|
Kitab
Adab Berusaha Dan Mencari (VERSI
DRAF _ MASIH DIEDIT) Keutamaan
berusaha dan anjuran melaksanakannya
Mula-mula kita memilih ayat al-Quran yang
menganjurkan agar kita berusaha, di antaranya firman Allah Ta’ala di dalam
kitabNya:
“Kami (Allah) menjadikan waktu
siang itu sebagai masa untuk berusaha mencari kenikmatan untuk meneruskan
kehidupan.”
(an-Naba’: 11)
Allah Ta’ala telah menjadikan masa siang itu sebagai masa untuk
berusaha mencari kenikmatan untuk meneruskan kehidupan.
Allah berfirman lagi:
“Dan Kami (Allah) jadikan bagi
kamu padanya (bumi) sebagai lapangan kehidupan, tetapi sedikit sekali kamu
berterima kasih.” (al-A’raf:
10)
Allah Ta’ala telah menjadikan di sana tempat untuk mendapatkan
kenikmatan, kemudian berterima kasih pula kepadaNya atas kenikmatan yang
diperolehinya itu.
Allah berfirman lagi:
“Maka bertebarlah di muka bumi
serta carilah reszeki dari kurnia Allah.”
(al-Jumu’ah:
10)
Dari Hadis-hadis yang bertujuan untuk perkara ini pula, sabda Rasulullah
s.a.w.:
“Andaikata seseorang kamu
mengambil talinya lalu berusaha mencari kayu-kayuan yang diikatkan di
belakangnya itu lebih utama daripada dia mendapati seseorang yang diberikan
Allah pengurniaanNya, lalu meminta-minta kepadanya sama ada diberi atau ditolak.”
Sekali peristiwa sedang Rasulullah s.a.w. duduk bersama-sama pada
sahabatnya, maka mereka pun terlibat seorang anak muda yang gagh perkasa sedang
dalam perjalanan untuk berusaha mencari rezeki.
Mereka berkata: Sayang sekali, alangkah baik jika anak muda ini
menggunakan kemudahannya dan kekuatannya untuk berjuang fisabillah? Mendengar
hujah tersebut, baginda lalu menangkis dengan sabdanya:
“Jangan berkata begitu kerana
sesungguhnya jika ia keluar berusaha untuk mencari rezeki bagi anak-anaknya yang
masih kecil, niscaya perjalanannya itu pada sabilillah juga. Jika ia keluar
berusaha untuk mencukupi dirinya, niscaya perjalanannya itu pada sabilillah juga.
Tetapi jika ia keluar berusaha untuk bermegah diri dan menyombong, niscaya
perjalanannya itu poada jalan syaitan”
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: Mana satu usaha yang paling baik?
Baginda bersabda:
“Usaha yang paling baik sekali,
ialah usaha seseorang dengan tangannya, dan semua jual beli yang diredhai Tuhan.”
Sabdanya lagi:
“Sebaik-baik perusahaan ialah
perusahaan seorang pekerja, jika ia melakukan dengan sebaik-baiknya.”
Maksudnya jika ia bertekun di dalam pekerjaannya, kemudian ia menjauhi
penipuan dan membuat kerja dengan sebaik-baiknya supaya orang yang memilikinya
tiada sesal di kemudian hari.
Berkata Umar Ibnul-Khattab r.a.: Jangan sampai ada orang di antara kamu
yang suka menganggur dan tidak mahu mencari rezeki. Lali ia berdoa: Ya Allah! Ya
Tuhanku! Berikanlah saya kurniaMu! Sedang kamu sekalian telah mengetahui bahwa
langit itu tidak pernah menghujankan emas dan perak.
Berkata Ibnu Mas’ud r.a.: Sebenarnya saya benci melihat seseorang itu
menganggur saja, sama ada dalam urusan dunianya atau pun dalam urusan akhiratnya.
Ahmad bin Hanbal r.a. pernah ditanya: Apa katamu pada seseorang manusia
yang duduk di rumah ataupun di masjid saja, seraya ia berkata: Saya tidak akan
membuat sesuatu pekerjaan sehingga rezeki saya akan datang nanti. Ahmad bin
Hanbal menjawab: Alangkah jahilnya orang itu! Apakah ia tidak pernah mendengar
sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesunguhnya Allah telah
menjadikan rezekiku terletak di bawah lindungan tombakku.”
Sambung Ahmad bin Hanbal lagi: Apa tidak pernahkah ia mendengar sabdanya
lagi ketika ia menyebutkan tentang burung yang setiap pagi telah pergi dalam
keadaan lapar, kemudian kembali di waku petang dengan perut yang berisi makanan.
Tentu sekali burung yang keluar pagi-pagi hari itu untuk mencari rezekinya.
Para sahabat Nabi s.a.w. juga keluar berniaga dengan melanda darat dan
mengharungi laut, kerana mencari rezeki masing-masing. Ada pula yang bekerja di
ladang-ladang kurma mereka sendiri. Memang tidak ada yang lebih baik, selain
dari mencontohi merekadalam segala gerak lakunya, terutama sekali lagi orang
yang tiada menerima harta warisan, maka tiada jalan lain untuk menyelamatkan
diri mereka itu, melainkan dengan berusaha dan bekerja.
Selanjutnya meninggalkan bekerja itu sememangnya lebih afdhal bagi
seseorang alim yang bekerja untuk mendidik anak bangsa dan mengajar orang ramai
dengan ilmu-ilmunya yang akan memberi manfaat mengenai urusan keagamaan mereka,
seperti mufti yakni yang pakar dalam ehwal ilmu-ilmu Fiqh, Tafsir, Hadis dan
sebagainya. Begitu juga, bagi orang yang mengurus maslahat-maslahat kaum
Muslimin, seperti sultan, hakim dan saksi, Orang-orang ini sekiranya mendapat
habuan dari harta benda yang memang dkhaskan untuk maslahat kaum Muslimin
ataupun dari wakaf-wakaf yang diperuntukkan khas bagi fakir miskin atau para
ulama, maka kecenderungan mereka dalam hal-ehwal keagamaan dan pendidikan orang
ramai itu lebih utamanya daripada mereka meninggalkan kerja-kerja ini dan lari
mencari rezeki untuk sara hidup mereka. Oleh itu para sahabat telah menunjuk Abu
Bakar as-Siddiq r.a. supaya meninggalkan berniaga di pasar, apabila beliau
dilantik menjadi Khalifah sebab kerja-kerja Khalifah itu terlalu berat yang tak
dapat tidak akan memesongkan dari tanggungjawabnya. Tetapi beliau terus berusaha
untuk mencari sara hidupnya.
