Fasha Sandha FC
BuiltWithNOF

Fasha Sandha - Masa depan dalam lakonan cerah ( 21/07/2003 )

FILEM Berlari Ke Langit arahan Badarudin Azmi hampir 90 peratus sudah siap menjalani penggambaran.

Setakat ini heroin filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd itu, Nur Fasha Sandha Hassan, berkata beliau tidak menghadapi sebarang kesukaran.

Fasha, 19, berlakon sebagai Yasmin Suraya, cikgu sekolah menengah yang mengidap penyakit barah itu juga senang berlakon di samping Rosyam Nor.

Jelas Fasha, sepanjang penggambaran beliau sering mendapat kerjasama daripada pelakon yang pernah dinobat sebagai Aktor Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 menerusi filem KL Menjerit.

``Rosyam adalah seorang pelakon yang tidak kedekut ilmu. Dia sering mengajar dan membantu saya untuk memperbaiki lakonan. Saya gembira dapat bekerjasama dengan pelakon dan krew yang sering membantu,'' katanya terus terang.

.

Fasha yang berasal daripada Pulau Mutiara itu dikatakan mempunyai prospek yang besar dalam bidang lakon tempatan.

Meskipun beliau mudah mendapat kepercayaan pengarah, sebagai orang baru dalam bidang seni Fasha sentiasa berhati-hati.

Beliau tidak mahu mengamal sikap terburu-buru kerana takut apa yang diinginkan tidak kesampaian.

Berpegang pada prinsip itulah, Fasha rela menolak beberapa tawaran berlakon telefilem cakera padat video (VCD) yang banyak menguasai pasaran tempatan kini.

Tegasnya, tidak ada faedah melakukan dua kerja dalam satu masa sekiranya gagal memberi komitmen.

``Saya jenis yang suka buat satu kerja pada satu masa. Bukan tidak boleh buat dua kerja dalam satu masa tapi kena bijak membahagi masa.

``Biarlah saya buat sesuatu yang menyenangkan semua pihak kerana saya tidak suka orang lain susah disebabkan saya. Jadi cara mudah, baik saya tumpukan pada satu tugasan dulu,'' jelasnya yang mungkin memulakan penggambaran untuk filem terbaru September ini.

Justeru, sambil berlakon, Fasha mengambil peluang untuk memperbaiki kelemahan diri. Maka beliau tidak berat mulut untuk bertanya pada pelakon-pelakon yang sudah berpengalaman.

Fasha yang bersikap ceria itu juga bercadang untuk berlakon cerita komedi di masa akan datang.

``Saya sedar untuk buat orang ketawa bukanlah mudah, sebab itulah saya perlu mengumpul seberapa banyak ilmu untuk setanding dengan pelakon lain,'' katanya penuh semangat.

Beliau yang juga aktif berlakon komersial itu sejak awal pembabitan dalam bidang seni sudah bersedia menerima segala cabaran.

Justeru itulah beliau kurang memberi perhatian pada berita yang berbaur gosip. Bagi Fasha, hanya komen atau kritikan membina sahaja akan dinilai demi untuk masa depan kerjayanya.

Ujarnya, sebagai anak seni orang sekeliling sering memerhati dan sebab itulah beliau perlu bijak mengatur langkah.

Fasha berharap beliau juga diberi ruang untuk bergerak sebagai insan seperti individu lain.

 ``Kalau tidak berlakon, saya seperti orang lain juga, keluar bersama keluarga dan kawan-kawan,'' katanya sambil tersenyum

[Home] [Biografi] [Gambar-gambar Fasha] [Diary] [Artikel Fasha] [Buku Pelawat Fasha]

Hosted by www.Geocities.ws

1