|
Tetapi Fasha yang baru berusia setahun jagung jelasnya menjadi idaman mereka. Laluan Fasha ke dunia lakonan kelihatan cukup mudah pada masa ini, itulah tuahnya. Tentu sekali aset utamanya adalah wajahnya yang cantik. Salah seorang teman pernah berbisik tentang Fasha. Katanya, ``Dia cantik, seksi dan menarik perhatian tetapi tidak kelihatan menggoda. Itu kelebihannya.''
Tentu sekali ada kebenarannya. Sudah berapa lama kualiti seperti itu hilang di layar perak. Fasha mungkin akan mengingatkan anda kepada pelakon popular seperti Julia Rais, Ramona Rahman dan Sofia Jane suatu ketika dahulu. Komen Fasha atau nama penuh Norfasha Sandha Hassan itu, dia mempunyai lebih daripada sekadar wajah untuk dipertaruhkan dalam dunia filem.
``Saya mempercayai jika sekadar rupa paras saja tanpa bakat tidak mungkin ada pengarah yang sudi melamar saya. Lagipun untuk setiap tawaran yang saya terima terlebih dahulu saya terpaksa melalui sesi uji bakat,'' komennya.
Alasan Fasha tentang tuahnya? ``Itu semua adalah rezeki saya dan saya merasa beruntung sekali. Apa pun saya akan menggunakan ia dengan sebaik mungkin,'' tambahnya.
Bakat lakonan Fasha digilap daripada kerjaya sebagai modeling yang diterokainya sejak 1999 selepas tamat persekolahan. Bermula daripada pertandingan model sebuah produk kecantikan, Fasha memberanikan diri untuk melangkah lebih jauh dalam bidang tersebut kerana begitu pasti ia adalah haluannya.
Kata Fasha, dia berterima kasih kepada pengarah Black Maria, Ambri Kailani Zain yang sanggup untuk memperkenalkan dirinya ke layar perak buat pertama kali.
Begitu juga dengan Aziz yang sudi melamarnya untuk filem Bintang Hati di samping pelakon Amy Mastura di kala dia masih belum mempunyai nama dalam dunia hiburan.
Namun keberanian Badaruddin untuk menampilkan dirinya sebagai pelakon utama dalam filem Berlari Ke Langit adalah sesuatu yang cukup bererti buatnya.
Adakah dia bangga dengan penangan pertamanya sebagai heroin dalam Berlari Ke Langit yang baru saja tamat penggambarannya?
``Saya berusaha melakonkan yang terbaik. Antaranya mendalami watak itu sepenuhnya. Sebagai pelakon saya sedar tugas saya bukan hanya apabila saya tiba ke lokasi.
``Saya buat rujukan sebagai contoh lawatan saya ke beberapa sekolah untuk melihat suasana sebenar sebagai guru cukup membantu,'' jelasnya yang kelihatan bersungguh-sungguh.
Begitu bersungguh-sungguh sekali Fasha ingin mewarnai dunia hiburan katanya, dia akan berusaha memberi komitmen penuh sebagai bukti kemampuannya.
``Pada mulanya memang niat saya untuk menceburi dunia lakonan sekadar suka-suka saja.
``Tetapi apabila ada yang memberi sepenuh kepercayaan seperti itu, saya terus jadi berani untuk menerimanya sebagai komitmen baru,'' katanya yang sudah muncul dalam banyak iklan di TV sebelum ini.
Dalam masa terdekat nanti khabarnya kemungkinan besar, Fasha juga akan ke lokasi filem terbaru pengarah box office, Yusof untuk filem sequel kepada Gila-Gila Pengantin.
Untuk filem itu, Fasha terpaksa mengetepikan tawaran daripada untuk tampil sebagai pelakon baru dalam sebuah siri komedi popular di saluran ceria anda ntv7.
``Saya berharap untuk menerokai dunia lakonan di layar perak dengan lebih mendalam,'' Fasha memberi alasannya.
Semuanya berlaku tanpa diduga? Tentu sekali, jelas Fasha.
``Dulu saya cuma pernah bercita-cita untuk terbabit di belakang tabir saja. Jauh sekali untuk menjadi pelakon,'' katanya yang bercita-cita untuk menjadi pengarah dan penerbit kelak.
Langkah Fasha untuk mewarnai dunia hiburan juga mendapat sokongan kuat daripada keluarga terutamanya ibu yang merangkap pengurusnya.
``Mama saya sentiasa memberi sokongan dalam apa yang saya ingin lakukan dan saya tidak berniat untuk menggunakan kepercayaan keluarga itu,'' katanya yang dilahirkan di Johor dan membesar di Pulau Pinang.
Apa yang paling ditakutinya sebagai seorang artis baru. ``Tidak ada apa-apa kerana saya sudah bersedia untuk semuanya,'' katanya. Kata Fasha, dia cuma ingin meneruskan langkah dan kesempatan yang ada dalam dunia hiburan tanpa sebarang kerisauan.
Untuk seorang pendatang baru yang kelihatan cukup mudah laluannya, Fasha tetap memandangnya sebagai satu anugerah Tuhan yang cukup berharga untuknya pada masa ini.
``Apa yang penting adalah keinginan saya membangunkan diri untuk meraih kejayaan dalam bidang ini,'' katanya.
Penulis pernah bertanya kepada seorang teman bagaimana sebenarnya untuk mengukur sebuah kejayaan itu.
Katanya, ``Saya rasa berjaya apabila saya mampu melakukan sesuatu yang diinginkan pada masa yang saya inginkan.''
Andai itu dijadikan ukuran untuk Fasha pada masa ini, dia kelihatannya cukup berjaya walaupun masa hadapan belum tentu apa jadinya
|