Khalifah Abu bakar as-Siddiq hanya mengambil biaya secukup-cukupnya saja
dari harat benda Baitul-Mal dan beliau sendiri berpendapat yang demikian itu
lebih utama. Tetapi, apabila beliau meninggal dunia diwasiatkan agar semua harta
benda yang telah diambilnya dari Baitul-mal itu dikembalikan semula, meskipun
pada mulanya beliau telah menyetujui bahwa pengambilan harta benda itu adalah
suatu pendapat yang terbaik. Melaksanakan
keadilan dan menjauhi penganiayan dalam mu’amalah
Ketahuilah bahawasanya bermuamalah itu terkadang-kadang berlaku atas
dasar penganiayaan, sehingga orang yang menjalankan mu’amalah itu terdedah
kepada kemurkaan Allah Ta;ala. Dan penganiayaan yang membawa kemudharatan kepada
orang lain itu terbagi kepada bahagian yang bahayanya menyentuh pihak umu atau
orang ramai sekalian, dan bahagian yang bahayanya menimpa orang perseorangan
saja. BAHAGIAN
PERTAMA: MU’AMALAH YANG BAHAYANYA MENYENTUH UMUM
Adapun mu’amalah yang membawa bahaya kepada sekalian orang ramai itu
ada banyak, terutama sekali yang berikut ini: (1)
Penimbunan
atau memonopoli: Orang yang menjual barang-barang keperluan sehari-hari bila
menimbun atau menahan barang-barang itu dari penjualan untuk menunggu naik
hartanya adalah suatu kezaliman secara umum yang mana agama mengutuk pelakunya,
terutama sekali pada masa kekurangan barang-barang makanan sedangkan manusia
yang memerlukannya semakin bertambah. Maka menahan penjualannya tentu sekali
akan menimbulkan banyak kesusahan kepada umum. Sebaliknya jika barang-barang
keperluan itu, sememangnya banyak dalam pasaran dan orang ramai tidak
menunjukkan semacam keperluan kepadanya, atau tidak mahu membelinya melainkan
dengan harga yang rendah, lalu tuan punya barang-barang itu ingin menyimpannya
sehingga meningkat semula harganya dan niatnya bukanlah untuk menunggu masa
kekurangan barang-barang itu, maka yang demikian itu bukanlah dikira menimbun,
dan ia tidak termasuk dalam ketegori menyusahkan orang-orag ramai. Tetapi jika
masa itu memang masa kekurangan barang-barang keperluan, dan tuan punya
barang-barang itu berniat menahan penjualannya, maka dalam hal ini tentulah
nyata menimbulkan mudharat pada orang ramai dan yang demikian tidak syak lagi
hukumnya haram. Meskipun keadaan tiada menampakkan mudharat, namun
menimbun makanan itu tetap tidak terlepas dari hukum makruh, kerana tujuan orang
yang menimbun itu ialah menantikan masa timbulnya bahaya, iaitu kenaikan
harganya. Manakala hukum menantikan masa timbulnya bahaya itu dilarang keras
oleh agama, sebagaimana menantikan adanya bahaya itu dilarang kerasa oleh agama
sebagaimana menantikan adanya bahaya itu sendiri. Walau bagaimanapun,
peringkat-peringkat bahaya itu berbeda-beda kadarnya, menurut perbedaan
tingkatan-tingkatan makruh dan haram. (2)
Mengedarkan wang palsu dalam berjual beli atau bertukar-tukar mata wang.
Ini suatu penganiayaan kerana ia membahayakan orang yang berjual beli, jika ia
tiada mengetahui. Jika ia mengetahui maka ia telah menipu orang lain pula,
sehingga mata wang palsu itu bertukar-tukar tangan, dan tersebarlah mudharat itu
di antara mereka yang tentu sekali akan menimbulkan berbagai-bagai kerosakan.
Dengan itu maka dosa sekalian orang yang menyebarkan mata wang palsu itu balanya
akan kembali kepada dirinya, sebab dialah punca dosa tersebut sebagai orang yang
membuka pintunya. Ada pendapat yang mengatakan, bahwa membelanjakan
wang palsu itu lebih berat dosanya daripada mencuri seratus dirham, kerana
mencuri itu adalah maksiat yang dilakukan sekali saja, dan perkaranya telah
selesai dan haibis. Manakala membelanjakan wang palsu itu, mungkin sekali ia
akan menanggung dosanya, sehingga selepas ia mati sampai seratus atau dua ratus
tahun, yakni sehinggalah rosak atau binasa wang palsu itu barulah terputus
dosanya. Tambahan pula ia akan menanggung ap yang telah terkurang daripada harta
benda orang lain yang mendapat wang palsu tersebut. Alangkah bahagianya manusia yang bila mati, akan mati
bersamanya semua dosa-dosanya akan celaka yang tak sudah-sudah pula bagi manusia
yang bila mati, akan berterusan pula dosa-dosanya seratus tahun atau lebih dari
itu, ditimpakan ke atasnya azab dalam kubur dan akan ditanya mengenainya
sehingga perkara itu tidak berlaku lagi.
Allah telah berfirman:
“Kami (Allah mencatat apa yang
telah mereka lakukan terdahulu dan kesan-kesan dari amalan-amalan mereka.”
(Yasin: 12)
Maksudnya kami tuliskan juga segala yang terkemudian dari kesan-kesan
perbuatan mereka, sebagaimana kamu menuliskan yang terdahulu daripadanya.
