuman dan lain-lain keperluan seperti nafkah-nafkah dalam perjalanan. Jika ia keluar belayar tanpa keperluan-keperluan ini boleh juga, kiranya pelayaran itu bersama-sama kafilah ataupun dalam pelayaran yang pendek antara beberapa perkampungan yang bersambung-sambungan. Akan tetapi, jika pelayarannya mengharungi padang pasir seorang diri, ataupun bersama-sama rombongan, sedangkan mereka tiada membawa makanan atau minuman; andaikata mereka itu tergolong orang-orang yang mampu menahan lapar selama seminggu atau sepuluh hari ataupun mereka sanggup memakan apa saja yang mereka dapati di sepanjang perjalanan, seperti rumput dan sebagainya, maka bolehlah ia meneruskan perjalanannya. Jika mereka tiada tergolong orang-orang yang mampu menahan lapar ataupun tidak sanggup makan rumput-rumput di perjalanan, maka pelayarannya tanpa bekalan makanan atau minuman itu adalah suatu maksiat. Sebab seolah-olahnya mereka mendedahkan diri mereka kepada kebinasaan. Bukanlah maksud bertawakkal di sini dengan menjauhi segala macam sebab sekaligus, kalau tidak tentulah telah diwajibkan ke atas manusia sekalian supaya bersabar, sehingga Allah mengutus seorang Malaikat atau seorang manusia lain yang akan menuangkan air ke dalam mulutnya.

          Adapun bekal yang diperlukan dalam pelayaran ke akhirat iaitu ilmu pengetahuan yang bakal menunjukkan dalam urusan taharah (bersuci), puasa, sembahyang dan peribadatannya:

(1)               Bertaharah bagi orang musafir diberikan dua kemudahan, iaitu boleh menyapu sepatu khuffain dan bertayamum

(2)               Bersembahyang fardhu bagi orang musafir diberikan dua kemudahan, iaitu boleh bersembahyang qasar (menyingkatkan) dan boleh bersembahyang jamak (menghimpunkan).

(3)               Bersembahyang sunnat bagi orang musafor diberikan dua kemudahan, iaitu boleh menunaikannya di atas kenderaan binatang ataupun ketika sedang berjalan kaki.

(4)               Dalam bulan puasa, bagi orang musafir diberikan satu kemudahan iaitu boleh berbuka.

Mengenai menyapu atas sepatu ada sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Safwan bin Asal dari Rasulullah s.a.w. katanya: Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan kami ketika dalam pelayaran supaya jangan menanggalkan sepatu-sepatu kami selama tiga hari tiga malam. Maka tiap-tiap orang yang memakai khuf (sepatu), sedangkan ia dalam taharah yang membolehkan ia bersembahyang, kemudian ia berhadas, maka dibolehkan baginya hanya menyapu di atas sepatunya saja selama tiga hari tiga malam, dkira dari masa menyapu iaitu bagi seorang musafir. Dan bagi selain musafir pun dibolehkan, tetapi hanya dalam masa sehari semalam saja.*

 * Menyapu atas khuf (sepatu) itu ada syarat-syaratnya yang tertentu, dan salah satu syaratnya ialah sepatu itu mestilah menutup hingga ke buku lali. Dan syarat-syarat yang lain dapat dibaca dalam buku-buku fiqh. Tujuan dari memakai khuf dan menyapu (air) di atasnya saja untuk menggantikan membasuh kaki, ialah untuk menghindarkan diri dari terkena sejuk, sebab kegunaan khuf biasanya hanya berlaku dalam musim-musim sejuk saja – pent.

 

Mengenai tayamum pula, maka debu tanah menggantikan air dalam keadaan uzur, misalnya kerana berada jauh dari rumah sekadar jika ia berjalan menuju ke rumah untuk mendapatkan air tidak akan kedengaran olehnya jeritan orang yang meminta tolong. Ataupun disebabkan di tempat air itu ada binatang buas atau musuh yang menanti, ataupun air yang ada dalam simpanan untuk digunakan sebagai air minum ketika kehausan sama ada untuknya mahupun untuk rakan-rakan dalam pelayaran itu.

 

Dalam keadaan-keadaan yang tersebut di atas tadi, dibolehkan ia bertayamum untuk menggantikan berwudhu’, tetapi kalau ada orang yang menjual air dengan harga yang berpatutan (tidak mahal), maka wajiblah ia membeli air itu untuk digunakan berwudhu.’ Jika dijual dengan harga yang berlebih-lebihan (terlalu mahal) tidak wajib membelinya, tetapi memadailah dengan bertayamum.

 

Adapun qasar atau menyingkatkan sembahyang, maka telah diberikan kemudahan pada salah satu dari sembahyang-sembahyang yang berikut, iaitu: (1) Zohor, (2) Asar dan (3) Isya’ dengan melakukan hanya dua rakaat saja (ganti empat). Dalam menentukan keadaannya sebagai seorang musafir, dikira dari ia meninggalkan bangunan-bangunan negeri tersebut.

