|
KITAB
ADAB MAKAN (VERSI
DRAF _ MASIH DIEDIT) Mengundang
dan menghormati tetamu
Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memperelokkan pentadbiran semesta alam.
Maka Allah telah mencipta langit dan bumi dan menurunkan air tawar dari gumpalan
awan. Dengan itu maka tumbuhlah segala biji-bijian dan tanam-tanaman, lalu
ditentukan daripada rezeki-rezeki dan makanan yang mana dengannya pula
dipeliharaNyalah segala kekuatan makhluk yang hidup, dan dibantuNya mereka untuk
mengerjakan ketaatan dan amalan-amalan kebajikan dengan memakan barang-barang
yang baik dan halal. Kepada Allah ditujukan kesyukuran pada sepanjang waktu dan
masa.
Oleh kerana tujuan utama bagi orang yang mempunyai pemikiran yang waras
ialah menemui Allah kelak pada hari penerimaan balasan, padahal tiada jalan
untuk sampai bertemu dengan Allah melainkan dengan ilmu pengetahuan serta amalan.
Hal itu pula tidak mungkin berkekalan, melainkan dengan keselamatan tubuh badan,
dan tubuh badan tidak mungkin terpelihara dan selamat, melainkan dengan makanan
yang dimakan sekadar yang diperlukan dari masa ke semasa. Maka dari wajah ini,
sebahagian para salaf telah berkata : Sesungguhnya
memakan makanan itu termasuk urusan keagamaan. Dalam hal ini juga Firman Allah
Ta’ala telah mengingatkan; “
Makanlah dari makanan yang baik, dan kerjakanlah amalan-amalan yang soleh.”
( al-Mu’minun: 51)
Berikut kita tunjukan suatu bimbingan kepada tugas-tugas agama dalam
urusan makan yang mengenai kewajipannya, sunnat-sunatnya dan adab-adabnya. Tata-tertib
makan
Ada tiga keterangan yang harus diperhatikan oleh seseorang yang sedang
menghadapi makanan, iaitu;
Pertama: Adab orang yang mahu
memulakan makan. Kedua
: Adab diwaktu makan. Ketiga:
Hal-hal yang dituntut sesudah makan. PERTAMA:
ADAB ORANG YANG MAHU MEMULAKAN MAKAN. (1)
Makanan
itu mestilah dari yang halal dan cara memperolehinya juga harus secara halal,
menurut petunjuk syariat dan wara’, tidak boleh diusahakan
dengan cara yang dilarang di dalam syariat, ataupun dengan cara
menurutkan hawa nafsu ataupun dengan cara penipuan. Dan Allah Ta’ala telah pun
memerintahkan kita suapa memakan makanan yang baik, yakni secara halal,
sebagaimana Dia telah mengutamakan larangan makanan secara batil (haram)
daripada larangan membunuh jiwa tanpa hak, iaitu untuk mengeraskan lagi larangan
memakan yang haram dan membesarkan keberkatan memakan yang halal. Allah Ta’ala
telah berfirman: “Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta-harta sesama kamu dengan
jalan kebatilan, melainkan dengan perniagaan secara sukarela satu sama lain dan
janganlah kemu membunuh dirimu.”
(an-Nisa’: 29) Maksud yang pertama dari makanan mestilah ia dari
yang baik atau yang halal dan ini adalah
dikira sebagai kewajiban dan perkara pokok dalam agama. (2)
Membasuh tangan sebab tangan ini tidak sunyi dari kotoran kerana
seringkali ia digunakan untuk membuat pekerjaan yang berbagai-bagai. Oleh itu
membasuh tangan adalah lebih dekat kepada kebersihan dan kesucian. (3)
Bila memakan sesuatu makanan, sayugialah diniatkan memakan kerana
bertaqwa kepada Allah dan kerana menguatkan badan untuk menjalani ketaatan
kepada Allah Ta’ala supaya dengan yang demikian, dia boleh menjadi seorang
yang taat pada mengerjakan ibadat. Untuk menjamin niatnya atas dasar ini,
hendaklah jangan sampai tangannya mencapai makanan, melainkan setelah
benar-benar lapar. Jadi kelaparan yang merupakan satu-satu sebab yang
menjadikannya memakan makanan itu. Kemudian hendaklah ia mengangkat tangannya
dari makanan itu sebelum benar-benar kenyang. Barangsiapa yang menurut petunjuk
ini, niscaya ia tidak perlu lagi kepada pertolongan doktor. (4)
Hendaklah ia sentiasa redha dengan makanan yang terhidang di hadapannya,
yakni rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya. (5)
Sebaik-baiknya, makanan yang terhidang itu dijamah (dimakan) oleh tangan
yang banyak, walauoun dari ahli rumahtangga dan anak-pinak, sebab sebaik-baik
makanan ialah yang disentuh oleh tangan yang banyak. Rasulullah s.a.w sendiri
tidak pernah memakan sendirian. KEDUA:
ADAB DI WAKTU MAKAN: (1)
Hendaklah memulakan dengan membaca Bismillah pada mula menyuap makanan,
dan bila selesai makan, dia mengucapkan dengan Alhamdulillah pula. Ucapan ini
lebih baik jika dibaca dengan suara tinggi untuk mengingatkan orang-orang yang
makan bersama-samanya. (2)
Hendaklah
ia menggunakan tangan kanan. (3)
Hendaklah
sedaya upaya, ia memperkecilkan suapannya. (4)
Hendaklah
ia mengunyah makanan yang dimakan itu baik-baik dan selagi makanan itu belum di
telan, janganlah pula ia mengambil yang lain. Kerana yang demikian itu dikira
gelojoh. (5)
Jangan
sekali-kali mencela makanan yang terhidang. Rasulullah s.a.w. tidak pernah
mencela sebarang makanan yang dihidangkan kepadanya, tetapi jika suka dimakannya;
kalau tidak ditinggalkannya saja. (6)
Hendaklah
ia memakan makanan yang ada berhampiran dengannya saja, kecuali jika makanan itu
merupakan buah-buahan maka bolehlah ia menghulurkan tangannya. (7)