Allah telah berfirman lagi:
“Akan diberitahukan kepada
manusia pada hari itu apa saja amalan yang dilakukan terdahulu dan terkemudian.
(al-Qiyamah: 13)
Maksudnya, sebenarnya diperkirakan di kemudian hari kesan amalannya dari
anjuran-anjuran yang tak baik, yang dilakukan oleh orang-orang sesudah matinya.
Dalam mata wang yang palsu itu ada beberapa perkara yang harus
diperhatikan iaitu: (1)
Jika wang
palsu itu dikembalikan kepadanya semula, maka hendaklah ia membuangnya di dalam
perigi suapay tidak terjatuh ke tangan orang lain. Ingatlah jangan sampai ia
menggunakan wang palsu itu semula dalam perkara jual belinya yang lain. Jika ia
mencacatkan wang itu sehingga tidak laku lgi, tidak mengapa. (2)
Seorang
peniaga hendaklah tahu membedakan antara mata wanga yang tulen dengan mata wang
yang palsu, supaya tidak tersalah ambil lalu dia memberikannya pula kepada orang
lain tanpa diketahuoi mata wang itu sebenarnya palsu. Maka berdosalah ia kerana
perbuatann itu, disebabkan kecuaiannya tidak mahu mempelajari mengenal mata wang.
Sebab setiap pekerjaan yang kalau diketahuinya dapat dijadikan bahan nasihat
kepada kaum Muslimin, wajiblah ia mempelajarinya. (3)
Jika
seseorang mempunyai mata wang yang bulatannya kurang besar dari bulatan mata
wang negerinya, maka hendaklah ia memberitahu orang yang bermu’amalah
dengannya. Ataupun jika ia hendak menggunakan juga, maka bolehlah diberikannya
kepada orang yang ia benar-benar mengetahui bahwa orang itu tidak akan
menggunakannya lagi kepada orang lain secara penipuan. Tetapi jika ia
menyerahkan mata wang itu kepada orang yang mengedarkannya lagi kepada orang
lain, maka penyerahannya samalah seperti menyerahkan kepada orang yang mahu
melakukan kerosakan. Malah keadaanya samalah seperti menjual buah anggur kepada
orang yang hendak membuat arak. Hukum jual beli serupa itu adalah haram dan
dikira membantu dalam melakukan perkara yang salah dan dosa. Manakala
penjualannya disamakan seperti berkongsi dosa dengan pembeli yang membuat arak
itu. Memelihara diri dari tercebur ke dalam perkara-perkara serupa ini dalam
urusan perniagaan adalah lebih patut diberatkan daripada memelihara
amalan-amalan ibadat sunnat dan menyediakan diri untuk melakukannya. BAHAGIAN
KEDUA: MU’AMALAH BAHAYA YANG MENYENTUH ORANG PERSEORANGAN.
Segala yang boleh mendatangkan kerugian kepada orang lain adalah
penganiayaan. Maka keadilan itu ialah tidak menimpakan kerugian ke atas
saudaranya yang Muslim. Sebagai pedoman yang harus dijaga ialah: Hendaklah ia
tiada menyukai bagi saudaranya melainkan apa yang disukai bagi dirinya. Oleh itu
segala perlakuan yang mungkin menyukarkan dirinya sndiri atau memberatkan
hatinya, maka janganlah dilakukannya terhadap saudaranya yang Muslim. Yang wajar
biarlah dipandang wangnya sama dengan wang saudaranya. Ini sebagai kesimpulannya.
Adapun keterangan lanjutanya ada empat perkara iaitu: (1)
Janganlah
hendaknya ia terlalu memuji-mujia atas barang dagangannya secara omong kosong,
kerana yang demikian itu adalah suatu kebohonmgan. Kiranya si pembeli
terpengaruh dengan kata-kata puji itu lalu membelinya, maka itu adalah suatu
pengeliruan dan penganiayaan. Jika si pembeli terpengaruh dengan kata-kata puji
itu lalu membelinya, mak itu adalah suatu pengeliruan dan penganiayaan. Jika si
pembeli menolak maka ternyatalah kerana adanya sikap kebohongan itu, dan
jatuhlah warwahnya di hadapan si pembeli tadi. Kalau hendak memuji barang
dagangan itu, biarlah yang benar dan betul-betul, tanpa berlebih-lebihan atau
melampaui batas. Janganlah sekali-seklai bersumpah kerananya, sebab jika
sumpahnya itu palsu maka ia telah membuat sumpah bohong, dan sifat ini termasuk
perkara-perkara dosa besar. Jika ia bersumpah benar, maka ia telah menjadikan
nama Allah sebagi bahan permainan dalam sumpah itu, dan ini termasuk sifat keji
pula. Sebab urusan keduniaan itu lebih rendah daripada seseorang berniat untuk
melariskan barang dagangannya dengan bersumpah dengan nama Allah, tapa perlu
bersumpah. Dalam Hadis tersebut: “Neraka Wail
bagi peniaga yang bersumpah: Demi Allah, Wallahi, tidak demi Allah, dan Neraka
Wail juga bagi pekerja yang suka membohongi janji: esok atau lusa.” Sabda Rasulullah yang lain: “Sumpah
bohong untuk melariskan barang dagangan akan melenyapkan keberkatan dalam
perusahaan.” (2)
Hendaklah
ia menjelaskan segala cacat-cacat barang dagangannya yang terlihat ataupun
tersembunyi. Tidak boleh disembunyikan tentang cacat-cacatnya. Itu adalah wajib.
