Fasha Sandha FC
BuiltWithNOF

Fasha Sandha - Tidak trauma ( 27/06/2004)

KLASIK benar untuk menyebut, setiap yang berlaku itu ada hikmah yang tersembunyi. Tetapi realitinya, kata-kata klasik itu juga `terapi' hati yang terbaik tatkala berhadapan dengan satu bebanan yang tiba-tiba muncul di luar dugaan.

``Saya tidak serik atau trauma dengan apa yang berlaku kerana saya tidak bersalah.

``Tetapi saya tetap akur dengan satu kenyataan bahawa apa yang berlaku memang mematang dan menjadikan saya lebih tabah,'' tutur artis cantik, Fasha Sandha ketika diminta komen lewat berita penahanannya dalam satu serbuan kes ganja pada pertengahan Mei lepas.

Tambah Fasha, semuanya sudah jelas bahawa penahanan itu sekadar untuk membantu siasatan kes tersebut saja dan dia tidak pernah bersalah.

``Saya cukup berhati-hati dalam banyak perkara tetapi sesuatu perkara itu kalau hendak berlaku, berlakulah juga dalam keadaan mana pun.

``Ia diibaratkan macam kita memandu kereta kalaupun kita berhati-hati untuk elak kemalangan tetapi orang lain sebalik ada kalanya kita terkena juga,'' luah Fasha.

 

Begitu juga Fasha tidak akan menganggap apa yang berlaku itu sebagai satu titik hitam dalam hidup yang akan mengganggu perasaan pada masa akan datang.

Apa yang berlaku itu juga ingin dinyahkan daripada kotak fikirannya secepat mungkin.

Terus terang dari sudut hatinya yang dalam, Fasha mengakui, dia kurang senang untuk mengingat apatah lagi berbicara tentang hal itu lagi.

``Kalau boleh saya tidak mahu bercakap apa-apa pun tentang hal itu kerana saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Saya tidak mahu dikaitkan dengan benda itu atau apa-apa saja yang berkaitan,'' tambah artis cantik berusia 20 tahun itu.

Barangkali pada saat ini, hanya satu harapan daripada artis cantik iaitu fokus dengan kerjaya seninya itu dan terus melangkah.

Kata Fasha, jika dia membiarkan hal yang sedikit mengganggu fikirannya tentu saja dia tidak mampu fokus dengan pelbagai komitmen lain yang sedia menanti pada masa ini.

Antaranya tentu saja komitmennya sebagai Tun Fatimah dalam teater bangsawan yang akan dipentaskan pada 9 Julai nanti di Istana Budaya.

Tentu saja, apabila menerajui watak tersebut dalam teater bangsawan bertajuk Tun Fatimah itu, Fasha perlu menjiwai sepenuhnya karakter srikandi Melayu yang terkenal itu.

``Saya kini menjalani latihan selama sebulan sebelum pementasan teater bangsawan itu.

``Saya belajar menari, bersilat dan menyanyi sebagai Tun Fatimah. Ia adalah satu pengalaman baru saya sebagai pelakon,'' katanya yang berharap penampilannya itu kelak meraih perhatian.

Dalam Tun Fatimah, Fasha turut berlakon di samping Jehan Miskin dan Shaharudin Thamby.

Kata Fasha, ia adalah satu penghargaan untuknya sebagai pendatang baru diberi kepercayaan untuk menerajui watak tersebut.

``Saya sentiasa ingin mempelbagaikan lakonan saya dan pada masa yang sama ingin terus belajar.

``Berlakon teater bangsawan seperti ini sebenarnya mengajar saya tentang banyak perkara termasuk teknik berdialog dengan baik,'' kata Fasha yang mengundang peminat untuk menonton kebolehannya berlakon teater pula.

Tetapi sebelum itu, Fasha terlebih dahulu mengajak mereka ke pawagam menghayati penampilannya sebagai Yasmin Suraya dalam filem terbaru Tayangan Unggul, Berlari Ke Langit.

Berlari Ke Langit adalah filem pertama Fasha sebagai pelakon utama di samping Rosyam Nor. Filem terbaru Badaruddin Haji Azmi itu kini sudah ditayangkan di pawagam.

Dia pernah berlakon sebagai watak pembantu dalam filem Black Maria dan Bintang Hati.

``Filem itu ada banyak kelainan dan kisah cintanya berbeza daripada filem lain. Jika anda dapat menjiwainya ia akan menitiskan air mata,'' kata calon Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17 itu.

Yasmin Suraya dalam Berlari Ke Langit adalah seorang wanita berusia lewat 20-an yang berhadapan dengan cabaran hidup.

``Satu cabaran untuk saya tentu sekali bagaimana caranya untuk menjadikan diri saya kelihatan lebih matang kerana usia saya pada masa itu baru 19 tahun,'' tambahnya.

Fasha yang juga seorang model iklan sejak berusia 16 tahun itu berharap Berlari Ke Langit akan menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan dirinya dalam dunia lakonan.

Kata Fasha, dia berharap agar penonton akan menilai kebolehan lakonannya lebih daripada penampilan wajahnya.

 Bagi projek akan datang kata Fasha, dia masih mempertimbangkan beberapa tawaran yang berada dalam senarainya kini.

Memberi komen tentang pengguguran daripada sebuah filem besar bertajuk Dayang, kata Fasha, dia menganggap sudah takdir rezekinya bukan di situ.

Tentu saja sekali lagi Fasha menaruh harapan bahawa setiap yang berlaku tentu saja ada hikmah yang tersendiri.

[Home] [Biografi] [Gambar-gambar Fasha] [Diary] [Artikel Fasha] [Buku Pelawat Fasha]

Hosted by www.Geocities.ws

1