Jangan
letak piring atau sebagainya di atas roti atau lain-lain makanan, melainkan jika
barang-barang itu memang mahu digunakan untuk memakan. (8)
Jangan
mengesat tangannya dengan roti atau dengan makanan yang lain. Jangan meniup
makanan yang masih panas, tetapi hendaklah ia bersabar, sehingga makanan itu
sejuk dan mudah untuk dimakan. (9)
Kalau
memakan kurma, jangan diletakkan bijinya dengan kurma itu dalam satu bekas,
ataupun dikumpulkan bijinya dalam genggaman tangan, tetapi biji yang dikeluarkan
dari mulutnya itu diletakkan di belakang tapak tangannya lalu dibuang. Demikian
pula caranya dibuat pada buah-buahan yang lain yang berbiji atau berkulit. (10)
Janganlah
dibiarkan makanan yang sudah basi bercampur dengan makanan yang baik, atau
diletakkan bersam dalam satu piring, tetapi hendaklah mengasingkannya pada bekas
yang lain, supaya tidak mengelirukan orang lain yang ingin memakannya. (11)
Jangan
terlalu banyak minum ketika makan, kecuali kalau tercekik oleh makanan itu,
ataupun jika ia memang betul-betul dahaga. Adapun ada orang yang minum, di antaranya lain ialah: (1)
Hendaklah
ia mengambbil tempat air atau gelas dengan tangan kanan, kemudia membaca
Bismillah bila mahu meminum. (2)
Bila
minum, jangan meneguk sekaligus tetapi meneguknya seteguk demi seteguk (3)
Bila
minum berdiri ataupun berbaring (4)
Sebelum
minum, sebaiknya diperhatikan dulu gelas atau bekas air. (5)
Jangan bersendawa atau bernafas di dalam gelas tetapi jauhkan sedikit
gelas itu dari mulut. Apabila habis saja meminum, bacalah Alhamdulillah. Tetapi
jika mahu minum lagi, bacalah pula Bismillah lagi. (6)
Bila
menyampaikan gelas atau bekas air kepada orang ramai, hendaklah dimulakan dari
kanan. Pernah Rasulullah s.a.w. minum susu sedangkan Abu Bakar r.a. berada di
sebelah kirinya dan seorang dusun di sebelah kanannya. Sesudah minum baginda
menghulurkan bekas air itu kepada orang dusun itu terlebih dulu seraya berkata:
Yang kanan dulu, kemudian yang kanan darinya pula. (7)
Sebaik-baik
minum dengan tiga nafas dimulakan dengan membaca Bismillah dan mengakhirinya
dengan membaca Alhamdulillah. KETIGA:
HAL-HAL YANG DITUNTUT SESUDAH MAKAN: (1)
Hendaklah
berhenti makan, sebelum merasa terlalu kenyang. (2)
Membasuh
tangan, kemudian membersihkan celah-celah gigi dari makanan yang terselit. (3)
Hendaklah
ia bersyukur kepada Allah dengan sepenuh hati terhadap makanan yang telah
direzekikan, dan menganggap makanan itu sebagai nikmat dari Allah. Allah telah
berfirman: “Makanlah
yang baik-baik dari rezeki yang telah Kami kurniakan dan bersyukurlah kepada
Allah atas kurniaanNya.”
(al-Baqarah: 172)
Sekiranya memakan makanan yang dijamu oleh orang lain, maka hendaklah ia
mendoakannya:
“Ya Allah! Ya Tuhanku
Perbanyakkanlah kebaikannya dan berkatilah ia dalam rezeki yang Engkau kurniakan
kepadanya dan jadikanlah kami sekalian tergolong orang-orang yang mensyukuriMu.”
Sekiranya berbuka puasa di tempat orang, hendaklah ia mendoakan pula:
“Telah berbuka di tempat kamu
orang-orang yang berpuasa dan telah makan makanan yang kamu hidangkan tadi
orang-orang yang baik, dan moga-moga para Malaikat akan mendoakan bagi kamu
dengan cucuran rahmat Allah”.
“Sekiranya diketahuilah bahwa ia termakan barang-barang yang ada
syubhat, maka hendaklah ia memperbanyakkan memohon keampunan dan menunjukkan
kesedihan atas ketelanjurannya itu.
Sesudah makan, disunnnatkan pula membaca:
“Segala kepujian bagi Allah yang
telah memberi kamu makan dan minum dan telah mencukupi kami serta melindungi
kami” Adab
makan bersama
Bila makan bersama-sama orang ramai, haruslah diperhatikan
perkara-perkara yang berikut; iaitu sebanyak tujuh perkara: (1)
Jangan mulakan makan dulu bila ada hadir bersamanya orang yang mesti
didahulukan, seperti orang tua atau orang yang
lebih utama daripadanya. Tetapi jika mengambil makanan itu mengikut giliran dan
sudah sampai pula gilirannya untuk mengambil, maka ketika itu janganlah ia
melambat-lambatkan sehingga orang lain terpaksa menunggu lama, padahal mereka
itu telah berkumpul untuk makan bersama-sama.
(2)
Janganlah
sampai semua orang berdiam diri di waktu makan, tetapi sebaik-baiknya hendaklah
berbual-bual tentang perkara-perkara yang baik.
(3)
Janganlah
makan dengan tamak, bahkan hendaklah mengingat kawan-kawan yang makan bersama-sama
dalam satu hidang. Janganlah makan lebih dari kadar yang ditetapkan baginya
kerana makan lebih dar kadar itu, hukumnya haram jika tidak mendapat keredhaan
kawan yang memakan bersama-sama dalam satu hidangan. Sebaik-baiknya ia
melebihkan makanan itu pada kawan-kawannya. Jangan pula memakan dua butir kurma
sekaligus, melainkan jika semua orang yang makan sedikit, hendaklah ia
menggalakkannya supaya menambah lagi dan menimbulkan seleranya untuk makan. Jika
kawan itu menolak, bolehlah dipujuk hingga tiga kali, tidak lebih dari itu,
kerana sesudah itu, tentulah ia akan merasa bosan dan menganggap itu sebagai
memaksanya. Adapun bersumpah untuk memakan lagi adalah di larang.
