|
FASHA Sandha tidak kecewa walau namanya digugurkan daripada membintangi filem Dayang.
Fasha yang sedang menjalani penggambaran telenovela 16 episod, Rumah Itu Dunia Aku terbitan Eurofine (M) Sdn. Bhd., arahan Osman Ali berkata,'' Saya anggap rezeki saya tidak ada dalam filem Dayang. Apa pun bagi saya, rezeki ada di mana-mana dan Tuhan yang menentukan semua itu. Siapa tahu di sebalik pengguguran saya daripada filem itu, Tuhan akan memberi saya rezeki yang lain,'' katanya.
Menurut Fasha, dia hanya mengetahui namanya digugurkan seminggu selepas dia ditahan walaupun sebelum itu dia sudah menjalani latihan berlakon filem berkenaan selama dua minggu sejak awal Mei.
``Pihak penerbit Dayang, Media Approach Sdn. Bhd., menelefon saya dan memberitahu tentang pengguguran nama saya. Alasan mereka, kerana saya tidak hadir latihan selama seminggu.
``Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana Eurofine, sebuah syarikat besar masih memberi peluang kepada saya untuk terus berlakon dalam drama ini.
``Saya berterima kasih kepada Eurofine yang bersikap profesional,'' kata Fasha Sandha.
|