Jika ia menyembunyikan juga kecacatan itu menjadilah seorang penipu atau
penganiaya, sedangkan penipuan itu adalah hukumnya haram. Dengan itu juga ia
telah tidak mengendahkan kebenaran dalam perkara jual beli sedangkan sifat ini
adalah wajib. Jika seseorang pedangan menunjukkan bahagian yang baik dari baju
yang dijualnya sedangkan bahagian yang tak baik diselindungkan, maka ia telah
menjadi seorang penipu. Begitu juga ia mendedahkan pakaian yang diperdagangkan
itu di tempat-tempat yang gelap, ataupun menunjukkan pasangan kasut atau sepatu
yang baik saja, sedangkan yang tak baik tidak ditunjukkan, ini termasuk juga
sebagai seorang pedagang penipu. Dalil yang menunjukkan pengharaman penipuan ialah
riwayat berikut yang menjelaskan: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. berjalan ke
tempat seorang yang menjual makanan, terasa keinginan baginda kepada makanan itu,
lalu dicecahkanlah tangannya pada makanan itu dan didapatinya basah. Maka
baginda bertanya: Mengapa basah! Jawab penjual: Kerana terkena hujan. Maka
baginda bersabda pula: Mengapa makanan itu tidak engkau letakkan di atas meja
supaya dapat dilihat oleh orang. Siapa yang menipu kita (kaum Muslimin), maka
dia bukan termasuk golongan kita. Dalil yang menunjukkan wajib berlaku jujur dengan
menyatakan cacat-cara pada barang dagangan ialah riwayat dari Rasulullah s.a.w.
iaitu: Apabila Rasulullah s.a.w. selesai menerima bai’at Jarir kerana memeluk
Agama Islam, Jarir pun ingin kembali, maka oleh Rasulullah ditariknya baju Jarir
seraya mensyaratkan atasnya supaya berlaku jujur terhadap setiap Muslim. Apabila
Jarir mengeluarkan barang dagangannya untuk dijual, ditelitinya terlebih dahulu
cacat-cacat barang itu, kemudian disuruh pembeli memilih, katanya: Jika mahu
ambillh, jika tak mahu tinggalkanlah disitu, Ada orang berkata kapada Jarir:
Wahai Jariri! Kalau engkau buat macan ini nanti tak laku semua barang-barang
engkau itu. Jarir menjawab: Kami semua telah membai’at Rasulullah s.a.w untuk
berlaku jujur terhadap setiap Muslim. Cerita yang lain pula dari Watsilah Ibnul-Aqsa’
yang pada suatu hari sedang berdiri di suatu tempat. Pada ketika itu dilihatnya
seorang menjual untanya dengan harga 300 dirham. Watsilah lalai sehingga orang
itu telah pergi dari siti bersama unta yang dibelinya. Kemudian Watsilah
menjerit-jerit mengejar si pembeli itu seraya bertanya: Tuan beli unta itu untuk
disembelih atau untuk ditunggang? Jawab orang itu: Untuk ditunggang. Berkata
Watsilah: Kalau begitu saya patut memberitahu tuan, bahwa di kaki unta itu ada
lubang yang saya lihat dengan mata kepada saya sendiri, nanti tentutlah unta itu
tak kuat untuk berjalan terus-menerus. Maka si pembeli unta itu kembali semula
ingin mengembalikan unt atersebut kepada si penjual, sehingga penjualnya
bersetuju emngurangkan harganya sebanyak 100 dirham lagi. Penjual itu lalu
berkata kepada Watsilah: Moga-moga Tuhan merahmatimu, sebenarnya engkau telah
merosakkan penjualanku. Lalu dijawab oelh Watsilah: Bukankah kita telah
membai’at Rasulullah s.a.w. untuk berlaku jujur terhadap setiap Muslim?
Tidakkah engkau pernah mendengar sabda Rasulullah s.a.w: “Tiada halal
bagi seseorang menjual sesuatu barang, melainkan ia menerangkan kacacatannya,
dan tiada halal bagi orang yang mengetahuinya, melainkan mesti diterangkan
kecacatan itu.” Difahamkan dari perkataan berlaku jujur itu, ia tiada
redha untuk saudaranya, melainkan apa yang ia meredhakan untuk dirinya sendiri.
Dan sifat ini juga tiadalah dikira suatu keutamaan ataupun kelebihan martabat,
tetapi mereka meyakini bahwa yang demikian itu sebagai syarat-syarat
kesempurnaan Islam seseorang yang termasuk ke dalam bai’at (janji persetiaan) Meskipun melakukan perkara serupa itu agak sedikit
berat bagi jiwa tetapi akan segera menjadi enteng atas seseorang manusia, bila
ia mempercayai dua perkara berikut: (1)
Dia harus
meyakinkan dalam dirinya bahwa pengeliruan terhadap kecacatan sesuatu barabf itu,
dan melariskannya secara tipu daya tidak akan menambah rezekinya, malah akan
memusnahkan dan menghapuskan segala keberkatannya. Mungkin sekali Allah akan
memusnahkan semua harta benda yang dikumpulkannya dari perbuatan yang
mengelirukan itu sekaligus. Ada suatu cerita: Seorang yang mempunyai seekor lembu
betina, dia sering memerah susu lembu itu lalu dicampurkan dengan air, kemudian
baru dijualnya di pasar. Pada suatu hari Allah mentakdirkan datang air bah lalu
menenggelamkan lembu itu. Maka berkata anak-anak orang itu: Sebenarnya air bah
itu ialah air-air yang kita campurkan hari-hari dengan susu, ia telah berkumpul
menjadi satu kini, lalu mengambil lembu itu dari tangan kita. Alangkah benarnya hujah anak-anak orang itu? Mengapa
tidak? Bukankah ada sebuah Hadis yang berkata: “Dua orang
yang berjual beli itu, bila mereka berkata benar dan berlaku jujur niscaya akan
diberkatilah pada kedua jual belinya. Tetapi jika keduanya menyembunyikan
sesuatu atau berbohong, niscaya akan tercabutlah keberkatan dari jual beli
keduanya.” Hadis yang lain pula: “Tangan Tuhan
bersama-sama kedua orang yang berkongsi selagi mereka tiada khianat-mengkhianati.