 

Adapun jamak atau menghimpunkan sembahyang, maka ia berlaku antara sembahyang-sembahyang zohor dan asar dalam salah satu waktu-waktu keduanya, juga maghrib dan isya’ dalam salah satu waktu-waktu keduanya.*

 

* Jamak bila didahulukan sembahyang yang empunya waktu dinamakan Jamak Taqdim iaitu asar atau isya’ ditunaikan dalam waktu zohor atau maghrib. Dan bila dikemudiankan dinamakan Jamak Ta’khir iaitu zohor atau maghrib ditunaikan dalam waktu asar atau isya’. Masing-masing ada syarat-syaratnya yang tertentu – pent.

 

Kemudahan ini diberikan dalam pelayaran yang panjang (jauh) dan mubah (tidak haram). Melakukan jamak dalam pelayaran yang dekat, ada dua pendapat antara para alim ulama; ada yang membolehkan dan ada yang tidak membolehkan.

 

Andaikata seorang musafir itu menghimpunkan sembahyang zohor dan asar dalam waktu zohor, yakni Jamak Taqdim, maka hendaklah ia meniatkan menghimpunkan antara zohor dan asar dalam sembahyang yang pertama (zohor) sebelum ia selesai (memberi salam) sembahyang zohor.*

 

* Maksud niat jamak itu, mestilah ditunaikan bermula dari berniat untuk bersembahyang zohor dan seterusnya, sehingga sebelum ia bersalam dari sembahyang zohor, niat jamak itu mesti diniatkan dalam hatinya. Sesudah salam tidak boleh berniat lagi, dan jika tiada berniat tidak boleh pula menghimpunkan (jamak) sembahyang-sembahyang itu, bahkan asar mestilah ditunaikan dalam masanya – pent.

 

Untuk sembahyang zohornya ia berazan dan beriqamat. Sehabis menyelesaikan sembahyang zoor dan ketika hendak bersembahyang asar, dia hanya beriqamat saja (tanpa azan lagi).

 

Jika ia mengemudiankan zohor kepaa waktu asar, maka caranya samalah seperti cara ia mendahulukan asar kepada zohor. Hanya perbezaannya ialah bahwa berniat untuk menjamak itu hendaklah diniatkan pada waktu yang pertama.

 

Dalam mendirikan sembahyang-sembahyang sunnat pula, telah diberikan kemudahan untuk mengerjakannya, meskipun di atas binatang tunggangan, supaya penunaiannya tiada tergendala disebabkan pelayaran itu.

 

Rasulullah s.a.w. sendiri pernah bersembahyang sunnat di atas binatang tunggangannya, tidak kira ke arah mana saja binatang itu menuju. Baginda pernah juga bersembahyang witir ketika berada di atas binatang tunggangannya.

 

Orang yang bersembahyang di atas binatang tunggangganya tidak perlu turun untuk ruku’ dan sujud, malah memadailah ia menundukkan kepala saja, dan tunduknya kerana sujud biarlah lebih rendah dari tunduk kerana ruku’.

 

Adapun tentang menghadap kiblat dalam sembahyang-sembahyang yang tersebut, maka hukumnya tidaklah wajib, tidak ada permulaan sembahyang ataupun pada seluruh sembahyangnya, tetapi hendaklah arah tujuan perjalanannya menggantikan kiblat. Tegasnya hendaklah seluruh sembahyangnya sama ada berhadapan arah ke kiblat ataupun berhadapan arah tujuan perjalanannya agar sembahyang itu menghadap satu arah yang tertentu.

 

Bagi musafir yang berjalan kaki, diberikan kemudahan untuk bersembahyang sunnat sewaktu berjalan kaki. Dan bila sampai waktu ruku’ dan sujud, hendaklah ia menundukkan kepala dan tidak perlu duduk lagi untuk bertasyahhud. Hukumnya di dalam hal ini, samalah seperti hukum orang yang bersembahyang ketika menunggang binatang. Hanya satu perkara yang mesti dilakukan berhadapan ke arah kiblat, iaitu ketika mengihramkan sembahyang (takbiratul ihram).

 

Seterusnya bagi orang yang melarikan diri dari musuh, atau takut kerana diserang binatang buas, atau dilanda banjir besar boleh ia menunaikan sembahyang fardhunya ketika dalam keadaan menunggang binatang, ataupun ketika sedang berjalan kaki, dan cara-caranya sama seperti yang telah dibentangkan di atas dalam perkara menunaikan sembahyang-sembahyang sunnat.

 

Adapun berbuka puasa dalam bulan Ramadhan, maka kemudahan ini khas diberikan kepada orang-orang musafir, tetapi jika boleh berpuasa lebih utama, melainkan kalau puasa itu akan mendatangkan bahaya atau kesusahan, maka ketika itu berulah berbuka puasa lebih utama.

 
Senarai Kandungan Penuh
Senarai Kandungan Ringkas

Laman Utama

Bimbingan Mukmin

Kemaskini terakhir pada: 01-Nov-04

Bilangan pelawat halaman ini

Counter

 

Hosted by www.Geocities.ws

1