|
SEBAGAI pelakon baru Nur Fasha Sandha Hassan, 19, merasa bertuah kerana digandingkan dengan Aktor Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-16, Rosyam Nor.
Malah, kegembiraannya semakin berganda kerana mendapat kepercayaan Badaruddin Azmi yang dinobat sebagai Pengarah Terbaik baru-baru ini untuk memikul tanggungjawab sebagai heroin dalam filem, Berlari Ke Langit.
Berlari Ke Langit adalah filem kedua sentuhan Badaruddin bersama Tayangan Unggul Sdn. Bhd. selepas kejayaan gemilang, KL Menjerit.
Meskipun usia pembabitan Fasha dalam dunia lakonan filem masih baru berbanding pengalaman pasangannya, Rosyam, namun dia tidak gentar atau tertekan.
Sebaliknya, sebagai orang baru dia akan memperlihatkan mutu lakonan yang setanding dengan orang lama.
Justeru, Fasha yang memegang watak Yasmin merasa lega kerana sebelum turun ke lokasi kesemua pelakon Berlari Ke Langit diwajibkan menjalani latihan lakonan selama sebulan.
``Hasil daripada latihan sebulan itu, saya sudah dapat menyesuaikan diri dengan pelakon lain. Sebelum turun ke lokasi juga saya telah bersedia,'' katanya.
Fasha tidak pernah menganggap Rosyam sebagai pelakon terkenal. Sebaliknya, dia lebih senang melihat Rosyam sebagai Indera Che Wan.
Dengan cara itu barulah dia dapat mengelak dirinya daripada merasa tertekan apabila digandingkan dengan pelakon yang lebih berpengalaman. Fasha yang memegang watak seorang guru sekolah rendah di kampung, menganggap peranan yang dibawanya begitu berat.
Menariknya, dengan latihan dan tunjuk ajar daripada pengarah dia mampu menghidupkan watak Yasmin dengan baik.
``Saya telah memberikan komitmen seratus peratus untuk filem ini dan saya amat berharap Berlari Ke Langit mampu mencatat nama saya sebagai pelakon yang disegani,'' katanya.
Sebelum Berlari Ke Langit, Fasha pernah berlakon filem Black Maria yang akan menemui penonton 26 Jun ini dan Bintang Hati arahan Aziz M.Osman.
Model popular ini mengakui sejak kecil lagi memang impiannya untuk menjadi pelakon. Sehubungan itu, Fasha yang meminati lakonan Ellie Suriaty ingin menjadikan lakonan sebagai kerjaya serius.
Sementara itu, Rosyam pula menganggap kejayaan dinobat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik secara tidak langsung menambahkan lagi tanggungjawabnya sebagai pelakon.
Dalam keadaan itu, Rosyam tidak pernah mendabik dada bahawa dia yang terbaik. Langkah yang lebih wajar ialah meletakkan dirinya sebagai orang baru apabila memulakan sesuatu projek.
``Bila kita sudah memperolehi anugerah, ada banyak mata yang memerhati. Sebab itulah kemenangan yang diperolehi secara tidak langsung akan membuatkan diri kita perlu menghasilkan yang lebih baik dari biasa,'' katanya.
Sebaik selesai berlakon Berlari Ke Langit, Rosyam akan menumpukan perhatian kepada filem Castello pula yang diterbitkan oleh produksinya, Suhan Movies & Production.
Buat masa sekarang pelakon yang suka merendah diri ini belum terfikir untuk menceburi bidang pengarahan. Baginya, tugas mengarah adalah tanggungjawab yang berat. Dia belum bersedia ke arah itu.
Bagaimanapun, di masa hadapan jika ada kesempatan, Rosyam tidak akan menolak untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang sutradara. Secara tidak langsung bakatnya akan dilihat dari pelbagai surut iaitu pelakon, pengacara, penerbit dan pengarah.
|