Fasha Sandha FC
BuiltWithNOF

Rosyam dan Fasha - Watak dalam BKL paling mencabar ( 23/06/2004 )

KEMAMPUAN Rosyam Nor menghayati watak-watak yang dilakonkannya menerusi filem ataupun drama tidak perlu dipersoalkan lagi. Malah, tidak dinafikan Rosyam adalah pelakon berbakat yang mewarnai dunia lakonan tempatan menerusi kemampuannya itu.

Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik yang dianugerahkan kepada Rosyam pada Festival Filem Malaysia ke-16 tahun lalu membuktikan hakikat tersebut.

Walaupun berpengalaman berlakon tetapi kemampuan Rosyam teruja juga menerusi filem terbaru lakonannya berjudul Berlari Ke Langit (BKL).

``Watak Indra dalam filem itu adalah watak yang paling berat dan mencabar pernah saya lakonkan sepanjang karier saya sebagai pelakon.

``Saya pernah bertukar-tukar pendapat dengan pengarahnya, Bade dari pukul 8 malam sampai 8 pagi kerana filem ini.

``Saya pernah tidak tidur satu hari satu malam kerana berbincang dengan Bade tentang watak Indra.

 

``Saya juga mengambil masa satu setengah bulan untuk membuat persiapan sebelum melakonkan watak Indra.

``Saya banyak bertanya Bade tentang watak Indra. Bagi saya, Bade dan saya bagaikan ada chemistry yang memudahkan saya menghidupkan watak Indra dengan berkesan.

Kekuatan

``Saya gembira kerana dapat menghidupkan watak Indra untuk selama dua jam lebih dalam BKL. Saya harap penonton dapat menerima lakonan saya,'' kata Rosyam ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Rosyam, kekuatan watak Indra turut dibantu oleh para pelakon serta tenaga kerja yang terbabit dalam BKL secara keseluruhannya.

``Para pelakon lain juga banyak membantu saya menghidupkan watak Indra. Antaranya lakonan Adik Danial, pelakon kanak-kanak yang juga merupakan anak saudara kepada Aziz M. Osman,'' ujarnya.

Sementara itu, Fasha Sandha ketika ditanya pengalamannya berlakon disamping Rosyam, berkata: ``Pada mulanya saya sendiri rasa gementar untuk berlakon dalam BKL apatah lagi bergandingan dengan Abang Rosyam Nor.

``Siapa tidak kenal Rosyam tetapi saya gembira kerana dia banyak membantu saya melakonkan watak Yasmin Suraya yang begitu mencabar kemampuan saya sebagai pelakon.

``Akhirnya saya dapat melakonkan watak itu dengan kemampuan saya dan Bade nampaknya puas dengan lakonan saya,'' kata Fasha.

BKL merupakan filem pertama yang menggandingkan Rosyam dan Fasha di layar perak. Filem kelapan terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. ini akan ditayangkan di 30 buah pawagam seluruh negara mulai 24 Jun ini.

[Home] [Biografi] [Gambar-gambar Fasha] [Diary] [Artikel Fasha] [Buku Pelawat Fasha]

Hosted by www.Geocities.ws

1