Berkata al-hasan bin Ali r.a: Makanan itu lebih ringan daripada seorang yang
bersumpah untuk memjuk kawannya supaya makan lagi (Maksudnya jika tak dihabiskan
pun tak mengapa, tetapi jangan bersumpah untuk menyuruh orang lain memakannya
--- pent).
(4)
Janganlah terlalu menggesa kawan untuk memakan, sehingga ketara
seolah-olah ia amat memerlukan makanan itu. Jangan pula memerhatikan kelakuannya
ketika sedang makan: banyakkah, sedikitkah, bahkan hendaklah ia bersikap seperti
seorang yang menanggung makan kawannya. Jangan pula meninggalkan lebihan makanan
di tempat makannya, sedangkan selera untuk memakannya masih ada, kerana takut
orang mengatakan gelojoh, sebab yang demikian itu adalah semacam kepura-puraan.
Tetapi hendaklah ia makan seperti biasa, yakni seperti ia makan seorang diri di
rumah. Sebaik-baiknya melatihkan diri bersopan-santun ketika makan bersendirian
di rumah, supaya nanti tidak teragak-agak lagi untuk bersikap sama bila makan
dengan orang ramai. Ya kalau boleh sewaktu makan beramai-ramai itu, dikurangi
sedikit dari kadar makananan biasa untuk melebihkan kawang-kawannya, apatah lagi
kalau, ia mengetahui bahwa mereka itu amat memerlukan makanan itu, maka sikap
yang demikian adalah paling utama sekali. Begitu juga ia makan lebih dengan niat
menggalakkan kawan-kawannya memakan lebih dan menaikkan semangat mereka untuk
menambah lagi, maka itu adalah lebih baik pula.
(5)
Tidak mengapa membasuh tangan di dalam bekas makanan itu (jika bekas itu
telah bersih dari makanan --- pent) Berkata Anas: Andaikata saudaramu mengundangmu untuk
makan, hendaklah engakau menerima kehormatan itu dan janganlah menolaknya.
Diriwayatkan, pernah Khalifah Harun ar-Rasyid mengundang makan Abu Mu’awiyah
yang buta matanya. Apabila selesai makan, Khalifah pun membasuh tangan Abu
Mu’awiyah menjawab: Tidak! Khalifah berkata lagi: Yang membasuh tanganmu ialah
Amirul Mu’minin (yakni dirinya sendiri). Berkata Abu Mua’awiyah: Wahai
Amirul Mu’minin! Sebenarnya tuan hamba telah memuliakan ilmu pengetahuan dan
meletakkanya di tempat yang tinggi, maka Allah akan meninggikan kedudukan tuan
hamba dan memuliakan tuan hamba, sebagaimana tuan hamba memuliakan ilmu dan
ahlinya. Oleh itu sayugialah tuan rumah sendiri yang patut
menuangkan air untuk membasuh tangan tetamu-tetamunya. Demikianlah yang
dilakukan oleh Imam-imam besar Malik dan Syafi’I radhiallahuanhuma pada hari
tetamu itu mula tinggal bersamanya. Mereka berkata: Janganlah engkau terperanjat
pada apa yang engkau lihat daripadaku ini, sebab memberi khidmat kepada tetamu
adalah suatu kewajiban.
(6)
Janganlah
tuan rumah memerhatikan kelakuan tetamu-tetamunya ketika sedang makan, jangan
mengawasinya, kelak dikhuatirinya mereka akan merasa malu, Sebaiknya bersikap
pura-pura tidak nampak dan menumpukan segala perhatian pada dirinya sendiri
lebih-lebih lagi jika mereka sedang sedap makan. Janganlah pula berhenti dulu
tetapi hendaklah menyuap terus sedikit demi sedikit, sehingga tetamu-tetamu itu
merasa puas dengan makanan yang dihidangkan. Andaikata kerana sesuatu sebab, ia
tidak dapat meneruskan makan-makanan itu, maka hendaklah ia meminta izin
berhenti terlebih dulu, supaya mereka tidak merasa malu dengan kelakuan mereka
itu.
(7)
Jangan
melakukan sesuatu yang boleh menjijikkan orang lain, ataupun mencelupkan tangan
ke dalam bekas makanan itu. Jangan terlampau menundukkan kepala ke bekas makanan,
tatkala mahu menyuap makanan itu. Jika mahu mengeluarkan sesuatu dari mulut,
hendaklah memalingkan muka dari bekas makanan itu, kemudian diambil dengan
tangan kiri. Jangan dicelupkan suapan yang berlemak ke dalam cuka (atau
sebagainya) kerana cara begitu mungkin tidak diingini oleh orang lain. Demikian
pula dengan lebihan makanan yang telah digigit, jangan dicelupkan ke dalam
lauk-pauk atau cuka. Jangan pula menyebut-nyebut hal-hal yang boleh menjijikan
atau memuakkan ketika sedang makan. Keutamaan
menjamu tetamu dan adabnya
Menjamu makanan kepada tetamu-tetamu adalah seperkara yang baik dan
mempunyai banyak kelebihan. Berkata al-Hasan: Setiap nafkah yang dibelanjakan
oleh seseorang akan diperkirakan di kemudian hari melainkan nafkah yang
dibelanjakan kepada teman dan rakan yang berupa makanan yang dihidangkan kepada
mereka, maka Allah Ta’ala lebih mulia daripada mahu bertanya mengenainya.
Berkata Ali r.a: Jika aku dapat mengumpulkan rakan-rakanku atau satu sha’
dari makanan, lebih utama lagi bagiku daripada aku memerdekakan seorang hamba
sahaya.
Berkata Ibnul Umar r.a: Antara tanda kemuliaan seseorang ialah makanannya
ketika dalam pelayaran dan tidak lokek memberikannya kepada rakan-rakannya. Para
sahabat dahulu kala sering berkumpul untuk majlis bacaan al-Quran al-Karim, dan
mereka tidak akan berpisah melainkan sesudah menjamah sedikit jamuan, walaupun
ringan.
