Fasha Sandha FC
BuiltWithNOF

Fasha Sandha bawa diri ke seberang ( 13/02/2005)

 SIAPA kata mudah bergelar artis? Klise benar untuk mengatakan bahawa wajah cantik atau perwatakan menarik jadi sandaran terbaik dalam dunia hiburan yang sangat kompetitif ini.

Jika benar masakan kita tonton banyak artis baru yang datang dan pergi begitu saja. Ada yang hilang tanpa meninggalkan nama, hilang seperti musim silih berganti.

Artis muda, Fasha Sandha barangkali bertuah kerana jika dilihat nasibnya berbanding dengan rakan seangkatan yang lain, dia masih mampu bertahan.

Begitu juga, walaupun jangka masa dua tahun itu masih terlalu awal untuk memberi tafsiran kepada eksistensi Fasha, namun ia tetap sesuatu yang membanggakan.

Barangkali ada formula dan strateginya. Kata Fasha, dia melihat dunia lakonan yang diceburi itu sebagai satu kerjaya untuk mencari rezeki.

``Saya percaya semuanya bermula daripada niat kita sendiri. Saya bermula dari bawah dan belajar dari bawah. Alhamdulillah, saya masih bertahan kerana rezeki sentiasa ada,'' kata Fasha.

 

gambar Fasha Sandha

Artikel di petik dari Utusan

Sehingga kini Fasha sudah membintangi lebih enam buah filem termasuk Berlari Ke Langit, SHH3, Anak Mami Kembali dan Gong.

Dua daripada filem tersebut iaitu Anak Mami Kembali dan Gong masih dalam pembikinan. Ia adalah pertaruhan Fasha untuk tahun ini.

Dia juga muncul dalam lebih 10 buah drama televisyen seperti Dengan Nama Cinta, Quran Buruk dan Anak-anak Ramadan di samping Tin Gei Bin serta Usia yang akan ke udara menjelang April nanti.

``Saya bersyukur kerana walaupun masih baru, ada pengarah yang sudi memberikan kepercayaan untuk saya berlakon dalam filem mereka,'' katanya yang akan berangkat ke Jogjakarta, Indonesia tidak lama lagi.

Ramai yang barangkali tertanya-tanya, kenapa Fasha membawa diri ke Jogjakarta dan menetap di situ selama lebih sebulan mulai 16 Februari ini.

Merajukkah atau mencuba nasib di negeri seberang pula? Di Indonesia, Fasha tentu bukan asing lagi kerana dia pernah muncul dalam beberapa buah iklan di kaca televisyen dan papan iklan.

Bukan begitu halnya, artis tersebut ke Indonesia untuk menjalani penggambaran filem terbarunya, Gong terbitan Grand Briliance.

Fasha bersama krew filem Gong serta empat pelakon lain iaitu Jehan Miskin, Sharifah Sofia, Elyana dan Faisal Yusuf akan berkampung di sebuah perkampungan kecil dekat Jogjakarta nanti.

``Gong adalah sebuah filem thriller terbaru arahan Mr. Sandosh yang mengisahkan tentang sekumpulan pelajar dari Malaysia melawat Jogjakarta dan cuba mempelajari sejarah tempat itu.

``Mereka kemudian berhadapan dengan insiden mistik apabila salah seorang daripada mereka melanggar pantang larang di situ. Ia sebuah filem thriller dan seram. Saya gembira kerana terbabit dalam projek terbaru ini,'' cerita Fasha yang berlakon sebagai Mira.

Kata Fasha, hampir keseluruhan penggambaran filem tersebut diadakan di Indonesia.

Menurut Fasha, dia juga menyukai karakter Mira dalam filem tersebut kerana ia menyamai karakternya sendiri.

``Selain itu saya gembira kerana Gong berbeza daripada filem saya yang terdahulu dan ini masanya untuk membuktikan bakat saya,'' jelasnya yang enggan digelar pelakon stereotaip.

Bukan itu saja untuk Gong yang ditulis oleh Gibran Agi itu, Fasha meletak sepenuh harapan untuk menyerlah.

``Pada masa ini saya bersama pelakon yang lain sibuk berlatih skrip dan saya sudah mula menjiwai watak Mira itu dengan baik,'' tambahnya yang akan menyambut ulang tahun ke-21 pada 28 Mac nanti.

Sebelum itu, Fasha juga akan muncul dalam filem komedi Anak Mami Kembali iaitu filem terbaru arahan Razak Mohaideen di samping Saiful Apek dan Azean Irdawaty.

Soal berlakon, Fasha mengakui dia serius dan ingin bekerja keras untuk membentuk kerjaya seninya itu dengan baik.