Jika mereka khianat-mengkhianati akan terangkatlah tangan Allah itu daripada
mereka” tegasnya: Harta benda tidak akan bertambah jika
berlaku pengkhianatan, sebagaimana ianya tiada akan berkurang kerana dikeluarkan
sedekah. (2)
Hendaklah
ia mengi’tikadkan sebenar-benar i’tikada supaya sifat kejujuran itu menjad
lebih sempurna dan mudah dilakukan, bahwasanya keuntungan di akhirat dan
kekayaann di sana itu lebih utama dari keuntungan dan kekayaan di duni, dan
bahwasanya kemanfaatan harta benda keduniaan itu akan habis bila terakhir umur
seseorang dalam kehidupan dunianya, manakala penganiyaan dan dosanya akan tetap
berkekalan. Jadi, bagaimana seseorang yang waras fikiranya sanggup menukarkan
seseuatu yang nilainya rendah dengan yang nilainya tinggi dan baik. Bukankah
kebaikan itu terletak pada keselamatan agama? Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. berkata: “Seseorang
itu belum beriman dengan al-Quran selagi ia menghalalkan apa-apa yang diharamkan
olehnya.”
Oleh itu barangsiapa yang mengetahui, bahwa semua perkara yang tersebut
itu akan mencacatkan keimanannya, sedangkan ia yakin pula, bahwa hanya keimanan
sajalah yang boleh menjadi jaminan dalam perniagaan keakhiratannya, tentulah ia
tidak akan mensesiakan jaminan yang disediakan bagi suatu umur yang tiada
akhirnya, justeru keuntungan yang dapat diambil manfaatnya untuk beberapa hari
saja.
Setengah para tabi’in berkata: Andaikta saya masuk ke Masjid Jami’
sedangkan orang telah ramai di dalamnya, kemudian saya ditanya: Siapakah yang
paling baik dan siapa yang paling jahat, niscaya saya akan berkata: Sebaik-baik
mereka itu ialah orang yang paling jujur dalam perkara berjual-beli, dan
sejahat-jahat mereka itu ialah orang yang menipu dalam berjual belinya.
Ketahuilah, bahwa melakukan penipuan dalam perjualbelian dan perusahaan
adalah haram hukumnya. Oleh itu seseorang pengusaha tidak boleh menganggap
enteng saja terhadap perusahaannya, sebab kalau orang lain melakukan serupa itu
terhadap dirinya, tentulah ia tiada akan redha. Hendaklah ia memperbaiki
perusahaannya dan meneliti kerja-kerjanya. Kemudian hendaklah ia menerangkan
kecacatannya, jika memang ada cacat. Dengan cara begini akan terlepaslah ia dari
tanggungjawab:
Seorang tukang kasut bertanya kepada Ibnu Salim: Bagaimana caranya supaya
saya terselamat dalam perkara menjual kasut? Ibnu Salim menjawab: Buatkanlah
muka kasut itu sama rata, jangan sampai yang kanan lebih tinggi dari yang kiri.
Perbaiki lapisannya sehingga yang satu salin tak tumpah pada yang lain, jadikan
jahitannya sama antara satu dengan yang lain, dan jangan meletakkan yang satu
atas yang lain ketika menjualnya.
Imam Ahmad bin Hanbal r.a. ketika ditanya tentang penampalan baju
sehingga tidak ketara koyaknya, beliau berkata: Tidak boleh menampalnya, jika ia
tahu tuan punya baju itu bile menjualnya nanti ia tidak akan memberitahu
pembelinya akan cacat baju tersebut. Boleh menampal serupa itu, jika tukang
penampalnya yakin bahwa is penjual akan memaklumkan tentang kecacatan barang
dagangannya ataupun bukuan untuk dijual lagi.
Jika ada orang berkata, bahwasanya perkara jual beli itu akan menjadi
terlalu sukar jika diwajibkan ke atas pedagangan untuk menyatakan kecacatannya.
Maka saya menjawab tentangan itu dengan berhujah: Keadaannya tidaklah sedemikian
sukar sekali. Tetapi jika pedagang mensyaratkan atas dirinya, bahwa ia tiada
akan membeli barang-barang dagangan untuk dijual semula, melainkan yang
baik-baik belaka, yang ia redha untuk kegunaan dirinya sendiri kalaulah ia yang
menjadi pembelinya. Dengan cara begini tentulah tidak akan berlaku pengeliruan
atau penipuan. Barangsiapa sikapnya seperti in tentu tidak akan membeli
barang-barang dagangan melainkan yang baik-baik saja. Meskipun memang
jarang-jarang sekali terdapat dalam barang-barang dagangannya itu yang ada
cacatnya, maka hendaklah ia menunjukkannya juga kepada pembeli, kemudian
menjualnya dengan seberapa yang dapat saja.
Ibnu Sirin menjual kambing kepada seorang, lalu dia berkata kepada
pembeli kambing itu: Ia selalu membolakbalikkan makanan degan dengan kakinya. Demikian
caranya perjalanan orang-orang ahli agama yang teguh imannya kepada Allah. (3)
Janganlah menyembunyikan cacat dalam
penakaran atau timbangan, iaitu membetulkan timbangannya dengan menambah sedikit
supaya terkeluar dari kehilafan. Hendaknya bagaimana ia menerima tekaran dari
orang lain, begitu pula ia menakar kepada mereka. Allah
telah berfirman: “Neraka Wail bagi orang-orang yang mengurangi timbangan. Apabila meraka menyukat untuk dirinya diminta dicukupkan dan apabila mereka menyukat untuk orang lain atau menimbang lalu dikurangkannya.” (al-Mutaffifin: 1-3) Dia tidak akan terselamat dari perkara yang terlarang ini, melainkan jika ia melebihkan sedikit jika ia menakar atau menimbang untuk dirinya sendiri. Sebab sukar sekali hendakl digambarkan keadilan yang sebenarnya. Dari itu sebaik-baiknya ia melahirkan keadilan itu dengan menambah atau mengurangi sedikit, sebagai mana yang tersebut di atas kerana orang yang mengambil haknya secukup-cukupnya akan hampir melampaui hak orang lain. Setengah
orang berkata: Saya tidak ingin membeli Neraka Wail daripada Allah dengan
sebutir (yakni lebih sebutir saja). Orang
yang mencampurkan makanan dengan tanah atau sebagainya kemudian menakarnya, maka
ia tergolong orang-orang yang mengurangi takaran. Penjual daging yang menimbang
daging bercampur seumpama itu, tergolong orang-orang yang mengurangi timbangan
juga. Keadaan seperti ini boleh dikiaskan pada segala barang dagangan yang lain;
seperti pengukuran yang biasa digunakan oleh penjual kain. Ketika ia mengela
untuk membeli dikendurkan kain itu ke bawah sedikit, tetapi bila ia mengela
untuk menjual ditarik kain itu sampai tegang. Semua ini dilakukan supaya
terdapat perbedaan di dalam elaannya itu. Pedagang-pedagang yang mengamalkan
cara begini tentu tidak akan terselemat, dan tergolong orang-orang yang
mengurangi pengukuran yang bakal menariknya ke dalam Neraka wail. (4)
Hendaklah berkata benar pada
menyatakan harga setiap waktunya dan jangan sekali-kali merahsiakannya.
