Lembah Bujang
Lembah Bujang Merupakan tempat bersejarah kerana telah mencatatkan sejarah awal negeri Kedah Darul Aman. Lembah Bujang kira-kira 1000 tahun lalu merupakan pusat perdagangan dan pemerintahan Hindu-Buddha di negeri rantau Nusantara. Kawasan ini juga menerima pengaruh Islam. Terdapat sebuah Muzium Arkeologi di sini.
Muzium Arkeologi Lembah Bujang terletak di atas Bukit Batu Pahat yang berada 23 km dari bandar Sungai Petani. Terletak di dalam Mukim Merbok, Daerah Kecil Merbok. Ia adalah salah satu muzium yang mempamerkan bukti kewujudan pusat perdagangan antarabangsa dan perkembangan ugama Hindu Buddha di Asia Tenggara pada kurun ke 3 Masehi hingga 12 Masehi.
Dibuka secara rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman pada 23 Januari 1980 bersamaan 5 Rabiulawal 1400 Hijrah. Bahan-bahan arkeologi yang dipamerkan di Muzium ini merupakan artifak-artifak arkeologi yang ditemui melalui kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi arkeologi di tapak-tapak arkeologi di sekitar kawasan Lembah Bujang. Artifak arkeologi yang dipamerkan dalam Muzium ini merupakan bahan-bahan yang membuktikan bahawa Lembah Bujang merupakan pelabuhan antarabangsa dan pusat perdagangan yang telah dikunjungi oleh pedagang-pedagang yang menguasai jalan perdagangan laut antara negara-negara di timur dan barat terutama pedagang-pedagang dari China, India dan Arab di samping pedagang-pedagang Melayu dari Kepulauan Melayu yang menguasai perdagangan rempah ratus dan hasil hutan exotika untuk pasaran timur jauh sejak kurun ke 5.
Di kawasan persekitaran Muzium Lembah Bujang ini dapat dilihat tinggalan senibina candi-candi yang mempunyai kaitan dengan kepercayaan dan pemujaan yang dapat membuktikan kewujudan dan kepercayaan agama Hindu/ Buddha yang menjadi amalan sebahagian dari masyarakat yang berdagang di Lembah Bujang
Sebuah air terjun mengalir di tepi muzium. Jika menaiki bas, terdapat bas Mara Liner dan City Liner berhenti di pekan Merbok. Anda boleh berjalan kaki atau menaiki teksi ke Lembah Bujang.
  
|