Fasha Sandha FC
BuiltWithNOF

Fasha - Dari iklan ke layar perak ( 4/07/2002 )

Beliau petah berbicara bagaikan seorang wanita yang dewasa. Meskipun usianya baru mencecah 18 tahun, Fasha Sandha tidak menampakkan pemikiran yang mentah selepas meneliti cara beliau meluahkan pendapatnya.

Dalam banyak keadaan cara beliau berinteraksi dan memberikan pendapat kelihatan cukup matang dan mesra meskipun pertama kali berjumpa.

Bermula dengan dunia iklan, akhirnya peluang anak kelahiran Pulau Pinang ini beralih angin ke dunia lakonan.

``Seperti model iklan dan peragawati lain yang bercita-cita menjengah ke dunia lakonan, sekarang ini tibalah giliran saya,'' kata Fasha.

Menurutnya, peluang berlakon filem adalah sesuatu yang menakjubkan dan beliau tidak sabar untuk digelar pelakon.

.

Fasha dipilih antara pelakon utama filem Black Maria arahan Ambri Kailani Zaki yang menyaksikan bintang baru bermata galak ini memegang antara watak terpenting.

Sebelum ini anak kedua daripada empat beradik ini seringkali muncul dalam beberapa iklan popular antaranya McDonalds, Fair & Lovely, Toyota, F & N Sarsi dan Total Image.

Tentunya ada sesuatu yang hebat dalam diri remaja ini apabila penampilan pertamanya dalam lakonan terus kepada layar perak.

Ini kerana biasanya pelakon baru akan diuji dengan penampilan melalui drama-drama televisyen terlebih dahulu kecuali mereka yang datang daripada kalangan penyanyi popular.

``Ini mungkin rezeki saya. Saya sebenarnya agak gugup dengan tawaran yang diberikan kerana sedar keupayaan saya tidak sehebat mana,'' tegasnya.

Memilih prinsip untuk sentiasa berterus terang dalam apa juga perkara, Fasha sudah bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan ditakdirkan selepas ini popularitinya berada di kemuncak.

Kejujuran katanya, adalah aset penting yang akan mendorong kejayaan selanjutnya dalam kehidupan manusia.

``Sikap terus terang akan menyelesaikan banyak perkara,'' katanya.

Malah Fasha sempat mengeluh kesal dan kecewa dengan segelintir artis yang bersikap hipokrit memandangkan sebelum ini beliau pernah duduk ditempat sebagai peminat mereka.

``Sebagai peminat saya kecewa apabila artis tidak bercakap jujur. Cakap lain, buat lain. Kenapa perlu begitu?'' tanyanya dan dan sekali gus berjanji untuk tidak memilih jalan yang sama apabila sudah popular nanti.

``Jadi artis kena jujur. Itu yang selalu saya pesan kepada diri sendiri. Artis pun sama taraf dengan orang lain dan tidak boleh menggunakan lesen sebagai artis untuk bersikap hipokrit,'' katanya lagi.

Bersedia untuk merentasi cabaran dan dugaan yang bakal mendatang, Fasha mahu bersikap lebih terbuka dan membuat persediaan daripada segi ketahanan mental.

Meskipun cita-citanya dalam dunia seni luas terbentang, beliau tidak mahu terlalu lama berada di depan layar.

``Sebaliknya saya berminat dengan kerja-kerja di balik tabir yang memberikan lebih cabaran,'' katanya yang berhasrat untuk menyambung pelajaran ke bidang penyiaran.

Selain itu Fasha merasakan kecantikan dan kejelitaan wajah yang dimilikinya sekarang tidak akan berkekalan dan sedari awal lagi beliau mahu membuat persediaan.

``Kerja belakang tabir filem atau drama adalah untuk masa depan yang lebih baik. Berlakon boleh, tetapi saya tidak akan lama dalam bidang ini,'' tegasnya.

``Cukup sekadar ambil pengalaman kerana saya lebih senang dengan kerja di belakang tabir,'' katanya yang mewarisi kecantikan daripada ibunya, Hatijah Tehman

[Home] [Biografi] [Gambar-gambar Fasha] [Diary] [Artikel Fasha] [Buku Pelawat Fasha]

Hosted by www.Geocities.ws

1