Rasulullah s.a.w. melarang keras untuk menghadangkan kafilah perdagangan yang
sedang dalam perjalanannya dan melarang juga dari suka menaikkan harga
barang-barang. Adapun menghadang kafilah perniagaan itu ialah untuk menyambutnya
di luar kota, lalu memborong semua barang-barang dagangan mereka dengan
memberikan harga yang tidak betul dari harga dalam negeri. Rasulullah s.a.w
pernah bersabda: Jangan kamu menghadang kafilah-kafilah perdagangan. Akan tetapi
jika ada orang yang menghadanginya, maka terserahlah kepada tuan punya barang
dagangan itu, kepada siapa yang ia ingin menjual barang-barang dagangannya:
iaitu sesudah sampai terlebih dulu di pasar. Dilarang juga seorang kota menjual bagi pihak orang Badwi, iaitu apabila seorang Badwi datang ke kota membawa barang-barang dagangannya yang hendak dijual dengan segera. Tetapi datang pula seorang kota berkata kepadanya: Tinggalkanlah barang-barang itu kepadaku supaya aku menaikkan harganya dan kita menunggu sampai harganya naik dulu. Dilarang
juga meninggikan harga, iaitu apakala seorang datang kepada penjual barang yang
sedang ditawarkan kepada seorang pembeli lalu dia pula sengaja meninggikan
harganya, sedangkan maksudnya bukan hendak membeli, tetapi untuk menaikkan
semangat si pembeli supaya lekas menawar dan membeli barang-barang itu. Semua
larangan ini menunjukkan, bahwasanya tidak dibolehkan seseorang itu mengelirukan
terhadap penjual dan pembeli dalam perkara harga sehari-hari yang kiranya mereka
mengetahui barang kali mereka tiada berani membuat perjanjian jual beli.
Melakukan yang demikian itu adalah sebagai penipuan yang haram yang bertentangan
dengan kejujuran yang wajib ada dalam perkara jual beli. Yang lain pula, tidak
bolehlah dia mengambil kesempatan atau menunggu kalalaian tuan punya barang
dagangan itu lalu menyembunyikan pula tentang kenaikan harga dari si penjual
ataupun turunnya harga kepada si pembeli. Jika melakukan juga, niscaya ia
menjadi seorang yang zalim, yang membelakangi keadilan dan kajujuran bagi kaum
Muslimin. Dan apakah ia menjual dengan untung atau dengan modal saja seperti
katanya: Sebenarnya saya menjual ini dengan harga modal, maka hendaklah is
berkata benar. Sesudah itu hendaklah ia memberitahu segala kecacatan atau
kekurangan yang ada pada barang yang dijual itu sesudah dijalankan akad jual
belinya. Ihsan dalam
mu’amalah
Allah s.w.t. telah memerintahkan kita supaya berlaku adil dan berbuat
baik pada setiap sesuatu. Keadilan itu adalah sebab keselamatan saja, dan ia
pula diumpamakan di dalam perniagaan sebagai saluran keselamatan modal. Manakala
ihsan atau berbuat baik sebagai sebab kemenangan dan penerimaan kebahagiaan, dan
ia pula diumpamakan di dalam perniagaan sebagai saluran keuntungan. Tiadalah
dikira seseorang itu berakal sempurna, selagi ia merasa puas dengan
urusan-urusan keduniaan dengan setakat modal yang ada padanya saja. Begitu pula
halnya dengan urusan-urusan keahiratan juga.
Tiada sepatutnya seseorang yang beragama itu merasa puasa dengan
melakukan keadilan semata-mata serta menjauhi penganiayaan, sedangkan
pintu-pintu keihsanan atau berbuat baik ditinggalkan begitu saja.
Allah telah berfirman:
“Dan berbuat baiklah, seperti
Tuhan berbuat baik kepadamu.”
(al-Qashas: 77)
Berfirman Allah lagi:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berbuat keadilan dan keihsanan.”
(an-Nahl: 90)
Allah berfirman:
“Sesunguhnya rahmat Allah itu
paling hampir kepada orang-orang yang berbuat baik”
(al-A’raf:
56)
Ketahuilah seseorang yang berjual beli itu akan mencapai tingkatan
keihsanan itu, dengan salah satu enam perkara yang berikut: (1)
Pengelabuan mata dalam perrjualbelian.
Hendaklah ia tidak mengelabui mata rakannya dalam berjual beli terhadap
barang-barang yang biasanya tidak boleh dilakukan pengelabuan. Adapun
pengelabuan itu pada asalnya memanglah dibolehkan dalam melakukan jual beli,
kerana tujuan utama dari berjual beli itu ialah untuk mendapatkan keuntungan dan
ia tidak akan berhasil melainkan dengan taktik dan pengelabuan yang tertentu.
Meskipun begitu maka hendaklah perenggan keuntungan itu jangan terlalu jauh.
