Fasha Sandha FC
BuiltWithNOF

Nur Fasha -- Laku bukan kerana seksi

MESKIPUN filem pertama lakonan Nur Fasha Sandha Hassan, 19, belum ditayangkan namun pelakon baru itu telah disambar oleh Tayangan Unggul untuk filem Bintang Hati pula.

Menurut Nur Fasha, filem pertama lakonannya, Black Maria arahan Amri Kailani Zain sepatutnya ditayangkan hari raya haji lalu.

 Tapi disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, filem terbitan Simfoni Makmor Sdn. Bhd itu akan hanya menemui penonton Jun ini.

 Model yang kini menceburi bidang lakonan itu berkata kedua-dua watak yang dibawanya menerusi filem tersebut amat berbeza. Di dalam filem Bintang Hati arahan Aziz M.Osman, Fasha memegang watak sebagai Jun iaitu seorang komposer yang berlagak seperti tomboy.

 Sementara di dalam Black Maria pula beliau menjadi Dania iaitu watak seorang pelajar yang mengada-ngada.

 

``Untuk membawa watak Dania saya tidak menghadapi masalah tapi untuk bergaya seperti tomboy itu yang agak sukar. Saya cuba buat yang terbaik,'' katanya.

 Dalam Bintang Hati, beliau berlakon sebagai komposer dan akan muncul dalam lapan adegan.

 Mencerita peluangnya berlakon dalam filem tersebut Fasha menjelaskan beliau tidak terpilih begitu saja sebaliknya melalui sesi uji bakat.

Sebagai orang baru, Fasha tidak berkeyakinan dirinya akan dipilih kerana ramai pelakon popular lain turut serta dalam uji bakat tersebut.

Seperti kata pepatah `tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu', nasib menyebelahinya. Maka, bermulalah kehidupan Fasha sebagai insan seni di bidang lakonan. Bagi mempastikan semuanya berjalan lancar beliau memberi komitmen maksimum terhadap watak Jun.

Namun, itu bukan tindakan bijak untuk meninggalkan dunia modeling. Rezekinya semakin bertambah apabila beliau terpilih untuk menjadi model iklan komersial. Bulan depan beliau akan menjalani penggambaran komersial untuk rambut.

``Modeling adalah bidang pertama yang saya ceburi sebelum berlakon filem. Saya akan cuba membahagi masa sebaik mungkin. Setakat ini saya tidak menghadapi masalah,'' jelasnya.

Meskipun namanya semakin meniti kejayaan, namun sebagai remaja yang berwawasan, Fasha tetap akan meneruskan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.

Jelas Fasha, beliau akan meneruskan pelajaran dalam bidang penyiaran TV di sebuah kolej swasta mulai bulan Jun ini untuk tempoh dua tahun.

Anak kedua daripada empat beradik yang dilahirkan di Johor dan dibesarkan di Pulau Pinang itu menolak dakwaan yang mengatakan beliau mendapat laluan mudah dalam bidang seni kerana penampilannya yang seksi.

Jelas Fasha, sebagai model yang sering memperaga pelbagai jenis jenama pakaian, beliau tidak merasakan imej yang ditampil selama ini seksi.

``Saya berpakaian mengikut keselesaan saya. Secara peribadi saya lebih menghormati seseorang jika mereka menawarkan sesuatu watak berdasarkan bakat bukan kerana penampilan saya,'' katanya yang enggan menjawab sebarang persoalan mengenai peribadi

[Home] [Biografi] [Gambar-gambar Fasha] [Diary] [Artikel Fasha] [Buku Pelawat Fasha]

Hosted by www.Geocities.ws

1