Fasha Sandha FC
BuiltWithNOF

Tiru macam Lis dan Fasha

Oleh Zubir Mohd Yunus

MESKIPUN Fiesta Media Idola 2005 (FMI'05) di Kuantan, Pahang genap sebulan berlalu, namun dua artis remaja yang mewakili kontingen Berita Harian (BH) - New Straits Times (NST) iaitu Fasha Sandha Hassan dan Lis Dawati Nazaruddin, tetap turun padang, ke gimnasium untuk kecergasan yang berterusan. Menerusi aktiviti riadah seperti ini juga, gejala negatif umpama penyalahgunaan dadah di kalangan selebriti, mungkin dapat diatasi. Pun begitu, Fasha dan Lis mempunyai cerita menarik mengenai kerjaya mereka untuk dikongsi bersama peminat. BINTANG POPULAR berpeluang mengikuti mereka ke gimnasium, sambil berbual panjang.

Fasha, Lis sempat tayang pingat FMI'05 yang dimenangi baru-baru ini.

KEJAYAAN kontingen BH-NST menduduki tempat ke-4 dari sembilan kontingen yang menyertai FMI'05, terus menyuntik semangat dua artis remaja popular, Fasha Sandha dan Lis Dawati untuk kekal bersama BH-NST menerusi kejohanan FMI'06 yang dijadualkan berlangsung di Kuantan pada 14 hingga 16 April 2006.

Lis Dawati yang bermain sukan bola jaring berharap semua kontingen yang menyertai FMI'06 nanti lebih menghormati syarat pertandingan yang ditetapkan penganjur, Kelab Sukan Shahzan Muda (KSSM) yang dinaungi Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

"Saya harap akan lebih ramai lagi artis dan bekas personaliti sukan mengambil bahagian dalam FMI'06. Apabila pembabitan petugas media dan artis seimbang, barulah selari dengan tujuan sebenar FMI iaitu mendekatkan hubungan wartawan dan artis menerusi acara sukan.

"Pengalaman artis beraksi di padang atau gelanggang dalam acara yang disertai, sekali gus mampu merapatkan kemesraan antara peminat dan selebriti itu sendiri. Sebelum ini peminat menyaksikan artis mengenakan solekan tebal apabila muncul di TV atau akhbar, tapi kali ini hanya peluh membasahi tubuh, gosip pun tak ada," kata Lis sambil berlari-lari anak di atas Treadmill.

Untuk memantapkan lagi kecergasan, Lis yang bercadang menyertai satu lagi acara dalam FMI'06 iaitu futsal wanita, tidak hanya menunggu di saat akhir atau apabila ada acara sukan baru hendak bersenam, sebaliknya senaman untuk kesihatan tubuh badan hendak berterusan, justeru dia memilih gimnasium untuk tujuan berkenaan.

Bersama yuran penyertaan yang berpatutan iaitu RM149 sebulan, rakan artis bolehlah memilih gimnasium untuk tujuan riadah kerana kesibukan aktiviti seni ada kalanya membatasi mereka untuk aktif dalam acara sukan lain, di mana di gimnasium berkenaan, ia menyediakan waktu perkhidmatan yang panjang iaitu seawal jam 6 pagi hinggalah 12 tengah malam.

Berbasikal ni nak ke mana?


"Artis bukan saja perlu menampilkan mutu lakonan atau nyanyian yang berkualiti, tapi badan kena fit juga. Kalau badan tak sihat, nak menyanyi ke berlakon, semuanya tak menjadi. Seperkara lagi, apabila kita rajin bersenam, aktiviti yang tak sihat seperti pengambilan dadah, susah nak dekat," kata Lis yang akan muncul bersama Cerekarama TV3 sempena Hari Ibu berjudul Dokma Kartina, akhir Mei ini.

Bercakap mengenai aktiviti seni, Lis mengakui ketika ini dia agak terkilan apabila tidak memperoleh satu pun peluang lakonan apabila teater mak yong yang disertainya, Puteri Indera Kayangan (PIK) terpaksa ditunda hingga ke akhir Julai, sedangkan jika mengikut perancangan, ia akan dipentaskan pertengahan bulan ini.

Antara pelakon lain yang terbabit dalam kemelut penundaan ini termasuklah Safura, Liza Hanim dan Juhara Ayob.

"Saya kecewa dengan sikap penerbit yang memberikan pelbagai alasan sedangkan saya dah tolak semua tawaran filem dan drama semata-mata untuk memberi tumpuan kepada PIK, sebaliknya ini yang berlaku ke atas saya dan semua pelakon yang sudah pun memulakan latihan sejak sekian lama.

"Saya masih menunggu pampasan yang dijanjikan, tapi hingga ke hari ini belum dengar apa-apa cerita lagi. Bagi saya, semua yang berlaku ini adalah pengajaran yang paling berharga. Sebelum terima tawaran, tanda tangan kontrak dulu kerana janji-janji mulut ini nampaknya tak boleh percaya lagi sekalipun dengan orang yang kita kenal," kata Lis sambil melakukan senaman menggunakan Biceps Curl dan Leg Extension.
 

 

Lepas ni
'berketullah'
pada lengan tu!

Sementara itu, Fasha juga mempunyai cerita tersendiri sebaik saja dia pulang dari Jogjakarta, Indonesia, baru-baru ini selepas menjayakan penggambaran filem terbarunya, Gong terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB). Selain Fasha, turut membintangi Gong ialah Jehan Miskin, Elyana dan Sharifah Sofia.

Desas-desus memberitahu, penolong pengurus produksi Gong yang juga seorang rakyat Indonesia, mati dalam keadaan penuh misteri di hotel penginapan krew dan artis di daerah Purworkerto, Jogjakarta.

"Cerita itu memang satu kisah benar. Kejadian itu berlaku hari Jumaat apabila semua artis dan krew sedang bersiap-siap untuk meneruskan penggambaran. Namun, kami dikejutkan dengan berita kematian penolong pengurus produksi Gong dalam keadaan penuh misteri, di mana mayatnya dijumpai dengan berlumuran darah di biliknya.

"Pun begitu, yang pasti punca kematiannya bukan kes bunuh. Justeru, hingga ke hari ini kematiannya terus menjadi tanda tanya," kata Fasha yang ketika ini sedang menjayakan penggambaran drama lebih 300 episod iaitu Lingkaran Emas.

Seperti Lis, Fasha yang bakal membintangi sebuah lagi filem pertengahan September, sentiasa mencuri waktu agar dia berpeluang menjayakan aktiviti riadah dan tempat yang paling sesuai baginya ialah di gimnasium kerana waktu operasinya yang panjang, membuka ruang bagi dirinya menyusun jadual penggambaran supaya tidak bertindih dengan aktiviti senamannya.

Pakaian, kasut dan aksesori: Adidas (M) Sdn Bhd, Aras 4, Blok B, Plaza Damansara, Bukit Damansara, Kuala Lumpur (03 2080 4832)
Terima kasih: Pengarah Urusan Adidas, Darren Choy
Lokasi: Celebrity Fitness, 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama, Petaling Jaya (03 7718 8000)
Penyelaras lokasi: Adidas (M) Sdn Bhd
Terima kasih: Eksekutif, Tajaan Pemasaran Adidas, Zainudin Lot @ Deeno


©New Straits Times (M) Berhad

 

[Home] [Biografi] [Gambar-gambar Fasha] [Diary] [Artikel Fasha] [Buku Pelawat Fasha]

Hosted by www.Geocities.ws

1