Sesiapa yang cukup dengan sedikit keuntungan akan larislah perniagaannya dengan
baik, dan dari keuntungan-keuntunagn yang sedikit itu, lama-lama menjadi bukit,
Itulah yang dikatakan perniagaan yang diiringi dengan keberkatan. (2)
Menanggung kerugian. Seseorang
pembeli yang membeli makanan dari seorang yang lemah ekonominya, ataupun membeli
sesuatu barang dari seorang yang miskin, sebaiknya ia menanggung sedikit
kerugian dari mereka itu dan cuba mengambil jalan mudah. Dengan itu dia akan
menjadi seorang yang berbuat baik, dan termasuk ke dalam sabda Nabi s.a.w.: “Allah
merahmati orang yang mudah jualannya dan orang yang mudah pembeliannya.” Adapun menanggung kerugian dari seorang kaya, maka itu bukanlah sifat yang terpuji, malah itu adalah mensia-siakan harta tanpa mendapat apa-apa pahala atau kepujian.
Kabanyakan para salaf sentiasa berjimat-cermat bila membeli sesuatu
barang. Meskipun begitu keadaannya, tetapi mereka sentiasa memberikan orang
ramai banyak dari harta kekayaannya. Ada yang bertanya mengapa sikap tuan-tuan
macam itu? Mereka menjawab: Sesungguhnya orang yang memberi itu, memberikan dari
kelebihannya, manakala orang yang mengelabui mata dalam berjual beli itu, dia
mengacau fikiran. (3)
Dalam menunaikan harga atau nilai
barang, serta membayar seua hutang dengan cara berihsan, kadang-kadang dengan
memaafkan hutang itu sekaligus, atau menggugurkan sebahagiannya. Kadang-kadang
dengan memberi tempoh, atau menangguhkannya ke masa yang panjang. Dan
kadang-kadang dengan mempermudahkan, sehinngga terdapat mata wang yang sah.
Semua itu hukumnya harus dan amat digalakkan sekali. Dalam
sebuah sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesiapa yang meminjamkan satu
dinar kepada sesuatu masa yang tertentu, maka baginya setiap hari sedekah
sehingga samapai tempohnya. Apabila cukup tempohnya, lalu diperpanjangkan lagi
tepohnya, maka baginya setiap sehari sedekah seperti banyaknya hutang itu.”
Rasulullah s.a.w. pernah memerhatikan seseorang menagih hutang kepada
yang lain, lalu baginda mengisyaratkan supaya dia memaafkan separuh dari hutang
itu. Penagih hutang bersetuju, lalu baginda berkata kepada yang berhutang: Ayoh,
bayar segera!
(4)
Cara membayar hutang: Sayugialah
hendaknya dibayar hutang itu dengan secara baik, iaitu orang yang berhutang itu
sendiri pergi mendapatkan orang yang menghutangkan dan jangan sampai ia
menyusahkan orang yang mempunyai hak itu datang menuntutnya Rasulullah s.a.w.
telah bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik cara
menunaikan hutangnya”.
Orang yang berhutang, bila mendapat kelapangan, hendaklah segera
menyelesaikan hutangnya, walaupun tempohnya belum sampai lagi. Jika telah sampai
waktunya, sedangkan ia tidak mempunyai wang untuk membayar, hendaklah ia berniat
di dalam hati, bahwa ia akan membayar hutangnya itu bila mampu. Jika orang yang
mempunyai hak menuntutnya dengan kata-kata yang kasar atau sebagainya, hendaklah
ia bersabar dan menahan marah. Malah sebaliknya, hendaklah ia menjawab dengan
lemah lembut dan nada suara yang rendah, iaitu mengikut perilaku Rasulullah
s.a.w. sewaktu baginda dituntut oleh orang
yang menagih hutang daripadanya dengan cara yang kasar; lalu setengah
para sahabat mahu bertindak terhadap orang itu, maka Rasulullah menahan mereka
sambil menyeru: Biarkanlah ia dengan sikapnya, kerana orang yang mempunyai hak
itu ada jalan untuk berkata apa saja.
Dari cara berihsan atau berbuat baik juga, hendaklah ia bersifat belas
kasihan terhadap orang yang berhutang yang tak mampu untuk membayar hutangnyaa,
bila menjatuhkan hukuman ke atasnya. (5)
Hendaklah ia bersetuju mengurangkan
harga, bila pembeli meminta pengurangan: iaitu setelah selesai akad jual beli,
sebab ia tidak mungkin meminta pengurangan harga, melainkan ia telah merasa
menyesal di dalam hati, ataupun setelah terasa sesuatu mudharat tertimpa atas
dirinya kerana jual beli itu. Maka tidak semestinya si penjual merasa senang
hati, sebab kemudharatan saudaranya itu berpunca dari dirinya. Dalam sebuah
sabda: “Sesiapa
yang mengurangkan harga pembelian seseorang yang merasa menyesal atas jual
belinya, niscaya Allah akan mengurangkan kesalahannya di Hari Kiamat” (6)
Hendaklah is menguruskan jual belinya
terhadap kaum fakir miskin dengan segala kelonggaran yang boleh. Dalam pada itu,
ia berniat di dalam hati tidak akan menuntut jika mereka dalam kesusahan. Para
salaf Saleh biasanya berkata kepada si fakir: Ambillah apa yang engkau hajati,
bila ada kelapangan barulah bayar. Kalau tidak, maka anggaplah ia sebagi halal
dan sedekah. Begitulah caranya para salaf mengurus perniagaannya. Kesimpulannya
perniagaan itu ialah puncak ujian seseorang. Di sinilah dapat di uji agama
seseorang dan kawara’annyaa. Sikap seorang pedagang terhadap agamanya.