Ataupun adab-adabnya: satu bahagian mengenai tetamu itu sendiri dan
bahagian yang lain mengenai bagaimana menghidangkan makanan kepada tetamu.
Adapun adab untuk menjadi tetamu kepada seseorang maka bukanlah suatu
perkara sunnat mendatangi seseorang pada waktu makan, agar ia dapat diterima
menjadi tetamu pula, kerana mendatangi seseorang di waktu makan akan
memeranjatkannya. Itu adalah di larang, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam
al-Quran al-Karim:
“Janganlah kamu mendatangi rumah-rumah Nabi, melainkan sesudah
diizinkan untuk makan tanpa menanti-nanti makanan itu masak”
(al-Ahzab: 53)
Maksudnya menunggu-nunggu waktu makan atau menanti sampai makanan masak
supaya mereka dapat makan bersama-sama.
Tetapi jika orang itu memang terlalu lapar, sengaja dia mendatangi rumah
setengah-setengah kawan untuk mendapat sedikit makanan, tetapi tidak pula
menunggu sampai tiba waktu makan, maka hal serupa itu tidaklah menjadi salah.
Malah harus sebab ada semacam pertolongan kepada seorang saudara untuk mendapat
pahala memberi makanan. Demikianlah caranya para salaf selalu melakukan.
Sekiranya dia sampai di rumah kawan tadi sedang kawannya tiada di rumah; jika
dia yakin keikhlasan hati kawan itu dan mengetahui
bahwa kawan itu akan merasa gembira kalau dia memakan dari makanannya,
maka bolehlah dia memakan tanpa izinnya. Maksud keizinan di sini ialah keredhaan
kawan tadi, terutama sekali pada makanan-makanan, dan perkara ini bergantung
pula pada kelapangan hatinya. Sebab banyak orang menegaskan keizinan dan
kadang-kadang bersumpah, sedangakn hatinya tidak redha. Maka memakan makanan
orang seperti ini makruh hukumnya. Ada yang lain pula tidak hadir di rumah
tetapi memakan dari makanannya dibolehkan dan tidak makruh, kerana hati tuannya
ikhlas dan redha.
Allah telah berfirman:
“Atau di rumah kawan kamu (yakni memakan di rumahnya).”
(an-Nur: 61)
Berkata al-Hasan: Yang dikatakan kawan di sini, ialah orang yang jiwa
anda merasa senang kepadanya dan kalbu anda merasa tenang kepadanya.
Muhammad bin Wasi’ dan sahabat-sahabatnya sering berkunjung ke rumah
al-Hasan, kemudian makan-minum apa yang ada dalam rumah itu tanpa keizinan al-Hasan.
Apabila al-Hasan pulang, beliau terserempak dengan mereka. Beliau merasa gembira
seraya berkata: Ya beginilah sepatutnya kita semua.
Diceritakan lagi, ada beberapa orang telah berkunjung ke rumah Sufyan as-Tsauri,
tetapi dia tiada di rumah ketika itu. Mereka pun masuk ke dalam rumah, lalu
menyediakan makanan-makanan yang ada dan mereka pun makan-minum. Tidak lama
kemudian, Sufyan pun kembali dan berkata: Kamu sekalian telah mengingatkan aku
kelakuan para salaf, beginilah mereka itu semua.
Adapun adab menghidangakan makanan kepada tetamu ialah: Tiada memaksa
diri untuk menghidangkan apa yang tersedia saja.
Al-Fudhail berkata: Sebabnya orang berputus hubungan antara satu dengan
yang lain, ialah bila mengundang saudaranya dia menghidangkan makanan secara
memaksa diri, oleh itu saudaranya tidak suka datang lagi selepas undangan itu.
Di antara cara memaksa diri ialah dengan menghidangkan semua makanan yang ada di
rumah, sehingga ahli rumahtangganya tidak dapat merasa lagi. Cara begini
tentulah menghampakan hati ahli rumahtangga yang menyediakan makanan itu.
Setengah orang berkata: Kami pergi kerumah Jabir r.a lalu dihidangkan
kami roti dan cuka (acaran). Berkata Jabir: Kalaulah tidak kerana aku dilarang
dari memberatkan diri dalam jamuan, tentulah aku akan hidangkan bermacam-macam
makanan kepada kamu.
Adab yang lain ialah bagi si tetamu, hendaklah jangan ia mencadangkan
atau memaksa sesuatu barang yang tertentu untuk menjadi santapannya, seringkali
sikap serupa itu, selain memberatkan akan memarahkan pula hati orang yang
menerimanya sebagai tetamu. Kiranya ia telah ditawarkan oleh tuan rumah antara
dua makanan, maka hendaklah ia memilih yang lebih senang untuk disediakan.
Kecuali jika tetamu itu mengetahui barang yang akan dicadangkannya itu, tidak
sukar bagi tuan rumah untuk disediakan maka tiadalah makruh lagi baginya untuk
mencadangkan barang itu.
Setengah orang telah berkata: cara memakan itu ada tiga macamnya: (1)
Makan
bersama-sama para fakir-miskin, sebaik-baiknyaa kita beralah dan melebihkan
mereka. (2)
Makan bersama-sama rakan-teman yang sedarjat, sebaik-baiknya dengan cara
sederhana dan dengan cara biasa. (3)
Makan bersama-sama orang berpangkat, sebaik-baiknya menjaga adab dan
sopan santun.
Seterusnya adab tuan rumah terhadap tetamu yang
datang menziarahinya hendaklah ia menunjukkan perasaan suka dan gembira dan cuba
memintanya membuat cadangan tentang hidangan mengikut seleranya. Manakala tuan
rumah cuba memenuhi kehendak tetamu sekadar yang boleh. Melakukan yang demikian
itu adalah paling baik pahalanya besar pula. Akhir sekali jangan pula tuan rumah sampai bertanya:
Sukakah tuan kalau saya hidangkan makanan? Sebaik-baiknya ia menghidangkan apa
saja yang ada dan sudah tersedia, biarlah tetamu itu sendiri yang menentukan;
kalau suka ia makan, dan kalau tak makan diangkat saja makanan itu semula. Beberapa
masalah yang harus diperhatikan Masalah pertama:
Menghidangkan makanan di atas meja dapat memudahkan cara memakan, maka tiadalah
dihukumkan makruh tetapi mubah atau harus, jika tiada menunjukkan perasaan
sombong atau membesarkan diri. Kalau ada orang yang mengatakan hukumnya bid’ah,
maka jawabannya bukan semua perkara bid’ah itu di larang oleh agama. Adapun
bid’ah yang dilarang itu, ialah jika ia bertentangan dengan sunnat yang sudah
jelas atau suatu perkara yang menyalahi dasar syariat yang sudah terang dalilnya.
