Fasha Sandha FC
BuiltWithNOF

Fasha Sandha - Hukuman ini terlalu kejam ( 15/06/2005 )

HAMPIR sebulan berlalu, tetapi kesannya masih terasa. Hati kecilnya masih bertanya kenapa dia dihukum sebegitu rupa sedangkan dia sudah disahkan tidak melakukan sebarang kesalahan undang-undang.

 Kepada Gaya Hiburan, Fasha Sandha mengakui dia sangat kecewa dengan tindakan penerbit filem Dayang, Media Approach Sdn. Bhd., kerana menggugurkan namanya daripada senarai pelakon filem berkenaan.

Fasha menganggap tindakan itu sebagai satu hukuman yang sangat kejam ke atas dirinya.

``Sampai ke hari ini saya masih kecewa. Sangat-sangat kecewa.

``Watak sebagai Dayang dalam filem itu sudah ada dalam diri saya semenjak skrip berada di tangan.

``Saya juga sudah ke kedai buku untuk mencari buku-buku tentang hikayat lama-lama bagi mendapatkan gambaran watak itu kerana ia sebuah filem hikayat yang ada kaitan dengan sejarah,'' katanya memulakan bicara.

 

Dua minggu lebih menghadiri latihan bersama pelakon dan pengarah, Fasha menyimpulkan bahawa watak berkenaan sangat bagus dan mencabar.

``Inilah watak yang saya cari dalam lakonan. Yang boleh membawa saya terus maju ke depan. Tetapi hendak buat macam mana lagi. Ia bukan rezeki saya.

``Saya sudah disahkan tidak bersalah tetapi mereka menghukum saya dengan cara ini,'' katanya dengan nada cukup perlahan.

Di tanya apakah benar khabar yang tersebar bahawa dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan, Fasha hanya berkata, ``Tunggu dan lihat sahajalah. Sukar untuk saya komen mengenai perkara itu buat masa sekarang.''

Bagaimanapun kata Fasha, sekiranya dia mengambil sebarang tindakan selepas ini, ia bukan untuk dirinya seorang, tetapi untuk artis-artis lain juga.

``Kontrak adalah sesuatu yang serius sebab kita ada hitam putih sesuatu perjanjian.

``Kalau ada sebarang tindakan, saya akan pastikan ia juga untuk membantu artis-artis lain,'' katanya.

Antara sahabat dan musuh
Pengalaman direman selama lapan hari untuk membantu siasatan polis baru-baru ini dianggap sebagai sesuatu yang sangat berharga dalam hidupnya.

``Ia memang sesuatu yang mengerikan tetapi banyak hikmahnya.

``Ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Saya pasti banyak hikmahnya kenapa Tuhan memilih saya untuk berhadapan dengan cabaran itu. Hikmahnya ada,'' katanya.

Paling bermakna kata Fasha lagi, pengalaman ini membuatkan dia tahu siapa kawan dan siapa musuhnya yang sebenar.

``Bila kita ada masalah kawan-kawan yang kita sangka baik selama ini akan menjauhkan diri.

``Saya tidak harapkan pertolongan mereka, cukup sekadar bertelefon dan tanya khabar. Itu sudah cukup.

``Tetapi nampaknya tidak ada. Tidak apalah sebab sekurang-kurangnya saya tahu sikap sebenar mereka,'' katanya lagi.

 

Terima Kasih Tayangan Unggul
Bercakap pasal penerbit, Fasha melahirkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tayangan Unggul Sdn. Bhd., (TUSB). Dia menganggap penerbit berkenaan sangat profesional.

``TUSB terutamanya penerbit eksekutifnya, Gayatri Su Lin Pillai memberi banyak sokongan moral dan semangat kepada saya ketika berhadapan dengan masalah ini.

``Sokongan itu membuatkan saya bertambah berani berhadapan dengan orang lain dan tidak merasa malu, takut dan tertekan dengan kejadian itu,'' katanya.

Justeru Fasha menjelaskan dia akan memberi sokongan dalam usaha mempromosikan filem Berlari Ke Langit terbitan syarikat berkenaan yang akan berada di pawagam hujung Jun ini.

Bercakap tentang Berlari Ke Langit, kata Fasha, dia sangat bertuah kerana dapat bekerja sama dengan dua nama yang `gah' dalam dunia filem tempatan.

Rosyam Nor sebagai pasangannya dalam filem bertema kasih sayang itu dan Bade Azmi sebagai pengarah, sudah cukup untuk membuatkan dia sentiasa mahu memberikan yang terbaik.

``Bila bersama dengan orang yang terbaik seperti mereka, sudah tentu kita dapat banyak belajar. Saya sendiri berusaha keras untuk membaiki lakonan supaya orang tidak mempertikaikan watak yang saya bawa.

``Sebagai pelakon baru, saya anggap diri bertuah kerana dapat pengalaman berharga bersama mereka berdua menjayakan filem ini,'' katanya lagi.

[Home] [Biografi] [Gambar-gambar Fasha] [Diary] [Artikel Fasha] [Buku Pelawat Fasha]

Hosted by www.Geocities.ws

1