Tiadalah patut seseorang pedagang melebihkan urusan keduniaannya,
sehingga ia terlalai pula dari urusan keakhiratannya. Kalau demikian sikapnya,
tentulah seluruh umurnya akan menjadi sia-sia belaka dan perniagaannya menjadi
rugi. Apa yang terlepas dari keuntungan mengenai urusan akhirat, tidak dapat
digantikan dengan keuntungan yang diperolehi di dunia. Dengan itu jadilah ia
sebagai seorang pembeli kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat. Orang yang
waras fikirannya harus merasa diri sendiri, ialah dengan secara mengawas
modalnya makanakala modal yang dimaksudkan di sini ialah agamanya dan amalannya
dalam menjalankan perintah dan tegahan Allah s.w.t.
Seseorang yang ingin menyandarkan simpati terhadap agamanya tidak akan
dapat berbuat demikian, melainkan dengan perkara perkara yang berikut: (1)
Bersih niatnya dari sejak ia
memulakan perniagaanya; iaitu hendaklah ia berniat menjalankan perniagaan itu,
supaya ia terhindar dari meminta-minta dari orang ramai, dan menjauhi perasaan
tamak dalam diri dengan menginginkan hak orang lain. Hendaklah ia memadai dengan
apa yang diperolehinya sebagai rezeki yang halal, juga dengan maksud supaya
segala keuntungan yang diperolehi itu dapat menolong dirinya dalam menjalankan
urusan-urusan keagamaan, serta mencukupi makan-minum anak isteri di rumah agar
ia tergolong orang-orang yang berjihad dalam lapangan mencari rezeki yang halal.
Dalam perniagaan itu, hendaklah ia berniat jujur terhadap sekalian kaum Muslimin,
dan hendaklah is mencintai semua makhluk Allah, sebagaimana dia mencintai
dirinya sendiri. Hendaklah ia berniat juga untuk memilih jalan keadilan dan
jalan kebaikan dalam semua perkara jual belinya, sebagaimana yang telah kita
sebutkan sebelum ini. Kemudian hendaklah ia berniat untuk menyuruh yang baik dan
melarang jahat terhadap apa saja yang dilihatnya berlaku di dalam pasar kelak. Semua perkara-perkara ini, jika diniatkan d dalam hati, niscaya ia menjadi seorang yang berusaha pada jalan menuju akhirat. Dalam urusan perniagaannya kelak, jika ia mendapat keuntungan dari harta kekayaan, maka itu adalah kurnia dan tambahan dari Allah azzawajalla, tetapi jika ia rugi di dunia, niscaya ia akan beruntung pula di akhirat justeru niat-niatnya yang baik tadi. (2)
Sebaik-baiknya ia berniat membuat
sesuatu perusahaan atau perniagaan sebagai menunaikan suatu fardhu dari Fardhu
Kifayah. Sebab jika perusahaan dan perniagaan itu diabaikan saja, tentulah akan
menjadi tempang perjalanan kehidupan masyarakat dan akan leburlah keharmonian
orang ramai. Untuk menjamin perjalanan kehidupan sekalian manusia, mestilah
dengan adanya kerjasama dari manusia itu sendiri, sehingga setiap golongan
manusia menjamin golongan yang lain dengan berbagai-bagai inisiatif. Di antara perusahaan-perusahaan ada yang amat penting bagi kehidupan masyarakat, dan ada pula yang tidak begitu penting lantaran perusahaan itu hanya mementingkan kemewahan dan perhiasan keduniaan semata-mata. Dalam memilih perusahaan-perusahaan ini, hendaklah ia memilih perusahaan yang diperlukan untuk kemajuan masyarakat, supaya dengan menjalankan kerja-kerjanya ia dapat memenuhi keperluan-keperluan kaum Muslimin dan mencukupi kehendak-kehendak agama. (3)
Jangan sampai terpengaruh sangat
dengan keadaan pasaraan duni, sehingga ia terpedaya dengannya, lalu meninggalkan
sama sekali pasaran untuk akhiratnya. Yang dikatakan pasaran-pasaran untuk
akhirat itu ialah amalan-amalan yang dilakukan di dalam masjid-masjid. Allah telah
berfirman:
“Orang-orang yang tiada
dilalaikan oleh perniagaan dan penjual beliannya daripada berzikir kepada Allah
dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat.”
(an-Nur: 37)
Para Salaf Saleh sentiasa berlumba-lumba pergi ke masjid, bila mendengar
azan seraya meninggalkan pasaran dan perniagaan mereka diuruskan oleh
orang-orang ahli zimmah dan anak-anak kecil. (4)
Janganlah hendaknya ia memadai dengan
kerja-kerja yang tersebut saja, malah hendaklah ia melazimkan diri dengan
berzikir kepada Allah di dalam pasar di antara orang-orang yang sifatnya
sentiasa dalam kelalaian, kerana berbuat serupa itu adalah paling utama sekali. (5)
Hendaklah is tiada terlalu mengambil
berat terhadap pasaran semata-mata, begitu pula dengan perniagaan saja: iaitu
menjadi orang yang pertama sekali masuk ke dalam pasar dan orang yang terakhir
kembali daripadanya. (6)
Janganlah hendaknya ia hanya
menjauhkan diri dari perkara-perkara yang sudah terang haramnya semata-mata,
malah mestilah ia memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhat juga; iaitu
perkara-perkara yang masih diragukan tentang hukumnya. Cara menjauhi perkara ini
dengan menanya diri sendiri secara jujur, jika ia merasa kurang senang hendaklah
ia meninggalkannya. Jika orang membawa suatu barang kepadanya yang ia merasa
syak kepadanya, hendaklah ia bertanya mengenainya terlebih dulu. Hendaklah is
menjauhkan dirinya dari berjual beli dengan barang-barang yang berasal dari
penganiayaan atau pengkhianatan atau pencurian atau riba’. Semua barang-barang
itu, jangan diperjual belikan. (7)
Hendaklah is menjaga perjalanan
perniagaannya dengan setiap pelanggan, sebab ia akan ditanya dan
bertanggungjawab atas tiap-tiap sesuatu. Oleh itu hendaklah ia menyediakan diri
untuk menjawab tanggungjawab itu kelak di Hari Perhisaban (Hari Kiamat) |
|