Fasha Sandha FC
BuiltWithNOF

Fasha Sandha - Heroin baru layar perak ( 10/09/2003 )

JIKA ada yang cemburu kepada Nur Fasha Sandha Hassan, sikap itu memang ada kewajaran. Pelakon remaja ini memang patut dicemburui kerana beliau sering menjadi buruan penerbit dan pengarah filem. Langkah kakinya semakin ligat dari satu lokasi filem ke lokasi filem yang lain, daripada seorang pengarah kepada pengarah yang lain.

Satu lagi fakta menarik mengenai pelakon yang menyerlah dalam filem Black Maria ini ialah kepelbagaian watak yang ditawarkan kepadanya. Ini secara langsung memberi ruang kepadanya untuk memperlihatkan wibawanya sebagai pelakon serba boleh. Kelebihan ini lebih menyebelahinya kerana beliau tidak menghadapi masalah untuk menjadi teraju dalam sesebuah filem.

 Bayangkan dalam tempoh kurang tiga tahun pembabitannya dalam dunia lakonan, Fasha sudah berlakon empat filem. Dua kali diberi peranan heroin iaitu filem Berlari Ke Langit arahan Badarudin Azmi dan terbaru Shhh...! The Movie (SH3) yang sedang rancak menjalani penggambaran.

Satu-satunya filem yang telah menayangkan wajah dan bakat Fasha di layar perak ialah Black Maria manakala Bintang Hati arahan Aziz M. Osman bakal ditayangkan tahun depan.

.

Menyedari terdapat tanggapan negatif terhadapnya, Fasha menerangkan bahawa pemilihannya bukan kerana mengamalkan budaya mengampu dalam usaha untuk mengukir nama dalam bidang seni. Sebaliknya, semua itu adalah dengan usaha serta keringat sendiri dan atas pertolongan Yang Maha Esa.

``Pertama, saya bersyukur dan gembira kerana belum sempat menarik nafas panjang, saya mendapat tawaran lain. Itulah rezeki namanya. Bagaimanapun, Saya tidak pernah rasa bangga diri dengan peluang yang diberi.

``Setiap kali berlakon filem baru, saya sentiasa menganggap itu adalah kerja sulung saya. Tumpuan jitu saya berikan untuk mempastikan saya tidak mengecewakan pengarah, penerbit dan peminat,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Fasha tertarik untuk berlakon filem terbaru iaitu SH3 dengan memegang watak sebagai Nelly kerana filem itu mengetengahkan tentang dunia remaja. Sudah pasti tema itu bersesuaian dengan jiwanya yang kini berusia 20 tahun.

Beliau yang melakonkan watak Yasmin Suraya seorang guru yang mengidap barah dalam Berlari Ke Langit juga yakin SH3 mampu menarik perhatian penonton kerana jalan cerita yang digarap berbeza daripada biasa.

Katanya, belum ada filem tempatan yang mengetengahkan cerita berkisar pemain skateboard (papan luncur) seperti yang disutradarakan oleh Zek Zukry itu.

``Meskipun filem ini banyak menampilkan wajah baru tetapi saya yakin kami boleh memberikan persembahan terbaik. Apabila kesemua barisan pelakon masih mencari pengalaman di layar perak, pasti akan banyak idea baru yang boleh diketengahkan,'' katanya tersenyum manis.

Bagi memastikan impiannya menjadi realiti, Fasha yang sering mendapat peluang melakonkan pelbagai watak itu banyak membuat persiapan sebelum turun ke lokasi. Tujuannya adalah untuk memperbaiki kelemahan sebelum ini di samping bersedia menerima sebarang kritikan membina.

SH3 mengisahkan kehidupan remaja di kampus yang mempunyai pelbagai aktiviti sukan. Salah seorang pelajar tersebut ialah Khairul (lakonan Ashraf Danial) menjadi idola pelajar-pelajar di kampus. Khairul gemar mendengar muzik, bermain skateboard dan mudah berkawan dengan sesiapa saja.

Filem ini banyak memberi tumpuan kepada Khairul dan pergaulannya dengan rakan-rakan sekampus. Nilai persahabatan adalah elemen yang diketengahkan dalam filem terbitan Ad-Niaga Sdn. Bhd., itu

[Home] [Biografi] [Gambar-gambar Fasha] [Diary] [Artikel Fasha] [Buku Pelawat Fasha]

Hosted by www.Geocities.ws

1