Dalam masalah ini hanya diangkatkan hidangan itu dari atas lantai dan diletakkan
keatas meja untuk memudahkan cara memakannya saja, ataupun sebagainya dari
perkara-perkara yang tidak dihukumkan makruh. Masalah Kedua
: Makan dan minum dengan bersandar hukumnya makruh dan membahayakan bagi alat
pencernaan dalam perut. Begitu pula makan dalam keadaan berbaring atau meniarap.
Masalah Ketiga : Sunat
memulakan makan sebelum sembahyang. Dalam sebuah Hadis: Jika telah tersedia
makan malam sebelum sembahyang is’ya, maka hendaklah kamu mulakan makan
terlebih dahulu. Ibnu Umar r.a kadang-kadang mendengar imam sudah memulakan
bacaan dalam sembahyang, namun ia tiada segera menghentikan makan malamnya.
Tetapi jika nafsu hendak makan belum ada, dan jika dilambatkan masa makan
malamnya tidak pula mendatangkan mudarat bagi diri, maka yang baik sekali
didahulukan sembahyang.
Keterangan tentang undangan dan jamuaan Ketahuilah, bahawa keutamaan memberi jamuan itu nyata
sekali seperti sabda Rasulullah s.a.w “Barangsiapa
beriman dengan Allah dan hari akhirat, aka hendaklah ia memuliakan tamunya.” Dalam sebuah atsar ada yang berkata: Adalah sia-sia
orang yang tiada menghormati tetamu. Rasulullah s.a.w pernah ditanya: Apa itu Iman?
Baginda bersabda: Memberi orang makan dan menyebarkan salam. Dalam sebuah Hadis
lain, baginda bersabda mengenai membayar denda dan memperoleh darjat ketinggian,
katanya: Memberi orang makan dan bersembahyang di malam hari sedang orang-orang
masih tidur. Tentang undangan pula, hendaklah orang yang
mengundang itu memilih orang-orang yang kukuh taqwanya kepada Allah dan
meninggalkan orang-orang yang fasik. Rasulullah s.a.w. bersabda: Berilah makan
kepada orang-orang yang berbakti kepada Tuhan. Dalam suatu atsar pula: Jangan
makan melainkan dari makanan orang yang berbakti, dan jangan biarkan orang yang
memakan makananmu pula, melainkan orang yang berbakti juga. Jangan sampai mengundang orang-orang yang kaya saja,
bahkan hendaklah diundang sama orang-orang fakir dan miskin. Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Seburuk-buruk makanan, ialah makan walimah yang
diundang orang-orang kaya saja dan tinggalkan orang-orang miskin pula” Bila membuat sesuatu undangan jangan sampai
meninggalkan kaum keluarga dan famili, sebab meninggalkan mereka dari diundang
akan menjengkelkan dan memutus tali silaturrahim. Begitu pula, hendaklah ia
menjaga ketertiban dalam masa menghundang sahabat-sahabat dan kenalan-kenalannya,
kerana mengutamakan sebahagiannya akan menjengkelkan yang lain. Hendaklah jangan
meniatkan untuk berbangga-bangga atau bermegah-megah diri bila melakukan
undangan itu, tetapi haruslah ia berniat untuk merapatkan lagi perhubungan hati
antara satu kawan dengan yang lain. Hendaklah ia sematkan perasaan gembiran
dalam hati tiap-tiap seorang dari kaum Mu’minin. Hendaklah jangan mengundang
orang yang memang sukar baginya untuk menerima undangan itu ataupun orang yang
kehadirannya akan mengkocar-kacirkan majlis, dan merosakkan ketenangan
tetamu-tetamu yang lain dalam majlis. Akhir sekali, hendaklah jangan mengundang
melainkan orang yang ia tahu akan menerima undangannya saja.
Tentang menjawab atau menerima undangan hukumnya
adalah sunnat muakkadah, yakni sunnat yang dituntut oleh agama. Ada pula yang
mengatakan, hukumnya wajib dalam beberapa tempat. Menerima undangan itu ada lima
adab, sila perhatikan berikut: (1)
Jangan dibedakan antara orang kaya dengan orang miskin bila menerima
sesuatu undangan. Jika melakukan yang demikian, itulah yang dikatakan takabbur
yang yang dilarang. (2)
Jangan
sekali-sekali menolak undangan si miskin kerana kemiskinannya atau kerana
kedudukanya yang rendah. Bahkan jauh perjalanan yang biasanya boleh ditanggung,
tidak patut dijadikan sebab untuk menolak undangan orang. (3)
Hendaklah
jangan ditolak sesuatu undangan hanya semata-mata kerana ia berpuasa, maka
sebaliknya terimalah undangan itu. berbuka itu akan menyebabkan saudaranya
merasa gembira, maka hendaklah ia berbuka. Dalam berbuka itu, hendaklah ia
berniat untuk menimbulkan perasaan gembira dalam hati saudaranya, maka pahalanya
samalah seperti ia berpuasa malah lebih lagi. Ini kalau pada puasa tathawwu’ (sukarela).
Kalau puasanya wajib (kerana qadha’ atau sebagainya) dan dia tidak boleh
berbuka, maka hendaklah diberikan alasan-alasannya dengan baik.
