Fasha Sandha FC
BuiltWithNOF

FASHA SANDHA - Dari filem ke drama ( 4/10/2004)

Heboh di luar sana bercerita kononnya Nur Fasha Sandha Hassan tidak mahu berlakon drama. Waktu itu, gadis berusia 20 tahun ini tengah lebat dengan pelbagai tawaran filem. Black Maria, Bintang Hati, Shhh!... The Movie (SH3) dan Berlari Ke Langit, bersilih ganti memberikannya tawaran berlakon.

Bukan salah Fasha waktu itu menolak tawaran drama. Cuma kebetulan pada pembabitan awalnya dalam bidang seni lakon, tawaran filem mendahului tawaran drama.

Kini Fasha tidak lagi terikat dengan filem sahaja, sebaliknya laris dalam penerbitan drama juga.

Antara drama lakonannya yang sedang menjalani penggambaran ialah Ten Gei Bin (Lingkaran Emas) dan Usia.

``Sebenarnya saya tidak pernah kata yang saya tidak mahu berlakon drama. Cuma dulu saya terikat dengan jadual lakonan filem, maka saya terpaksa tolak tawaran drama.

``Sekarang ini saya banyak muncul dalam drama pula. Bukan beralih angin. Mana tawaran yang sesuai, saya terima,'' kata Fasha yang mula berlakon telefilem Dengan Nama Cinta, arahan Osman Ali.

 

Jelas Fasha, dia seronok berlakon di samping pelakon-pelakon ternama seperti Datuk Mustapha Maarof dan Dian P.Ramlee dalam drama Kantonis terbitan RTM iaitu Ten Gei Bin.

Menerusi drama arahan Eddie Pak itu, Fasha berlakon sebagai Elyana, anak Datuk Zakaria. Katanya, walaupun watak yang dibawa tidak besar namun ia membantu kariernya.

Salah satu drama lakonannya yang sedang ditayangkan di TV1 setiap Jumaat pada pukul 9 malam ialah Rumah Itu Dunia Aku. Menerusi drama tersebut juga, buat pertama kali Fasha berlakon sebagai wanita penggoda.

Pelakon yang mendapat tawaran menjadi model Palmolive untuk iklan media cetak berkata, dia seronok melakonkan watak baru itu.

``Setakat ini saya sudah berlakon watak penggoda, pelajar kolej yang bercinta dengan lelaki dewasa dan turut berlakon drama komedi,'' ceritanya yang sebelum ini pernah menjayakan teater Tun Fatimah dan telefilem Quran Buruk.

Quran Buruk menampilkan Fasha sebagai Siti Khadijah, seorang gadis kampung yang liar. Telefilem arahan Rashid Sibir itu akan disiarkan di Astro Ria sempena Hari Raya ini.

Sementara watak komedi lakonan Fasha, dapat ditonton dalam telefilem Junepah Lopes, arahan Ahmad Fauzi, terbitan Shahwira Holding Sdn. Bhd.

``Selagi mampu, saya ingin mencuba pelbagai watak agar tidak dilabel sebagai pelakon stereotaip,'' katanya terus terang.

[Home] [Biografi] [Gambar-gambar Fasha] [Diary] [Artikel Fasha] [Buku Pelawat Fasha]

Hosted by www.Geocities.ws

1