Atas alasan itu, kata Fasha, dia sanggup melupakan kegembiraan zaman remajanya dulu hingga sekarang.

``Sejak berusia 16 tahun lagi saya sudah mula bekerja dan mencari wang sendiri. Saya gembira kerana sejak itu saya tidak bergantung pada keluarga lagi.

``Namun saya mempertaruhkan zaman remaja saya sepenuhnya tetapi saya tidak menyesal. Mungkin hidup saya berbeza dengan remaja lain yang mempunyai banyak masa bersuka ria sebaliknya saya sudah bekerja pada usia muda tetapi saya puas hati,'' katanya yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Begitu juga, menjelang usia 21 iaitu pada ketika ramai yang menganggap usia mendapatkan kunci kebebasan sepenuhnya, Fasha memberikan pendapat yang berbeza.

``Kebebasan untuk saya adalah bebas untuk memilih hidup yang saya inginkan dan menjayakannya. Itu sudah lama saya kecapi.

``Tetapi pada usia 21 tahun ini saya percaya saya semakin matang dan lebih berkeyakinan,'' jelas Fasha yang berazam untuk terus membuktikan bakatnya dalam bidang lakonan.

Menurut Fasha, ramai yang sering tersalah tafsir dengan riak mukanya yang sering serius dan menyangka dia seorang yang sombong serta pendiam.

``Hakikatnya saya seorang yang periang, peramah dan suka bercakap. Kalau bercakap susah untuk berhenti.

``Ada yang selalunya takut untuk mendekati saya kerana pada sangkaan mereka saya sombong. Mungkin kalau mereka sudah mendekati akan memahami fiil saya itu,'' kata Fasha.

Begitu juga di sebalik rutin sehariannya yang sentiasa sibuk di lokasi, Fasha tetap mempunyai kegemaran tersendiri.

Sebagai seorang yang suka duduk di rumah daripada berpeleseran di luar, Fasha juga mempunyai binatang peliharaan yang sangat disayanginya.

Bukan kucing tetapi seekor ikan flower horn yang dibelinya setahun setengah yang lepas.

``Masa itu, memelihara ikan flower horn adalah kegilaan ramai, jadi saya pun beli sekadar suka-suka. Tetapi kini ikan yang saya panggil Fish Fish ini `teman' saya di rumah.

``Dialah penghibur dan yang sentiasa menenangkan perasaan sewaktu saya kesusahan. Suka tengok dia berenang-renang dalam akuarium itu dan kadang-kadang bila tension Fish Fish jadi pendengar saya yang setia. Lucu,'' katanya sambil ketawa.

Sepanjang ketiadaannya di rumah setelah ke Jakarta selama lebih sebulan kelak, kata Fasha, dia pasti akan merindui Fish Fish.

``Nampaknya nanti terpaksalah saya serahkan buat sementara waktu kepada kakak dan abang saya untuk menjaga Fish Fish,'' kata Fasha yang mengakui ikannya itu semakin membesar dan cantik.

Di samping itu, ramai yang barangkali tertanya-tanya apa rahsia kecantikan Fasha terutama bentuk badannya yang sering kelihatan ramping dan cantik.

Fasha mengakui bahawa dia tidak mempunyai masa untuk bersenam di gimnasium atau berjoging. Tetapi itu tidak bererti, Fasha mengamalkan diet yang ketat atau menggunakan apa-apa rawatan menguruskan badan.

Sungguh, kata Fasha, dia tidak bersenam atau makan apa-apa pil menguruskan badannya kerana tidak mempunyai banyak masa untuk itu.

``Cuma satu cara yang saya amalkan setiap hari adalah bersenam dengan naik turun tangga. Sekarang saya tinggal di pangsapuri di tingkat 12.

``Setiap kali saya pasti menggunakan anak tangga sekurang-kurangnya dari tingkat enam untuk naik dan turun dari rumah saya. Itu saja cara terbaik kerana saya sibuk sangat, `' ceritanya.

Tentang rawatan rambut, kata Fasha, dia mengamalkan petua tradisi daripada orang lama iaitu santan basi.

``Saya juga mengalami masalah rambut panjang yang biasa iaitu mudah putus dan terbelah pada hujungnya. Tetapi amalan menggunakan santan basi sebanyak dua kali seminggu itu banyak membantu,'' tambahnya.

Untuk wajah, kata Fasha, dia cuma mengamalkan rejim penjagaan yang biasa tetapi dengan teratur untuk menjaga penampilannya.

[Home] [Biografi] [Gambar-gambar Fasha] [Diary] [Artikel Fasha] [Buku Pelawat Fasha]

Hosted by www.Geocities.ws

1