Telah berkata Ibnul Abbas r.a: Termasuk perkara yang
paling utama sekali memuliakan kawan-kawan dengan berbuka puasa, kerana berbuka
puasa yang bercampur dengan niat ini adalah seumpama ibadat dan suatu kelakuan
yang terpuji. Jadi pahalanya besar sekali melebihi pahala puasa. Sekalipun
kiranya orang yang diundang itu tiada berbuka, tetapi undangannya itu tetap
dikira baik, kerana ia telah mengumpulkan orang dalam suatu majlis yang diiringi
dengan cakap-cakap yang baik. (4)
Hendaklah
ia menolak undangan, di mana makanan yang dihidangkan itu dari barang yang ada
syubhat ataupun jika dalam majlis undangan itu diadakan berbagai-bagai
kemungkaran,* ataupun orang yang mengundang itu bersifat zalim atau fasik, atau
suka bermegah dan membesar diri. _________________________ * Imam
Ghazali memasukkan dalam kemungkaran membentang hamparan sutera, menggantung
gambar-gambar di tembok, mendengar seruling. Pada pendapat saya, perkara mungkar
yang dilarang untuk dihadirinya dan yang mesti ingkarinya ialah perkara yang
telah disepakati dan dipersetujui oleh para alim-ulama, manakala yang belum
ditentukan oleh para fuqaha tentang pengharamannya, maka ia masih belum boleh
dikira mungkar dan tidaklah orang yang membuatnya dikira fasik. Mazhab Hanafi
telah mengharuskan duduk di
atas hamparan sutera, manakal Mazhab Maliki pula membolehkan menggantung gambar
di tembok. Mengenai mendengar seruling, Ibnul Hazm sendiri bersama-sama pengikut
Imam-imam yang termasyhur tidak mengatakan larangan. Bahkan telah disusun
beberapa buku yang terkenal mengenai hal ini. Bagaimana boleh dikatakan ianya
sebahagian dari kemungkaran? Saya berpendapat yang dianggap mungkar itu ialah
sesuatu yang telah disepakati oleh orang ramai. Ya, untuk bersikap wara’ dan
memelihara diri serta meninggalkan yang meragukan kepada yang tidak meragukan
adalah seperkara yang lain yang dimaksudkan untuk menghindari kesyubhatan –
Jamaludin al-Qasimi. (5)
Janganlah
hendaknya bila menerima undangan itu, dia meniatkan untuk memenuhi syahwat
perutnya. Dengan cara itu, dia telah menjadikan memakan makanan undangan itu
sebagai urusan keduniaan. Bahkan yang sewajarnya ia memperbaiki niatnya dengan
menganggap itu sebagai suatu urusan dari urusan-urusan keakhiratan; iaitu dengan
niat menuruti jejak-langkah Rasulullah s.a.w dan memuliakan seorang Mu’min
serta menziarahinya, agar ia termasuk golongan hamba-hamba Allah yang
kasih-mengasihi kerana Allah Ta’ala. Selain itu, hendaklah dia meniatkan untuk
memelihara hati saudaranya, supaya tidak timbul darinya hal-hal yang buruk
kiranya dia menolok undangan itu. Ataupun untuk menahan lidah saudaranya dari
menuduh perkara yang bukan-bukan, seperti menganggapnya sombong, atau kurang
ajar, ataupun kerana hendak menghina seorang Muslim yang lain dan sebagainya.
Berkata setengah para salaf: Saya suka sekali, agar
semua perbuatanku itu diiringi dengan niat yang baik, sehinggakan pada makan dan
minum sekalipun. Ketahuilah perkara-perkara yang mubah (harus) boleh dikirakan
ke dalam perkara-perkara kebajikan yang diberi pahala dengan niat yang baik.
Bagi orang yang hadir dalam setiap undangan hendaklah
memperhatikan pula adab-adab berikut:
(1)
Bila
masuk ke dalam rumah, jangan memilih tempat-tempat yang ditetapkan bagi
orang-orang berpangkat; iaitu di tempat-tempat yang terdepan, malah hendaklah ia
merendah diri duduk di tempat-tempat biasa saja. (2)
Jangan
tinggal terlalu lama di tempat undangan dan jangan pula terlalu segera hendak
pulang, sehingga tuan rumah menjadi tergesa -gesa menyediakan makanan untuknya,
kalau makanan itu belum tersedia. Ini dengan syarat kalau tempat tidak begitu
penuh sesak dengan tetamu. (3)
Bila tuan
rumah menunjukkan sesuatu tempat untuk ia duduk, jangan pula menolak, barangkali
tuan rumah itu telah menentukan tempat bagi tiap-tiap seorang dari
tetamu-tetanunya. Jadi kiranya ia menolak juga, akan berubahlah
peraturan-peraturan yang sudah ditentukan oleh tuan rumah tadi. (4)
Jangan
duduk di tempat yang berhadapan dengan pintu bilik yang dikhaskan untuk kaum
wanita, ataupun di tempat yang bertabir. (5)
Jangan
terlalu mengamati tempat dari mana hidangan makanan dikeluarkan kerana yang
demikian itu menandakan dirinya sebagai seorang perakus. (6)
Hendaklah
mengutamakan memberi salam dan bertanya khabar pada orang-orang yang duduk
berhampiran dengannya. (7)
Apabila
seseorang tamu datang untuk bermalam, maka hendaklah tuan rumah menunjukkan arah
kiblat bilik air atau tandas dan tempat mengambil air sembahyang. (8)
Tuan
rumah hendaklah membasuh tangan terlebih dulu sebelum tetamu-tetamunya dan
sebelum makan, kerana dia telah mengundang mereka untuk menerima penghormatanny.
Hendaknya janganlah ia makan, melainkan setelah selesai semua tetamu-tetamu
makan. (9)
Tetamu
pula, bila melihat sesuatu perkara mungkar di rumah itu, hendaklah ia
mengubahnya jika berdaya. Kalau tidak cukuplah ia memberi nasihat saja, kemudian
meninggalkan tempat itu. Untuk orang yang menyediakan makanan undangan pula,
ada lima adabnya: (1)
Menyegerakan
hidangan makanan, kerana yang demikian itu dari perkara yang memuliakan tetamu.
Apabila telah hadir kebanyakan dari tetamu-tetamu sedang ada juga yang masih
belum sampai atau tak datang, seorang dua saja, padahal masa yang ditentukan
telah lepas, maka orang-orang yang telah hadir itu lebih berhak untuk
disegerakan daripada menunggu orang-orang yang lewat itu. Dalam maksud ini,
Allah telah berfirman di dalam al-Quran: “Sesudah
sampaikah kepadamu cerita tetamu Ibrahim yang dimuliakan.”
(adz-Dzariat: 24) Maksudnya mereka itu telah dimuliakan dengan
mempercepatkan hidangan kepada mereka. Hal ini telah ditunjukkan pula oleh
firmanNya yang lain, iaitu: “Tidak berapa
lama, maka dihidangkan kepada mereka itu dengan daging anak lembu yang dibakar.”
(Hud: 69) Juga dibuktikan dengan firmanNya yang lain lagi: “Kemudian
cepat-cepatlah dia pergi kepada keluarganya, lalu membawa daging anak lembu yang
gemuk.”
(adz-Dzariat: 26) Berkata Hatim al-Asham: Tergesa-gesa mengerjakan
sesuatu itu dari perbuatan syaitan, melainkan pada lima perkara: Maka ia dari
perjalanan Rasulullah s.a.w iaitu: (1) Menyegerakan hidangan kepada tetamu. (2)
Menyelenggarakan mayat. (3) Mengahwinkan perawan dan teruna. (4) Membayar hutang
dan (5) Bertaubat dari dosa. (2)
Menjaga pentertiban hidangan, bermula dengan buah-buahan terlebih dahulu
kalau sudah tersedia, sebab buah-buahan itu lebih cocok jika didahulukan menurut
ilmu kedoktoran, kerana ia lekas hancur, dan sesuai sekali diletaknya dibahagian
bawah dari perut. Di dalam al-Quran ada peringatan untuk didahulukan buah-buahan;
iaitu firman Allah Ta’ala : “Dan
buah-buahan menurut yang mereka pilih.”
(al-Waqi’ah: 20) Kemudian baru Allah mengikutinya dengan firmanNya;
“ Dan daging burung menurut yang mereka inginkan” Sesudah buah-buahan, dihidangkan pula daging dengan
roti. Kalau ditambah pula selepas itu dengan manisan-manisan, maka telah
sempurnalah hidangan itu berupa hidangan yang baik. Tetapi yang menentukan
hasilnya penghormatan dengan terhidangnya daging, ialah firman Allah Ta’ala
pada menceritakan mengenai tetamu Nabi Ibrahim, ketika disediakan untuk tetamu
daging anak lembu yang dibakar, sehingga sempurna masaknya, bukan setengah masak.
Dalil al-quran ini menunjukkan salah satu makna penghormatan terhadap tetamu.
Iaitu dengan menghidangkan makanan yang berupa daging.
Berkata Abu Sulaiman ad-Darani r.a.: Memakan makanan
yang baik akan menyebabkankeredhaan Allah Ta’ala dan makanan baik itu akan
lebih sempurna bila diminumkan air sejuk. Kemudian tangan pula dibasuh dengan
air panas-panas dingin. Berkata al’Ma’mun: Minum air dengan air batu (es)
akan menimbulkan kesyukuran yang khalis (tulen). Setengah orang berkata pula, makan manisan selepas
makan lebih baik dari memakan berbagai-bagai makanan yang lain. Duduk menetap
pada satu hidangan lebih baik dari menambah dua jenis hidangan yang lain, dan
menghiasi hidangan dengan sayur-sayuran adalah amat diperlukan sekali.
(3)
Di antara bermacam-macam makanan yang terhidang itu hendaklah ia memilih
yang paling terenak sekali dulu, sehingga para tetamu yang hadir itu dapat
memakan sengan sepuas-puasnya, dan tidak mahu makanan yang lain lagi sesudah itu.
Tetapi ad setengah-setengh orang yang mewah suka menghidangkan makanan yang
ringan-ringan (kurang penting) terlebih dulu, supaya selera orang yang makan
akan kembali segar semula apabila dihidangkan pula makanan-makanan yang terenak
sesudah itu. Cara begini adalah khilaful-aula (menyalahi cara yang terbaik),
kerana yang demikian itu adalah semacam helah untuk makan banyak. Sebaik-baiknya
ialah menghidangkan makanan-makanan itu semuanya sekaligus ataupun diberitahu
terlebih dulu jenis-jenis makanan yang akan dihidangkan. (4)
Janganlah
sampai di angkat makanan-makanan yang di hidangkang itu, selagi orang-orang
masih belum selesai memakannya. Tetapi hendaklah ditunggu sehingga semua orang
berhenti makan. Barangkali ada setengah-setengah orang lebih suka pada satu-satu
jenis makanan dari yang lain, ataupun seleranya masih ada untuk memakan
makanan-makanan itu, dan tentulah seleranya akan terencat bila tuan rumah mula
berkemas-kemas hendak mengangkat hidangan-hidangn yang selebih itu. (5)
Hendaklah
makanan yang dihidangkan itu sekadar mencukupi semua tetamu yang diundang, sebab
kurang dari kadar yang mencukupi adalah menunjukkan kurang kesopanan dan kalu
lebih pula dikira sebagai hendakl menunjuk-nunjuk atau riya’. Ibnu Ma’ud r.a telah berkata: Kita telah dilarang
untuk menerima undangan orang yang suka bermegah-megah dengan hidangannya.
Setengah-setengah para sahabat pula tidak ingin memakan hidangan orang yang suka
bermegah-megah dengan hidangannya.
Selanjutnya hendaklah tuan rumah lebih dulu
mengenepikan bahagian ahli rumah dari makanan tersebut, supaya mereka tiada
ternanti-nanti lebihan yang mungkin dikembalikan oleh tetamu-tetamu kepada
mereka. Sebab makanan undangan seringkali kehabisan tidak ada yang tertinggal
lagi, maka akan kecewalah ahli rumah kelak, dan mungkin pula terkeluar cacian
dari lidah-lidah mereka terhadap tetamu.
Seterusnya bagi mengiring tetatmu-tetamu kembali dari
undangan, ada tiga pula adabnya, iaitu:
(1)
Hendaklah
ia mengiringi tetamunya hingga ke pintu rumah, dan yang demikian itu adalah
sunnat dan ini juga terkira cara menghormati tetamu. Untuk menyempurnakan
penghormatannya lagi ialah memaniskan wajah dan bertutur yang baik pada masa
menjemput masuk dan mengiring keluar, dan juga ketika duduk bersama menghadapi
meja makan.
(2)
Tetamu
pula, ketika tiba waktu pulang, hendaklah melahirkan sikap baik diri dan jangan
menunjukkan sikap jengkel, walaupun berlaku sesuatu yang kurang disenangi kerana
yang demikian itu adalah sifat budi pekerti yang baik dan merendah diri.
(3)
Janganlah
hendaknya dia meninggalkan tempat undangan itu, melainkan dengan redha tuan
rumah dan keizinannya. Di samping itu hendaklah ia melayan hati tuan rumah dalam
masa ia berada di situ. Sekiranya ia tinggal di situ sebagai tetamu, maka
janganlah sampai lebih dari tiga hari, kerana dikhuatiri tuan rumah akan merasa
bosan, dan akhirnya ia terpaksa mencari helah untuk menghalaunya. Tetapi jika
tuan rumah menggesanya supaya tetap tinggal di rumahnya dengan hati yang penuh
ikhlas, maka bolehlah ia tinggal lebih lama dari itu. Adalh sunnat bagi tuan
rumah untuk menyediakan tempat tidur yang khas bagi tetamu yang tinggal serumah
dengannya. Adab-adab
yang lain.
Pertama: Diriwayatkan dari Ibrahim an-Nakha’I yang dikatakan pernah
berkata: Makan di pasar adalah suatu penghinaan. Tetapi ada yang meriwayatkan
bahwa setangah para salaf ada melakukannya. Letak perbedaan antara dua pendapat
ini bergantung kepada adat kebiasaan negeri dan peribadi orang itu sendiri.
Barangsiapa yang memandang perkara itu tidak layak bagi dirinya atau keadaan
negerinya, maka yang demikian itu dikira sebagai kerakusan atau kurang sopan.
Tetapi jika keadaan negerinya menganggap itu sebagai perkara biasa dan bukan
suatu keaiban maka tidak mengapalah dia melakukan perkara itu.
Kedua: Berkata setengah para doktor: Janganlah mengahwini wanita,
melainkan yang gadis di antara mereka itu. Jangan makan daging, melainkan yang
baru. Jangan makan benda yang dimasak, melainkan yang sudah sempurna masaknya.
Jangan makan ubat, melainkan kalau
ada penyakit. Jangan makan buah-buahan, melainkan yang sudah matang. Jangan
menyuap makanan, melainkan yang anda boleh mengunyahnya dan janganlah meminum
air di atas makanan. Janganlah menahan buang air kecil atau besar. Apabila
selesai makan tengah hari, hendaklah anda tidur sebentar. Apabila selesai makan
malam, hendaklah anda berjalan sebelum tidur, walaupun seratus langkah saja.
Ketiga: Adalah sunnat kiranya anda mengirim makanan ke rumah orang yang
ada kematian. Apabila tiba berita kematian Ja’far bin Abu Talib, bersabda
Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya keluarga Ja’far sedang sibuk menguruskan jenazah (maksudnya
Ja’far) dan tidak ada masa untuk memasak makanan, maka bawakanlah makanan
untuk mereka.”
Perkara mengirimkan makanan ke rumah orang mati adalah sunnat hukumnya,
kemudian jika makanan itu dihidangkan kepada ramai harus mereka memakannya.
Keempat: Tidak boleh menghadiri makanan orang yang zalim, tetapi jika
dipaksa makan, makanlah sedikit saja. Penutup
perbahasan.
Diceritakan, ada setengah orang tidak suka menerima undangan dengan hujah
bahwa menunggu makanan dalam undangan itu adalah suatu kehinaan. Yang lain pula
berkata: Kiranya aku meletakkan tanganku ke dalam tempat makan orang lain, maka
telah terhinalah tengkukku (yakni aku telah menghinakan diriku).
Pendapat-pendapat serupa ini telah ditolak oleh setengah para ulama yang
mengatakan, bahwa pendapat itu adalah berlawanan dengan sunnat.
Berkata Imam Ghazali: Maksudnya bukan begitu, tetapi yang dikatakan
kehinaan itu, sekiranya si pengundang tidak begitu gembira, jika undangannya
diterima oleh yang diundang. Ataupun dianggapnya itu sebagai suatu budi atau
sebagai kewajiban yang mesti terhadap orang yang diundang itu. Rasulullah s.a.w.
suka juga menghadiri undangan kerana mengetahui bahwa pengundangnya ingin
membuat sesuatu budi terhadap baginda, sementara baginda melihat yang demikian
itu sebagai kemuliaan dan penghormatan di dunia dan akhirat.
Perkara di atas sebenarnya berbeda dengan berbedanya keredhaan. Jika
orang yang diundang itu yakin bahwa pengundangnya akan merasa berat untuk
menghidangkan makanan, ataupun dirasakan yang demikian itu sengaja untuk tujuan
bermegah-megahan, ataupun sikapnya sebagai seorang yang terpaksa, maka ketika
itu tidak sunnat lagi baginya untuk menerima undangan orang itu. Yang sebaiknya
ia mengemukakan keuzuran atau sebab-sebab yang dapat diterima.
Oleh kerana itu kebanyakan para ahli sufi berpesan, katanya: Janganlah
anda menerima undangan, melainkan jika anda yakin bahwa pengundang anda itu
mengetahui yang anda memakan rezekimu yang ditentukan oleh Allah dari
hidangannya dan bahwasanya rezeki itu diserahkan kepadanya sebagai titipan atau
amanat yang sebenarnya adalah milik anda yang berada dalam genggamannya, seraya
ia merasa berterima kasih kerana anda telah menerima semula titipan itu
daripadanya. Jadi jika orang yang diundang itu, yakin, bahwa tiada budi dalam
menerima undangan itu, maka tiada patut dia menolaknya tanpa keuzuran. |
|